Followers

Sunday, February 1, 2015

[JOM]: ELEKTRIK


"iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat, dan menginfakkan sebahagian daripada yang Kami rezekikan kepada mereka"
(surah al-Baqarah[2]:3) 

Di permulaan al-Quran lagi, Allah Azza Wa Jalla telah merumuskan formula kejayaan insan-insan yang mendapat petunjuk hidayah daripada Diri-Nya; iaitu -salah satunya- keupayaan mereka mempercayai apa yang tidak nampak pada mata kasar dan panca indera mereka. Itulah dia antara hal-hal yang termasuk di dalam kategori ghaib. Biarpun penafsiran yang lebih tepat terhadap perkataan "al-ghaib" di dalam ayat ini merujuk kepada hal-hal berbentuk aqidi seperti Allah Azza Wa Jalla sendiri, Malaikat-malaikat-Nya, Syurga, Neraka, catatan amal setiap insan dan lain sebagainya, tetapi secara garis besarnya, yang namanya Mukmin tidak akan keberatan untuk mempercayai hal-hal yang ia tidak nampak, hanya kerana tidak kelihatan di hadapan mata.

Maka, dengan penjelasan karakteristik para muttaqin 'orang-orang yang bertaqwa' ini, seharusnya dunia meyakini betapa umat Islamlah generasi terbaik dalam memahami sebarang isu saintifik, mahupun aplikasi teknologi terkini. Masakan tidak? Tatkala generasi moden di zaman serba canggih ini memilih menjadi free thinker mahu pun atheis, lalu mendustakan Tuhan lantaran kegagalan mereka melihat Tuhan yang diimani oleh orang Islam, dan keraguan mereka terhadap keyakinan 'tuhan-tuhan' yang boleh nampak (yakni Tuhan-Tuhan para Musyrikun) lantaran 'tuhan-tuhan' itu ada yang terpaksa makan dan ke pasar,  ada yang tidak berupaya bergerak apatah lagi mempertahankan dirinya sendiri, ada yang mempunyai sekian banyak tuhan dan khusus menguruskan satu urusan sahaja sedang urusan lain dimanage oleh 'tuhan' yang lainnya, umat Islam pula telah melangkaui minda terhad ini tatkala meyakini perkara yang ghaib, termasuk mengimani Tuhan yang tidak bisa dilihat fizikal dan bentuk rupanya.

Lalu, manusia moden berfikrahkan atheis atau free thinker ini pun cuba berhujah dan mempromosikan bahawa Tuhan itu justeru tidak ada, kerana tiada yang bisa melihatnya. Namun, pada masa yang sama, mereka meyakini dan mengimani kewujudan tenaga elektrik, sedang rupa fizikal elektrik sahaja tidak pernah bisa ditangkap oleh panca indera mereka. Bagaimana mungkin mereka mengimani betapa berpandukan "Hukum Tangan Kanan"(Right Hand Rule), arus elektrik bisa terhasil (diwakili oleh simbol I) demikian hadirnya daya atau gerakan (diwakili simbol F) serta medan magnet (simbol B), sedang elektrik yang terhasil itu sahaja tidak pernah kelihatan, sepertimana halnya  juga dengan medan magnet. Lalu, bukankah mereka munafik tatkala mereka sanggup membayar bil elektrik, sedang mereka sendiri tidak pernah melihat elektrik itu hadir di dalam perkakasan elektrik rumah mereka?

Tapi, orang beriman tidak pantas berasa hairan dengan kewujudan fenomena ini, lantaran mereka adalah kelompok insan yang memang telah dihidayahkan oleh Allah untuk mengimani hal-hal yang ghaib. Dari kewujudan medan magnet yang tidak mampu dilihat, kepada unsur-unsur sebuah atom yang ada padanya electron, proton serta neutron, adalah suatu yang tidak memelikkan kepada para muttaqin yang memang terdidik mengimani hal ghaib, sungguh pun tidak terlihat, dan sering sulit untuk dimengertikan.

Bagaimana pula dengan manusia moden yang mendiami pelusuk muka bumi kini? Jika memang Tuhan itu tidak wujud lantaran tidak bisa untul dilihat, maka sifir mereka itu seharusnya menafikan juga kewujudan elektrik dalam kehidupan. Jika sebegitulah halnya, mereka patut mengusulkan segera penutupan semua fakulti kejuruteraan elektrik dengan alasan "elektrik itu tidak wujud kerana tidak kelihatan. Dan semua yang tidak kelihatan itu tidak wujud." Usulkanlah juga agar fakta medan magnet dinafikan segera, lantaran medan magent juga adalah sebuah fenomena yang tidak bisa ditangkap oleh mata kasar kita. Janganlah sesekali membeli handset, kerana sifat wireless yang diimplementasikannya menggunakan frekuensi dan gelombang untuk membolehkan wujudnya perhubungan, juga suatu yang justeru auta (pembohongan) lantaran mata kasar tidak mampu untuk menangkapnya.

Maka bijakkah anda yang menafikan atau meragukan wujudnya Tuhan, hanya kerana tidak mampu melihatnya?

Diceritakan oleh Said Hawwa di dalam bukunya "Allah Jalla Jalalah", di sebuah sekolah rendah, seorang guru berkata kepada anak-anak muridnya; "Apakah kalian melihat diri saya?" 


Mereka menjawab, "ya." 


"Apakah kalian melihat papan hitam?" tanyanya lebih lanjut. 


"Ya." 


"Jika demikian, papan hitam itu ada," kata sang guru. 


"Apakah kalian melihatmeja itu?" tanyanya lebih lanjut. 


"Ya." 


"Bererti meja itu ada," kata sang guru. 


"Apakah kalian melihat Tuhan?" tanyanya lagi.


"Tidak." 


"Itu bererti Tuhan tidak ada." 


Selanjutnya, seorang murid yang cerdas berdiri dan bertanya, "apakah kalian melihat akal guru kita?" 


Mereka menjawab, "tidak." 


"Dengan demikian, akal guru kita tidak ada!"

       
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Pengamal "Rusmul Bayan"