Followers

Sunday, November 20, 2011

Inverter ( Variable Speed Drive)

Hari ini, dunia sedang beralih ke Green Technology. Segala-galanya harus mesra alam, selain mampu menjimatkan tenaga (energy efficient). Kereta yang sedang hangat adalah kereta hybrid, di mana Honda dan Toyota mengungguli carta kereta jimat minyak dengan model Insight dan Prius yang menggabungkan motor berkuasa bateri enjin berkuasa petrol.

 

Lampu pilihan pula ada lampu T5 selain lampu LED yang kononnya mampu menjimatkan elektrik sehingga 30%, selain kecerahan yang tidak kurang terangnya berbanding lampu konvesional yang biasa. Begitu juga dengan mesin basuh, pun ada yang energy efficient, baik penjimatan elektrik mahupun penjimatan air. Manakala untuk air cond dan peti ais, beralihlah ke jenis inverter, apatah lagi ada sedikit rebat untuk membantu mempromosikan lagi pembelian peralatan yang energy efficient ini.

 

Saudaraku,

Tahukah kamu bahawa penggunaan istilah inverter untuk air cond dan peti ais yang jimat elektrik, secara engineeringnya adalah kurang tepat. Ini kerana, penjimatan elektrik itu berlaku kerana adanya sistem yang kita panggil Variable Speed Drive (VSD) yang berfungsi untuk mengawal kelajuan motor pada penghawa dingin atau peti ais, sekaligus mengelakkan motor daripada beroperasi pada kuasa yang tidak sepatutnya.

 

Perkakasan elektrik konvensional yang tiada inverter (lebih tepatnya tiada VSD), akan menyaksikan motor elektrik akan on-off secara berkala. Misalnya , untuk suhu bilik mencapai 20oC, motor akan beroperasi pada kelajuan maksimumnya, hinggalah suhu bilik mencapai suhu yang dikehendaki. Kemudian motor itu akan berhenti. Tetapi, dengan berhentinya motor itu, suhu bilik akan kembali naik, lalu motor terpaksa on kembali, dan beroperasi pada kelajuan maksimum, sehinggalah suhu bilik mencapai 20oC yang dikehendaki tadi. Begitulah seterusnya. Inilah yang mengakibatkan tenaga terbuang. Satu kerana motor beroperasi pada kelajuan maksimum setiap kali beroperasi, yang bererti menggunakan tenaga kuasa yang juga maksimum. Kedua, dek kerana motor akan selalu on-off, menyebabkan starting currentnya juga tinggi. Untuk makluman, motor akan menggunakan arus sebanyak 6 ke 7 kali ganda lebih tinggi daripada biasa, tatkala memulakan operasinya.

 

Di sinilah Variable Speed Drive memainkan peranannya. Motor pada sesebuah peralatan yang dilengkapi inverter atau VSD tadi akan sentiasa beroperasi, tetapi pada kelajuan yang berbeza-beza. Bila suhu bilik rendah, motor akan berputar pada kelajuan yang kurang, menggunakan kuasa yang kurang, selanjutnya mengelakkan starting current dek permulaan operasi sang motor daripada berlaku.

 

Dalam erti kata lain, VSD bolehlah difahami sebagai amal yang istimrar (berterusan), atau orang kita biasa panggil sebagai istiqamah. Yang dikehendaki oleh Allah bukanlah sesebuah amal yang “starting currentnya tinggi”, kemudian terhenti, sebaliknya cukuplah amal itu maintain, biat pun kurang gah pada pandangan indera manusia. Sabda Nabi SAW:-

 

Daripada Aisyah r.ha., Nabi s.a.w. bersabda: "Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit."

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Biasakan diri kamu di atas cara yang betul (pertengahan),dan janganlah kamu melampau (melakukan sesuatu), berpagi-pagilah (melakukan kerja) dan berehatlah, dan (kerjakan) sedikit amalan di akhir malam dan bersederhanalah,nescaya kamu akan sampai (kepada matlamat)."

(Hadis riwayat Bukhari)

 

Kerana itu, janganlah mentargetkan suatu amal yang kelihatannya gah, tetapi sulit untuk dikekalkan, kerana amal yang berterusan biarpun kelihatannya tidak gah, ia lebih energy saving buat kita semua.

 

Beralihlah ke Green Technology dengan segera…

 

 

 

 

Sunday, November 13, 2011

Root Cause Analysis (RCA)

Dunia hari ini sudah memperlihatkan perubahan dari segi pendekatan dan cara industri melihat sesebuah perkara. Hari ini, kebanyakan industri tidak sekadar menghantar staf-staf mereka untuk mengikuti training berbentuk technical sesuai dengan background staf serta syarikat, tetapi turut menghantar para staf untuk mendalami training yang berbentuk soft skill. Soft skill ini termasuklah tajuk-tajuk seperti kemahiran menyelia, menulis technical report yang baik, thinking outside the box, root cause analysis, dan lain sebagainya.

