Followers

Thursday, October 18, 2012

[copy&paste]: Menerima Takdir Dengan Bijak Mengurus Tadbir

Ketika diri ini sedang "down", aku melihat langit. Melihat langit, untuk membumikan diri di tanah ini. Akhirnya, aku sedar bahawa "down" aku kerana tidak membetulkan kompas kehidupan.

 

Artikel ini sebagai muhasabah untuk diriku, dalam membetulkan kompas kehidupan. Hakikat kehidupanku di dunia, adalah perjalanan insan bertuhan. 

 

 

 

Rasulullah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini:”Ya Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.”

 

Mengapa? kerana diri kita lemah, ilmu cuma ‘sekerat’, kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw berpesan  agar serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.

 

Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikanNya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu… ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabienya.

 

Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stres, marah dan sedih. Itu biasa. Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan. Yang luar biasanya, apabila kita memilih untuk ‘berkelahi’ dengan takdir. Kita tidak menerima warna-warni kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir sebaliknya memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan kenapa? Mengapa? Sering menghantui jiwa.

 

Seringkali terpancul dari mulut segelintir kita..

 

“La, kenapa tak bagitau awal-awal? Kan dah susah.”

 

“Ish, kalau kau kahwin dengan aku dulu, kan hidup senang. Sekarang tengok, apa dah jadi kat kau?”

 

“Kalau kita berhenti tadi pun, dah dapat beli kuih. Ish terlajak la pulak dah.”

 

Cuba kita renungi sepotong hadis sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

 

“Oleh sebab itu, hendaklah engkau berusaha bersungguh-sungguh memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas. Dan jika engkau berkata : ‘Kalau aku lakukan itu dan ini, tentulah jadi begini dan begitu.’ Tetapi katakanlah: Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaanNya Ia lakukan.’ Kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.”                            

(Hadis Riwayat Muslim)

 

 

Berdamailah Dengan Takdir

 

 

Bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan menikmatinya sahaja. Kita tidak berkata, “sewajarnya ditambah warna kuning, dikurangkan warna jingga.”

 

Tidak! Kita tidak akan berkata begitu. Sebaliknya kita memilih untuk ‘bersahabat’ dengan alam dan menikmati lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang. Kita nikmati alam seperti seadanya… akur kepada Pencipta senja.

 

Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan ‘lukisan takdir’ pada kanvas kehidupan kita. Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama datangnya daripada Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan Allah dan tidak mahu menerima semua itu seadanya?

 

Berusahalah dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah, malah kita dituntut untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah. Apapun nantinya hasilnya, katakan pada diri, “aku harap yang baik, Allah akan memberi yang baik.”

 

Kita memang sesekali tidak akan dapat mengubah takdir, namun kita kena ingat, kita boleh mengubah diri kita untuk menerima takdir tersebut dengan tadbir diri kita ini. Analoginya, kita tidak akan mampu dan selamanya tidak boleh mengubah arah angin, namun kita boleh mengubah kain layar kapal kita. Maka, berdamailah dengan takdir.

 

 

Allah Tahu Yang Terbaik Untuk Kita

 

Jika yang diharapkan berlaku, syukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka… sabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku… namun apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.

 

Oleh itu, jika sesuatu perkara yang tidak kita jangkakan berlaku, pause. Think before you act. Tenangkan hati, nasihat secara hikmah jika orang lain yang menyebabkan perkara itu berlaku dan terus redha. Ia sudah takdir Allah.(fahami takdir Allah). Elakkan diri dari selalu guna perkataan ‘kalau’ kerana itu menunjukkan identiti kita yang kurang bersyukur dan meredhai atas apa yang telah ditetapkanNya.

 

Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap takdirNya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu kita maka yakinlah Kasih SayangNya sentiasa mendahului kemurkaanNya. Yang pahit itu akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan menjadi penawar.

