Followers

Tuesday, July 1, 2014

Reminder of Ramadhan [ROR]: Juz 3

JUZ 3

 

Di antara sikap extreme yang diambil oleh sebahagian daripada umat Islam, adalah sikap melampau (ghulu) terhadap agama yang lain. Hal ini terjadi –barangkali- kerana mereka tidak menyedari betapa Islam mengiktiraf keberadaan Rasul dan agama yang lain.

 

Permulaan Juz 3 ini, Allah Azza Wa Jalla menyebutkan tentang Rasul-rasul. Betapa di antara satu Rasul dengan Rasul yang lain, masing-masing mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri. Namun, in the end, seperti yang bakal disimpulkan di dalam ayat kedua terakhir di dalam Surah Al-Baqarah, biarpun masing-masing berbeza, Islam memilih sikap untuk "tidak membezakan" di antara satu sama lain. Kerana itu di saat sebahagian Kristian misalnya mengatakan Jesus is better than Muhammad, sikap kita pula ialah we love Jesus! Malah, we love and believe in all the Prophets (Rasul-rasul) alaihumus salam!

 

Islam tidak mengambil sikap bermusuh dengan orang yang lain daripada kita. Umat Muhammad SAW tidak di ajar bermusuh dengan umat nabi-nabi lain. Walaupun Islam tidak mengiktiraf agama selain dengan agama yang dittashihkan kemudiannya oleh baginda Muhammad SAW, tetapi Islam tetap mengajar kita untuk respect. Malah, melihatkan asbabun nuzul ayat La ikraha fiddin, kita akan dapati pemaksaan seorang anak untuk memeluk Islam pun tidak dibenarkan. Apa lagi hal-hal yang lainnya.

 

Kenapa kita sukar memahami konsep ini? Kerana kita tidak terbiasa untuk berbeza. Lihatlah saja gerakan-gerakan Islam. Sudahlah banyak, malahan di antara satu dengan yang lainnya bermusuhan pula. Sedangkan Allah Azza Wa Jalla menyebutkan az-zulumat itu yang banyak, sedang an-nur itu hanya satu sahaja. Tetapi bila kita tidak punya sikap open for discussion, open for different opinions, orang-orang bawahan hanya layak dengar dan taat semata-mata, mempertanyakan pimpinan dianggap tidak wala', tidak taat, tidak tsiqah, maka itulah yang menyebabkan porak-perandanya umat islam, jangankan dalam menyikapi non Muslim, malah menyikapi Muslim yang berlainan pandangan dan gerakan dengannya.

 

Kerana itu, ayat ke-260 Surah Al-Baqarah memberikan kita banyak pengajaran berguna. Nabi Ibrahim A.S meminta kepada Allah untuk melihat bagaimana yang mati itu bisa dihidupkan. Allah Azza Wa Jalla tidak pula menghukum Ibrahim A.S kerana "mempersoalkan kepimpinan" –Nya. Sebegitu jugalah tatkala para Malaikat membangkitkan dan mempersoalkan kewajaran pemilihan manusia sebagai khalifah di muka bumi pada permulaan Juz 1. Ternyata Allah Azza Wa Jalla tidak menyahkan malaikat daripada Syurga lantaran ke"tidak tsiqahan" mereka itu (tidak tsiqah menurut kebanyakan aktivis dakwah).

 

Keterbukaan ini penting, kerana nantinya di dalam Surah Ali Imran, setelah kita dihidangkan dengan kisah Bani Israel di zaman Nabi Musa A.S, yang mewakili kelompok Yahudi yang kita kenali hari ini, Surah Ali Imran pula menghidangkan kita kisah perjalanan hidup Nabi Isa A.S. Dan kelompok yang diwakilinya, biarpun masih saja Bani Israel, tetapi memahamkan kita akan kelompok dominan yang satu lagi selain Yahudi, yakni Kristian.

 

Nanti di Juzu'-juzu'selanjutnya, kita akan dapati toleransi hokum terhadap masyarakat Ahli Kitab ini, yang sebahagian kelompok masyarakat kita membantah: itu Ahli Kitab zaman dulu, zaman Nabi SAW. Tidakkah mereka sedar, betapa Ahli Kitab zaman dulu yang mereka maksudkan itu, di dalam ayat ke-21 Surah Ali Imran digambarkan mengambil sikap hingga membunuh Nabi-nabi mereka? Maka banyakkah bezanya Ahli kitab zaman dulu yang ada toleransi hukum terhadap mereka (dalam bab penyembelihan dan pernikahan) dengan ahli kitab zaman sekarang?

 

Mungkin sudah tiba masanya kita lebih mempelajari untuk lebih mengenali kelompok-kelompok Ahli Kitab ini.

 

Wallahu a'lam.