 

Root Cause Analysis (atau biasa dipanggil dengan singkatannya, RCA) merupakan satu skill yang sangat penting dalam menganalisa sesebuah masalah, isu mahu pun kerosakan. Tidak kiralah bidang apa pun, baik bidang medic mahupun engineering mahupun ekonomi, politik, sains farmasi dan lain sebagainya, memahami root cause kepada sesebuah masalah sangat penting demi mengatasi masalah tersebut. Kerana seringkali masalah yang cuba kita selesaikan itu pun sebenarnya bukanlah masalah, sebaliknya merupakan symptom sesebuah masalah.

 

Misalnya begini. Kereta anda tidak mati tengah jalan. Lalu anda pun memanggil Mater the Tow Truck (rujuk Cars) dan menunda kereta anda ke bengkel. Anda pun menyuruh En. Pomen untuk overhaul atau menukar enjin kereta anda. Silapnya di sini, anda membelanjakan duit hingga beribu-ribu ringgit, untuk memperbaiki suatu yang sebenarnya tidak bermasalah pun. Sebab punca sebenar kereta anda mati tengah jalan, justeru adalah kerana minyak kereta nada sudah kehabisan! Lalu dengan menggantikan enjin, kereta tetap tidak jalan coz anda tidak menyelesaikan root cause of the problem.

 

Sama juga seperti seorang patient yang mendatangi seorang doktor. Dia mengadu demam. Lalu sang doktor pun memberikannya Panadol. Juga ubat anti-biotik. Selang beberapa hari, demam sang patient tetap tidak kebah? Kenapa? Pertamanya, kerana Allah SWT tak izin. Sembuh tak sembuh penyakit seseorang, adalah hak mutlak Allah semata-mata, dengan disertakan usaha dan ikhtiyar, tawakal dan doa daripada sang manusia.

 

“Dan apabila aku sakit, maka DIAlah yang menyembuhkanku”

(Surah Asy-Syu’ara’ [26]:81)

 

Keduanya, kerana demam sang patient tadi justeru bukan masalah pun, tetapi symptom of the problem sebenarnya. Masalah atau penyakit sebenarnya ialah denggi. Denggi itulah yang menunjukkan demam sebagai symptomnya. Lalu, sang doktor tidak memberikan penyelesaian kepada masalah tersebut, justeru kerana tidak mengenal pasti root cause kepada penyakit sang patient tadi.

 

Untuk mengenal pasti root cause problem ini, kita biasa gunakan kaedah 4M:-

 

         i.            Man

       ii.            Machine

      iii.            Method

     iv.            Material

 

Nah, sebegitu jugalah dalam kita mengenal pasti masalah umat pada hari ini. Umat dapat dikembalikan kepada status khairul ummahnya (Surah Ali Imran [3]:110), hanya ketika mereka sudah melengkapkan diri mereka dengan ciri-ciri Rabbani (Surah An-Nur [24]:55). Maka kegagalan dakwah untuk menjulang kembali kemulian umat ini, memerlukan kita untuk mengidentify root causenya. Apakah Manpower yang memikul dakwah ini Rabbani (Rabbaniyatur Rijal)? Bagaimana pula machnine yang digunakan untuk “produce”  umat ini (Rabbaniyatul Jama’ah)? Apakah ianya gagal, kerana pendekatan (method) yang digunakan tidak seperti di dalam “manual book” bergelar Al-Quran dan As-Sunnah (Rabbaniyatul Uslub)? Bagaimana material yang digunakan, adakah ianya punya defect (Rabbaniyatul Manhaj)?

 

Bersambung…..

 

(Artikel ini adalah nota ringkas untuk tajuk “Rabbaniyatud Dakwah”. Juga boleh rujuk artikel-artikel yang pernah ditulis sebelum ini:-

http://faridul.wordpress.com/2010/05/04/kajian-manhaj-ciri-ciri-dakwah-bhgn-1/

http://faridul.wordpress.com/2010/05/09/ciri-ciri-dakwah-bhgn-2/

http://faridul.wordpress.com/2010/05/17/ciri-ciri-dakwah-bhgn-3-rabbaniyatud-dakwah-bhgn-1/)

 

 

Thursday, November 10, 2011

Maintenance Strategy

Soalan:

Aslmkm...

boleh ana minta pandangan Ustaz macam mana nak settle kan isu program-oriented dan hadaf-oriented dalam kalangan penggerak dan pemikir...

kerana apa yang ana nampak dalam syura, seolah-olah kita berfikir ikut program bukan ikut hadaf...

sebagai contoh apa yg berlaku, next daurah ialah SJ...kemudian barulah difikir apa yg boleh dicapai melalui SJ..

bukankah sepatutnya fikir hadaf dulu bru fikir apa yg patut kita bagi?

maaf menyusahkan Ustaz...