 

Jika itulah suara hati kita, mana mungkin kita gelisah, resah dan stres keterlaluan? Yakinlah, kita hamba Allah… Allah tidak akan mengecewakan kita!

 

 

*Dipetik daripada blog kembarafityan

 

 

Wednesday, October 17, 2012

[copy&paste]: UBAH PEMIKIRAN SEBELUM UBAH PERATURAN

UBAH PEMIKIRAN SEBELUM UBAH PERATURAN
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

 

Saya terfikirkan kata-kata ummul mukminin (mother of the believers) Aishah r.ha mengenai penurunan (kedatangan) ayat-ayat al-Quran. Kata ‘Aishah:

 

“Sesungguhnya (peringkat) awal al-Quran yang turun ialah surah daripada al-Mufassal (surah-surah pendek bermula dari Surah Qaf sehingga an-Nas) yang menyebut di dalamnya tentang syurga dan neraka. Sehinggalah apabila manusia telah kembali (datang) kepada Islam, maka turunlah (ayat-ayat) halal dan haram. Jikalau (peringkat) awal al-Quran turun menyatakan: “Jangan kamu minum arak”, nescaya orang ramai berkata: “Kami tidak akan tinggalkan arak sama sekali”. Jikalau peringkat awal al-Quran turun: “Jangan berzina”. Nescaya mereka berkata: Kami tidak akan tinggalkan zina sama sekali”.

 

Apa yang Aishah beritahu ialah mengenai pendekatan al-Quran dalam mengubah manusia. Ayat-ayat awal bukan menekan isu halal dan haram, sebaliknya penegaskan tentang syurga dan neraka. Dalam ertikata lain membangunkan iman tentang Hari Akhirat bahawa setiap insan akan dibalaskan kebaikan dan keburukan yang dilakukannya. Setelah hal itu mendalam dan dapat dihayati oleh manusia, barulah ayat-ayat berkaitan halal dan haram datang untuk membentuk peraturan syariat dalam kehidupan. Hasil dari pembentukan jiwa yang begitu menghayati tentang konsep syurga dan neraka, maka dengan mudahnya halal dan haram itu dihayati dalam kehidupan manusia ketika itu. Jikalau al-Quran pada awalnya berkempen soal halal dan haram sebelum pembentukan minda dan jiwa tentang Hari Akhirat pastinya manusia akan gagal mematuhi hukum-hakam tersebut.

 

Jiwa Dan Minda

 

Hal ini penting untuk difahami oleh kita yang ingin melakukan perubahan dalam masyarakat. Perkara yang pertama yang perlu dilakukan ialah mengubah jiwa dan minda masyarakat. Dalam ertikata yang lain, mentaliti masyarakat hendaklah diubah terlebih dahulu sebelum mengubah tindakan mereka. Kegagalan dalam perubahan, terutama kelompok Islamist ialah apabila wujudnya kegopohan ingin mengubah peraturan yang tersedia ada dalam sesuatu masyarakat dan negara, tanpa terlebih dahulu menjayakan agenda mengubah cara fikir dan kefahaman masyarakat. Inilah yang telah melingkupkan ‘Taliban’ di Afghanistan.

 

Manusia yang dipaksa berubah sedangkan jiwanya enggan dan membantah akan menyimpan rasa tidak puas hati dan kebencian yang bersarang dalam jiwa mereka. Mereka mungkin tunduk buat sementara waktu mereka tidak mampu bertindak. Namun, mereka akan memberontak dan menentang apabila ruang mengizinkan. Pemikiran sesetengah kelompok Islamist yang tergesa-gesa untuk mengujudkan negara yang penuh dengan hukuman terhadap rakyat yang tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan akan meruntuhkan negara dari dalam. Mereka hanya akan membina negara yang rakyatnya hidup dalam kebencian. Lebih parah lagi kebencian kepada kelompok mullah ataupun ustaz itu nanti akan bertukar menjadi kebencian kepada agama.

