Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab
(24 November 2004)
Sebuah transformer -transformer tiga fasa terutamanya- digunakan untuk menjana dan mengalirkan tenaga elektrik dalam nada yang banyak.[1] Hasilnya, sesuatu sistem berkemungkinan mengandungi lima kali lganda nilai kVA yang di”install”kan oleh transformer, berbanding yang dibekalkan oleh generator.[2] Hal ini menjadikan transformer, dan “ahli keluarganya”, antara komponen terpenting di dalam proses penjanaan tenaga elektrik.
Adapun transformer, bila ditekuni “nasab keturunannya”, terbahagi pula kepada beberapa jenis. Antara yang terpenting dan sering hadir dalam tugas-tugasan keelektrikan ialah Step-up transformer, berperanan meng”agung”kan lagi tenaga elektrik itu, kepada tahap yang cukup “menggemparkan”, sedang ada pula step-down transformer, berperanan men”tawadhuk”kan tenaga elekrik yang semakin “menyombong” itu.
Cuba perhatikan kisah ini. Walaupun kedua-dua jenis transformer tersebut, bukan sahaja mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berlainan bahkan berlawanan, tetapi tetap saja mereka hidup harmoni di bawah kategori dan panggilaan sertaan sapaan sebagai “transformer”. Sedangkan manusia, andainya mahu belajar daripada kisah sang transformer, tentunya tidak akan berpecah dan saling bermusuh seperti yang terjadi kini. Barangkali komponen statik bernama transformer itu lebih menghayati pesanan ALLAH yang disebut berulang kali di dalam al-Quran, “Sesungguhnya kamu merupakan umat yang satu…” sehingga kelihatan seakan-akan tiada perbezaan di kalangan para “penganut” fahaman transformer, kecuali bila dilakukan kajian lebih mendalam. Dek kerana itulah, Yusuf al-Qaradhawi di dalam Fiqh Ikhtilafnya merumuskan satu penawar kepada perpecahan dan pertelagahan: carilah persamaan di antara kamu, dan jauhilah hal-hal yang bisa membezakan kamu!
Inilah rahsianya ajaran Ilahi ketika Rabb Yang Maha Agung merumuskan formula dalam menjalin kesefahaman bahkan kepada ahli kitab: “Katakanlah; Wahai ahli Kitab! Marilah kepada satu kalimat/ketetapan yang sama/ tiada perbezaan antara kami dan kamu…” (ali Imran:64) Kerana perbezaan, selagi tidak menyangkut masalah pokok (baca: aqidah) haruslah di”tenggelamkan” buat sementara waktu, tambahan pula dalam kondisi umat yang terus dibantai oleh musuh. (Secara terangan-terangan) bermula dengan Yahudi di Palestin, Kristian (baca: Amerika), Hindu di Kashmir, kini tiba giliran Buddha di Selatan Thailand. Andainya umat lebih menumpukan isu-isu sebegini, tentunya persefahaman, kesepakatan dan perpaduan antara umat Islam mampu dicapai. Semaklah senandung Syauqi, penyair terkenal. “Musibah..” seperti kata penyair Syauqi, “..selalu merukunkan orang-orang yang terkena musibah.”[3]
Dan bukan itu sahaja pelajaran yang bisa diraih dari kisah “keluarga” sang transformer. Semangat membara yang dikandung oleh step-up transformer, sehingga mampu meledakkan “tenaga elektrik” umat ke satu nilai yang tinggi, harus dicontohi oleh kita semua. Kerana kebangkitan dan kesedaran ini, harus dijanakan oleh suatu keazaman dan keteguhan yang dikandung oleh insan-insan berjiwa “step-up transformer”. Inilah erti kisah kebangkitan umat. Dan “step-up” ini (baca: kebangkitan) diperoleh melalui amal jama’i. Ertinya, sebagaimana essentialnya step-up transformer di awal kisah penjanaan tenaga elektik dari power plant, maka sebegitu pentinglah juga amal jama’i untuk memulakan kisah kebangkitan umat. “Hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat menyeru kepada kebaikan, beramar makruf dan nahi munkar..” (ali Imran:104). Bukankah mukminin dan mukminat itu saling bahu membahu antara satu sama lain ? (atTaubah:71)
Tetapi kepetahan dan kelancaran aliran elektrik ini, terkadang perlu disabarkan dan ditawadhukkan oleh step-down transformer. Kerana tanpa kehadirannya di hujung sambungan rangkain sistem elektrik, tepatnya di bahagian distribution (pengagihan), akan menyebabkan sumber tenaga yang hendak disampaikan, bukan membawa natijah kemanfaatan, tetapi sebaliknya membakar pengguna akibat keterlebihan. Di sinilah peranannya syura. Kerana syura, betapa lemah pun ia, tetap sahaja lebih barakah berbanding keputusan yang diambil sendiri-sendiri. Itulah sebabnya, oleh ulama’ silam, dirumuskan bahawa “salah dalam bersyura lebih baik berbanding benar dalam bersendirian.” Dan seorang atau sekumpulan mukmin yang sedang menggelegak semangat perjuangan di dalam dirinya, atau berombak lautan kesungguhannya, atau berMega voltan pengorbanannya, hanya ketawadhukkan yang bisa menundukkan ia untuk patuh kepada keputusan syura.
Itulah sebabnya ulama’ dakwah mengatakan, bahawa barisan “pemain” di dalam perjuangan ini haruslah ditopang oleh dua unsur: Hikmatus syuyukh wa hamasatusy syabab. Pengalaman orang-orang tua, diadun dengan semangat orang-orang muda. Kenapa perlu kedua unsur ini? Kerana pemuda, yang ibarat step-up transformer, dipenuhi kesungguhan, keutuhan dan keteguhan semangat, yang bisa memastikan berterusan (istimrariyah) perjuangan suci ini. Sedang orang tua, dengan pengalaman-pengalamannya, dengan fungsi step-down transformernya, lebih matang sehingga lebih mengerti erti kesabaran, dan mampu mengajar anak-anak muda yang sedang menggelora keazamannya erti ketawadhukkan. Inilah yang diperlukan untuk menjaga ashalah (keaslian) dakwah ini. Kerana tabiat jalan dakwah, ia tak mungkin berbuah dalam masa yang singkat. Rasakan saja antara mee segera dengan mee di warong mamak, mana sama keenakkannya, tidak selari harga keduanya.
Maka inilah sifat “transformer kehidupan”. Semangat dan keazaman yang membara yang dihasilkan oleh step-up transformer bersifat kepahlawanan. Sedang kesabaran dan ketawadhukkan yang disifatkan oleh step-down transformer lebih bersifar pembelaan. Keduanya perlu kerana dalam seni mempertahankan diri, menyerang dan menangkis sama pentingnya.
Adapun banyak yang boleh dipelajari daripada “komponen” kehidupan. Ataupun “sistem kuasa” kehidupan. Dan TNBlah yang harus banyak belajar, supaya tidak berlaku lagi kecurian batang besi pada menara elektriknya di masa hadapan.
“Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da’i sepanjang hari”
RUJUKAN
1 P.C Sen, “Principles of Electric Machines and Power Electronics”, John Wiley & Sons 1997, m/s 69
2 Hadi Saadat, “Power System Analysis”, McGraw Hill 1999, m/s 64
3 Syair dipetik dari buku Umar Tilmisani, “Dzikrayaat Laa Mudzakiraat”
No comments:
Post a Comment