JZKK

-Anonymous

 

 

Dunia hari ini sedang melihat perubahan pada “gaya” dan “budaya” kerja-kerja penyelenggaraan, atau lebih famous disebut menggunakan bahasa Inggerisnya, maintenance. Jika dulu, manusia terbiasa melakukan Corrective Maintenance (CM) iaitu suatu perkakas atau komponen akan diganti hanya apabila ianya telah rosak.

Akibatnya, industry akan mengalami “down time” yang tinggi, yakni selang masa yang mana industry tidak dapat beroperasi kerana menunggu kerosakan tersebut diperbaiki. Jika alat ganti atau spare part takde, maka lamalah down timenya.

 

Menyedari hal ini, manusia beralih kepada Preventive Maintenance (PM), di mana untuk budaya atau gaya maintenance sebegini, industry akan menggantikan sesuatu perkakas atau komponen pada suatu tempoh yang telah ditetapkan, sebelum ianya dijangka mengalami kerosakan. Contoh aplikasi PM ini yang paling mudah adalah pada maintenance kereta kita. Minyak hitam diganti setiap 5,000km. Timing belt diganti setiap 100,000km misalnya. Ertinya, sebelum perkakas atau komponen itu rosak, kita sudah menggantikannya dengan yang baru, lalu dapat meneruskan operasi kehidupan kita seperti kebiasaannya.

 

Cuma, di antara dis-advantage budaya penyelenggaraan ala Preventive Maintenance ini ialah;-

 

1)      Ada kemungkinan perkakas atau komponen akan rosak terlebih dahulu sebelum ia dijadualkan untuk ditukar, misalnya timing belt putus pada jarak perjalanan 80,000km sedangkan kita bercadang menukarkannya pada 100,000km.

2)      Perkakas dan komponen yang diganti itu, sebenarnya mampu beroperasi lebih lama, misalnya timing belt diganti pada jarak perjalanan 100,000km, sedangkan ianya mampu bertahan hingga ke 200,000km! Akibatnya, terjadilah pembaziran….

 

Untuk mengatasi perkara contra di atas, maka manusia kini telah bertukar kepada budaya penyelenggaraan menggunakan Condition Based Monitoring (CBM), di mana perkakas atau komponen akan sentiasa dipantau kondisi dan performancenya. Hanya apabila di dapati kondisi atau performancenya menunjukkan tanda-tanda mendekati akhir jangka hayatnya, barulah ianya akan ditukar atau digantikan dengan yang baru. Dalam kes timing belt, hanya ketika kita mendapati bahawa ianya sudah mula haus, barulah kita akan menukarnya. Tidak kisahlah pada jarak 20,000km atau 80,000km atau 100,000km atau 200,000km mahupun 300,000km! No need to fix it, if it’s not broken!

 

Menjawab persoalan saudara/i pengomen di atas, saya yakin bagi ahli sesebuah gerakan Islam, mereka sudah memahami secara TEORI akan kepentingan sesebuah acara itu dijalankan sesuai dengan HADAFnya, bukan asal buat kerana ia sudah terPROGRAM seperti itu. Oleh yang demikian, yang perlu kita fikirkan sekarang ialah bagaimana memastikan manusia akan “hadaf orientated”(yakni melakukan sesuatu sesuai dengan OBJEKTIF yang ingin dicapai) berbanding “program orientated” (yakni TAQLID semata-mata pada the norm atau kebiasaan melaksanakan sesuatu perkara/ program) secara PRAKTIKALnya. Pada saya, jawapannya adalah pada BUDAYA atau CARA kita bekerja/ ditarbiyah.

 

Kenapa agaknya orang Melayu sinonim dengan sikap tidak bertanya dan tidak pro-aktif di dalam kelas? Kerana budaya kita dibesarkan seperti itu.

 

Kenapa agaknya orang kampung tak reti speaking? Kerana anak Melayu di kampung yang speaking, akan terus dikutuk, diperli dan digelakkan oleh rakan sebaya.

 

Ertinya, BUDAYA sekitar turut menyumbang kepada semua itu.

 

Seperti maintenance tadi. Oleh yang demikian, saya menyarankan gerakan Islam, agar “menukar” budaya tarbiyyahnya, daripada Preventive Maintenance kepada CBM tadi.

 

Preventive Maintence, lalu gerakan Islam prevent ahli-ahlinya mendapatkan apa-apa ilmu daripada gerakan Islam yang lain.

 

Terjadinya program yang dilaksanakan sesuai dengan “jadual”nya, seperti menukar minyak hitam dan timing belt tadi. Walau pun minyak hitam tidak perlu ditukar, kita tetap menukarnya. Walaupun belum sesuai membuat mukhayyam misalnya, kita akan tetap melaksanakannya.

