Followers

Monday, August 3, 2015

[JOM]: OPGW

Transmission tower (menara elektrik) mempunyai 6 "tangan". 3 di kiri, dan 3 di kanan. Ini bererti ia membawa 2 litar elektrik, masing-masing 1 di kiri dan 1 di kanan. Untuk memudahkan pemahaman, katakanlah "tangan" kanannya membawa litar elektrik untuk bandar Putrajaya, manakala litar di "tangan" kirinya pula untuk membekalkan bandar Cyberjaya. 


Sekarang anda akan bertanya pula, kenapa satu litar ada 3 tangan? Jawapan ringkas, kerana litar elektrik pada "maqam" yang tinggi, berada dalam keadaan 3-fasa. Adapun litar elektrik pada tahapan atau maqam yang rendah, seperti litar elektrik di rumah kita, hanyalah 1-fasa. Mungkin lain kali pula kita diskusikan perihal 3-fasa ini, tetapi untuk sementara waktu, cukuplah untuk kau mengerti bahawa transmission line ini, kerana ia berada di ruangan yang outdoor, yang terdedah kepada panas hujan ribut petir ini, harus teguh dan tegar sehebat "abang long" kawasan. Barulah 3-line!

Sekarang, masalahnya ialah ketika hujan. Kilat sabung-menyabung. Cubalah bayangkan betapa dahsyatnya musibah yang bakal menimpa, andainya kilat tiba-tiba menyambar talian elektrik berVoltan tinggi ini. Apalah harapan penduduk, yang amat memerlukan tenaga elektrik buat mereka meneruskan dan melayari samudera kehidupan.

Tentang peri-pentingnya elektrik ini di dalam kehidupan, saya umpamakan seperti peri-pentingnya kuasa "ukhuwah" di dalam kehidupan. Tanpa ta'awun bil birr wa taqwa ini, kedudukan Islam tidak akan gah, bahkan semakin lambatlah untuk dakwah islamiyah mencapai kejayaan. Maka "tenaga ukhuwah" inilah formula kejayaan, persaudaraan islamiyah inilah rahsia keagungan. Firman Allah:

"Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat"
(Surah Al-Hujurat [49]:10)

Namun, tenaga ukhuwah ini terdedah kepada kilat, dan kilat ini saya umpamakannya sebagai hasad. Seperti bahayanya talian elektrik disambar kilat, sebegitu jugalah bahaya ukhuwah Islamiyah jika disambar hasad. Segala gelaran buruk seperti "jebon", "munafiq haraki", liberal, boneka  dan sebagainya, akan pantas dituduhkan hingga bisa menjahanamkan nilai dan harga sebuah persaudaraan. Kerana itu baginda Ar-Rasul bersabda:

"Telah menular (yakni, merebak) penyakit di kalangan kamu penyakit umat-umat yang terdahulu, iaitu (penyakit) 'hasad dan dengki', ia (yakni, 'hasad dengki' itu) pencukur; bukan aku berkata 'pencukur rambut', dan akan tetapi pencukur ugama (yakni, mencukur pahala segala amalan dan ibadah)".


Lalu, bagaimana harus transmission line mahu melindungi "tangan-tangan" yang menyebar tenaga persaudaraan ini? Jawapannya, lihatlah kembali transmission tower tadi. Bukankah ia punya "tanduk", dan setiap tanduk itu ada sebuah wayar halus, yang lebih kecil saiznya berbanding wayar-wayar elektrik 3-fasa tadi? Nah, inilah yang kita panggil sebagai Ground Wire atau Earth Wire.

Daripada namanya, bukankah sepatutnya earth atau ground berada di bawah? Nah, bagaimana ia boleh "naik ke atas", lebih meninggi kedudukannya berbanding wayar elektrik? Jawapannya, biarpun bumi itu sifatnya di bawah, tetapi tenyata ketika ia berada "paling atas" dalam transmission line, ia "berjiwa besar" dengan memainkan peranan "menundukkan kilat" dan membawanya menyembah bumi.

Maka seperti ground wire ini, manusia harus siap tunduk pada segala ketentuan Allah dan Rasul-Nya, melebihi pandangan mahupun pendapatnya sendiri. Hanya dengan cara inilah, ukhuwah islamiyyah dapat diselamatkan.

Maka tidak hairanlah, "di atas" ayat berkenaan ukhuwah di dalam ayat ke-10 Surah Hujurat tadi, Allah SWT memperingatkan manusia agar tunduk, dan jangan mendahului Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah:

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
(Surah Al-Hujurat [49]:1)

Tapi, teknologi terkini telah memperkasakan ground wire dengan fungsi tambahan. Ground wire dewasa ini diperbuat daripada optic fiber, hingga menyebabkan ground wire pada transmission line kini dikenali sebagai Optic Fiber Ground Wire atau ringkasnya; OPGW. Dan oleh kerana ianya fiber optic, maka tentunya OPGW ini mampu menyampaikan dan menghantar maklumat. Nah OPGW kini, selain berfungsi sebagai grounding untuk memelihara transmission line daripada kilat, turut berperanan menyampaikan maklumat, atau dalam lain  perkataan communication di antara satu substation dengan substation yang lain. 


Lihatlah betapa pentingnya komunikasi ini, sehingga Al-Quran memperingatkan akan pentingnya memelihara daripada berlakunya communication breakdown ini. Firman Allah:

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
(Surah Hujurat [49]:6)

Cukuplah ukhuwah itu tercedera, dek sikap manusia yang melebihkan pandangan dan seleranya berbanding panduan dan ketetapan yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah? Cukuplah ukhuwah itu mereput, dek sikap manusia yang melupakan betapa pentingnya memelihara diri daripada communication breakdown?

Nah, untuk memastikan ukhuwah itu terpelihara, tundukkanlah dirimu jangan sampai mendahului Allah dan Rasul (ayat 1) dan pastikan tidak berlakunya communication breakdown (ayat 6). Ternyata, OPGW ini berada di atas tranmission line bernama ukhuwah (ayat 10). 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Pengamal "Rusmul Bayan"