Followers

Monday, November 25, 2013

[JOM]: Hijau

GREEN

Oktober lepas, Pusat Konvensyen KLCC sekali lagi menjadi tuan rumah kepada iGEM: International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia. Persidangan dan pameran ini adalah anjuran bersama KeTTHA (Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau & Air) serta beberapa agensi-agensi lain yang terlibat sama dengan "teknologi hijau" ini.


Tatkala anda mendengar tentang iGEM ini, agak-agak anda, apakah produk-produk yang bakal anda ketemui di sana? Jika anda menjawab produk-produk yang bersangkut-paut dengan "tenaga solar", maka jawapan dan tekaan anda itu tepat. Memang benar, produk-produk tenaga solar mendominasi iGEM untuk kali ini. Namun begitu, harus diingat bahawa tenaga solar bukanlah satu-satunya tenaga yang dikategorikan sebagai tenaga hijau. Apa-apa sahaja tenaga yang tidak mencemarkan alam sekitar, termasuk tenaga nuclear, bisa dikategorikan sebagai tenaga hijau.

Nah, apakah yang Islamik tentang semua ini? Jika anda bertanggapan bahawa iGEM dan yang sewaktu dengannya seolah-olah tidak ada hubung-kait langsung dengan deenul Islam yang mulia ini, sungguh anda sedang mempunyai pandangan dan pemahaman yang amat salah. Ini kerana, di saat kita melaung-laungkan betapa Islam itu lengkap, bahawa Islam itu penyelesai kepada semua dan segala permasalahan, bahawa Islam is not just the "way" of life¸tapi Islam is life itself¸ namun pada hakikatnya kita sendiri secular, dengan merasakan Islam itu hanya khusus pada ritual dan ibadah-ibadah khususiyyah semata-mata. Seakan-akan Islam itu tidak peduli akan teknologi, ianya akan berkisar solat, puasa, dan air jampi semata-mata, hingga wajarlah semakin banyak produk merapu tapi disandarkan kepada Islam yang memenuhi pasaran tempatan.

Saya teringat kisah masyhur tentang pandangan Nabi SAW terhadap kaedah penanaman kurma.

Dari Anas bahwa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah melewati suatu kaum yang sedang mengawinkan pohon kurma lalu beliau bersabda: "Sekiranya mereka tidak melakukannya, kurma itu akan (tetap) baik." Tapi setelah itu, ternyata kurma tersebut tumbuh dalam keadaan rusak. Hingga suatu saat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melewati mereka lagi dan melihat hal itu beliau bertanya: 'Ada apa dengan pohon kurma kalian? Mereka menjawab; Bukankah anda telah mengatakan hal ini dan hal itu? Beliau lalu bersabda:  'Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian. (HR Muslim, no. 4358)

Daripada hadith di atas, kita dapati bahawa tidak semua perkataan dan pendapat Nabi SAW menjadi sunnah yang wajib diikuti. Hadith di atas adalah contoh nyata bahawa baginda Nabi SAW tidaklah turun ke muka bumi ini, untuk menjadi pakar atau professor di dalam bidang pertanian. "Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian," begitu, kata Nabi SAW. Dan "urusan dunia kalian" itu pula, tidak membawa maksud ianya tidak Islamik. Jika tidak, nescaya Nabi SAW pasti menasihati kaum yang mengawinkan pohon kurma itu dengan nasihat seperti "ini semua dunya syeikh…" atau "jika kalian beriman kepada Allah dan Rasul, maka tinggalkanlah pekerjaan kalian yang tidak Islamik ini, sebaliknya jadilah ustaz…. atau jadilah duta produk berasaskan jampi-jampi…" dan lain-lain nasihat yang berguna lagi bermanfaat buat umat baginda ini. Tetapi ternyata tidak, Nabi SAW yang bijak itu tidak mengeluarkan perkataan yang sedemikian, kerana apa sahaja urusan pekerjaan, selagi mana ianya tidak bertentangan dengan nash yang nyata dari segi syara', maka ianya dibenarkan. Dan apa-apa yang dibenarkan lagi bermanfaat untuk umat, maka ianya Islamik, kerana Islam itu is life. Ya, Islam itu is life itself.

