Followers

Wednesday, September 9, 2015

[JOM]: MENARA ELEKTRIK

MENARA ELEKTRIK

Benar, elektrik daripada generation side (power plant) disalurkan (transmission) sebelum diagihkan kepada para pengguna di distribution side melalui perantaraan konduktor elektrik (bahasa teknikalnya memang conductor, biarpun orang-orang biasa sering merujuknya sebagai cable. Malah, terdapat perbezaan sebenarnya di antara istilah conductor dan juga cable yang tentunya tidak akan dan tidak perlu dibahaskan di sini). Tetapi, biarpun begitu, transmission itu sendiri tidaklah dibina oleh satu "golongan" sahaja iaitu golongan konduktor, tetapi ia juga harus diadun dipadu oleh "golongan" yang lain, termasuk OPGW, termasuk insulator, dan tentunya, termasuklah juga tower atau kita yang biasa makan belacan ini menyebutnya "menara elektrik." Barulah transmission system ini akan lengkap. Hasil kesepaduan ini pula, tidaklah bererti kita menolak "kepimpinan konduktor", atau jauh sekali kita ini "anti konduktor", malah adalah sebuah fitnah yang besar jika andainya kita dituduh sebagai "boneka civil engineering," kerana menara elektrik itu adalah "bahannya" para jurutera awam dan langsung tidak ada kena mengena sebenarnya dengan dunia elektrik. Namun, begitulah akal yang waras akan nampak betapa kepelbagaian ini bukanlah sesuatu yang memusnahkan, malah kepelbagaian inilah yang menyempurnakan malah menjayakan sistem transmission kuasa elektrik ini.

Maka, di bulan Jun yang panas ini (artikel ini ditulis di dalam bulan Jun), izinkan saya bercerita tentang menara elektrik. Mohon, janganlah ditanggapi bahawa saya sudah hilang wala' dengan dunia keelektrikan. Mohon sekali lagi. Kerana "isi hati" dan "perasaan" menara elektrik ini harus kita sulami dan kita hargai juga, kerana hakikatnya ia juga sebahagian daripada "ummah transmission" ini, biarpun ianya mungkin tidak berasal daripada Hawaii. Atau kalau lawan bola bakal kalah teruk 5-0.

Ada banyak hal yang harus kita contohi daripada menara-menara elektrik. Kerana ia dan "keluarganya" di kalangan transmission, adalah yang paling terdedah kepada ancaman-ancaman yang disajikan alam, dibandingkan dengan peralatan-peralatan elektrik di dalam "pakatan" elektrik yang lain, baik dalam keluarga generation mahupun dari keluarga distribution. Maka, ia harus berhadapan dengan ribut taufan, kilat sabung-menyabung, juga panas teriknya mentari. Dan habuk lumpur persekitaran. Ertinya, sang menara elektrik –juga keluarganya- adalah yang paling hebat "diuji". Namun, ia tetap tegar dan teguh dalam berdiri.

Saudaraku,

Kita juga terkadang, harus seperti menara elektrik. Terutamanya saat berhadapan dengan ujian. Terutamanya saat berhadapan dengan dugaan. Terutamanya saat berhadapan dengan cemuhan. Keteguhan, ketegaran dan kecekalan para menara elektrik, adalah yang membolehkan para konduktor elektrik, untuk menyampaikan tenaga elektrik kepada umat manusia sejagat. Maka mereka tentunya turut berjuang turut berkorban sama banyaknya –jika tidak lebih- dengan lilin yang sering dianalogikan menyumbang buat umat dengan membakar dirinya. Apatah lagi ahli pasukan Allah; Hizbullah, adalah mereka yang memang tidak boleh tidak, pasti akan berhadapan dengan cemuhan, pasti akan bertembung dengan hinaan. Namun, yang menjadikan mereka para Hizbullah, adalah kerana mereka tidak pernah takut, tak pernah gentar, untuk berhadapan dengan semua itu saat menghadapi perjuangan.
"Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui."
(Surah Al-Maidah [5]:54)

Mereka -para menara elektrik- kelihatannya unik sekali. Terkadang kelihatannya seolah bersendirian, sedang hakikatnya mereka tidak mungkin bersendiri, kerana proses penghantaran bekalan elektrik memerlukan kerjasama berpasukan (jamaah) diantara banyak menara elektrik. Tetapi terkadang bila kita melihatnya "berjemaah", hakikatnya ia bersendiri. Stand alone. Dan sebeginilah seharusnya seorang mukmin.

Ayat-ayat Al-Quran, sering menyebutkan elemen-elemen jihad, amal soleh dan lain sebagainya, selain orang-orang mukmin atau soleh atau muttaqin atau kafir, dalam bentuk jamak, yakni plural. Pengajarannya, agama yang suci ini menceritakan tentang peri-pentingnya kerja sepasukan. Amal jama'ie. Namun, pada masa yang sama, setiap individu yang menjadi batu-bata kepada bangunan Islam ini, kepada bunyanul marsus ini, harus mampu berdiri sendiri, stand alone, seumpama setetes sirap di dalam segelas air: ia mampu mewarnakan air yang jernih itu, bukan ikut hanyut dengan persekitaran dan orang-orang sekelilingnya! Dan inilah yang kita sering namakan sebagai tarbiyah dzatiyah!

Kerana andainya para pejuang Islam tidak punya kemampuan untuk stand alone, buntu tatkala bersendirian, maka ia akan mudah futur, mudah gugur, atau terus berputus asa lalu tumbang, sambil membawa bersamanya "konduktor elektrik" lalu terputuslah penghantaran elektrik secara keseluruhan. Lihatlah ketegaran para ibadur Rahman tatkala mereka disapa, dikhutbah, dilecture oleh orang-orang Jahil, yang sememangnya hobi mereka menuduh, memfitnah dan mencela, tanpa pernah bercermin kepada dirinya sendiri:

"Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik."
(Surah Al-Furqan [25]:63)

Ini kerana, para menara elektrik itu berjiwa besar, dan tidaklah hidup semata-mata untuk dirinya semata. Dengan ketinggiannya yang menjulang ke langit, ia gunakan untuk melihat permasalah umat dari birds eye view, bukan pandangan mata manusia-manusia kerdil yang berada di atas tanah, dan tidaklah melihat kehidupan melainkan berkisar tentang diri mereka semata-mata.

Lihatlah keterbukaan menara elektrik ini, menebarkan tangannya, seakan-akan sentiasa mengalu-alukan manusia-manusia untuk bersama-samanya dalam keluarga  besar umat Islam ini. Dan adat orang yang membuka tangan, tentunya akan banyak bersabar, dan meraikan kepelbagaian manusia-manusia yang "masuk" ke dalam dakapannya. Kerana dakapan ini adalah dakapan kasih sayang. Dakapan ini adalah dakapan mengalu-alukan. Dakan ini adalah dakapan ukhuwah dan persahabatan. Bukan dakapan penuh kebencian, yang pantas melabel-label mereka yang tidak sependirian, atau pantas menghalau orang daripada perkumpulan, seolah-olah Syurga is not big enough for the two of us (slogan femes dalam cerita-cerita koboi sebelum bermulanya dual para koboi).

Menara yang menjulang tinggi itu tidaklah mendongak ke langit, bahkan senantiasa merendah diri, kerana bahagiannya yang tertinggi pun adalah kabel bumi (OPGW). Seakan ia mendengar pesanannya Luqmanul Hakim:

"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri"
(Surah Luqman [31]:18)

Apakah kita setegar para menara elektrik itu?


Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Pengamal "Rusmul Bayan"


No comments:

Post a Comment