Followers

Thursday, October 31, 2013

[JOM]: MENDUNG


(Memandangkan Majalah JOM! baru pun dah keluar, maka saya tak jadi untuk meneruskan penulisan berkenaan "Pasca JOM!" berkenaan Ma'rifatul Jahiliyah.Harap maklum)

MENDUNG

"Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
(Surah Al-MaĆ­dah [5]:18)

Sementara menunggu iqamat solat Zohor, saya menghiburkan hati saya dengan mentilawahkan beberapa butir ayat Al-Quran. Kebetulan, salah satunya adalah ayat ini. Dan suasana semasa ketika itu: hari yang mendung bahkan hujan, masa depan yang "mendung" dek naiknya harga petrol pada tengahmalam sebelumnya, serta suara saya yang turut "mendung" dek sakit tekak yang memeritkan, menjadikan ayat yang saya baca ini begitu "kena" dan menyentuh hati.

Saya mentadabburi ayat ini, dengan menjadikan dhamir "mereka" itu menjadi dhamir "kami". Ertinya, ayat ini sungguhpun dari segi asbabun nuzulnya turun untuk umatnya Nabi Isa A.S. –demikian menurut Tafsir al-Maraghi- tetapi saya merasakan seakan ayat ini turun untuk diri saya sendiri. Yang sangat lemah. Yang tidak banyak berbuat, malah sering tersadung dan berbuat dosa. Seakan, ayat ini turun khusus buat diri saya, hingga harus merayu di hadapan Ilahi Rabbi'; "Ya Allah, kami banyak buat salah ya Allah… Kami banyak buat dosa ya Allah… maka andai Engkau mengazab kami, apakan daya kami ya Allah…. Lantaran kami hanyalah hambamu yang lemah ya Allah…" sebagai manifestasi rasa kekerdilan di hadapan keagungan Rabbul Izzati.

Saudaraku,
Suatu saat, Umar bin Abdul Aziz berjalan bersama temannya Sulaiman bin Abdul Malik. Di tengah perjalanan, mereka dilewati malam yang sangat gelap, angina yang amat kencang, dan guruh dan kilat mencengkan suasana dengan perasaan ketakutan. Tiba-tiba, Umar bin Abdul Aziz tertawa kecil. Sulaiman bertanya. "Apa yang membuatmu tertawa ya Umar?" Ia menjawab, "Tidakkah kau lihat apa yang kita alami sekarang? Gelapnya malam. Deru angin yang kencang. Kilat dan petir. Semuanya adalah tanda-tanda kasih-sayang Allah Azza wa Jalla. Bagaimana pula dengan tanda-tanda kemarahan dan kemurkaan-Nya?"

Cara berpikir orang-orang shalih, sungguh sangat membuatkan kita kagum. Mata mereka, tak pernah luput daripada mengaitkan peristiwa dunia dengan iman. Tak pernah lalai daripada melihat hikmah di sebalik segala cubaan. Tak pernah henti mendapatkan hakikat kebaikan yang terselindung di belakang "mendung" keburukan. Mereka seakan tahu betapa titis-titisan air yang berkumpul di awanraya dan menghasilkan mendung itu, merupakan asbab terhasilnya pelangi indah yang menghiasi langit lalu mengukirkan senyuman di wajah semua. Kerana pelangi, justeru terhasil dek pembiasan dan percapahan spectrum cahaya yang melalui titis-titisan air yang berbeza ketumpatan di langit, hingga menghasilkan "warna" yang mengiringi gelap awan sebelumnya. Hingga mereka melihat, betapa benarnya Firman Allah Ta'ala, tatkala mereka melihat bersandarkan mata hati, tidak sekadar mata indera. Melihat daripada jendela Akhirat, tidak sekadar lubang kecil dunia. Firman Allah:

dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.""
(Surah Al-Baqarah [2]:216)

Terkadang, rasa dosa itu perlu, guna menumbang dan menyingkirkan sejumlah rasa sombong dan besar diri, yang menyebabkan tersingkirnya Sang Iblis daripada Syurga tempat tinggal nan abadi. Benarlah kata Ibnu Athaillah As-Sakandari di dalam kitab Al-Hikam; "Kemaksiatan yang memberi bekas rasa hina dan hancur di hadapan-Nya kerana kemaksiatan, lebih baik daripada ketaatan yang meninggalkan rasa bangga dan sombong diri."

Itulah sebabnya, sikap kita yang berhenti berharap dan bersangka buruk terhadap ketentuan Ilahi, atau yang gagal melihat hari-hari "mendung" yang mendugai perjalanan kehidupan sebagai peringatan-peringatan Allah terhadap segala silap dan dosa yang kita lakukan, sering membawa insan ke lembah kebinasaan. Kerana ghurur (tertipu) dengan diri sendiri itulah, yang mengakibatkan kita memilih jalan yang pernah ditempuh oleh Iblis, berbanding pengakuan dosa dan taubat yang telah ditempuh oleh Adam Alaihissalam. Sabda Nabi SAW:

"Tiga hal yang membinasakan: kekikiran yang dipatuhi, nafsu yang diikuti, dan kekaguman seseorang terhadap dirinya sendiri."
(HR Thabrani daripada Anas dan Ibnu Umar R.A. Hadith ini hasan lighairihi)

"Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun."
(Surah An-Nisa'[4]:49)

Seperti mana Allah mempersiapkan pelangi dengan mendungnya awan, sebegitu jualah Allah mempersiapkan rahmah dan maghfirah-Nya, dengan menjadikan insan sentiasa terdedah kepada kesalahan. Sabda Nabi SAW:

"Demi Dzat yang diriku ada di dalam kekuasaan-Nya, jika kalian tidak melakukan dosa,nescaya Allah akan melenyapkan kalian lalu Allah akan mendatangkan kaum yang akan berdosa, kemudian mereka bertaubat, lalu Allah menerima taubat mereka."
(HR Muslim)

Ibnu Qayyim di dalam Al-Fawaid memberikan komentar indah tentang peristiwa yang terjadi di Syurga. Ketika Adam Alaihissalam dikeluarkan daripada syurga kerana kesalahannya, tidak bererti Allah tidak mempedulikannya. Justeru allah tetap memelihara keturunan Nabi Adan dan anak cucunya, kerana selanjutnya Allah berkenan untuk memberikan Syurga buat Bani Adam yang beriman selama-lanaya. "Jadi," kata Ibnu Qayyim, "dikeluarkannya Adam daripada Syurga hanya sementara waktu seolah-olah untuk menyempurnakan bangunan Syurga itu sendiri. Sama seperti manusia yang ingin melakukan renovation tempat tinggal lalu ia harus keluar dari rumah itu sementara waktu sebelum kembali lagi untuk menghuninya."

Lihatlah hikmah yang terkandung di balik tragedi yang menimpa Syiria. Walaupun hati tidak henti berdoa untuk kebaikan dan keselamatan mereka, tiada siapa dapat menafikan betapa tragedi itulah yang telah membuka mata ramai rakyat Malaysia, termaksud aktivis dakwahnya, akan bahaya dan menyimpangnya aliran Syiah. Jika dulu mereka menyangka betapa isu Syiah ini hanyalah perbezaan fahaman dari segi fiqh, atau betapa pertembungan di antara Sunni dan Syiah hanyalah propaganda dan mainan Amerika untuk melaga-lagakan kita, tragedy Syiria justeru menyedarkan semua betapa Syiah bukan lagi isu pertikaian mazhab fiqah, mahupun kedengkian terhadap pencapaian politik mereka, tetapi justeru isu Syiah adalah isu Aqidah yang menjadi teras pegangan dan perjuangan kita!

Atau, awan kelam yang menyelubungi Mesir saat terbunuhnya Hassan Al-Banna, justeru menjadi asbab munculnya pelangi bernama Sayyid Qutub, yang kemudian turut sama mengakhiri hidupnya dengan seni mati tertinggi: di tali gantung, demi menegakkan kalimah La ilaha illallah, Muhammadur rasulullah!

"Fa inna ma'al 'usri, yusra. Inna ma'al 'usri, yusra." Selagi kita tidak berhenti berharap, dan tetap berbaik sangka terhadap qada' dan qadar kttentuan Tuhan,  pasti aka nada pelangi yang menyinari hari setelah mendung dek kelamnya awan, lalu fajar pun menyingsing, dan menyinari alam kehidupan.

"Dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." Ya Allah, ampunilah dosa kami, dan terima kasih, kerana memberikan kami sebutir "harapan."


Ir. Faridul Farhan Abd Wahab
Pengamal "Rusmul Bayan"




No comments:

Post a Comment