 

Alhamdulillah, hal ini disedari oleh kelompok Islamist yang berjaya mendapatkan kerajaan di Turki, Mesir, Tunisia dan lain-lain. Mereka nampaknya tidak tergopoh-gapah untuk melaksanakan hudud dan lain-lain peraturan yang dikaitkan dengan Islam sebelum proses kefahaman diperkukuhkan. Mereka sepatutnya mengambil langkah membangunkan pendidikan jiwa dan minda dalam kehidupan rakyat terdahulu.

 

Kita hendaklah sedar bahawa memperkukuhkan, ataupun membetulkan cara fikir dan faham pada zaman ini jauh lebih sukar dan payah dibandingkan dengan zaman dahulu. Banyak unsur cabaran idea dan pemikiran yang tersebar dalam kalangan masyarakat manusia. Dunia teknologi maklumat hari ini telah menjadikan pemikiran manusia begitu rencam dan bermacam. Oleh itu, tidak memadai sekadar berceramah di masjid dan surau untuk menyelesaikan isu kefahaman rakyat. Pembinaan semula jiwa dan minda rakyat memerlukan masa dan penyusunan yang mengambil tempoh yang tidak singkat. Sedangkan arak pada zaman Nabi s.a.w sekalipun al-Quran mengharamkannya secara berperingkat-peringkat, inikan pula pelbagai isu yang berserabut pada zaman ini dan kepimpinan Nabi s.a.w secara zahir tidak lagi wujud.

 

Taliban

 

Saya tertarik dengan kritikan Wahidudin Khan terhadap tindakan Kerajaan Taliban pada tahun 2001 mengebom dua patung besar bersejarah Gautam Buddha di Bandar Bamiyan. Dua patung itu yang bina sejak kurun keenam telah anggap ‘historical masterpieces’ dan telah menjadi tarikan pelancung seluruh dunia. Maulana Wahidudin Khan dalam ‘The Prophet of Peace’ telah membandingkan tindakan Taliban itu dengan pendekatan Nabi s.a.w pada peringkat awal dakwah di Mekah. Walaupun pencemaran yang paling besar di Mekah ialah kewujudan 360 berhala yang mengelilingi Kaabah, namun Nabi s.a.w tidak memfokuskan untuk menghancurkan berhala-hala itu terlebih dahulu.

 

 Memang benar Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. untuk penegakan tauhid. Kewujudan berhala di kelilinginya adalah satu pembohongan terhadap misi Nabi Ibrahim a.s yang mana Nabi Muhammad s.a.w adalah penerus misi tersebut. Namun, meruntuhkan berhala dalam keadaan manusia tidak faham tidak akan dapat mengubah keadaan, sebaliknya mungkin berhala yang lebih banyak akan dibina. Maka, pada peringkat awal dakwah Nabi s.a.w tidak meruntuhkan berhala yang ada, sebaliknya memberikan tumpuan kepada menyampaikan tauhid dan misi ajaran Islam yang sebenar. Setelah Mekah dikuasai dengan kefahaman majoriti manusia berubah, maka berhala-berhala pun diruntuhkan.

 

Wahidudin Khan mengkritik Taliban dengan menyatakan alangkah baiknya jika Taliban mengambil kesempatan dengan kehadiran pelancung yang ramai untuk menyebarkan mesej Islam dan kerajaan mereka secara natural bukan dengan kekerasan. (page 24. New Delhi: Penguin Books).

 

Keras

 

Saya rasa, sebab utama wujudnya kelompok terrorist ialah apabila ada kecenderung mendahulukan hukuman sebelum dakwah. Mendahulukan menghukum manusia sebelum berbicara dengan cara yang baik. Mengutamakan undang-undang agama, sebelum dialog memahamkan manusia berhubung dengan tujuan agama.