 

Apa kata kita lebih Condition Base sekarang. Jika gerakan Islam yang kita sertai tidak mempunyai pakar di dalam bidang hadith, apakah salah kita belajar hadith daripada ustaz aliran Salafi misalnya, untuk memenuhi condition kita yang terlalu dhaif tentang ilmu hadith.

 

Jika ada pendapat daripada ustaz aliran sufi yang dapat mengingatkan kita pada Allah misalnya, apakah salah untuk kita mendengarnya?

 

Maka kita akan mampu mengambil input sesuai dengan “Condition” ketika itu. Dan kita akan melaksanakan program pun, sesuai dengan “condition” sewaktu itu.

 

Saya masih ingat, dalam satu ziarah saya ke Perak berjumpa rakan-rakan saya, kebetulan mereka melaksanakan “Daurah Tergempar”, hanya kerana apa? Kerana ziarah atau DF tidak jalan sekitar 3 minggu! Nah, jika Condition memerlukan kita membetulkan masalah ziarah atau DF misalnya, bukankah tema itu lebih sesuai diangkat ketika itu berbanding bercerita tentang ekonomi Islam atau rumah tangga Islam misalnya di dalam sesebuah daurah? Bukankah antara hikmah turunnya Al-Quran secara berperingkat, adalah untuk menangani condition umat sewaktu itu?

 

Maka itulah cadangan saya. Harus menukar BUDAYA dahulu.

 

Wallahu a’lam.

 

 

 

Monday, November 7, 2011

[serial pengorbanan]: MENCARI JIWA ABU THALHAH YANG HILANG

[serial pengorbanan]: MENCARI JIWA ABU THALHAH YANG HILANG
Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab “bisakah menikmati aroma syahid yang mengasyikkan?”

Orang tua itu kelihatannya seperti orang biasa. Namun, resume amal yang dicatatkannya, sungguh sebuah kisah perjuangan yang luar biasa. Hingga saja tatkala terbit lagi panggilan jihad, di saat ia sedang meniti usia-usia emasnya, tetap terpancut semangat juangnya yang tinggi, lalu menyeru anak-anaknya, untuk bersama-sama dalam pasukan jihad ini.

Tapi, ia sudah tersangat tua. Dan jasa-jasanya pada Islam sudah menggunung tinggi. Masakan saja anak-anaknya khuatir. “Semoga ALLAH mengurniakan rahmat-Nya kepada ayah. Ayah! Ayah telah berjihad bersama Rasulullah SAW sepanjang hayatnya sampai baginda wafat, bersama Abu Bakar hingga ia wafat, bersama Umar hingga ia wafat, maka biarlah kali ini, kami yang keluar berjihad untukmu.”[1] Permintaan putra-putranya justeru sangat munasabah. Tetapi tidak bagi seorang Abu Thalhah. Sungguh, bagaimana mungkin ia memberi uzur untuk duduk-duduk di rumah, sedang ayat ALLAH sangat segar di ingatan dan kehidupan sahabat R.A nan mulia ini.

“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan atau pun merasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”
(Surah at-Taubah [9]:41)

Lalu, ia berangkat saja ke medan jihad melalui laut, hingga maut datang menjemputnya ke gerbang syahid. Dan ALLAH pun memuliakan jenazahnya. Tak rosak biar sedikit pun, tidak membusuk hatta secumit pun, walau hanya bisa dikuburkan pasca tujuh hari kesyahidannya. [2]

Beberapa zaman terkemudiannya, lelaki itu sudah berada di posisi terbaik lagi selesa untuk membelai-belai kemewahan dan kesenangan dunia. Jawatan sebagai pensyarah –tepatnya di Universiti Islam Antarabangsa Islamabad (IIU)- sering sangat sulit untuk dilepaskan, tetapi ternyata tidak bagi seorang Abdullah Azzam. Ia merasakan tugasnya sebagai pensyarah memendekkan waktunya untuk berjihad. Lalu, ia susun kembali jadualnya. 3 hari untuk kerjaya, 4 hari untuk berjihad. Ternyata, tidak cukup! Lalu disusunnya kembali: 2 hari untuk kerjaya, 5 hari untuk berjihad. Hingga, pada tahun 1984, ia tetap merasakan pemberian masanya di jalan ALLAH belum cukup, lalu ia berhenti kerja, menggantikan maisyah (sumber pendapatan) serba selesa kepada pengharapan dan penyerahan diri pada ALLAH, di jalan ALLAH, sebagai pejuang ALLAH sepenuh masa. [3]

Subhanallah! Berapa ramai yang sudi menggadaikan kerjaya yang serba mengasyikkan, dengan kerjaya fi sabiliLLAH nan membawakan kemuliaan? Berapa ramaikah yang sanggup menukarkan imbuhan duniawi, dengan ganjaran pahala dan Syurga ukhrawi? Berapa ramaikah di antara kita, yang bisa melupakan ranjang nan enak, untuk mengimpikan mati syahid dan kehidupan abadi?

