Followers

Friday, April 11, 2014

Laksamana Do Re Mi


 

Hadith di atas, oleh Iman An-Nawawi rahimahullahi ta’ala di dalam kitabnya Riyadhus Shalihin, diletakkan di dalam Kitab Adab, di bawah Bab “Nasihat dan Penghematannya”. Perawi hadith ini –Mu’awiyah bin Al-Hakam As-Sulami radhiallahu anhu- menggambarkan baginda Nabi SAW sebagai guru yang terbaik dari segi teknik pengajarannya. Maka, tentu sahaja sebagai guru yang terbaik, method dan kaedah pengajaran baginda semestinya dituruti dan diteladani oleh kita semua, terlebih lagi kita yang mengaku sebagai umat baginda SAW ini. Ingat, Mu’awiyah Al-Hakam As-Sulami menyebut Nabi SAW sebagai ahsana ta’liman, yakni yang terbaik pengajarannya. Maka tentu saja cara pengajaran baginda SAW ini tak akan lapuk ditelan zaman. Hatta melangkau ke zaman kita ini.

 

Ini termasuklah cara menangani krisis seperti kehilangan MH370 baru-baru ini. Perhatikan pertanyaan Mu’awiyah ini: “Di antara kami ada orang-orang yang suka mendatangi para dukun.” “Dukun”, menurut Syaikh Muhammad Al-Usaimin, adalah orang yang mengabarkan tentang hal-hal ghaib yang akan terjadi di masa yang akan datang. Hal ini terjadi lantaran mereka didatangi oleh para pemimpin jin yang membawa apa-apa yang mereka dengar berupa berbagai berita dari langit (Syaikh Muhammad Al-Utsaimin, “Syarah Riyadhus Shalihin Jilid 2”, Darul Falah ms. 913-915).

 

Nah, perhatikan jawapan baginda Nabi SAW terhadap hal ini: “Jangan kamu datangi mereka.”

 

Saudaraku,

 

Nabi SAW tidak menyebut “jangan kamu percaya kepada mereka,” sebaliknya justeru Nabi SAW langsung melarang hatta untuk mendatangi mereka. Hatta di dalam Sahih Muslim, datang bertanya kepada dukun pun tetapi tidak membenarkan jawapannya, pun menjadikan solatnya tidak akan diterima selama 40 hari. Kenapa? Kenapa Nabi SAW langsung melarang mendatangi para dukun? Kerana antara lain, di kalangan manusia akan ada yang mempercayai dukun tersebut. Lalu Islam mengambil langkah menutup pintu kepada segala ruang-ruang yang bisa membawa kepada kerosakan sebegini. Samalah halnya tatkala Islam bukan sekadar melarang seks bebas, malah mendekati zina pun turut dilarang oleh agama nan murni ini. Biarpun taqrabuz zina itu dikosmetikkan oleh nama sambutan tahun baru. Atau konsert sekian-sekian. Atau pesta sekian-sekian. Dan yang lain sebagainya.

 

Maka, atas apa alasan sekalipun, tindakan yang menggambarkan ciri-ciri kedukunan, biarpun ia membawa “jenama” yang lain, baik dukun atau “do con” (melakukan penipuan) atau bomoh atau ustaz atau Laksamana Do Re Mi dan lain sebagainya, adalah tindakan yang tidak boleh ditolerir oleh kita, biar sebanyak mana pun buaya yang berjaya ditamparnya.

 

Kita memerlukan bantuan Allah dalam keadaan sekarang ini. Janganlah pula kita cemarinya dengan tindakan yang kelak menyebabkan doa-doa kita langsung ditolak oleh-Nya, seperti yang disebut oleh baginda Nabi SAW seperti yang dinukilkan oleh Imam Nawawi di dalam Hadith Arbainnya:

 

 


Tuesday, April 1, 2014

MONSTERS INC.

MONSTERS INC.

 

Kita sedang berbicara tentang Power Plant. Ada Plant yang menggunakan hydro sebagai sumber penjanaannya. Ada pula yang menggunakan gas. Tak kurang pula yang menggunakan arang batu. Di negara-negara maju, nuklear tidak hanya berfungsi sebagai senjata perang yang sangat dan amat merbahaya, tetapi juga merupakan sumber penjanaan tenaga elektrik yang tidak mencemarkan alam sekitar. Dan lagi, di alam lainnya, ada pula Power Plant yang menggunakan hasil “jeritan” kanak-kanak ketakutan sebagai sumber penjanaan tenaga elektriknya. Itulah Power Plant yang digambarkan di dalam salah satu kartun kesukaan anak-anak saya; Monsters Inc.