 

Kelompok yang keras seperti ini mungkin rasa berpuas hati apabila melihat manusia patuh kepada hukum agama yang diwujudkan, tanpa mereka menyedari bahawa memaksa manusia mematuhi agama yang tidak difahami dan disetujui oleh mereka hanya mengujudkan sifat munafik dalam jiwa. Misi Islam bukan untuk mengujudkan manusia patuh undang-undang agama di dunia secara paksa, sebaliknya misi asal Islam ialah untuk menyelamatkan manusia dari neraka dan memasukkan manusia ke dalam syurga.

 

Hal ini hanya dapat berlaku apabila manusia menerima agama dengan ikhlas dan jujur. Sebab itulah Nabi s.a.w -seperti yang diriwayat oleh al-Bukhari dan selainnya- menziarahi yahudi yang hampir meninggal dan mengajarnya shahadah. Sekalipun dia hampir mati dan tiada ruang untuk kembali menjadi warga Madina yang taat, tetapi tanggungjawab terbesar misi Islam ialah memastikan manusia kembali kepada Allah dengan rela dalam apa keadaan sekalipun.

 

Ini tidak bererti kita menolak peraturan yang bersifat Islamik, tetapi ia hanya hadir setelah kefahaman rakyat dimantapkan dengan hujah dan alasan yang menundukkan jiwa dan minda mereka. Maka, meletakkan keutamaan sesuatu agenda agama untuk mengubah perundangan tanpa melihat kepada persekitaran kefahaman bukanlah langkah yang bijak.

 

Nabi s.a.w apabila sampai ke Madinah memulakan program-program yang membangunkan rakyat atau constructive activities, sebelum bercakap tentang peraturan yang mengongkong mereka. Baginda membina masjid yang berfungsi dengan sepenuhnya, membangunkan persaudaraan antara kaum, mengujud toleransi dalam kehidupan beragama antara muslim dan yahudi. Selepas itu kita dapati baginda menghidupkan suasana membantu yang kesusahan, menghalang kezaliman, memudahkan yang halal dan menyusahkan yang haram. Apabila undang-undang diwujudkan selepas itu, maka ia sudah serasi denga jiwa masyarakat.

 

Apabila suasana berubah, maka keadaan umat Islam juga berubah. Maka banyak perkara perlu dilakukan dalam memahami semula umat Islam dan masyarakat umum tentang Islam sebelum menjatuhkan hukuman kepada mereka. Menuduh orang lain anti-Islam, ataupun menuduh non-muslim kafir harbi ataupun menuduh muslim kafir dan sesat sebelum didahului dengan penerangan yang betul, itu satu kesalahan. Sikap suka mendahulukan persoalan halal dan haram tanpa diberikan alasan dan pendekatan yang jelas dan baik, juga tidak serasi dengan cara al-Quran yang Allah turunkan. Undang-undang, hukuman dan penilaian atas nama agama hanya wujud selepas penerangan dan kefahaman yang sebenarnya disebarkan dengan secukup-cukupnya. Apabila agama lebih meresap ke dalam jiwa dan minda, maka semua kata-kata agama itu mudah sahaja untuk diterima.

 

 

 

 

Tuesday, October 16, 2012

Dosa

 

“Tiada manusia yang tidak pernah berdosa. Namun, manusia boleh dikurniakan tuhan hati yang gementar ketika melakukan dosa.”

-Ust. Wan Ji Al-Bakistani (tweeter, 15 Oct. 2012)-

Sunday, October 14, 2012

0

Ikhlas itu sifirnya darab kosong. Kerana itu dalil ikhlas yang paling mudah, adalah kalimah tayyibah لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ. Kerana pada kalimah itu, terkandung "Al-Bara'" yakni keperluan untuk "mengosongkan jiwa", seperti yang terbina daripada kalimah penafian "لَا" dan objek yang dinafikan, iaitu "إِلَهَ". Hanya bila jiwa telah kosong, barulah "إِلَّا" "اللَّهُ" dapat ditanamkan dengan segar, mekar, dan tertancap teguh di dalam hati dan sanubari diri.

