Followers

Friday, July 8, 2011

Kita boleh berbeza pandangan dalam banyak hal, tetapi biarlah perbezaan pendapat dan pandangan kita berlaku dalam suasana terjaganya adabul ikhtilaf, yakni dalam suasana penuh sopan,berakhlaq,  berlapang dada dan penuh harmoni. Inilah yang telah dipamerkan oleh sahabat Nabi SAW, bahkan para pewarisnya di kalangan para ulamak dan ilmuan. Adalah satu musibah yang sangat besar, tatkala umat ini suka mengisytiharkan permusuhan dan peperangan dengan pihak lain, hanya kerana berbeza pandangan.

 

Dalam hal BERSIH 2.0, sungguh pun saya mempunyai pandangan yang tersendiri seperti yang pernah saya nukilkan beberapa hari lalu, tetapi itu tidak sedikit pun menghalang saya untuk sentiasa mendoakan keselamatan dan keistiqamahan buat saudara-saudara seperjuangan saya yang memilih turut serta dalam perhimpunan esok hari. Apatah lagi dengan keizinan daripada ulul amr kita, Duli Yang Teramat Mulia Yang Di Pertuan Agong, sewajarnya semua kita bersatu dalam ketaatan kepada baginda.

 

Saya menyeru semua pihak, terutamanya kerajaan dan pihak polis, agar berlunak dan mengalah, memberi peluang dan ruang kepada rakyat, sesuai dengan keizinan dan kebesaran jiwa yang telah dipertontonkan oleh Yang Di Pertuan Agong kita. Apatah lagi tatkala pihak BERSIH 2.0 sendiri telah mengalah dengan memilih untuk taat pada titah baginda dengan hanya berhimpun di stadium, maka sewajarnya kerajaan dan pihak polis mengalah dengan mula melayani mereka sebagai “rakyat jelata” instead of seakan “penjenayah”, untuk menjamin keharmonian kita semua. Janganlah hanya kerana perbezaan pendapat selama ini, kita memilih untuk menjahanamkan kehidupan seseorang. Ingatlah, ada pengadilan di Akhirat sana, bahkan telah bermula di alam kubur lagi.

 

-Pesanan daripada Ir. Faridul Farhan Abd Wahab, rakyat biasa yang sentiasa menghargai adabul ikhtilaf dalam perbezaan pendapat-

 

No comments:

Post a Comment