“Siapakah yang mau memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.”
(Surah al-Baqarah [2]:245)

Ke manakah hilangnya jiwa-jiwa pengorbanan Abu Thalhah ini? Ke manakah perginya kesungguhan jiwa-jiwa Abdullah Azzam ini? Kenapa begitu sibuk manusia dengan urusan dunia, hingga tergamak membiarkan agamanya tidak terbela, dan umatnya tertindas diseksa? Kenapa begitu mulia khidupan dunia di sudut pemandangan manusia, sedang keluasan perkampungan Akhirat justeru tidak terkira? “Kita akan mati juga satu hari nanti, entah disebabkan oleh Apache ataupun sakit jantung,” kata Abdul Aziz ar-Rantisi, “dan saya memilih untuk mati dibom oleh Apache (Israel).” [4] Dan sungguh, ALLAH mengurniakan kemuliaan itu buat dirinya!

Hayatilah bersama, pesanan terakhir Syeq Qutb[5] ini, beberapa saat sebelum memperoleh kemuliaannya di tiang gantung:

Saudara!
Seandainya kau tangisi kematianku,
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu
Maka di atas tulang-tulangku yang hancur luluh,
Nyalakanlah obor buat ummat ini
Dan……
Teruskan perjalanan ke gerbang jaya

Saudara!
Kematanku adalah suatu perjalanan
Mendapatkan kekasih yang sedang merindu
Taman-taman di syurga Tuhanku bangga menerimaku
Burung-burungnya berkicau riang menyambutku
Bahagialah hidupku di alam abadi

Saudara!
Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya

Janganlah gentar berkelana di alam abadi
Nun di sana
Fajar sedang memancar…..

RUJUKAN

[1] Tafsir surah at-Taubah [9]:41 oleh Ibnu Katsier dengan sedikit penambah baikan terhadap terjemahan tafsiran oleh penulis. Rujuk Ibnu Katsier, “Terjemahan Singkat Tafsir Ibnu Katsier (Jilid 4)”, Victory Agencie (1988), ms. 56-57

[2] Tafsir surah at-Taubah [9]:41 oleh Hamka. Rujuk Prof. Dr. Hamka, “Tafsir al-Azhar (Juzu’ 10-11-12)”, Pustaka Panjimas (1985), ms. 221-222

[3] Ibnu Ismail, “Abdullah Azzam: Merintis Khilafah Yang Hilang”, Pustaka Syuhada (2001), ms. 6-7

[4] Abdullah Azzam dan lain-lain, “Surat Dari Garis Depan (Suara Hati Tokoh Perlawanan)”, Jazera (2006)

[5] Syed Qutb, “Petunjuk Sepanjang Jalan”, Crescent News (K.L.) Sdn. Bhd. (2000)

 

 

Disiarkan pada 20 Julai 2007

 

Friday, November 4, 2011

[Serial Pengorbanan]: DAHAGA YANG MEMBAWA KEMENANGAN

[Serial Pengorbanan]: DAHAGA YANG MEMBAWA KEMENANGAN
Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab ”generasi Thalut baru sudah muncul..”

Arahan itu sangat menghairankan. Dan perjalanan mereka dalam menuntut kemerdekaan, sungguh suatu perjalanan nan panjang lagi membebankan. Tapi, arahan itu tentunya suatu yang wajar, apatah lagi buat umat yang sudah puas bergelumang dalam kekalahan dan kehinaan sepanjang sejarah peradaban yang mereka coretkan.

Semudah itu sajakah yang mereka sangkakan, sedang adat resam sebuah perjuangan, tidak pernah sunyi dan sepi dari gelanggang pertarungan dan pengorbanan? Hingga –bak tafsiran fi Dzilal-nya Sayyid Qutb- arahan itu saja justeru memupuk kekuatan yang tersimpan di dalam jiwa, berupa iradah (kemauan, tekad, kehendak), iaitu iradah yang dapat mengendalikan syahwat dan keinginan, yang tegar menghadapi kesulitan dan penderitaan, dan mampu mengungguli semua kemahuan dan keperluan, yang lebih mengutamakan ketaatan dalam mengemban tugas dan tanggungjawab perjuangan, hingga mampu melepasi ujian demi ujian.

“Maka tatkala Thalut keluar membawa tentaranya, ia berkata: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya, bukanlah ia pengikutku. Dan barang siapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka ia adalah pengikutku." Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: "Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tentaranya…”
(Surah al-Baqarah [2]:249)


Ertinya, kedahagaan itulah antara faktor kekuatan, keberanian dan kemenangan. Bukan, bukan dahaga itu, tapi kesungguhan, ketaatan dan pengorbanan para pendahaga itu, lantas menerbitkan bibit-bibit keberanian, yang justeru sangat diperlukan dalam setiap medan pertempuran.