Reminder of Ramadhan [RoR]: Juz 2

JUZ 2

 

Begitu melayari Juz 2, kita akan berjumpa dengan satu-satunya bulan yang disebutkan di dalam Al-Quran: Bulan Ramadhan. Dan menariknya, tatkala Allah Azza Wa Jalla menyebut tentang bulan Ramadhan, Dia tidak langsung menyebutkan tentang berpuasa. Sebaliknya, dia menyebut Ramadhan sebagai bulan diturunkan Al-Quran terlebih dahulu. Kemudian baru menyebut tentang berpuasa. Itu pun, Dia menyebutkan tentang rukhsah di dalam berpuasa. Semoga pemahaman yang mendalam terhadap sumber rujukan Islam, yakni Al-Quran, akan mengenlighten kita betapa Islam ini sebenarnya mudah. Lalu dengan mudah dan praktiknya Islam itu, lalu ia pun kelihatannya indah.

 

Namun kenapa Islam tidak kelihatan indah? Kerana kebanyakan daripada kita melihat essence Islam itu pada fiqh dan ibadah semata-mata. Kebetulan, pertengahan Juz 2 ini banyak berbicara tentang persoalan-persoalan dan hukum-hukum. Yas alunaka anil khamri wal maisir. Yas alunaka anil ahillah. Yas alunaka anil syahril haram. Tentang qisas. Tentang puasa. Dan lain seumpamanya.

 

Menariknya, permulaan Juz 2 ini bermula pada cerita perpindahan kiblat. Dari Baitul Maqdis, ila Baitullah Al-Haram. Solat menghadap kiblat, sangat besar kepentingannya. Syarat sah solat lagi. Namun, Allah sendiri menyebutkan di dalam ayat yang ke 177, bahawa bukanlah solat menghadap mana yang penting, sebaliknya tujuannya utamanya, yang membawa kepada keimanan, dan lain seumpanya.

 

Nah, bila keimanan terhadap Quran, terhadap nash, terhadap dalil longer, bawaklah dalil Quran dan hadith banyak mana pun tentang betapa mudah dan memudahkannya Islam terhadap manusia, kita tetap tidak dapat terima. Kerana, kita merasakan bahawa agama menurut kita, adalah ibadah yang serba perfect. Tidak semena-mena, kita menjadi perfectionist, terutama apabila berbicara tentang ibadah. Mungkin mereka-mereka ini tidak pernah membawa kitab Riyadhus Solihin oleh tokoh mazhab Syafi'e yang utama, iaitu Imam Nawawi, di mana di dalam kitabnya itu, imam Nawawi menukilkan satu bab yang bertajuk "bab pentingnya mendatangi solat dan majlis ilmu dan ibadat dengan sakinah (perlahan pergerakan) dan wiqar (tenang perasaan)". Itulah sebabnya, jika makanan sudah terhidang, Nabi SAW suruh makan dulu, kemudian baru solat!

 

Lalu menghampiri penutup Juz 2, kita dibawakan dengan kisah sejarah: Thalut vs Jalut. Jika permulaan Juz 2 berbicara tentang essence dalam ibadah, iaitu keimanan, lalu barulah ibadah itu menjadi proses untuk memperoleh manfaat, kisah Thalut dan Jalut menampilkan sekelompok mengikut Thalut yang ada masalah dalam system believe mereka, hingga akhirnya gentar untuk berhadapan dengan musuh, serta sebahagian yang teguh keimanannya, lalu "ibadah jihad" itu tidak lain melainkan menjadi asbab mereka beroleh keredhaan, dan menjadi asbab mereka memperoleh kemenangan.

 

Wallahu a'lam.

Sunday, June 29, 2014

Reminder of Ramadhan (ROR): Juz 1

 

Ketika di tahun akhir pengajian, saya memilih untuk bersolat tarawikh di masjid-masjid dan surau-surau di luar daripada kampus. Salah satu surau pilihan, adalah surau yang terletak di pecan Parit Buntar. Saya tidak ingat nama surau tersebut, tetapi seingatan saya di surau itulah saya mengikuti pengajian Ustaz Hj. Shamsuri pada hari Rabu malam Khamis, setiap 2 minggu sekali.

 

Solat tarawikh di surau itu diimamkan oleh mudir sebuah ma'had tahfiz yang saya difahamkan terletak berdekatan. Sebelum mengimamkan solat tarawikh, beliau akan memberikan tazkirah sekitar 10 ke 30 minit tentang surah-surah yang akan beliau baca, biasanya 1 malam 1 Juz. Maka bersempena dengan kehadiran bulan Ramadhan Al-Mubarak yang mulia, saya ingin menulis tadabbur serba ringkas berkenaan intipati Juzuk-juzuk di dalam Al-Quran, mudah-mudahan bermanfaat.

 

JUZ 1

 

Selepas Surah Al-Fatihah, Juz 1 seluruhnya cover Surah Al-Baqarah. Surah Al-Baqarah, dimulakan dengan menceritakan tentang perihal the good guys. Hero-hero sejati yang sepatutnya menjadi impian bukan sekadar buat kanak-kanak, malah orang-orang dewasa seperti kita juga. Semoga, dengan memulakan pembacaan Al-Baqarah, kita akan cuba menjadi seperti pihak yang pertama-tama kita jumpa di dalam Al-Baqarah ini, yakni "orang-orang yang bertaqwa." Dan orang-orang bertaqwa ini, seperti petani, "muflihun" beroleh kejayaan, mendapat kemenangan, dek usaha siang-malam mereka bertani demi "menumbuhkan" umat ini.