Contoh yang lain, adalah dalam Perang Badar Al-Kubra. Nabi SAW, sungguh pun dibimbing oleh wahyu, dan sungguhpun beliau mengetuai langsung peperangan itu, namun tatkala beliau memilih tempat untuk mendirikan base camp berdasarkan pandangan strategi peperangannya, lantas sahabat bernama Habbab Bin Munzir bertanya kepada Rasulullah, seraya mencadangkan tempat lain –lebih tepatnya mata air- sebagai tempat yang lebih ideal untuk dijadikan base camp pasukan Mujahidin Islam. Tenyata, Nabi SAW menerima pandangan yang bernas itu. Baginda menyetujui pandangan yang sifatnya "kalian lebih tahu urusan dunia kalian" itu. Tidak pula Nabi SAW kata; "cilakak kau Habbab! Tak wala'! tak taat! Tak tsiqah! Keluar Jemaah!" dan lain-lain ungkapan kebudak-budakkan yang sering kali dikeluarkan oleh kita yang "perasan" punya bakat kepimpinan ini.

Ini menunjukkan bahawa Islam menerima "urusan dunia kalian." Maka tatkala kita melihat Islam daripada jendela ini, barulah kita mampu mengembalikan zaman kegemilangan Islam, di mana suatu masa dahulu, umat Islam pernah mengungguli dan menerajui tamadun seantero dunia! Ustaziyah ├ílam, begitu kata-kata Hassan Al-Banna dalam maratibul amalnya. Islam harus dipamerkan sebagai agama yang terkehadapan dalam segenap hal. Maka apabila berbicara tentang pelapik kaki misalnya, tidaklah sepatutnya kita gambarkan kepada masyarakat –Muslim dan Non-Muslim- bahawa pelapik kaki yang Islamik adalah seperti bentuk capal Rasulullah SAW.

   
·         Capal Rasulullah: mana satu yang tiruan, mana satu yang ori?

Apakah baginda Nabi SAW pernah mengeluarkan hadith; "bercapallah seperti bentuk capalku?" Nah, jika tidak ada, saya ingin bertanya pula, kenapa hanya bentuk capalnya sahaja yang sunnah, sedangkan material yang digunakan dalam capal yang kononnya sunnah itu, tidaklah pula sama dengan material yang digunakan oleh baginda Nabi? Warnanya pula ada warna-warni. Nah, kenapa warnanya pula boleh berbeza, dan tidak dianggap sebagai sunnah? Lihatlah betapa kartunnya pemikiran kita. Capal yang dianggap sunnah hanya pada bentuk, tidak pada material, atau warna, dan yang lain seumpamanya. Habis, bagaimana pula dengan khuf, yang mana Ar-Rasul menggajarkan kepada kita, andainya ingin berwudhuk, cukuplah dengan menyapu bahagian atasnya sahaja bukan bahagian bawah. Apakah memakai khuf tidak menepati sunnah? Apakah sahabat baginda yang mulia, Saydina Usman Al-Affan juga tidak mengikuti sunnah tatkala memilih bentuk capal yang lain daripada bentuk capalnya Rasulullah? Diceritakan di dalam Syamail Muhammadiyyah Imam At-Tirmidzi, hadith ke-84;

Abu Hurairah berkata: "Capal Rasulullah, Abu Bakar dan Umar mempunyai dua tali qibal. Usman adalah orang yang pertama menggunakan capal dengan satu tali qibal."(HR Tirmidzi)