 

 

Tanpa pengosongan jiwa ini, kaliman "إِلَّا اللَّهُ" tetap boleh tumbuh, tapi umpama pokok yang dihinggapi kulat dan dihujani penyakit. Belum tentu ianya dapat tumbuh subur, mengambil manfaat daripada alam, lalu memberikan manfaat pula kepada penanamnya. Pengosongan jiwa inilah yang menimbulkan "Al-Ikhlas", iaitu tiada apa pelakuan, melainkan ditujukan buat Dia Yang Maha Esa semata-mata.

 

Kerana itu, sebesar mana pun amalan itu, tanpa keikhlasan a.k.a. pengosongan jiwa, ia umpama mendarabkan nilainya dengan kosong. Maka hasilnya nanti, tetap juga kosong. Sifar. Entek, di sisi Allah Azza Wa Jalla.

 

1 juta x 0 = 0

 

Dan yang namanya kosong, biarpun sering tiada nilainya, tetapi terkadang sangat kuat "penangan"nya. Tambahkanlah satu kosong di hujung angka 10, engkau akan dapat 100. Tambahkan satu kosong pada angka 100, engkau akan dapat 1000. Demikianlah pengosongan jiwa atau ikhlas, bisa menggandakan nilaianmu di sisi Allah, berkali-kali ganda nilainya, biarpun seakan tiada nilai di sudut pandangan manusia.

 

Sabda Nabi SAW;

 

"Boleh jadi orang yang kusut masai, berdebu, yang dihalau di pintu (tidak diterima kedatangannya), jika dia bersumpah dengan nama Allah nescaya Allah tunaikan". (Riwayat Muslim).

 

Besarnya pengaruh kosong. Pada baiknya, mahupun pada buruknya. Maka diam itu lebih baik, daripada bercakap kosong dan tiada makna.

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ :

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْراً أًوْ لِيَصْمُتْ

[رواه البخاري ومسلم]

Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam bersabda: Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam..

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم:

مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيْهِ

[حديث حسن رواه الترمذي وغيره هكذا]

Dari Abu Hurairah radhiallahunhu dia berkata : Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam bersabda : Merupakan tanda baiknya Islam seseorang, dia meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya .

 

Friday, October 12, 2012

[arkib]: Highlander

Ketika terasa down kerana menulis seakan tidak banyak mendatangkan manfaat, membaca kembali tulisan-tulisan lama, sering memberikan teguran, nasihat dan motivasi kepada diri sendiri.

 

Pelik mungkin, tapi setidak-tidaknya jika ianya tidak bermanfaat buat orang lain, sekurang-kurangnya ianya menyentuh hati diriku sendiri.

 

Artikel lama dari blog lama, siaran 30 Ogos 2010 (http://faridul.wordpress.com/2010/08/30/highlander/ )

 

 

Tanganku akan hancur di dalam tanah  

Yang tinggal hanya tulisanku di dalam buku

Moga sesiapa yang membaca tulisanku    

doakanlah keselamatanku dari Azab (api neraka).

-syair arab-

 

Saudaraku,

Untuk apa dikau menulis? Untuk memenuhi masa lapang mu? Untuk memenuhi minat dan hobi menulis mu? Untuk beroleh pujian dan sanjungan orang? Atau, kerana engkau sedar, betapa kelak ke bumi juga tempat kembali mu. Ajal jua yang akan datang menjemputmu. Mayat jua, kesudahan hidupmu. Lalu bagaimana caranya untuk engkau kekal hidup? Bukan, bukan dengan mempercayai segala tahyoul-mahyol orang-orang Barat, bahawa ada telaga tersembunyi di bawah sana. Yang begitu dikau meminumnya, kau akan kekal muda selamanya. Tidak cukupkah kemudaan yang dianugerahkan Tuhan buat para penghuni Syurga, untuk kau kejar lalu membara menjadi cita-cita?