 

Kemudian, Surah Al-Baqarah bercerita panjang lebar tentang musuh. Bermula mush yang bernama "Kafirun." Kemudian "Munafiqun." Kemudian kembali ke kisah awal kejadian, dengan diperkenalkan pula kepada "murabbi" musuh-musuh kita ini iaitu Al-Iblis Laknatullah.

 

Dan kisah beserta cerita tentang musuh ini berterusan lagi, dengan cerita tentang Yahudi Bani Israel.

 

Bererti, ketika melayari kisah-kisah di dalam Juz 1, kita banyak membaca tentang musuh. Nah, apa di antara ibrahnya? Bagi saya, di antara ibrah yang boleh kita ambil, adalah musuh kita terlalu ramai. Maka, apakah kita masih nak berpeluk tubuh, berdiam diri, tanpa melakukan apa-apa usaha untuk "memadamkan" bangunan Islam yang sedang terbakar ini?

 

Panjang lebar cerita tentang musuh. Apakah "geng baik" ini punya peluang untuk menang? Kini, perhatikan pula bagaimana Juz 1 ditutup. Allah bercerita tentang kisah Nabi Ibrahim, juga anaknya Nabi Ismail, 'alaihuma assalam. In the end, the good guys always win.

 

Perjalanan dan perjuangan kita masih panjang. Namun yakinlah, aka nada mentari yang membelah kegelapan.

 

Wallahu a'lam.

 

Abu Kembar

Monday, June 16, 2014

Coklat

Ketika di bangku sekolah, subjek karangan/ penulisan adalah antara subjek kegemaran saya. Oleh yang demikian, seperti mana adatnya manusia, hal yang kita suka, memudahkan kita untuk "score" perkara tersebut. Walau bagaimanapun, begitu melangkah ke menara gading, saya memutuskan untuk tidak lagi menulis, kerana saya merasakan betapa saya tidak layak untuk menulis, dan siapalah yang mahu membaca penulisan saya, kerana adalah lebih aula mereka membaca penulisan ulamak-ulamak dan tokoh-tokoh terbilang berbanding penulisan saya yang kerdil ini.

 

Namun, hal demikian mula berubah begitu saya masuk ke tahun akhir pengajian. Itu pun bermula, selepas saya memberikan pengisian di satu tempat, dan pengisian saya kurang difahami oleh para pendengar. Maka, pulang daripada tempat itu, di tengah-tengah malam buta, langsung saja saya menulis kembali apa yang saya sampaikan di tempat tersebut sebagai clarification buat mereka-mereka yang tak faham dan tak dapat tangkap pengisian saya. Lucunya, penulisan tersebut rupa-rupanya digunakan oleh ikhwah-ikhwah untuk modul daurus syabab dalam program-program sekolah anjuran mereka.

 

Kemudiannya, atas dasar tanggung jawab, konon menggunakan segala medium dan wasilah yang ada untuk menyampaikan risalah islam, saya pun cuba menulis secara konsisten, minim sebulan sekali. Namun, sejak kebelakangan ini, timbul kembali perasaan sepertimana perasaan tatkala saya melangkah masuk ke menara gading dahulu: siapalah saya untuk menulis? Tapi pada masa yang sama, agar perasaan itu tidak menjadi bisikan syaitan untuk melemah dan memfuturkan diri saya, saya tetap cuba untuk menyumbang artikel di dalam blog ini, minima sebulan sekali, insyaAllah.

 

Dengan mukaddimah di atas, saya ingin menyatakan saya tidak berminat untuk menulis panjang. Saya akan cuba meringkaskan sedaya mungkin penulisan kali ini, tanpa mengelirukan mereka yang sudi membacanya insyaAllah. Saya ingin menyentuh tentang isu coklat Cadbury.

 

Saya ingin menyentuh dua isu yang timbul. Pertama status coklat Cadbury: haram ataupun halal?

 

Ramai orang marah dan menyelar JAKIM selepas pihak berkuasa itu tiba-tiba mengeluarkan kenyataan yang sifatnya "U-Turn", di mana JAKIM mengesahkan status Halal coklat Cadbury, selepas sebelumnya kecoh akan keharaman coklat tersebut dek kerana terdapatnya DNA Babi di dalamnya. Maka pelbagai tuduhan dilemparkan kepada JAKIM, juga persoalan apakah status sebenar coklat tersebut.