Lalu Sayyid Qutb menyimpulkannya kepada dua. Satu; ketabahan menghadapi godaan keinginan dan syahwat. Dua; sabar menghadapi kesulitan dan beban berat. [1] Dan keduanya itu dipupuk, berkat setegaran mereka menahan gejolak dahaga yang melanda jiwa.

Lalu mereka pun tersaring. Begitu medan amal terbukti jauh berbeza dengan medan qaul atau medan lisan, pantas keyakinan dan keberanian sebahagian daripada mereka tergoncang. Pantas tampillah mereka; para pendahaga tadi. Air yang sanggup mereka dahagakan tadi, telah diganti dengan oasis kemenangan di depan mata, hingga tampillah kata-kata menang dari mulut mereka; Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah berkata:
"Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."(Surah al-Baqarah [2]:249)

Lalu ALLAH pun membalas pengorbanan suci mereka;
“Mereka (tentara Thalut) mengalahkan tentara Jalut dengan izin Allah dan (dalam peperangan itu) Daud membunuh Jalut, kemudian Allah memberikan kepadanya (Daud) pemerintahan dan hikmah, (sesudah meninggalnya Thalut) dan mengajarkan kepadanya apa yang dikehendaki-Nya. Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rusaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai karunia (yang dicurahkan) atas semesta alam.” (Surah al-Baqarah [2]:251)

Belajarlah daripada mereka. Sesungguhnya kemenangan dan kejayaan itu akan terhidang, tatkala kita sudah siap menukarkan kedahagaan terhadap dunia, kepada kedahagaan terhadap akhirat. Dahaga terhadap air sungai, dengan dahaga terhadap kematian syahid nan mulia. Dahaga yang membasahi tekak, dengan dahaga memperjuangkan Islam lalu membawakan kemuliaan.

Maka adakah anda, wahai saudaraku, sudah bersedia men”dahagakan” diri anda dari kesibukan urusan dunia, untuk melepaskan “kedahagaan” itu dengan urusan di jalan ALLAH? Moga tergolong, bersama golongan yang sabar.

RUJUKAN

[1] Sayyid Quthb, “Tafsir fi Zhilalil Qur’an (Jilid II)”, Gema Insani Press (2000), ms. 181-183

 

 Posted on 13 July 2007

 

Credit picture:  checkcheck-rockrock.blogspot.com via GoogleImage

 

Thursday, November 3, 2011

[serial pengorbanan]: DEMI RASULKU YANG TERCINTA

[serial pengorbanan]: DEMI RASULKU YANG TERCINTA

Oleh: Ir. Faridul Farhan Abd Wahab “bisakah ketemu al-Musthafa di Syurga?”

 

Tatkala duduk Umar Abdul Aziz di atas mimbar dewan pada hari pertama kekhalifahannya, datang orang ramai mengucapkankan tahniah di atas pemerintahan yang, di kemudian harinya, memahat legacynya yang tersendiri. Selanjutnya, masuk tiga orang pemuda yang sedang berada di puncak usia kemudaan, lalu langsung duduk di atas kerusi. Pantas bertanya sang amirul mukminin; “anak siapakah kalian?”

Jawab pemuda pertama; “Anak gabenor Basrah pada masa pemerintahan Abdul Malik ibnu Marwan.” Umar ibnu Abdul Aziz diam tak berkata.

“Aku anak salah seorang panglima pasukan yang ada di bawah pimpinan al-Walid ibnu Abdul Malik,” jawab pemuda kedua. Terdiam juga sang khalifah, tidak ada apa yang boleh menarik minatnya.

Tiba giliran pemuda ketiga. “Aku adalah anak Qatadah ibnu Nu’man al-Anshari, yang matanya terluka dalam perang Uhud bersama Rasulullah SAW hingga bola matanya keluar sampai ke pipinya, kemudian Rasul SAW mengembalikan matanya itu ke tempatnya dengan tangannya yang mulia.”

Umar ibnu Abdul Aziz pun meneteskan air matanya dan menoleh kepada pemuda itu seraya berkata: “Itulah kemuliaan yang sesungguhnya, bukan seperti sewadah susu dicampur dengan air, kemudian sesudah itu keduanya menjadi air seni.” [1]

Di saat yang lain, Abu Ubaidah menggigit kepingan rantai topi besi yang singgah di kedua pipi Nabi SAW yang mulia, dengan menggunakan giginya, lantaran khuatir akan menyakiti Rasulullah SAW, hingga giginya serinya sendiri goyah. Demikian Abu Bakar mahu mencabut kepingan besi yang lain, berkata Abu Ubaidah, “Demi ALLAH, aku mohon kepadamu wahai Abu Bakar, biarlah kutangani sendiri!” [2]

Medan Uhud telah menjadi saksi akan kehebatan dan kebesaran jiwa para sahabat. Di tangan mereka, pengorbanan mendapat makna yang baru, bahkan lebih mendalam: iaitu cintakan Rasul SAW. Di hati sanubari mereka, Rasul-Nya SAW sentiasa hidup, hingga wajarlah hari-hari mereka dipenuhi pengorbanan-pengorbanan, yang memakamkan nama mereka dengan seribu satu karya kebesaran terhadap agama tercinta ini.

