Sejak saya kembali mengalami masalah untuk posting artikel terbaru ke blog ini, saya jadi semakin malas untuk menulis. Lantas, saya kembali kepada sasaran atau "mutaba'ah" asal saya dalam menulis, iaitu minimum 1 artikel setiap 2 minggu. Bagi mereka yang mempunyai "x-factor" dalam dunia penulisan, yakni tulisan mereka bukan sekadar ditunggu-tunggu, malahan berjaya menimbulkan kesan yang mendalam kepada masyarakat dan pembacanya, saya berpandangan mereka harus kekal aktif menulis. Contoh-contoh mereka yang dikurniakan Allah dengan "x-factor" ini adalah seperti Dr. Maza, atau Ustaz Hasrizal, atau angel pakai Gucci, dan yang sama waktu dengannya. Saya pula hanyalah penulis biasa, maka tempoh selang 2 minggu untuk menghasilkan artikel tidaklah sekritikal penulis-penulis hebat yang saya sebutkan tadi.
Tetapi untuk berhenti terus daripada menulis, itu tidak patut. Melainkan "bertukar angin" misalnya, yang itu tidak mengapa. Tetapi berhenti terus daripada sebuah bidang dakwah, adalah suatu kefuturan yang sewajarnya dielakkan. Apatah lagi penulisan sebagai salah satu medium dakwah merupakan sebuah medium penting yang dapat membentuk dan mempengaruhi minda dan gaya berfikir umat manusia. Ini kerana yang namanya Jahiliyah, turut melakukan hal yang sama, dan itulah yang kita kenali sebagai ghazwul fikri.
Amru Khalid, sang motivator ulung tanahair Mesir, menyentuh peri-pentingnya medium publikasi ini di dalam bukunya Khowathir Qur'aniyah: nazharat fi ahdafi suwaril Qur'an. Amru Khalid ketika mentadabburi Surah Asy-Syu'araa, surah yang ke 26 di dalam Al-Quran, menyatakan betapa di antara mesej dan ahdaf yang dapat kita pelajari daripada Surah ini adalah berkenaan peri-pentingnya publikasi di dalam menyampaikan fikrah secara baik.
To be or not to be? That is the question – William Shakespear
Kerana itu, strategi yang diguna pakai oleh Nabi SAW senantiasa mengambil kira akan hal yang berhubung kait dengan yang demikian. Misalnya adalah, pemilihan ketua delegasi Islam ketika Hijrah ke Habsyah. Di dalam buku Manhaj Haraki, Syaikh Munir Muhammad Ghadban menyebutkan betapa di antara strategi yang digunakan oleh Musyrikin Quraisy guna meyakinkan Najasyi untuk menyerahkan orang-orang Islam kepada mereka, salah satunya adalah pemilihan utusan yang dikenal pasti paling cemerlang dari segi kepandaian berdiplomasi, kecerdasan dan kecerdikan. Dan orang itu adalah Amr bin Al-Ash. Oleh yang demikian, umat Islam pun sewajarnya melantik "debater PPM" juga untuk menghadapi hujah Amr bin Al-Ash, dan dek yang demikianlah, Ja'far bin Abi Thalib yang dipilih.
Keduanya, tatkala Ar-Rasul mengutus utusan untuk menyampaikan risalah dakwah kepada para raja-raja, maka An-Nabi SAW memilih di kalangan sahabat yang tidak sekadar fasih, malah mempunyai rupa paras yang menawan. Ala-ala model, gitu. Mengapa? Kerana ini strategi: baginda ingin meninggalkan impak yang positif di kalangan pembesar empayar-empayar dunia.
Nah, oleh yang demikian, sewajarlah gerakan-gerakan dakwah mengenal pasti kader-kader mereka yang mempunyai "x-factor" sebegini. Membantu mereka. Memposisikan mereka. Dan mempromosikan mereka, berkat kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada mereka.
Kita sewajarnya membuang kepercayaan karut kononnya Islam tidak memerlukan mereka yang mempunyai x-factor ini, lantaran "tokoh itu dilahirkan oleh Jemaah/ tarbiyah." Kerana if that is the case, panutan dan qudwah kita di dalam dakwah ini, Nabi SAW sahaja pernah berdoa memohon ALLAH SWT memperkuatkan Islam dengan salah seorang yang mempunyai x-factor ini: Umar, ataupun Abu Lahab. Apakah dikeranakan doa An-Nabi SAW itu, dakwah dan tarbiyah Nabi SAW bisa dikategorikan gagal, lantaran seakan tidak meyakini x-factor yang dimiliki, yang belum kelihatan, di kalangan sahabat yang sedia beriman?
Jika Barat berbangga dengan William Shakespearnya, maka dunia Islam ada Muhammad Iqbal (India). Ada Syed Qutub (Mesir) dan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Malah ada juga Buya Hamka. Maka medan dakwah kita di Malaysia merindukan banyak lagi penulis profilik, lantaran dunia penulisan apa lagi di zaman multimedia ini, sangat berpengaruh dalam membangun opini dan membentuk pandangan massa. Soalnya: adakah anda penulis profilik itu?
moga ustaz terus istiqamah menulis...kerana saya adalah antara yang menunggu nunggu pengisian melalui tulisan tulisan ustaz..
ReplyDeleteinsyaAllah. Doakan saya
ReplyDelete