 

 

Monsters Inc. adalah kartun yang telah diterbitkan oleh Pixar Animation Studios pada tahun 2001. Ianya berkisarkan tentang 2 ekor monster, James P. Sullivan atau lebih dikenali sebagai Sulley, serta rakan sekerja sekaligus sahabat karibnya, Mike Wazowski. Kakitangan-kakitangan Monsters Inc. menjana tenaga elektrik untuk alam monsters itu dengan cara menakutkan kanak-kanak lalu mengumpulkan “jeritan” kanak-kanak tersebut. Namun, dek kerana korupsi dan tamak haloba sebahagian kakitangan dan pihak pengurusan Monsters Inc., seorang kanak-kanak dari alam manusia telah terlepas ke alam monsters akibat kesilapan yang dilakukan oleh “pesaing” Sulley, Randall. Sungguh pun di awalnya Mike dan Sulley cuba me”nyah”kan kanak-kanak itu, namun mereka kemudiannya mula terbit perasaan sayang dan kasih terhadap kanak-kanak tersebut, sehingga menggagalkan sekaligus membongkar penyelewangan dan salah guna kuasa pihak pengurusan yang didalangi oleh si “bos besar” syarikat, En. Waternoose yang rupa-rupanya telah menculik kanak-kanak daripada alam manusia untuk “menyedut” jeritan kanak-kanak ini. Namun, mereka (geng jahat) merancang namun Allah juga merancang, dan tentu perancangan Allahlah yang sentiasa terbaik, akhirnya sindiket jahat ini berjaya dibongkar, dihentikan sekaligus dalang-dalang disebaliknya berjaya ditangkap (ingat! Allah adalah Rabbul ‘Alamin. Bererti Allah adalah Rabb di alam monsters juga). Dengan kaedah menjana tenaga elektrik melalui pengumpulan jeritan kanak-kanak manusia dihentikan, bagaimana mungkin pihak Monsters Inc. menyelesaikan masalah bekalan tenaga untuk bandarnya? Alhamdulillah, dengan izin Allah, Sulley dan Mike telah berjaya menemui kaedah baru yang lebih efisyen dan lebih baik, iaitu berbanding menjadikan kanak-kanak ketakutan demi mengumpulkan jeritan mereka, pihak Monsters Inc. telah memilih untuk menghiburkan kanak-kanak untuk mengumpulkan gelak ketawa mereka. Ternyata di mana ada usaha, pasti akan Allah bukakan jalan untuk kita.

 

Saudaraku,

 

Di balik kartun ini, sangat sarat dengan pengajaran buat kita semua. Sungguh pun sebahagian ahli “teori konspirasi” menyebutkan kartun ini sendiri adalah salah satu ghazwul fikri yang direncanakan oleh Freemason –seperti the one eye pada Mike serta logo Monsters Inc. yang merupakan ciri-ciri Al-Masih Dajjal, selain jam yang menunjukkan 9-11 tatkala Sulley dan rakan-rakan sekerjanya berjalan untuk memulakan tugasan mereka (lihat gambar pada jam dinding di belakang) membuktikan serangan 9-11 yang berlaku di U.S sebagai konspirasi musuh semata-mata- namun itu tidak bererti pengajaran-pengajaran yang bisa kita raih harus dilupakan sebegitu sahaja.

 

 

Pada watak Mike dan Sulley sahaja, sudah bisa diperoleh pengajaran yang sangat berharga. Dalam edisi terbaru kartun ini yang bercerita tentang “asal-usul” persahabatan Mike dan Sulley, iaitu Monsters University, Mike juga pada asalnya ingin menjadi monsters yang menakutkan orang seperti yang kemudiannya dilakukan oleh Sulley. Namun, oleh kerana Mike tidak punya bakat dalam hal itu, itu tidak menyebabkan ia berputus asa daripada menjadi sebahagian staff Monsters Inc. Ternyata dengan ilmu dan kemahiran managementnya, ia telah menjadi “pengurus” Mike, sebelum kemudiannya tatkala Monsters Inc. mengubah dasar daripada mengumpul jeritan manusia kepada mengumpulkan gelak-tawa manusia, Sulley pula yang kemudiannya menjadi “pengurus” kepada Mike. Apa yang penting di sini ialah, setiap kita tetap harus “menyumbang” kepada umat ini. Kalau Mike tetap “berperanan” sungguh pun sedar akan kelemahan yang ada padanya, sebegitu jugalah Nabi Musa Alaihissalam, yang sungguhpun bukanlah seorang pemidato yang pandai bercakap, namun itu tidak menghalangnya untuk tetap berdepan demi mendakwahi seorang Firaun. Firman Allah:

 

(Surah Az-Zukhruf [43:51-53)

 

Begitu juga dengan kisah tatkala Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam cuba dibakar oleh kaumnya. Diceritakan oleh Ibnu Katsir di dalam karyanya Qashashal Anbiya’ Ibrah li ulil-Albab, tatkala Nabi Ibrahim berada dalam maraknya api tersebut, seluruh haiwan yang melata (kecuali cicak) cuba memadamkan api tersebut. Inilah yang cuba disimpulkan oleh Amjad Az-Zahawi, seorang syeikh yang –menurut Abdullah Al-Aqil di dalam bukunya Mereka Yang Telah Pergi- sebagai “syaikh istimewa, wajah sahabat Nabi”, di dalam sebahagian ungkapannya;

 

            “dunia Islam telah terbakar

            setiap kita harus menuangkan air, meski sedikit

            untuk memadamkan api semampunya

            tanpa menunggu orang lain”

 