Mengapa tidak kita bercerita bahawa lapik kaki yang Islami itu adalah pelapik yang memenuhi ahdaf (tujuan penggunaannya), yang fit for purpose. Yang mempunyai ciri-ciri keselamatan misalnya, atau yang mempunyai kualiti yang tinggi.. Apakah safety shoe yang dipakai oleh pekerja construction itu tidak dianggap Islamik? Kenapa tidak kita –atas semangat hadith Rasulullah yang menyeru kita memberikan the very best, ihsan- mencipta kasut yang paling "gempak" lagi marketable? Kasut yang boleh mengurangkan keletihan misalnya, dengan sekali lompat boleh menjangkau puluhan kilometer sebagai contoh. Sekurang-kurangnya designer kasut daripada Barat lebih terkehadapan berbanding kita, dengan mereka kasut budak-budak yang ada roda dan seumpamanya.

Kerana itulah, sepatutnya umat Islamlah yang lebih dan paling memperjuangkan green technology ini, berbanding environmentalist-environmentalist (pejuang alam sekitar) daripada Barat. Ini kerana, Islam is against perbuatan yang merosakkan alam sekitar, seperti yang disebut dalam banyak tempat di dalam Al-Quran:

Kerana itu, jika anda bertanya kepada saya "apakah ciri-ciri kereta yang Islamik?" maka berbanding setengah pihak yang mengatakan kereta Islamik yang akan mereka bangunkan adalah kereta yang mempunyai kompas (untuk menunjukkan arah Kiblat) dan tempat untuk meletak telekung/ sejadah (bukankah Pajero dan lain-lain kereta 4WD menepati ciri-ciri tersebut?), saya akan katakan bahawa kereta yang Islamik itu contohnya adalah kereta hybrid. Bukankah kereta hybrid environmental friendly serta menjimatkan minyak? Bukankah ciri-ciri sebegini yang dikehendaki oleh Islam? Firman Allah:

"Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan."
(Surah Al-Baqarah[2]:11)

"Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."
(Surah Al-Isra' [17]:27)

Kerana itu jika kita melihat Islam hanya pada surface (permukaan/ luaran) semata-mata bukan pada essence (inti), maka untuk kita bangunkan kereta yang Islamik itu adalah dengan cara memakaikan serban pada bumbung kereta, sedang tayar kereta pula kita pakaikan dengan capal Rasulullah. Minyak petrolnya pula telah dijampi dan dibacakan Yasin 3 kali. Nah, sebeginikah kereta yang Islamik menurut anda?

Dengan mengambil dan memasuki Islam secara sepenuhnya dan sebetulnya, insyaAllah harapan untuk melihat Islam kembali menguasai bumi akan menjadi nyata. Maka sudah tiba masanya, untuk kita go green! Tapi bukan pemarah seperti Incredible Hulk ya….



Ir. Faridul Farhan Abd Wahab
Pengamal "Rusmul Bayan"



Monday, November 18, 2013

Shakespear


Sejak saya kembali mengalami masalah untuk posting artikel terbaru ke blog ini, saya jadi semakin malas untuk menulis. Lantas, saya kembali kepada sasaran atau "mutaba'ah" asal saya dalam menulis, iaitu minimum 1 artikel setiap 2 minggu. Bagi mereka yang mempunyai "x-factor" dalam dunia penulisan, yakni tulisan mereka bukan sekadar ditunggu-tunggu, malahan berjaya menimbulkan kesan yang mendalam kepada masyarakat dan pembacanya, saya berpandangan mereka harus kekal aktif menulis. Contoh-contoh mereka yang dikurniakan Allah dengan "x-factor" ini adalah seperti Dr. Maza, atau Ustaz Hasrizal, atau angel pakai Gucci, dan yang sama waktu dengannya. Saya pula hanyalah penulis biasa, maka tempoh selang 2 minggu untuk menghasilkan artikel tidaklah sekritikal penulis-penulis hebat yang saya sebutkan tadi.

