Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab
(ketika masih bersama e-circle nurilahi; 2005)
“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir”
(Surah al-ma’arij [70];19)
Assalamu’alaikum warahmatuLLAH
Sudah memang tabiatnya manusia, akan ada saja yang tak kena. Panas tak kena, hujan pun tak kena. Miskin tak kena, bila kaya pun tak kena. Kemudian, mula sibuk mempertanyakan, kenapa hukum yang ni gini? Kenapa yang ni Tuhan jadikan gitu? Bila kita guna cara ini, mula dok tanya kenapa tak ikut cara yang itu? Kalau kiranya kita guna cara yang itu, tetap saja akan bertanya juga, kenapa tak ikut cara yang ini? Umpama kisah dua orang anak beranak yang mengembara bersama keldainya.
Artikel ini saya tulis, bukan untuk membahaskan secara ilmiah cara terbaik menyampaikan kritikan, cuma sekadar berkongsi pengetahuan akan cara dua orang tokoh dan da’ie besar bernama Hassan al-Banna dan Syeikh Muhammad al-Ghazali menyampaikan kritikan. Satu sebagaimana diceritakan oleh Ustaz Umar Tilmisani (Mursyidul am ke-3 Ikhwan), sedang yang satu lagi sepertimana yang diceritakan oleh Prof Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
Mudah-mudahan teknik dan kaedah yang digunakan oleh dua ulamak agung ini, menjadi panduan dan pedoman bagi kita bersama dalam mempertahankan dan mengagungkan agama Islam yang tercinta. Amat malang dan amat sayang dengan keadaan umat Islam kita pada hari ini. Ada yang mahu memperjuangkan Islam, tapi berhujah dan berdalil dengan logika akal semata-mata, sehingga memungkin dirinya terkelompok ke pasukan ar-Ruwaibidoh[1] yakni mereka yang mahu bercerita tentang Islam, tetapi tidak berdasarkan prinsip ilmunya. Mereka mahu membicarakan tentang hukum, tetapi tidak bersandar pendapat para ulamaknya, sama ada secara terus kepada nukilan Imam Mazhab seperti kitab al-‘Uum, al-Muwattho’, dan sebagainya, mahupun ulamak yang terkemudiannya seperti Fikih Sunnah atau al-Mufasshal atau Nailul Authar, Bulughul Maram lain sebagainya. Mereka mahu berfatwa tentang “hikmah”, tetapi tidak pernah merujuk akan maksud perkataan itu di dalam kitab-kitab tafsir, atau perbahasan ulamak-ulamak hadith, atau mengkaji nukilan-nukilan da’ie Islam yang agung seperti Hassan al-Banna, Fathi Yakan, Syed Qutb, Yusuf al-Qaradhawi, Abbas as-Sissiy, Mustafa Muhammad Thahan, dan ramai lagi.
Lihatlah bagaimana Syeikh Muhammad al-Ghazali misalnya mengkritik pandangan penulis-penulis lain, sepertimana yang diceritakan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi:
“Tak lama setelah itu, terbit lagi satubuku Syaikh al-Ghazali yang isinya menolak pendapat-pendapat yang menyerang Islam. Buku ini berjudul At-Ta;asshub wa at-Tasamuh baina al-Masihiyyah wa al-Islam. Buku ini adalah jawapan terhadap buku dari salah seorang Kristien Kopti yang memojokkan dan menjelek-jelekkan Islam. Al-ghazali tidak menyebut judul buku dan siapa penulisnya hingga orang itu meninggal dunia. Al-Ghazali hanya menyebut bahawa penulisnya adalah seorang pejabat penting pemerintahan…”[2]
Terkadang, bila kita mengkritik seseorang seraya menyebut namanya, ia akan berkecil hati dan memaparkan bahawa kita tidak berhikmah di dalam menegurnya. Tetapi terkadang, ketika kita menyampaikan kritikan itu secara umum, seperti yang disampaikan oleh al-Ghazali, tetap saja wujud ungkapan kekecewaan, hanya lantaran “siapa makan cili, dia terasa pedas” walhal yang seharusnya kita lakukan ialah merenung dan muhasabah diri kita, seterusnya segera kembali kebenaran yang dihidangkan.
Lalu, dai’e agung Islam mengajarkan lagi, bagaimana mensikapi golongan jahiliyun yang kemudiannya melenting bila dihidangkan dengan kebenaran beserta hujah dan dalil yang nyata.
“Cuma, satu perkara yg agak berlainan dgn syeikh muhammad al-Ghazali dan al-Qardhawi ini, di mana mereka tidak menjawab kritikan atau tuduhan2 berat yg dilemparkan ke atas beliau. Memang ada buku2 yg diterbitkan dan artikel2 yg mencacatkan pendapat beliau di dalam buku2nya. Tetapi beliau tidak menulis sebuah buku khas utk menjawab kritikan itu. Bila ditanya kenapa syeikh tak jawab, katanya, kalau dia menjawab, nanti akan timbul pula jawapan balas, dan begitulah seterusnya tanpa ada kesudahannya. Sedangkan dia mempunyai banyak komitment lain yg lebih penting dari menjawab kritikan2 itu.”[3]
Inilah pemahaman mereka terhadap ajaran Ilahi di dalam kalam-Nya yang agung:
“Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.”
(Sutah al-Furqan [25]:63)
“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.”
(Surah al-A’raf [7]:199)
Andainya yang menerima kritikan itu sang jahil, yang tetap terus mahu membahaskan secara panjang lebar akan sesuatu perkara yang telah diperincikan hukumnya dengan dalil dan hujah yang nyata, maka usahlah dilayan akan sasaunya itu. Kita ada urusan lain yang jauh lebih penting untuk kita tangani. Biarkanlah mereka dengan sasaunya itu, seraya mendoakan mudah-mudahan ALLAH memberikan mereka petunjuk.
*Penulis adalah seorang engineer di sebuah syarikat power plant dan sedang mengambil Sijil Pengajian Syariah di salah sebuah universiti awam tempatan.
*Artikel ini turut tersiar di www.al-ahkam.net.
RUJUKAN
1 Artikel “Bahaya Golongan al-Ruwaibidoh” oleh Dr. Mohd Asri Zainol Abidin di website Dewan Pengajian Ibnu Qayyim (http://www.ibn-qayyim.info/qaiyyim/utama.php) juga website al-ahkam (http://www.al-ahkam.net/)
2 Dr. Yusuf Qardhawy, “Syaikh Muhammad al-Ghazali Yang Saya Kenal (Saikh al-Ghazali Kamaa Araftuhu: Rihlatu Nishfi Qarnin)”, Robbani Press (1998), hlm. 21
3 Topik “Penjelasan sekitar perselisihan ulama Salafi dan Ikhwan” di al-ahkam.net (http://www.al-ahkam.net/forum2/viewtopic.php?t=2526&highlight=mutazilah)