 

Saya secara peribadi, selepas pengumuman JAKIM tersebut, saya meletakkan sikap bahawa coklat itu hukumnya HALAL/ HARUS. Saya berpandangan demikian kerana menurut kaedah fiqh, hukum asal sesuatu itu adalah harus. Untuk mengharamkannya, maka perlukan pembuktian. Al-ashlu fil asya'al ibahah. Hukum asal segala sesuatu itu (kecuali bab ibadah), adalah harus. Kecuali, adanya dalil, adanya hujah, adanya bukti bahawa ianya haram. Maka ketika ada pihak yang membuat kajian mendapati ianya haram, maka haramlah hukumnya. Tetapi tatkala ada pihak lain yang lebih berauthority seperti JAKIM pula mengesahkan ianya halal, apakah status terkini coklat tersebut? Saya berpendapat hukumnya kembali kepada asal. Dan bukan menjadi kewajipan JAKIM untuk membuktikan ianya halal, tetapi pihak yang sebelumnya mendapati ianya haramlah yang patut dispute melalui pembuktian pengesahan JAKIM itu, sebab balik kepada kaedah fiqh tadi, pengharaman itu yang memerlukan pembuktian. Saya juga menolak untuk menyatakan hukumnya kini syubhah, sebab kajian JAKIM mengesahkan ianya halal seperti kaedah asal di dalam fiqh, maka bagaimana pula ianya bolej dikatakan syubhah?

 

Alhamdulillah, pandangan seperti ini turut selari dengan tokoh agamawan Malaysia, misalnya Dr. Maza:

 

 

Isu yang kedua, kalaupun ianya terbukti halal, patutkah kita memboikot Cadbury?

 

Saya pada awalnya, tatkala dikatakan ianya ada DNA babi, saya mengambil sikap akan memboikot semua produk Cadbury, sungguhpun yang didapati haram hanyalah coklat yang mempunyai kekacang sahaja (Hazel Nut dan Almond sahaja). Kerana sungguh pun yang lain masih halal, tetapi sikap Cadbury yang boleh memasarkan produk yang mengandungi unsur babi di bawah label Halal, adalah sikap yang sangat tidak bermaruah. Maka, wajar mereka diboikot secara total.

 

Tapi, ketika JAKIM pula mengesahkan kehalalan produk tersebut (dan saya berharap kajian dan penyiasatan terus dilakukan bagi mengetahui kenapa kajian awalnya mendapati ianya haram. Bukan sibuk menyiasat siapa yang membocorkan maklumat awal tersebut), saya tidak lagi boleh bersetuju dengan tindakan sebahagian pihak yang menyeru untuk tetap terus memboikot jenama coklat terkenal tersebut. Mengapa?

 

Apabila kenyataan awal mendapati hanya coklat yang mempunyai kekacang yang mempunyai unsur-unsur babi, saya punya kesimpulan adalah, coklat itu sendiri tidak haram. Kacang itu yang menjadikannya haram. Saya mendengar dan membaca juga pandangan-pandangan dan kajian-kajian akan kegunaan babi di dalam industry kehidupan kita sehari-hari. Antara pandangan yang menarik adalah, pembungkus coklat itu sebenarnya yang ada unsur DNA babi. Sebab untuk mengelakkan masalah coklat melekat pada pembungkus, maka pengeluar pembungkus mereka telah menggunakan produk berasaskan babi yang dapat mengelakkan coklat melekat pada pembungkusnya. Saya tidak pasti sama ada pendapat ini benar, Cuma saya rasa, jika itulah kesnya, mengapa hanya coklat berasaskan kekacang yang tercemar dengan DNA babi?

 

Satu lagi pandangan kenapa hanya coklat berasaskan kekacang yang haram, adalah kerana kacang ini mudah berulat. Maka pengeluar kacang, untuk mengelakkan hal ini daripada berlaku, mereka pun mengawet kekacang tersebut. Dan pengawet itulah yang mengandungi DNA babi. Maka jika inilah kesnya, menurut pendapat saya, bukan Cadbury yang bersalah di dalam hal ini, sebaliknya pembekal kacang Cadbury yang bersalah.

 

Sebahagian orang mungkin akan berhujah: sapa suruh Cadbury tak check betul-betul status kehalalan kacang pembekal/ vendor mereka. Mari kita jadi lebih realistic. Contoh, katakanlah kita nak jual nasi lemak. Lalu kita pun telah identify pembekal beras, telur, ikan bilis, cili, timun dan sebagainya. Dan lebih jauh daripada itu, kita sudah pun menghantar ke makmal setial sampel pembekal-pembekal tersebut demi menjamin kualiti barang yang dibekalkan oleh vendor kita. Namun, dua tiga tahun selepas itu, nasi lemak kita didapati timunnya ada DNA babi. Mungkin menggunakan baja yang ada unsur babi, atau racun yang disembur daripada unsur babi, atau lain-lain lagi. Nah, benarkah kita yang bersalah dalam hal ini, atau kesilapan dan kalalaian vendor kita menyebabkan kita teraniaya? Apakah mungkin setiap kali kita membeli timun daripada pembekal, kita akan menghantar sampel ke makmal? Paling ekstreme pun, saya kira setahun sekali baru kita akan menghantar sampel ke lab.

 

Nah, bukankah ada kemungkinan, Cadbury, yang mass productionnya cukup besar, teraniaya dek kesilapan yang dilakukan oleh pembekal kekacang mereka? Jadi apakah wajar mereka diboikot?

 

Artikel ini asalnya ditulis pada 7 Jun dan tertangguh/ terbengkalai penulisannya. Oleh kerana saya malas nak sambung, saya kira sampai ke point di atas sudah mencukupi. Moga Allah berikan hidayah-Nya kepada kita semua.