Di dalam hatiku selalu terdengar suara Nabi
Yang memerintahkan;
“Berjihadlah, berjuanglah, dan lelahkan dirimu”
dan berseru;
“menanglah, tuntutlah dan berlatihlah
dan juga berseru;
“jadilah kamu selamanya
orang yang merdeka lagi pantang menyerah” [3]

Tidak hairanlah, cinta sering membuahkan kegilaan, yang tersurat di balik sebuah pengorbanan. Tapi, cinta yang tulus pada Rasul, menjadikan kemuliaan tersirat di balik pengorbanan itu. Ia umpama matahari yang menyinari tanaman: tanaman hidup tinggi menggapai awan. Sedang cinta yang batil sekadar menyirap kegelapan di balik makna pengorbanan itu. Lalu sang tumbuhan pun tumbuh layu menanti saatnya mati dan dibasmikan.

Dengar, Sahabat,
Cinta bagaikan matahari
Hati tanpa cinta
Tak lain adalah sekeping batu! [4]
-Kabakli


Cinta Rasul umpama urat nadi, dan pengorbanan itu gerak langkah, yang mendapat sumber kekuatannya dari denyutan urat nadi dan degupan jantung itu. Bukankah hati yang cinta menghasilkan degupan jantung yang lebih kencang?

Lalu peristiwa besar pun muncul. Umat yang tadinya tidak mengenal suatu aturan, lebih mudah diatur. Suatu umat yang tadinya tidak mengenal ketaatan, akan ditanami ketaatan. Apalagi ketaatan terhadap kebenaran, bukan pada kebatilan. Itulah suatu babak kemenangan yang baru dalam sejarah penyadaran bangsa Arab [5].

Cinta Rasul-lah yang mengilhamkan Aus dan Khazraj yang selamanya bermusuh untuk mengorbankan keegoan dan kepentingan masing-masing demi sebuah episod baru dalam diari kehidupan; iaitu persaudaraan. Hinggakan watak-watak yang saling kontradiktif –bak kata al-Maududi tatkala mahu memberikan gambaran yang mudah tapi indah tentang Islam [6]- bisa bahu-membahu seperti sepasang tubuh yang menggabungkan beraneka jenis kepelbagaian: pendengaran, penglihatan, pertuturan, gerak tangan, gerak kaki, dan lain-lain fungsi kehidupan. Itulah keajaiban dan kebijaksanaan Tuhan. ALLAH tidak menganugerahkan skill kehidupan ini secara setara kepada manusia, hinggakan manusia tidak merasa ketidak-perluan terhadap manusia lainnya. Tetapi saling kepelbagaiannya kita, bahkan menjadikan kita umpama sebuah pasukan bola sepak: ada strikernya, ada midfieldnya, ada defendernya, ada keepernya, ada simpanannya, ada tukang soraknya, ada tukang cemuhnya, ada tukang bancuh airnya… Namun setiap satu saling berinteraksi dengan yang lainnya. Satu saling memperlengkap yang lain-lainnya.

Maka tumbuhkanlah cinta Rasul dalam hatimu, agar pengorbanan bisa terwatak kembali di atas pentas kehidupan, lalu kemudian bercambah menjadi “hero-hero” yang mendominasi “pawagam ketamadunan”.


RUJUKAN

[1] Dr. ‘Aidh bin ‘Abdullah al-Qarni, “Hidupkan Hatimu (ilallazina asrafu ‘ala anfusihim)”, Irsyad Baitus Salam (2006), ms. 31-32

[2] Syaikh Shafiyyur-Rahman al-Mubarakfury, “Sirah Nabawiyah (ar-Rahiqul Makhtum, Bahtsun fis-Sirah an-Nabawiyah ala Shahibiha Afdhalish-shalati was-salam)”, Pustaka al-Kautsar (2000), ms. 350-351

[3] Muhammad Ahmad ar-Rasyid, “Pelembut Hati (ar-Raqa’iq)”, Robbani Press (2003), ms. 277

[4] Yunasril Ali, “Jatuh Hati Pada Ilahi”, PT Serambi Ilmu Semesta (2003)

[5] Sa’id Hawwa, “Ar-Rasul Muhammad SAW”, CV Pustaka Mantiq (1991), ms. 516-517

[6] Abul A’la Maududi, “Towards Understanding Islam,” Islamic Foundation (1973), pg. 28

