Followers

Sunday, February 20, 2011

[arkib]: Cerobong Asap

Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab

(disebar-emailkan pada Disember 2004)



Tiada kilang mahupun power plant yang “maksum” daripada “dosa” (gas-gas tercemar dan mencemarkan), makanya penghasilan gas-gas sebegini adalah perkara yang wajar dan patut dimaafkan. Cuma, bagaimana pentadbiran kilang mahupun power plant itu mengambil langkah-langkah yang jitu dan berkesan untuk mengawal dan mengurangkan pencemaran, adalah isu sebenar yang harus diperhatikan.


Ini kerana, proses yang dilalui oleh kebanyakan kilang dan power plant tak akan terlepas daripada penghasilan gas CO2, walau sehebat dan secanggih mana pun teknologi yang digunakannya. Power plant berasaskan arang batu misalnya, akan berhasil mengeluarkan sulfur oxide (SOx), nitrous oxide (NOx) dan carbon monoxide (CO)1. Tetapi, “kewajaran” atau “kelumrahan” industri menghasilkan gas-gas sebegini masih berada dalam lingkungan “ikhtilaf membawa rahmah” hanya apabila ia dihasilkan dalam kuantiti yang memenuhi kualiti alam sekitar, hasil daripada kecekapan, kesungguhan dan keikhlasan industri dalam mencari jalan mengurangkan dan mencegahnya. Itulah sebabnya, pada setiap bangunan kilang mahupun power plant, akan kalian dapati “cerobong asap” atau stack pada bumbungnya. Ternyata kehadirannya bukanlah sekadar bahan hiasan, melainkan dengan ketinggiannya sepanjang 160 meter itu, akan membolehkan penyerakan ‘plume’ yang lebih luas seterusnya dapat mengurangkan kepekatan ‘plume’ yang meresap ke dalam aras tanah.2

Begitulah halnya dengan manusia. Seperti juga kilang-kilang dan power plant, kita juga tidak terlepas daripada melakukan dosa. Sehingga mana Nabi SAW yang mulia menyatakan; “Andainya kalian tidak melakukan dosa, nescaya ALLAH akan menggantikan kalian dengan suatu umat yang melakukan dosa…” ertinya, mana ada manusia yang bebas daripada sebarang “pencemaran”. Cuma, Baginda menyambung lagi, “…dan mereka (umat yang melakukan dosa tadi) bertaubat kepada ALLAH.”3 Ertinya, melakukan kesalahan adalah hal yang wajar. Tetapi andainya kesalahan itu dibiarkan sahaja membuak dan merebak, sehingga mencemarkan kualiti kemanusiaan, itulah yang wajar dipermasalahkan.

Maka, sediakanlah “cerobong asap” di dalam kehidupan mu. Yang tinggi melangit. Yang “menguasai” asap-asap itu, lantas menyalurkannya kepada ketinggian yang tidak lagi membahayakan manusia. Semakin tinggi cerobong asap itu, semakin kuranglah impaci negatif yang ia hasilkan.

Binalah cerobong asap itu dengan konkrit ketaqwaan, dengan “ketinggian” pertaubatan. Kerana tanpa ketaqwaan dan jalan pertaubatan, akan tetap kekal dikau di lembah “pencemaran”. Tanpa ketaqwaan, kerendahan hati dan rasa kekerdilan tidak akan hadir di saat engkau sujud menyembah, memohon ampun kepada Tuhan, dek kerana “cacatnya” nilai ketawadhukan di dalam dirimu. Sebab, “kemaksiatan yang memberi bekas rasa hina dan hancur di hadapan-Nya kerana kemaksiatan..” kata Ibnu Athaillah as-Sakandari dalam al-Hikam, “..lebih baik daripada ketaatan yang meningggalkan rasa bangga dan sombong.”

Kerana membina cerobong asap pun, harus memperkirakan banyak faktor. Benar, semakin tinggi, semakin baik, kerana perjalanan taubatmu yang panjang itu bisa menghancurkan dan menyucikan dosa-dosa yang dikau lakukan, tetapi, kealpaan dirimu mengambil kira “trafik penerbangan” bahkan akan membawa musibah yang lain pula. Itulah sebabnya, ketinggian cerobong asap itu juga haruslah menepati standard yang ditetapkan oleh Jabatan Penerbangan, agar asap “dosa” yang dilepaskan tidak menggangu penglihatan penerbangan. Di sini, fiqh awlawiyat harus diperhatikan. Di sini, fiqih dakwah perlu diterapkan. Itulah sebabnya jalan pertaubatan seorang hamba, tidak semestinya dengan mengucilkan diri di tempat persembunyian dengan linangan air mata dan sedu-sedan semata-mata, tetapi bahkan turun menginfaqkan dirinya di jalan perjuangan juga adalah perjalanan seorang hamba menuju periode pertaubatan.Itulah kebijaksanaan Ibrahim Bin Adham pada ceritanya tentang jawapan seorang ahli ibadah yang sedang menangis sambil memandang kedua kakinya; “Aku belum mengotori kakiku dalam berjuang di jalan ALLAH,”4 katanya ikhlas. Itulah juga sebabnya, oleh Fudhail B. Iyadh, menagis tatkala membaca surat daripada Abdullah Ibnu Mubarak, kerana pertaubatan dalam meninggalkan jihad di jalan ALLAH, seperti yang dilakukan sang abid Fudhail itu, adalah umpama “bermain-main” dalam beribadah pada al-Khaliq.

Begitulah wahai saudaraku, “cerobong asap” yang harus kita bina. Dibina di atas kesedaran bahawa kita memiliki asap, dan harus kita bersihkannya. Dibina dengan kebijaksanaan, mengambil kira semua keadaan. Biarlah “cerobong asap jalan pertaubatan” kita yang menguasai debu-debu noda yang kita perbuat, jangan sampai “asap-asap” itu yang kemudian menguasai kita.

Biarlah kehebatan cebong asap seorang Ayyub as-Sikhtiyani menjadi pedoman kita. "Saat mengingat orang-orang sholeh,” kata Ayyub as-Sikhtiyani; “aku merasa seperti tersingkir dari barisan mereka." Dengan bekal tawadhuk, tawakal, taqwa dan ‘corong pertaubatan’ via amal-amal kita, tangisan kita di tahajud malam sepi, zikir Quran yang kita corongkan di segenap sudut hari, mudah-mudahan “kelulusan” untuk menjadi ahli Syurga menjadi milik kita. Kerana ia kekal abadi.

RUJUKAN

1 Arizona State University, “EEE463 Flash Tutorials” URL:
http://www.eas.asu.edu/~holbert/eee463/coal.html
2 DEIA
3 Hadith ini boleh didapati di dalam beberapa buku, antaranya buku “Fiqih Ikhtilaf” oleh Yusuf al-Qaradhawi dan “al-abjadiyyat at-tasawwur al-haraki lil amal Islami” oleh Fathi Yakan. Penulis tidak berapa ingat siapa sebenarnya yang merawikan hadith ini, tetapi akan penulis semak kembali bila pulang ke rumah nanti.
4 Majalah “Tarbawi”, Edisi 89, 22 Juli 2004, ruangan Ruhaniyat
5 Al-Subki, “Tabaqat al-Syafiiyyah al-Kubra”, Jilid 1, m.s. 287

 

1 comment: