Followers

Sunday, November 20, 2011

Inverter ( Variable Speed Drive)

Hari ini, dunia sedang beralih ke Green Technology. Segala-galanya harus mesra alam, selain mampu menjimatkan tenaga (energy efficient). Kereta yang sedang hangat adalah kereta hybrid, di mana Honda dan Toyota mengungguli carta kereta jimat minyak dengan model Insight dan Prius yang menggabungkan motor berkuasa bateri enjin berkuasa petrol.

 

Lampu pilihan pula ada lampu T5 selain lampu LED yang kononnya mampu menjimatkan elektrik sehingga 30%, selain kecerahan yang tidak kurang terangnya berbanding lampu konvesional yang biasa. Begitu juga dengan mesin basuh, pun ada yang energy efficient, baik penjimatan elektrik mahupun penjimatan air. Manakala untuk air cond dan peti ais, beralihlah ke jenis inverter, apatah lagi ada sedikit rebat untuk membantu mempromosikan lagi pembelian peralatan yang energy efficient ini.

 

Saudaraku,

Tahukah kamu bahawa penggunaan istilah inverter untuk air cond dan peti ais yang jimat elektrik, secara engineeringnya adalah kurang tepat. Ini kerana, penjimatan elektrik itu berlaku kerana adanya sistem yang kita panggil Variable Speed Drive (VSD) yang berfungsi untuk mengawal kelajuan motor pada penghawa dingin atau peti ais, sekaligus mengelakkan motor daripada beroperasi pada kuasa yang tidak sepatutnya.

 

Perkakasan elektrik konvensional yang tiada inverter (lebih tepatnya tiada VSD), akan menyaksikan motor elektrik akan on-off secara berkala. Misalnya , untuk suhu bilik mencapai 20oC, motor akan beroperasi pada kelajuan maksimumnya, hinggalah suhu bilik mencapai suhu yang dikehendaki. Kemudian motor itu akan berhenti. Tetapi, dengan berhentinya motor itu, suhu bilik akan kembali naik, lalu motor terpaksa on kembali, dan beroperasi pada kelajuan maksimum, sehinggalah suhu bilik mencapai 20oC yang dikehendaki tadi. Begitulah seterusnya. Inilah yang mengakibatkan tenaga terbuang. Satu kerana motor beroperasi pada kelajuan maksimum setiap kali beroperasi, yang bererti menggunakan tenaga kuasa yang juga maksimum. Kedua, dek kerana motor akan selalu on-off, menyebabkan starting currentnya juga tinggi. Untuk makluman, motor akan menggunakan arus sebanyak 6 ke 7 kali ganda lebih tinggi daripada biasa, tatkala memulakan operasinya.

 

Di sinilah Variable Speed Drive memainkan peranannya. Motor pada sesebuah peralatan yang dilengkapi inverter atau VSD tadi akan sentiasa beroperasi, tetapi pada kelajuan yang berbeza-beza. Bila suhu bilik rendah, motor akan berputar pada kelajuan yang kurang, menggunakan kuasa yang kurang, selanjutnya mengelakkan starting current dek permulaan operasi sang motor daripada berlaku.

 

Dalam erti kata lain, VSD bolehlah difahami sebagai amal yang istimrar (berterusan), atau orang kita biasa panggil sebagai istiqamah. Yang dikehendaki oleh Allah bukanlah sesebuah amal yang “starting currentnya tinggi”, kemudian terhenti, sebaliknya cukuplah amal itu maintain, biat pun kurang gah pada pandangan indera manusia. Sabda Nabi SAW:-

 

Daripada Aisyah r.ha., Nabi s.a.w. bersabda: "Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit."

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Biasakan diri kamu di atas cara yang betul (pertengahan),dan janganlah kamu melampau (melakukan sesuatu), berpagi-pagilah (melakukan kerja) dan berehatlah, dan (kerjakan) sedikit amalan di akhir malam dan bersederhanalah,nescaya kamu akan sampai (kepada matlamat)."

(Hadis riwayat Bukhari)

 

Kerana itu, janganlah mentargetkan suatu amal yang kelihatannya gah, tetapi sulit untuk dikekalkan, kerana amal yang berterusan biarpun kelihatannya tidak gah, ia lebih energy saving buat kita semua.

 

Beralihlah ke Green Technology dengan segera…

 

 

 

 

3 comments:

  1. Mashallah, terharu-nya & terasa bila pd awal-nya memg sgt membantu dlm memahami dlm penggunaan VSD pd air-cond; tapi bila tiba2x masuk bab istiqamah, subhanallah. .memg benar2x relven utk dikaitkan sprt penerangan sprt VSD tadi. jzkk

    ReplyDelete
  2. Boleh pinjam keta toyota hybrid he2..

    ReplyDelete