أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ
Kalimah yang baik itu –menurut al-Quran al-Karim- umpama pohon nan baik. Usulnya tsabit, kerana tertancap teguh, kukuh, dalam ke dasar bumi. Sedang فَرْعُهَا (cabang atau dahannya) pula, menjulang tinggi, megah menuju ke langit.
Malangnya, sering kali hal-hal yang furu', membawa kepada perbalahan, membawa kepada percakaran, membawa kepada permusuhan. Lalu yang furu' itu, seakan menjunam tumbang ke bumi, berbanding menjulang tinggi penuh megah ke langit. Mengapa demikian? Kerna ianya tidak menjadi kalimah yang baik. Lantaran kalimah yang baik itu –itulah Islam, itulah kebenaran, itulah syahadatain- akan senantiasa memenuhi kriteria pohon nan baik, yang telah dianalogikan tadi dalam al-Quran, lewat surah Ibrahim ayat ke 24.
Kerna itu, tatkala kita hidup berpandukan Islam, berpaksikan iman, dan bersumberkan syahadatain, hal-hal yang furu' bukan menjahanamkan, bukan membinasakan, bukan memecah-belahkan, sebaliknya membawa seribu satu kebaikan, seterusnya membawa umat ini menjulang tinggi, umpama cabangan pokok yang sentiasa tumbuh subur umpama ditarik naik ke langit.
Bahkan pakar psychologist dan ahli motivasi Barat pun akan mengakui, betapa antara syarat untuk sesuatu bangsa itu maju, adalah dengan thinking outside the box. Dan berfikir di luar kerangka norma ini, adalah suatu cara berfikir yang menyanggahi arus manusia umumnya. Lantas, perbezaan dalam perkara sebegini, justeru membawa kebaikan kepada kita semua, dengan syarat kita menyedari betapa "kita berpegang teguh dalam hal yang kita sepakati (yakni yang usul), dan saling berlapang dada dalam hal yang kita perselisihkan (yakni yang furu')."
Apakah yang usul dalam dakwah para Nabi zaman-berzaman? Aqidah! hingga surah Al-Anbiya' ayat ke 25 merakamkan betapa tiada Nabi yang diutus oleh Allah Yang Maha Agung, melainkan membawa bersamanya panji perjuangan yang sama: senada dalam mentauhidkan Allah Ta'ala semata.
"Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahwasanya tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku"
(Surah al-Anbiya' [21]:25)
Apakah yang furu' dalam dakwah para Nabi zaman berzaman? Antaranya: Syariat! hingga surah Al-Ma'idah ayat ke 48 mencatatkan betapa setiap umat itu dikurniakan oleh Allah Manhaj dan syari'atnya sendiri. Hingga wajar, umat Muhammad yang satu ini pun, ulama'-ulama' mazhabnya bisa berbeza pendapat dalam soal hukum-hakam.
لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا
Nah, kalau bab syariat yang menyangkut halal – haram pun, adalah perkara furu' yang kita harus saling berlapang dada sesama perbezaan pandangan, bukankah wajar pendapat dan pandangan peribadi terhadap isu semasa, turut memperlihatkan perbezaan, lantaran tentunya ia lebih furu' berbanding hukum-hakam tadi?
Tapi, apa lagi perkara yang usul? Adab! Hingga, Nabi SAW menyebutkan dalam hadithnya betapa salah satu misi perutusannya, tidak lain melainkan menyempurnakan semulia-mulia akhlak. Hingga, al-Quran nan mulia merakamkan dalam surah an-Nur ayat ke 27 dan 28 akan adab sopan tatkala berkunjung ke rumah atau teratak persendirian milik orang. Hingga, slogan yang sewajarnya dinanyikan oleh para pengunjung alam siber, terutamanya laman-laman fiqh, adalah "kita boleh khilaf (berbeza pendapat) dalam masalah FIQH tetapi tidak di dalam AKHLAQ, lantaran fiqh dan syariat itu adalah hal yang cabang (furu'), sedang adab sopan itulah yang usul (selain tauhid, akidah dan sebagainya).
Alangkah indahnya ketika ustaz Hasrizal mencontohkan adab sopan berkunjung ke "rumah maya" seperti adab sopan tatkala berkunjung ke rumah fizikal milik orang. Jika anda tidak suka dengan perhiasan dan susun atur rumahnya, apakah anda paling berhak untuk berkeras dan memaksa sang tuan rumah bertindak menyusun atur rumah sesuai dengan cita rasa dan pendapat anda?
"Tetapi al-ahkam.net yang berganda besar dari saifulislam.com itu tidak mudah untuk dikawal. Namun sheikh zain-ys tetap bersabar menyambut tetamu ke rumah terbukanya yang pelbagai kerenah itu. Kita jemput tetamu untuk berkongsi bihun, tetapi semakin ramai pula tetamu yang datang mengkritik rasa bihun, menegur kerusi meja tuan rumah, tanpa segan silu masuk ke dapur mengubah peti ais, dan apabila akhlaq semakin meracau, tetamu-tetamu jenis ini memaki hamun dan menyakitkan hati tetamu yang lain pula!"
(http://saifulislam.com/1286)
Nah, yang usul saja tidak kau hiraukan, masakan yang furu' bisa membawakan kebaikan, sebaliknya menatijahkan permusuhan dan kehancuran.
Maka ketika sang tuan rumah sudah sudi melayan dan mengizinkan anda untuk mengkomentari susun atur rumahnya, apakah anda rasa anda layak untuk melanyak yang usul –yakni adab sopan berkunjung ke "rumah" orang- dengan mencaci-maki, memarahi dan menghentam tuan rumah dalam hal yang sebenarnya perkara nan furu'? Mengapa kau tinggalkan yang usul, dan membesar-besarkan yang furu'?
Marilah mencontohi para salafus soleh, yang kerana kuatnya pemahaman dan pegangan mereka pada yang usul, menyebabkan perbezaan yang pastinya terjadi dalam hal yang furu', tidak lain melainkan membawa mereka maju menjulang hingga ke langit. Kerana kaedah Rasyid Ridha yang dipopularkan oleh Hasan Al-Banna dan didokong oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, iaitu "kita kerjasama dalam hal yang kita sepakati, dan saling berlapang dada dalam hal yang kita perselisihkan" itulah contoh adaptasi terbaik terhadap kalimah yang baik itu.
"Kalimah yang baik, umpama pepohonan yang baik. Usulnya tsaqit, sedang furu'nya melangit"
No comments:
Post a Comment