 

       

Sunday, June 1, 2014

[JOM]: HYDRO

HYDRO

 

Jangan percayakan Monster Inc!

 

Mana ada Power Plant yang tenaganya dijanakan oleh tenaga atau "aura" jeritan manusia! Ini semua poyo! Yang betul adalah, Power Plant yang utama terdiri daripada 2 jenis: Thermal Plant, yang bersumberkan bahan bakar seperti arang batu, gas, diesel dan sebagainya, serta hydro, di mana tenaga kinetic dan tenaga keupayaan daripada empangan ditukarkan kepada tenaga elektrik oleh turbin-generator.

 

Sungguh pun tenaga yang terhasil daripada Hydro Plant ini kelihatannya lebih murah berbanding penghasilan tenaga di dalam Thermal Plant, tetapi yang sebenarnya, menghasilkan elektrik daripada tenaga hydro mempunyai beberapa kekurangan dan kelemahannya yang tersendiri.

 

Bayangkan jika penghasilan elektrik bergantung sepenuhnya kepada Hyro Plant. Bagi menjana elektrik secara berterusan, untuk membekalkan elektrik kepada kilang-kilang, bandar-bandar serta lain-lain industri, akan sampai satu tahap di mana reservoir atau takungan air di dalam empangan akan kehabisan, lantas tatkala ini berlaku, bagaimana bisa kita menjana tenaga elektrik? Itulah sebabnya, Thermal Plant lebih digunakan oleh kebanyakan negara-negara, dengan hydro sekadar memainkan peranan pembantu semata-mata. Hydo; sungguhpun percuma dan mampu menjadi sumber penjanaan tenaga elektrik, namun dek kelemahan-kelemahan yang disebutkan tadi, kita harus akur bahawa hydro mempunyai limitationnya di dalam penghasilan tenaga yang kita semua perlukan.

 

Saudaraku,

Manusia, terkadang sifatnya seperti Hydro Plant. Terkadang ia "berkuasa" ke atas kehidupan, namun akan sampai masanya, akan tiba saatnya, ia kembali sedar betapa ia tidak akan pernah bertakhta, tak akan selamanya berbuat sewenang-wenangnya, lantaran Allahlah yang telah menganugerahkan semuanya kepada dirinya.

 

Inilah yang akhirnya disedari oleh Firaun. Firaun, dek kerana merasakan betapa dia punya "power", kerana perasan ia mampu "menjana tenaganya sendiri", ia lantas lupa diri, sehingga tergamak mengakui bahawa dialah Rabb, dialah Malik, dialah Ilah, kepada manusia dan alam ini. Firman Allah;

 

"(Firaun) berkata: "Akulah Rabb (tuhan) mu yang paling tinggi"

(Surah An-Naziat [79]:24)

 

"Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: "Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihat (nya)?"

(Surah Az-Zukhruf [43:51)

 

"Dan berkata Firaun: "Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui Ilah bagimu selain aku"

(Surah Al-Qasas [28]:38)

 

Namun, seperti Hydro yang tidak lagi mampu menjana tenaga tatkala reservoir air empangan kehabisan, sebegitulah juga Firaun, saat tiba hari yang telah ditentukan. Dengan penuh ghairah ia mengejar Musa dan para pengikutnya, namun, tak semena-mena Allah menunjukkan limitation dirinya, hingga ia akhirnya –dengan penuh ketakutan- mengakui keagungan dan kebesaran Allah Sang Maha Berkuasa:

 

"Dan Kami memungkinkan Bani Israel melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tentaranya, karena hendak menganiaya dan menindas (mereka); hingga bila Firaun itu telah hampir tenggelam berkatalah dia: "Saya percaya bahwa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)"

(Surah Yunus [10]:90)

 

Hakikatnya, manusia adalah makhluk yang penuh dengan limitation. Sebagai makhluk, manusia ini hakikatnya tidak punya apa-apa. Itulah sebabnya, Allah Azza Wa Jalla senantiasa mengingatkan manusia untuk bergantung harap sepenuhnya kepada diri-Nya. Dan tatkala manusia sedar ia tidak memiliki apa-apa, ia akan berusaha sepenuhnya untuk "memiliki" satu-satunya hal yang mampu ia miliki: Syurga yang indah di Akhirat sana! Dunia bukan tempat memiliki. Tetapi justeru ia perjalanan, perniagaan untuk akhirnya mempunyai pemilikan yang abadi di Syurga sana.

 

"Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dia-lah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji"

(Surah Al-Fatir [35]:15)

 

Dan lagi, manusia hakikatnya lemah. Daif. Lalu tatkala ia sedar ia lemah, ia daif, apakah mungkin engkau melihat ia jalan dengan penuh keangkuhan di muka bumi?

 

"Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat daif (lemah)"

(Surah An-Nisa' [4]:28)

 

Maka oleh yang demikian, tidak ada ruginya tatkala kita mempersiapkan diri kita untuk berkorban dan menyerah diri sepenuhnya kepada Allah yang bisa menganugerahkan kita segalanya. Dengan keghairahan sebegini, akan hilanglah segala ketakutan, lalu terpancarlah semangat perjuangan, dan akhirnya terhasillah sebuah kemenangan.