Tetapi untuk berhenti terus daripada menulis, itu tidak patut. Melainkan "bertukar angin" misalnya, yang itu tidak mengapa. Tetapi berhenti terus daripada sebuah bidang dakwah, adalah suatu kefuturan yang sewajarnya dielakkan. Apatah lagi penulisan sebagai salah satu medium dakwah merupakan sebuah medium penting yang dapat membentuk dan mempengaruhi minda dan gaya berfikir umat manusia. Ini kerana yang namanya Jahiliyah, turut melakukan hal yang sama, dan itulah yang kita kenali sebagai ghazwul fikri.

Amru Khalid, sang motivator ulung tanahair Mesir, menyentuh peri-pentingnya medium publikasi ini di dalam bukunya Khowathir Qur'aniyah: nazharat fi ahdafi suwaril Qur'an. Amru Khalid ketika mentadabburi Surah Asy-Syu'araa, surah yang ke 26 di dalam Al-Quran, menyatakan betapa di antara mesej dan ahdaf yang dapat kita pelajari daripada Surah ini adalah berkenaan peri-pentingnya publikasi di dalam menyampaikan fikrah secara baik.

To be or not to be? That is the question – William Shakespear

Kerana itu, strategi yang diguna pakai oleh Nabi SAW senantiasa mengambil kira akan hal yang berhubung kait dengan yang demikian. Misalnya adalah, pemilihan ketua delegasi Islam ketika Hijrah ke Habsyah. Di dalam buku Manhaj Haraki, Syaikh Munir Muhammad Ghadban menyebutkan betapa di antara strategi yang digunakan oleh Musyrikin Quraisy guna meyakinkan Najasyi untuk menyerahkan orang-orang Islam kepada mereka, salah satunya adalah pemilihan utusan yang dikenal pasti paling cemerlang dari segi kepandaian berdiplomasi, kecerdasan dan kecerdikan. Dan orang itu adalah Amr bin Al-Ash. Oleh yang demikian, umat Islam pun sewajarnya melantik "debater PPM" juga untuk menghadapi hujah Amr bin Al-Ash, dan dek yang demikianlah, Ja'far bin Abi Thalib yang dipilih.

Keduanya, tatkala Ar-Rasul mengutus utusan untuk menyampaikan risalah dakwah kepada para raja-raja, maka An-Nabi SAW memilih di kalangan sahabat yang tidak sekadar fasih, malah mempunyai rupa paras yang menawan. Ala-ala model, gitu. Mengapa? Kerana ini strategi: baginda ingin meninggalkan impak yang positif di kalangan pembesar empayar-empayar dunia.


Nah, oleh yang demikian, sewajarlah gerakan-gerakan dakwah mengenal pasti kader-kader mereka yang mempunyai "x-factor" sebegini. Membantu mereka. Memposisikan mereka. Dan mempromosikan mereka, berkat kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada mereka.

Kita sewajarnya membuang kepercayaan karut kononnya Islam tidak memerlukan mereka yang mempunyai x-factor ini, lantaran "tokoh itu dilahirkan oleh Jemaah/ tarbiyah." Kerana if that is the case, panutan dan qudwah kita di dalam dakwah ini, Nabi SAW sahaja pernah berdoa memohon ALLAH SWT memperkuatkan Islam dengan salah seorang yang mempunyai x-factor ini: Umar, ataupun Abu Lahab. Apakah dikeranakan doa An-Nabi SAW itu, dakwah dan tarbiyah Nabi SAW bisa dikategorikan gagal, lantaran seakan tidak meyakini x-factor yang dimiliki, yang belum kelihatan, di kalangan sahabat yang sedia beriman?

Jika Barat berbangga dengan William Shakespearnya, maka dunia Islam ada Muhammad Iqbal (India). Ada Syed Qutub (Mesir) dan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Malah ada juga Buya Hamka. Maka medan dakwah kita di Malaysia merindukan banyak lagi penulis profilik, lantaran dunia penulisan apa lagi di zaman multimedia ini, sangat berpengaruh dalam membangun opini dan membentuk pandangan massa. Soalnya: adakah anda penulis profilik itu?