 

 

[dipost pada 25 Jun 2007)

Wednesday, November 2, 2011

[serial pengorbanan]: ORANG BESAR

[bersempena dengan kedatangan Aidil Adha, blog Tadabbur al-Engineer memaparkan kembali artikel-artikel Serial Pengorbanan yang dipetik daripada blog lama i.e. faridul.blogspot.com]

 

[serial pengorbanan]: ORANG BESAR
Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab “tubuh kecil, jiwa besar”

Dia hanyalah seorang wanita. Tapi, kewanitaan itu tidak menghalangnya melangkah berani dan gagah mendokong kebenaran Ilahi. Hameedah Qutb tetap tegar dan tabah, sungguh pun disiksa dengan pelbagai cara, malah dipujuk untuk mengakui perbuatan yang tidak dibuat oleh dirinya,[1] namun tetap unggul sebagai individu yang “besar”.

Barangkali keluarga Qutb ini memang mempunyai baka yang hebat. Bukan saja Syed Qutb seorang, bahkan adik-beradiknya yang lain, hatta hingga adik perempuannya bernama Hameedah Qutb, bisa muncul sebagai manusia-manusia “besar”, di saat lelaki-lelaki lain hidup bak pengecut berjiwakan kekerdilan. Lalu Syed mengungkapkan rahsianya; “orang yang hidup bagi dirinya sendiri akan hidup sebagai orang yang kerdil dan mati sebagai orang kerdil. Akan tetapi, orang yang hidup bagi orang lain akan hidup sebagai orang besar dan mati sebagai orang besar.” [2]

Ertinya, “kebesaran” orang itu bukanlah diukur dari sisi pangkatnya. Tidak juga dari sudut keturunannya. Tapi, “kebesaran” seseorang itu, justeru dilihat dari sejauh mana hidupnya itu buat orang lain. Hidupnya itu untuk umat. Dirinya itu milik umat. Dan nyawanya itu diakhiri buat menyalakan pelita umat.

Tidak hairanlah Umar al-Khattab, di saat memenuhi appointment para sahabatnya di zaman kekhilafahannya, mendahulukan Bilal, kemudian Shuhaib, kemudian Salman, kemudian Ibnu Mas’ud, sehingga memetik suis kebengangan Abu Sufyan. “Aku tidak mengira bila Umar membuatku lama menanti sesudah mereka masuk terlebih dahulu sebelumku,” keluh Abu Sufyan kemarahan.

Namun, Umar punya parameternya yang tersendiri, tatkala memilih “orang besar” yang harus ia utamakan. Maka sang bijak Suhail Ibnu ‘Amr pun menegur, “Wahai Abu Sufyan, demi ALLAH, aku tidak peduli dengan pintu ‘Umar dan izinnya. Akan tetapi, aku khuatir bila kita dipanggil pada hari kiamat nanti, maka mereka akan masuk Syurga, sedang kita ditinggalkan, kerana sesungguhnya mereka dan kita ketika diseur, ternyata merekalah yang menyambutnya, sedang kita terlambat. Mereka telah mengenal, sedang kita mengingkari. Oleh kerana itu, pantaslah bila mereka didahulukan, sedang kita dikemudiankan.” [3]

Aduh, apalah kebesaran pada pangkat dan kekayaan seorang Abu Sufyan, berbanding pengorbanan dan keteguhan seorang Bilal, yang tetap tegar diseksa di atas padang pasir di tengah panas yang terik, sambil mulut tetap mantap mengungkapkan kalimah kebesaran: “Ahad!ahad!”

Maka kebesaran itu –sekali lagi- bukanlah pada kekayaan. Bukan juga pada keturunan. Apatah lagi pada gelaran. Bahkan, “orang besar” itu, bukanlah mereka yang mengendarai Mercedes atau BMW, tetapi mereka yang mengendarai “kenderaan kemuliaan”, dipandu oleh keimanan, diputar oleh roda keberaniaan, dikusyen oleh kerusi kesabaran, dan distartkan oleh pengorbanan. Itulah orang-orang yang besar: mereka yang darah dan air matanya milik umat, bukan membangun kekayaan di atas wang dan jerih perih umat!

Maka apalah ada pada gelaran “datuk” buat para artis wanita, dibanding gelar “mujahidah” buat “orang besar” wanita, umpama Zainab al-Ghazali mahu pun Hameedah Qutb?

RUJUKAN

[1] Riduan Mohammad Nor, “Sejarah & Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden”, MHI Publication (2007), ms. 39-41

[2] Anis Matta, “Mencari Pahlawan Indonesia”, The Tarbawi Center (2004), ms. 15

[3] Dr. ‘Aidh bin ‘Abdullah al-Qarni, “Hidupkan Hatimu,” Irsyad Baitus Salam (2006), ms. 24-25

 

Tarikh paparan: 4 Jun 2007