 

Semaklah kembali kata-kata akhir seorang Abdullah Ibnu Ruwaihah tatkala cuba menghibur dan memotivasikan dirinya di medan perjuangan:

 

Hai jiwa!
Kau harus turun berlaga
Atau, kupaksa kau turun
Telah lama kau hidup tenang
Mengapa kau tampak enggan untuk menggapai Syurga
Ingatlah, kau hanya setetes air mani yang hina
 

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Ijazah Kejuruteraan Elektrik, Sijil Pengajian Syariah

Jurutera Profesional berdaftar & Jurutera Elektrik Kompeten bertauliah

 

 

Sunday, May 11, 2014

Pendatang

Saya tertarik dengan sebuah artikel yang disiarkan di dalam roketkini.com, yang mengulas tentang salah satu isu "islamik" yang tercetus baru-baru ini. Penulisnya, Dyana Sofya, menyamakan pandangan seorang bergelar "ustaz" itu dengan pandangan dan kenyataan Ashin Wirathu, seorang sami Buddhist dari kuil Masoeyin dan ketua 969 Movement. Ia (Wirathu) menyalahkan kaum Muslim Rohingnya di atas konflik keganasan yang berlaku di Myanmar, lantaran kaum Muslim Rohingnya –pada dia- bukanlah kumpulan etnik. Bukannya warganegara Myanmar. Malah, hanya pendatang tanpa izin di tanah air tersebut. Isu pendatang tanpa izin ini, ternyata menjadi "dalil" dihalalkannya pembunuhan dan penghapusan etnik Muslim Rohingnya yang terjadi beberapa tahun yang lalu.

 

 

Isu "islamik" yang sedang tercetus ini mengingatkan saya pada apa yang pernah terjadi kira-kira 1435 tahun yang lalu. Di sebuah bumi yang bernama Yathrib. Mari kita soroti kaum apakah yang dominan, atau yang memegang status "bumiputera", atau yang paling berpengaruh di saat dan ketika itu.

 

Yahudi adalah salah satu "penduduk tetap" Yathrib. Sekurang-kurangnya, mereka lebih "bumiputera" berbanding orang-orang Mekah. Orang-orang Mekah, yang di bawa masuk oleh sekelompok Aus dan Khazraj -yang kemudian dikenali ramai sebagai golongan "Muhajirin". Apakah bukti kepada hujah (yakni Yahudi salah satu kelompok berpengaruh Yathrib) di atas? Mari kita lihat asbabun nuzul salah satu ayat popular di dalam Al-Quran, yakni ayat yang berikut:

 

 

Menurut Imam As-Sayuthi di dalam kitab tersohornya Lubabun Nuqul fi Asbabin Nuzul, ayat ini turun sempena kisah seorang wanita yang selalu kematian anak. Oleh kerana itu, dia telah berjanji kepada dirinya jika dia mempunyai anak yang hidup, anak itu akan dijadikannya Yahudi. Setelah kedatangan Islam dan terusirnya Yahudi Bani Nadhir daripada Madinah, kaum Ansar berkata; "Jangan biarkan anak-anak kita bersama mereka (BaniNadhir)", lalu turunlah ayat ini sebagai terguran buat mereka betapa tidak ada paksaan di dalam Islam.

 

Hamka pula menyebut di dalam Tafsir Al-Azharnya, bahawa penduduk Yathrib sebelum kedatangan Islam, merasakan kehidupan Yahudi itu lebih baik daripada mereka (sebab mereka Jahiliyah). Sebab itu mereka menyerahkan anak-anak itu kepada orang Yahudi, untuk didik dengan nilai-nilai Yahudi. Bukankah ini antara bukti betapa berpengaruhnya Yahudi di sisi penduduk-penduduk Yathrib? Dalam lain perkataan, "tadika" mereka lebih mendapat sambutan daripada penduduk Yathrib, berbanding "tadika" kabilah-kabilah yang lainnya, lantaran betapa berpengaruhnya nilai-nilai agama samawi dibandingkan dengan ajaran masyarakat Jahiliyah yang dianuti oleh kebanyakan masyarakat Yathrib di saat dan ketika itu.

 

 

Saya tertarik dengan ulasan ustaz M. Anis Matta, kini merupakan Presiden Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia, parti –yang oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi- di katakan sebagai "perpanjangan tangan" Ikhwanul Muslimin -atau Bahasa mudahnya "cawangan" Ikhwan- di Indonesia. Kata beliau tatkala mengulas isu perpindahan kiblat dari Baitul Maqdis ke Baitullah di Mekah –yang disebut di dalam permulaan juzuk 2 di dalam Al-Quran:

 

"Tujuan peralihan kiblat ke Baitul Maqdis itu sendiri sebenarnya terkait dengan "Siyasatud Da'wah' yang ditempuh Rasulullah SAW. Kerana di Madinah mereka akan hidup berdampingan dengan sebuah komunitas ahlul kitab, yaitu Yahudi. Sebagai kelompok social politik, Yahudi merupakan komunitas yang sangat berpengaruh di Madinah. Dan kiblat mereka adalah Baitul Maqdis. Jadi peralihan kiblat itu merupakan upaya bairgaining politik Rasulullah SAW untuk menarik simpati komunitas Yahudi.