Biarkanlah mereka menanam jasadmu. Tetapi, biarkan pula hidup kekal fikrahmu. Mereka, para jahil-jahil di luar sana, berbicara kehidupan sang mati sebagai hantu. Tetapi kamu, para ibadurrahman, berbicara kehidupan pasca kematian sebagai fikrah yang hidup, yang kemudiannya menghidupkan pula manusia-manusia lainnya.

Fikrah yang makin berkembang dan membiak. Berjangkit, tetapi tidak berpenyakit. Berkembang, tetapi bukan menggemukkan. Membiak, tetapi dalam konteks amal-amal soleh.

Fikrah akhi, fikrah. Biarkanlah fikrah mu hidup kekal, dan mewarnai masyarakatmu dengan roh islam. Agar, sesiapa yang membaca fikrah mu yang masih tertinggal, akan senantiasa mendoakan untukmu keselamatan. Keselematan tatkala meniti titian Shirat. Keselamatan tatkala cuba melepasi “security guard” untuk masuk ke premis Syurga. Keselamatan daripada melencong pula ke lembah Neraka.

Ya ALLAH, biarkanlah fikrah kami kekal hidup, seperti hidupnya fikrah seorang ghulam, yang biar tertanam jasad di perkuburan, fikrahnya hidup dan lagi menghidupkan. Hinggakan fikrahnya menyumbangkan syuhada’ di perparitan. Lalu dipahat indah kisahnya di dalam al-Quran:-

Binasa dan terlaknatlah orang-orang yang membuat parit.

yang berapi (dinyalakan dengan) kayu bakar,

ketika mereka duduk di sekitarnya,

sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang yang beriman.

Dan mereka tidak menyiksa orang-orang mukmin itu melainkan karena orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji,

Yang mempunyai kerajaan langit dan bumi dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.

Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cobaan kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertobat, maka bagi mereka azab Jahanam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh bagi mereka surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; itulah keberuntungan yang besar.

Sesungguhnya azab Tuhanmu benar-benar keras.

(Surah al-Buruj [85]: 4-12)

 

Inilah “immortal” yang sesungguhnya. Ya, inilah kehidupan tanpa kematian.


 

 

Animal Fencing

 

Gambar di atas adalah gambar animal fencing yang saya pasang di pagar rumah saya baru-baru ini. Ianya dipasang, untuk menghalang kemasukan kucing a.k.a encik Miow ke rumah saya. Benar kata orang tua-tua kita; kucing kalau sudah dibiar berak di situ sekali, ia akan datang lagi, dan lagi, dan lagi. Kerana sudah menjadi portnya untuk melepaskan tinjanya itu. Itulah yang terjadi dengan laman rumah saya; kucing akan datang mepelapskan tinjanya, dan datang, dan datang, dan datang lagi, lantaran laman saya itu sudah menjadi “portnya” untuk melepaskan tinja sehari ke hari. Maka, kita harus berbuat sesuatu!

 

Terkadang, yang namanya Jahiliyyah itu, sifatnya seperti encik Miow tadi. Sekali ia datang ke “laman hatimu”, ia akan datang lagi. Dan lagi. Dan lagi. Lalu melepaskan “tinjanya”, hingga kotor dan busuklah “laman hatimu.” Kerana itu, “pagar hatimu” itu harus dipasangkan animal fencing juga, sebagai satu langkah menghalang Sang Jahiliyyah daripada mencemarkan hati-sanubarimu.

 

Padanlah Imam Idris As-Syafi’e, imam mazhab kita, meninggalkan pesan monimuntalnya;

 

“iza lam tasyghal nafsaka bil haq,

Syaghalatka bil bathil.”

 

“Kalau kamu tidak sampai tersibuk dengan hal-hal kebenaran,

Tentu ertinya kamu telah disibukkan dengan hal kebatilan.”

 

 

Maka menyibukkan diri kita dengan kebenaran, adalah pagar atau animal fencing yang bisa mencegah masuknya Jahiliyyah ke dalam hatimu.

