Hari ini, kebanyakan industri sudah mula beralih kepada lampu LED. Seperti juga t.v LED, biar pun lampu LED sedikit mahal berbanding lampu konvensional biasa (lampu fluorescent), ia mampu menghasilkan kecerahan yang sama seperti lampu konvensional, tetapi dengan menggunakan kuasa (kilowatt) yang lebih rendah. Maka, bila rendah kuasa kilowatt yang digunakan, maka rendahlah pula bil elektrik anda.
Oleh kerana LED adalah singkatan kepada Light-emitting Diodes, maka prinsip yang digunakan pun sudah tentu sama seperti diode juga. Diode, hanya mampu mengalirkan arus atau electron, pada satu arah sahaja. Oleh yang demikian, LED hanya beroperasi pada arus terus (D.C) sahaja. Jika arus datang daripada arah yang bertentangan, ia tidak akan dapat melalui sang LED tersebut.
Saudaraku,
Perhatikan hadith berikut;
“Janganlah ada di antara kamu yang menjadi “imma’ah” (pak turut atau “yes man”) yang (suka) berkata: aku bergantung kepada orang lain, kalau mereka baik, aku pun baik dan kalau mereka buruk, aku pun buruk.
Sebaliknya, hendaklah kamu tetapkan pendirian kamu (berprinsip). Jika manusia baik, kamu pun baik, dan apabila manusia (berkelakuan buruk), kamu menjauhi keburukan mereka”
(Riwayat Tirmidzi)
Ini bererti, seorang hero mukmin sejati, ia harus punya prinsip seumpama LED. Jika hal itu berkaitan dengan kebaikan, ia akan “alirkan” kebaikan itu kepada dirinya dan masyarakatnya. Sebaliknya, jika hal itu adalah keburukan, maka ia akan “tetapkan prinsipnya” dengan menjauhi keburukan itu, lantaran ia hanya “satu arah” sahaja, iaitu kebaikan. Lalu, dakwah pun menjadi “energy saving” lantaran tidak perlu tenaga banyak dan menuggu terlalu lama untuk melihat hasil dakwah di tengah-tengah masyarakat.
“Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin itu untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, niscaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antaramu, mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.”
(Surah Al-Anfal [8]:65)
Namun, harus diingat, salah satu dis-advantage lampu,t.v dan lain-lain peralatan elektronik berasaskan LED ini ialah harganya yang mahal. Maka wajar, seorang hero mukmin sejati itu mahal harganya. Jika ia lelaki, dek kerana “mahal” dirinya, hanya wanita-wanita solehah dapat mencuri hatinya. Jika ia perempuan, ia umpama mawar berduri, maka hanya lelaki yang terbaik sahaja mampu memilikinya.
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)…”
(Surah An-Nur [24]:26)
Beralihlah kepada LED, kerana dakwah ini memang memerlukan hero mukmin sejati…
-penulis, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab menaruh minat pada renewable energy yang berbeza daripada “taqlid” terhadap sumber dan sistem yang lama-