 

Selain itu, komunitas Muslim yang baru saja terbentuk, masih membutuhkan waktu yang cukup untuk 'merekatkan' ikatan sosio-politik dan ideology mereka. Mereka membutuhkan waktu adaptasi yang cukup. Dan dalam kondisi seperti itu, semua kemungkinan konflik dengan pihak luar harus sedapat mungkin dihindari. Dalam rekaan dan estimasi politik, sumber konflik yang paling rawan di Madinah adalah komunitas Yahudi…"

(Anis Matta, "Arsitek Peradaban: Kumpulan Esai Penggugah Jiwa", Fitrah Rabbani (2007), ms. 129-130)

 

 

Isu ini jugalah yang menjadi di antara punca utama kemarahan dan kebencian Abdullah bin Ubai bin Salul, terhadap baginda Nabi SAW dan umat Islam, hingga lahirnya "NGO pro-Yathribiyyun" iaitu PERKA…ermm…maaf, lahirnya golongan yang bernama Munafiqun. Abdullah bin Ubai menginginkan jawatan kepimpinan, bagaimana pula seorang "pendatang" yang bukannya orang asli Yathrib, Muhammad bin Abdullah, rasulullah SAW yang boleh diangkat menjadi pemimpin Yathrib?

 

Kerana itu, pandangan yang menyatakan bangsa sekian-sekian adalah pendatang yang dibawa masuk oleh orang sekian-sekian, bukan sekadar mempunyai persamaan dengan pandangan sami Buddha kuil Masoeyin dan ketua 969 Movement yang sebut di awal-awal tadi, tetapi juga persis dengan pandangan golongan-golongan "asli" Yathrib seperti Abdullah bin Ubai dan kaum Yahudi, lantaran merasakan bahawa Muhammad bin Abdullah, Rasulullah SAW itu adalah "pendatang" yang dibawa masuk oleh beberapa orang daripada golongan Aus dan Khazraj.

 

Mudah-mudahan kita akan lebih berhati-hati dan lebih menampilkan imej Islam sebagai agama yang melangkaui kaum dan bangsa, malah turut memberikan keadilan kepada semua agama.

 


Tuesday, May 6, 2014

Monsters Inc. (part II)

MONSTERS INC.

 

Kita tidak bersendirian di alam ini. Namun, di alam mana pun, Allah tetap merupakan Rabb, Malik malah Ilah untuk kesemua alam-alam ini.

 

(Surah Al-Fatihah [1]:2)

 

Kerana itu, menganggap Allah sebagai Rabb yang eksklusif untuk umat Islam semata-mata, merupakan suatu pandangan yang pelik lagi janggal, apatah lagi di saat mahkluk-makhluk yang tidak berakal pun menyampaikan tasbih dan tahmid mereka kepada Allah Rabb sekalian alam. Tambahan pula, Al-Quranul Karim sendiri yang merakamkan kesaksian betapa penganut agama lain pun mengenali Allah sebagai Tuhan mereka, cuma pengenalan mereka adalah bukan dengan pengenalan yang haq, adalah bukan dengan pengenalan yang sebenar-benarnya.

 

"Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun"

(Surah Al-Isra'[17]:44)

 

"Dan orang-orang Yahudi berkata: "Uzair ialah anak Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih ialah anak Allah". Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?"

(Surah At-Taubah [9]:30)

 


"Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak."

(Surah Maryam [19]:88)

 

Hatta Jin -yang menyedari hakikat ini- lantas menyeru kepada kaumnya agar segera beriman kepada Allah Tuhan sekalian alam.

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!

Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami

(Surah Al-Jin [72]:1-2)

 

Oleh yang demikian, di antara cara memahami kehidupan alam lain daripada perspektif agama, adalah dengan melihat melalui jendela Quran dan Sunnah Nabi-Nya. Lalu yang datang daripada sumber yang selain keduanya, biarpun mengguna pakai nama Allah, atau pengamalnya memakai songkok, duduk bersila di atas tikar berbanding kerusi, sambil memegang buah kelapa muda, maka tentu itu bukan datangnya daripada agama yang suci lagi murni ini. Sabda Nabi SAW:

 

" Saya wasiatkan kalian untuk bertakwa kepada Allah ta'ala, tunduk dan patuh kepada pemimpin kalian meskipun yang memimpin kalian adalah seorang budak. Karena di antara kalian yang hidup (setelah ini) akan menyaksikan banyaknya perselisihan. Hendaklah kalian berpegang teguh terhadap ajaranku dan ajaran Khulafaurrasyidin yang mendapatkan petunjuk, gigitlah (genggamlah dengan kuat) dengan geraham. Hendaklah kalian menghindari perkara yang diada-adakan, karena semua perkara bid'ah adalah sesat "

(Riwayat Abu Daud dan Turmuzi, dia berkata : hasan shahih)

 

 

 

Selain itu, satu hal yang dikau harus tahu berkenaan dengan alam Monsters ini, adalah mereka menjana tenaga elektrik, daripada jeritan takut para kanak-kanak!