 

Lihatlah kepentingan mutabaah.

 

Lihatlah kepentingan tarbiyah.

 

Saksikanlah peri pentingnya research-research Islami.

 

Kerana semua itu, adalah “bunga-bunga” dan “taman-taman” yang menghiasi “laman hati” dengan kebaikan. Sedang meninggalkan hal-hal sedemikian, bererti memberikan ruang-ruang dan peluang-peluang, bagi Encik Jahiliyyah masuk dan mencemarkan hatimu.

 

 

Lalu kau akan lebih runsing terhadap dunia, berbanding hal-hal keAkhiratan.

 

Lantas kau akan sering menangisi nasib dirimu, daripada membiarkan air mata jernih itu menitis demi memikirin nasib dan masa hadapan umat.

 

Lalu kau kan hidup umpama manusia kerdil, yang hidup matinya hanya untuk dirinya, berbanding hadir sebagai manusia besar, yang hidup dan matinya demi memperjuangkan nasib agama dan umatnya.

 

Pagarilah hatimu, sebelum Sang Jahiliyah itu melepaskan tinjanya, di laman hatimu!

 

Monday, October 1, 2012

Terry dan Suarez

 

John Terry, sang maestro pasukan Bola Sepak England Chelsea, akhirnya di dapati bersalah oleh FA England dan dihukum gantung 4 perlawanan serta denda £220,000, di atas kata-kata berunusur perkauman yang dilemparkannya kepada pemain pertahanan QPR, Anton Ferdinand pada perlawanan bola sepak di antara QPR dan Chelsea pada 23 Oktober 2011 yang lalu.

 

 

Sebelumnya, sang bintang pasukan Liverpool Luis Suarez, telah pun dikenakan hukuman gantung 8 perlawanan serta denda £40,000, kerana kata-kata berunsur perkauman terhadap pemain pertahanan Manchester United, Patrice Evra. Ternyata, Negara-negara Barat, biarpun menyanjung tinggi freedom of speech yakni kebebasan bersuara, tetapi pada masa yang sama, tidak bertoleransi pada sebarang sikap diskriminasi dan kata-kata berunsur perkauman. Kerana kebebasan bersuara, tenyata tidak bermaksud anda bebas mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman kepada sesiapa saja yang anda suka.

 

 

Nah, jika begitulah halnya, atas dasar slogan freedom of speech menyebabkan sebahagian pihak seolah-olah berhak menuduh, menghina dan memperlecehkan kepercayaan agama sebahagian yang lain? Jika isu perkauman membolehkan Terry dan Suarez dihukum, maka tidak patutkah di atas isu keagaamaan, mereka-mereka yang bertindak biadap terhadap Rasul kami Muhammad SAW turut dihukum?

 

Walaubagaimana pun, sikap-sikap seperti gambar-gambar di bawah, turut tidak boleh diterima:-

 

 

 

Jika kerana satu individu tertentu, menjadikan darah warga Amerika menjadi halal, maka wajar juga kejadian 9/11 menyebabkan warga Muslim Amerika diperlakukan secara biadap oleh mereka-mereka yang diserang Islamphobia. Wajar saja Afghanistan diserang oleh Amerika. Wajar saja Iraq diserang oleh Amerika. Kerana konon tindakan seorang Muslim, melayakkan umat Islam seluruhnya dibantai.

 

Maka wahai para Muslim, Islam mengajar kita untuk bersikap rasional, bukan emosional. Berlaku adil, bukan berpihak. Jika kita menjerit tidak boleh tindakan satu-satu orang Muslim mereflect masyarakat Islam keseluruhannya, maka janganlah kata halal darah warga Amerika hanya kerana satu-dua individu yang menghina agama kita.

 

Oh, dan banner yang sama, turut dibawa ketika demonstrasi di Malaysia. Ya, di Malaysia juga!