PERSONA: SELAMAT MENYAMBUT 50 TAHUN MERDEKA!
Oleh: Ir. Faridul Farhan Abd Wahab "Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da'ie sepanjang hari"
Tersiar di faridul.wordpress.com pada 7 Sept. 2007
Proton telah melangkah bukan sekadar selangkah, bahkan beberapa langkah maju ke hadapan dengan pelancaran model barunya di pasaran: Proton Persona – kuasa jitu, prestasi menakjubkan, keluasan ruang boleh guna, serta banyak lagi inovasi tambahan.[1] Sehubungan dengan itu, model baru Proton ini turut menyumbang kepada pengurangan kerugian yang dialami Proton [2] lalu menjadi bukti, betapa Proton kini semakin bersedia untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pesaing automobil dunia yang lainnya.
Namun, di sebalik kemegahan ini, berita mutakhir berkenaan pemilihan rakan strategik Proton yang hampir selesai,[3] harus menimbulkan tanda tanya kepada kita akan halatuju dan masa hadapan satu-satunya kereta nasional sejati negara kita Malaysia. Ini kerana, apalah ertinya anda kereta nasional, dengan pengembangan prestasi dan kualiti yang semakin membanggakan, tapi akhirnya tergadai jua ke pemilikan asing. Suatu penjajahan baru tentunya, sekaligus mencacatkan serba sedikit pengertian 50 tahun kemerdekaan, setelah sebelumnya dicacatkan lewat "definasi pengisian kemerdekaan" oleh Gwen Steffani, atau Commen Law atau yang sewaktu dengannya.
Bukankah mentaliti masih terjajah, tatkala tidak lagi yakin akan keupayaan sendiri? Bukankah pemikiran sudah dirosak penjajah, tatkala merasakan hanya merekalah yang terbaik dan mampu menyelesaikan segenap masalah? Itulah sebabnya, Ratu Saba' –walau masih di zaman kekufuran- melihat penjajahan bukan sekadar pada tubuh jasad, tapi juga pada pemikiran dan kemasyarakatan.
"Dia berkata: "Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, niscaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina; dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat."
(Surah an-Naml [27]:34)
Benarlah kata-kata Ratu Saba'. Sebab, apalah ertinya kemerdekaan, andai hakikatnya jiwa raga masih ditambat belenggu kehambaan? Kata Rub'i Bin Amir kepada Rustum sang panlima perang Rom;-
إن الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله، ومن جَور الحكامإلى عدلِ الإسلام، ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة
"Sesungguhnya Allah mengutuskan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang Dia kehendaki daripada perhambaan sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah semata, dan daripada kezaliman para pemerintah kepada keadilan Islam, dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."[4]
Jiwa merdeka, adalah buah dan hasil yang ternikmat uuma oleh mereka yang telah ma'rifatuLLAH (mengenal ALLAH) [5], lalu dengan pengenalan itu, menjadikan mereka sedar akan kerjaya pertama dan utama mereka lewat slogan ulung mereka: Nahnu du'at qobla kulla syai (kami pendakwah sebelum segala sesuatu).
Ertinya mereka adalah pendakwah sebelum mereka berperanan sebagai engineer, umpama kerja dakwah adalah kerjaya pertama mereka, sedang bidang engineering hanyalah part time buat mereka. Mereka hadir ke pejabat, dengan pakaian profesion seorang engineer atau doktor atau guru atau sebagainya, adalah demi urusan dakwah. Adalah demi mendatangkan manfaat buat umat. Hingga mana, bila saja bertembung saja kepentingan kerjaya duniawi mereka dengan tanggungjawab dakwah mereka, mereka tahu untuk mengatas-utamakan kepentingan dakwah terlebih dahulu, lantaran itulah kerjaya pertama dan utama mereka.
Tiada yang mereka takutkan, tiada yang mereka risaukan. Lantaran bila jiwa mereka sudah merdeka, tiada apa dan tiada siapa dapat menghambat langkah perjuangan mereka. Biar itu namanya kesibukan kerjaya, biar itu namanya ancaman penguasa, biar itu namanya hambatan belanja, semuanya tidak mempunyai makna, lantaran mereka bukanlah hamba dunia.
Maka inilah jawapan saya, wahai akhi yang bertanya! Kesibukan itu, bukan bergantung kepada mana tempat anda bekerja, tapi sejauh mana jiwa anda merdeka!
RUJUKAN
[1] terjemahan daripada bahsa Inggeris oleh penulis daripada website http://www.proton.com/persona/
[2] Berita Harian terbitan hari Rabu 28 Ogos 2007. Rujuk url http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Ekonomi/20070828232834/Article/
[3] Utusan Malaysia terbitan hari Selasa 4 September 2007. Rujuk url http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_02.htm
[4] Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buthy, "Sirah Nabawiyah: Analisis Ilmiah Manhajiah Terhadap Sejarah Pergerakan Islam di Masa Rasulullah SAW (Fiqhus Sirah)", Darul Fajr Niaga (2000), ms. 69-70
[5] Dr. Irwan Prayitno, "Kepribadian Muslim", Pustaka Tarbiatuna (2002), ms. 156-160
No comments:
Post a Comment