Ketika berkata Tuhan kepadaku
Tidakkah malu maksiat terhadap-Ku,
Menyembunyikan dosa dari makhluk-Ku
Dengan penuh noda menghadap-Ku?
Demi mendengar puisi ini, Imam Ahmad bangun dan memasuki rumahnya serta menutup pintu. Kedengaran suara tangisannya dari dalam dan beliau mengulang-ulang syair itu.[1]
Begitulah kepekaan orang-orang yang beriman. Mereka semua telah dikurniakan kelembutan perasaan, sehingga begitu mudah tersentuh melihat kerosakan umat, begitu mudah menjadi gerun bila diingatkan tentang kebesaran ALLAH, dan begitu mudah bersyukur dengan segala nikmat yang mereka perolehi walaupun pada pandangan manusiawi tidak bernilai atau berharga. Sungguhpun kelembutan dan kepekaan ini sering membasahkan mata mereka dengan sedu tangisan, tetapi kepekaan ini jugalah yang membakar jiwa dan kekentalan semangat mereka sehingga begitu garang dan menggerunkan setiap kali bangun membela Islam. Itulah kenapa para sahabat diberi jolokan “singa di pagi hari, rahib di malam hari”, kerana kegarangan “singa” yang mereka tampilkan dalam kehidupan seharian (sebagai suatu amaran buat musuh Islam), tiba-tiba “menikus” di malam hari, di dalam sujud mereka kepada Ilahi.
Dan kelembutan dan kepekaan inilah yang harus ada pada kita semua. Itulah sebabnya para ulama’ Islam mengesyorkan kepada kita, agar memenuhi perjalanan hidup ini dengan puisi-puisi dan syair-syair, kerana menurut mereka, sastera inilah yang bisa melembutkan hati dan menghaluskan jiwa. “Puisi,” kata Muhammad Ahmad ar-Rasyid dalam al-Munthalaq nya, “Mempunyai kuasa untuk membantu sesiapa sahaja yang menggunakannya samada untuk tujuan kebaikan atau kejahatan, untuk menolong kebenaran atau kebatilan.” Inilah sebabnya para ulama’ Islam begitu cenderung kepada puisi, sehingga mampu menghafal banyak bait-bait puisi. Jangankan Hassan al-Banna yang menyelesaikan pendidikannya dengan iringan hafalan beribu bait puisi, bahkan para sahabat pun mempunyai wakil-wakil yang menguasai sastera, sehingga tatkala mereka dihidang pula dengan keindahan sastera di dalam al-Quran, mereka hanyut khusyuk di dalam keasyikan keindahan ayat-ayat suci-Nya. Bahkan Saydina Umar R.A pun berpesan supaya mengajarkan sastera kepada anak-anak. Kerana dengannya anak yang pengecut, akan menjadi pemberani.[2]
Sungguh, di dalam setiap daripada kita, ada “hidden file”nya yang tersembunyi. Bawalah kekuncimu ke Start. Masuklah kepada icon Control Panel. Selusuri ruangan Folder Options. Dan tukarkanlah view Hidden files and folders kepada zahirnya file-file dan folder-folder tersembunyi tersebut. Biarpun seketika. Walaupun sementara. Tetap harus file-file dan folder-folder yang tersembunyi ini, biar seremeh apapun ia, harus dilihat sekali-sekali, sebagai suatu muhasabah buat kita. Kerana terkadang kita lupa untuk men”Scan”nya, atau me”Refrag”nya, sehingga kita terluput virus yang ingin kita hapuskan, atau kita tertinggal menyusun kekemasan hard disk yang ingin kita aturkan.
Saudaraku,
Ambillah sedikit masa untuk kita menggali diri kita. Merenung kembali rentetan hari kita. Menyelam mencari kesalahan-kesalahn kita. Mengorek mencari kelemahan-kelemahan kita. Kerana dengan demikian, mudah-mudahan kepekaan dan kehalusan akan timbul pada diri kita. Hingga kita memperoleh kemahuan yang kuat. Sehingga kita muncul sebagai pembela saudara-saudara kita. Sehingga mata kita tidak lagi bakhil untuk mengalirkan air matanya. Sehingga kepekaan terhadap persekitaran kita, akan menjadikan keazaman kita sentiasa membara, ayunan kaki kita sentiasa melangkah, tangan kita sentiasa bekerja, dan mulut kita bisu daripada memberikan alasan-alasan dalam beramal.
Janganlah ada lagi Hidden Files yang tidak disedari oleh kita. Sehingga tidak wujudnya keutuhan untuk mempertahan dan meninggikan kalimat agama. Hanya kepekaan dan kehalusan inilah yang akan merealisasikan hadith baginda Nabi SAW “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga ia cinta saudaranya seperti mana ia cinta pada dirinya sendiri” (H.R Bukhari dan Muslim). Kepekaan dan kehalusan inilah yang mewujudkan saling interaksi orang yang beriman, satunya para mujahid di jalan ALLAH, sedang yang satu lagi para penolong dan pendokong mereka. Dan saling interaksi ini natural, tidak dibuat-buat, tidak ditunjuk-tunjuk, dan tidak perlu diminta. Tetapi hati masing-masing mendorong untuk memahami yang lainnya. Saksikanlah interaksi ini di dalam firmannya: “(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan ALLAH; mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri dari meminta. Kamu kenal mereka dengan memelihara sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan ALLAH), maka sesungguhnya ALLAH maha mengetahui.” (al-Baqarah:273)
Biarpun folder-folder amalan kita sembunyikan, tetapi semuanya tak pernah terluput dari penilaian ALLAH. Begitu juga folder-folder kejahatan yang kita sembunyikan, tak pernah alpa dari pembalasan ALLAH. Maka lihatlah sekali sekala Hidden Folder anda, sebelum file tersebut menyebarkan virusnya akibat tidak pernah diScan.
Wassalamualaikum
“Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da’i sepanjang hari”
Faridul Farhan Abd Wahab, B.Eng(Hons) Electrical Engineering
Mujahid Engineer (Producing army of ALLAH)
(Ditulis pada November 2004)
*artikel-artikel dari blog lama sedang dalam proses pemindahan ke blog baru ini. Artikel lama yang telah dipindahkan ke blog baru, akan di delete daripada blog lama, insyaAllah.
RUJUKAN
1 Muhammad Ahmad ar-Rasyid, “al-Munthalaq”
2 Anis Matta, “Mencari Pahlawan Indonesia”, The Tarbawi Centre (2004)
No comments:
Post a Comment