 

 

Sayangnya, dengan beredarnya masa dan bergantinya generasi, keperibadian dan budaya mereka turut mengalamai perubahan. Maka mereka yang tidak bersedia untuk adapt dengan perubahan zaman ini, akan mula kehilangan "cengkaman", lalu sering menyaksikan mereka berubah menjadi kuku besi, atau memaksakan kehendak mereka kepada manusia dan ketamadunan.

 

Hal di atas bukanlah perkara baru. Dan ia turut ditampilkan di dalam Monsters Inc. Melihatkan pengurangan jeritan kanak-kanak untuk menjanakan tenaga elektrik alam Monsters, penguasa Monsters Inc., Mr. Waternoose menggunakan cara haram dengan menculik kanak-kanak lalu menyedut jeritan mereka. Mujur, kebenaran akan sentiasa bangkit menentang kebatilan. Konspirasi jahat Mr. Waternoose berjaya dihalang! Namun, kini mereka berdepan masalah baru: jika tidak boleh lagi menakutkan kanak-kanak, bagaimana bisa mereka mengumpul tenaga buat menjana tenaga elektrik alam Monsters?

 

Mike dan Sulley ada jawapannya: gelak tawa pengganti jerit takut mereka! Ternyata, setiap daripada kita harus kreatif dan tidak terikat dengan satu cara, tidak boleh berputus asa dan harus berani mengubah cara fikir yang konservatif.

 

 

Mari kita kembali muhasabah cara kita. Dulu, kita ingin mendekatkan manusia kepada agama dengan cara "menakut-nakutkan" mereka, persis yang dibuat di alam Monsters. Namun, dengan berlalunya masa, ternyata cara sedemikian sudah tidak sesuai lagi. Hingga, jadilah kita seperti Mr. Waternoose: menggunakan cara yang salah demi menggapai tujuan kita. Lalu muncullah cerita-cerita rekaan seperti mayat bertukar menjadi babi, atau anak derhaka berubah menjadi semacam anjing. Ada pula yang bertukar menjadi ikan yu, yang di kemudian harinya ternyata semuanya palsu belaka! Mungkin kita tidak sedar, cerita-cerita sebegini, untuk zaman serba moden dan canggih ini, sudah tidak relevan lagi.

 

Bayangkan, apakah non-Muslim akan semakin tertarik mendekati Islam tatkala mendengar perkhabaran-perkhabaran sebegini, atau justeru semakin jauh daripada Islam lantaran "non-Muslim yang jahat, bila mati, mayat tak pernah berubah jadi apa-apa. Tapi Muslim, bila mati aje, jadi macam-macam. Benarkah Islam berada di atas jalan kebenaran?"

 

Kerana itu, bak kata Syeikh Jum'ah Amin di dalam bukunya Da'wah: Ushul wa Qawa'id, kita harus "menggembirakan, sebelum memberikan ancaman." Bukankah da'wah Nabi dimulakan dengan basyiran (membawa khabar gembira) berbanding naziran (khabar duka/ ancaman)? Bukankah di dalam Islam ada targhib wa tarhib (motivasi/ khabar gembira dan ancaman/ warning)? Bukahkah ada banyak hadith-hadith Nabi SAW, yang menampilkan Islam sebagai agama yang memberikan "harapan" berbanding menghukum orang dan menjuruskan manusia kepada lembah kebinasaan?

 

"Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)"

(Surah Al-Insyirah [94]:7)

 

Perkataan fa-ra-gha sebenarnya bermaksud "kosong". Ini bermakna, terkadang Allah Azza Wa Jalla –seperti di dalam ayat ini- menggunakan kaedah "rayuan" berbanding ancaman, dalam memanggil hambanya untuk mendekatkan diri kepada-Nya. "Dan apabila kamu ada masa kosong, masa lapang, "free time", maka kerjakanlah amal-amal yang lain."

 

Agama Nasrani misalnya, selepas hilangnya kuasa Gereja dek munculnya Secularism di zaman kebangkitan Eropah, terpaksa menggunakan kaedah ini: memujuk-rayu berbanding menggunakan hukum dan kekerasan. Dan ternyata, pendekatan sebegini berjaya! Maka kita, dalam menangani generasi muda yang serba mencabar ini, adakah masih mahu menggunakan cara dan kaedah lama dengan "memaksakan agama" ini kepada mereka, atau cuba memujuk rayu hati mereka untuk kembali kepada fitrah beragama yang sebenarnya telah tertempa di saat kelahiran mereka?

 

Monsters Inc. Ternyata lebih banyak tenaga dapat dijana daripada "menggembirakan" manusia, berbanding menakut-nakutkan mereka.

 

"Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Karena itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."

(Surah Al-Baqarah [2]:185)

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Ijazah Kejuruteraan Elektrik, Sijil Pengajian Syariah

Jurutera Profesional berdaftar & Jurutera Elektrik Kompeten bertauliah