Followers

Thursday, November 26, 2015

RCA


"Daging-daging dan darah-darah (binatang korban) itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah taqwa dari kamu semua. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang berbuat ihsan."
(Surah Al-Haj [22]:37)

Setiap menjelangnya sambutan Aidil Adha, saya akan segera teringatkan firmanullahi Ta'ala di dalam ayat Al-Quran yang di atas ini. Ayat yang sebegitu indah, yang berbicara tentang hal yang berhubung kait dengan hal ehwal sambutan Aidil Adha kita, namun begitu ianya dihayati, begitu ianya dicermati, ternyata bisa menyampaikan kita ke sudut pandangan yang berbeza berbanding sesebelum ini.

Bukan tidak perlu untuk kita menumbangkan binatang ternak sebagai memenuhi salah satu syiar ibadah korban. Bukan juga bererti mereka-mereka yang menunaikan ibadah korban ini sia-sia amalan dan perbuatan mereka. Tetapi, ternyata yang dikehendaki oleh Allah Tabaraka wa Ta'ala adalah supaya hamba-hamba-Nya menepati dan menghayati tujuan essential ibadah itu yang sebenarnya.

Seperti itu jualah tatkala Dia berbicara tentang solat. Bukan tidak penting solat itu berkiblatkan ke Baitullah di Mekah. Malah solat dengan mengahadapkan wajahmu ke Ka'bah, bahkan merupakan salah satu syarat sah dalam menggapai kesempurnaan ibadah solah. Sungguhpun yang demikian, apalah ertinya pelakuan solat itu, andainya end result yang terhasil begitu selesai menunaikan ibadah solat, adalah sebuah perbuatan yang belum mampu terhindar daripada nilai fahsya' dan munkar, sedangkan bukankah ibadah solah itu antara lain bermatlamatkan terhindarnya fahsya' wal munkar?

"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan (sesungguhnya) mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."
(Surah Al-Ankabut [29]:45)


"Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa."
(Surah Al-Baqarah [2]:177)

Saudaraku,

Hal ini memperingatkan saya tentang ilmu Root cause Analysis, atau singkatannya: RCA. Contoh penyelesaian masalah menggunakan kaedah Root Cause Analysis ini adalah seperti berikut: bayangkan anda sedang memandu kereta. Tiba-tiba, anda baru sedar bahawa meter minyak kereta anda sudah menghampiri empty. Apakah yang akan anda lakukan?


Tentunya, anda akan cepat-cepat ke stesyen minyak bagi mengisi minyak kereta anda. Di stesyen minyak, anda kemudiannya membenarkan kereta anda "menjamah" minyak "dengan "lahapnya" (a.k.a., isi minyak penuh daa…) Anda lalu menyambung perjalanan anda. Tiba-tiba, baru sekitar 50km, kereta yang telah anda benarkan untuk melahap minyak sehingga penuh tadi, meter minyaknya kembali menunjukkan menghampiri empty sekali lagi. Nah, apakah yang akan anda lakukan sekarang?

(cadangan jawapan:

a.        Menasihati kereta anda jangan menjamah minyak dengan lahap
b.        Memarahi pengusaha stesyen minyak itu kerana minyak yang dijualnya tiada barakah, hingga cepat bebenor minyak yang anda isi di stesyennya tadi habis
c.        Pergi ke stesyen minyak yang berdekatan lalu isi minyak hingga penuh lagi sekali)

Nah, mana satukah jawapan pilihan dan pojaan hati anda?

Jika anda telah memilih salah satu jawapan yang terhidang dan dicadangkan di atas, bererti anda sebenarnya tidak menyelesaikan masalah. Adapun meter minyak yang menghampiri empty itu sebenarnya adalah symptom kepada masalah, bukannya masalah sebenar atau root cause kepada persoalan di atas. Nah, apabila root cause sebenar gagal dikenal pasti dan gagal diatasi, masalah sebenar tidak dapat diselesaikan, lalu anda akan berdepan risiko masalah yang sama berulang kembali.

Mungkin barangkali masalah sebenar atau root cause kepada scenario di atas adalah tangki minyak kereta anda bocor misalnya, lalu simpton yang berakibat daripada masalah tersebut adalah meter minyak dengan pantasnya menghampiri empty. Nah, selagi masalah tangki minyak ini tidak diatasi, sekadar mengisi kembali minyak ke dalam kereta anda justeru tidak menyelesaikan masalah, kerana anda sekadar tackle simpton kepada masalah sebenar, tetapi bukan persoalan atau punca sebenar kepada masalah yang di atas.

Saudaraku,

Selain persoalan penyembelihan binatang korban serta solat menghadap kiblat yang disebutkan tadi, Allah Azza Wa Jalla turut menyatakan ibadah-ibadah lain sebagai proses untuk mendapatkan taqwa. Misalnya, ketika Dia berbicara tentang ibadat puasa, Al-Quran Al-Karim merakamkan betapa ibadah puasa itu sebagai sebuah wasilah demi mendapatkan taqwa.

Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa"
(Surah Al-Baqarah [2]:183)

Nah, ternyata yang namanya ibadat itu, seperti solat, puasa, korban dan lain seumpanya, atau dalam lain istilah bisa kita sebut sebagai syariat, sungguh pun penting tetapi ternyata yang terlebih penting adalah tercapainya objektif, matlamat atau maqasid segala ibadat itu, yakni taqwa.

Dan orang yang bertaqwa, tentunya merupakan orang-orang yang menjauhi sifat suka memandang rendah orang lain, melekehkan orang, memfitnah orang, mem"barua"kan orang, mencop orang munafiq haraki dan lain-lain perkataan yang tidak selayaknya keluar dari mulut para muttaqin.

Sabda An-Nabi SAW:



Nah, kalau syariat itu proses, sedang ketaqwaan itu merupakan output atau matlamatnya, maka bukankah perundangan islam itu merupakan sebahagian daripada syariat (yakni proses), bukannya matlamat? Dan bukankah melahirkan individu-individu muslim yang memenuhi ciri-ciri taqwa itulah yang sebenarnya merupakan matlamat, maka mengapa pula ianya bahkan diabaikan oleh generasi aktivis Islam pada hari ini?

Bersempena kedatangan Aidil Adha yang mulia ini, mari kita kembali menginsafi diri kita, dan menghiasi diri kita dengan kerendahan hati dan ketawadhukan jiwa, sambil "mengorbankan" keegoan kita dan bahkan menyembelih mati keegoan kita itu, hingga tiada lagi hijab yang menutupi mata hati kita daripada melihat root cause sebenar kepada mundur dan terkebelakangannya umat kita dewasa ini. Terbelakangnya Islam pada hari ini tidaklah disebabkan oleh "musuh di luar" umat kita semata-mata, bahkan sering berpunca daripada sikap dan kelakuan diri kita sediri, dek kegagalan kita melihat pokok permasalahan umat Islam, sebaliknya berlegar semata-mata kepada simpton semata-mata. Kita berlebih-lebihan pada proses (syariat), sebaliknya mengkesampingkan matlamat (akhlaq) hingga keindahan Islam terhijab daripada sudut pandangan umat-umat yang lain. Moga Allah membantu kita semuanya…