Seperti Mike yang mana tidak semua monsters dapat menjadi seekor “Scarer” (yakni monsters yang tugas dan kerjanya menakutkan orang), maka sebegitu jugalah kita: tak semua kita punya bakat untuk bercakap di depan, berceramah, menyampaikan tazkirah, menulis artikel sehebat Ustaz Hasrizal atau Inche Gabbana, dan lain-lain “dakwah glamer” yang lainnya. Namun, itu tidak bererti kita tidak punya cara untuk menyumbang untuk deenul islam tercinta ini. Ingat, Allah Azza Wa Jalla, tatkala bercerita tentang penghuni exclusive class Syurga serta senarai ganjaran dan benefitnya, tatkala tiba pada ayat yang ke-24 di dalam Surah Al-Waqiah, Allah tidak menyebut semua ganjaran Syurga itu sebagai “balasan terhadap apa yang mereka tahu” yakni ilmu agama mereka yang mantap-mantap misalnya. Atau balasan Syurga itu sebagai “balasan terhadap apa yang mereka ceramahkan” misalnya. Tidak juga Allah menyebut semua itu sebagai “balasan terhadap apa kegempakan dan kehebatan mereka menulis mahupun kepetahan mereka berbicara” misalnya. Sungguh, jika Syurga itu tempat untuk orang yang alim, banyak ilmu semata-mata, maka tentu Syurga itu dipenuhi dengan computer semata-mata! Ini kerana, computer, bukan sekadar “hafal” seluruh Quran, malah berapa ribu, bahkan mungkin juta hadith yang mampu di”hafal” oleh computer. Malah mampu di”lagu”kan, yakni dialunkan dengan cukup merdu dan indah sekali. Tidak! Tetapi Allah justeru menyebutkan, betapa Syurga dan segala pakej yang serba lengkap lagi gempak itu, tidak lain tidak bukan, melainkan disediakan “sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan/ amalkan”(Surah Al-Waqi’ah [56:24)

 

Biar tampak sangat kecil sumbanganmu pada pandangan mata manusia, selagi dikau ikhlas lagi bersungguh, tentu besar nilainya pada pandangan para penghuni langit sana. Bukankah Nabi mu SAW telah bersabda; “sesungguhnya Allah tidak melihat pada jasad-jasad kalian, dan tidak juga pada paras rupa kalian, tetapi Allah melihat pada hati kalian serta amal-amal kalian,” (HR Muslim. Imam An-Nawawi meletakkan hadith ini di dalam kitabnya Riyadhus Shalihin, bab “ikhlas dan menghadirkan niat”)

 

Nah, menjadi pekerja Monsters Inc., tidak semestinya perlu mereka-mereka yang seperti Sulley sahaja. Bahkan tanpa Mike, tiadalah Sulley. Sebegitu jugalah dengan kita. Tidak semua sahabat kita tahu namanya. Malah yang kita tahu namanya pun, berapa ramai yang kita tidak tahu riwayat hidupnya. Buka sahaja Hadith Arbainnya Iman Nawawi. Perawi hadith yang ke-6, Abi Abdillah Nu’man B. Basyir R.A misalannya, berapa ramai di antara kita yang familiar dengan sahabat ini? Atau Abi Ruqayyah Tamim B. Aus Ad-Dari R.A, perawi hadith yang ke-7 misalannya? Atau Abi Ya’la Syaddad B. Aus R.A, perawi hadith ke-17 misalannya? Bagaimana pula dengan Abi Amrah Sufyan B. Abdullah R.A, perawi hadith ke-21 misalannya? Nah, hadith Arbain yang disebut oleh An-Nawawi sebagai basic kepada ajaran Islam, yang menunjukkan para sahabat perawi hadith ini tentunya di kalangan sahabat yang terpercaya, itu pun kita tidak kenal atau tidak arif akan sebahagian nama-nama mereka, bagaimana pula dengan sahabat-sahabat yang lain, yang tidak merawikan hadith? Ahli Badar; dosa mereka telah diampunkan oleh Allah Ta’ala. Bilangan mereka pun tidak banyak, kurang lebih 300+ sahaja. Mampukah kita menamakan kesemua 300 di kalangan mereka?

 

Menunjukkan, walaupun tidak semua sahabat itu glamer, dikenali oleh kebanyakan daripada kita, namun nama mereka harum di sisi Allah dan makhluk-makhluk yang berada di samping-Nya. Kita tidak harus “tergiur” untuk melakukan amal-amal besar lagi glamer yang akan dinilai oleh kebanyakan dari kalangan manusia, cukuplah kita melakukan “pekerjaan-pekerjaan kecil” namun membawa manfaat yang besar buat dakwah dan tarbiyah biarpun terhijab daripada mata manusia.

 

 

Ingat, tidak semua orang mampu menjadi seorang “Sulley”, namun itu tidak bererti anda tidak boleh menjadi seorang “Mike.”

 

…to be continued (insyaAllah)

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Ijazah Kejuruteraan Elektrik, Sijil Pengajian Syariah

Jurutera Profesional berdaftar & Jurutera Elektrik Kompeten bertauliah