Followers

Sunday, July 26, 2015

[JOM]: KILAT

Sebelum ada di kalangan kita yang mengambil keputusan untuk memasang lightning conductor di rumahnya, atau di bangunan pejabatnya, atau pada lain-lain premis miliknya, ada baiknya kitia tahu dahulu sifat dan ragam lightning yakni kilat dan "sambarannya" yang begitu membimbangkan kita. Di sana, harus ada ke"faqihan" dalam memahami, menyimpulkan dan meng"istinbat hukum" daripada eksperimen dan ujikaji yang pernah dilakukan oleh seorang Benjamin Franklin, terkait hal-ehwal empunya diri yang bernama "kilat".

Pada suatu hari, dalam gelapnya hujan dan kelamnya awan, sambil kilat bersebaran sahut-menyahut, Benjamin Franklin menerbangkan layang-layang buatannya di tengah-tengah padang lapang nan luas. Tidak lama, kilat pun menyambar layang-layangnya Franklin itu. Dan kalendar yang tercatatkan tahun 1752, 10 Jun tepatnya, menjadi saksi akan kebenaran teori Benjamin Franklin, iaitu kilat mempunyai sifat-sifat keelektrikan. 


Mungkin ada yang membuat kesimpulan, bahawa kilat itu sifatnya menyambar apa-apa sahaja. Sembrono. Mungkin hari ini kau, mungkin esoknya aku. Dan pada eksperimennya Benjamin Franklin itu, terdampar ibrah yang sememangnya menakutkan: kalau bahan sekecil layang-layang pun "dibaham tanpa belas" oleh sang kilat, maka apa lagi bangunan besar, menara gagah, atau diri manusia? Nah, pemahaman inilah yang perlu kita perbetulkan.

Kami para electrical engineer mempelajari, bahawa yang namanya kilat, sifatnya tidaklah menyambar apa sahaja. Sungguh pun tidaklah kita nafikan ia bisa menyambar hatta insan kerdil yang berada di jalanan, tetapi secara teori, ketika kita hendak mendesign sistem perlindungan daripada kilat, teori keengineeringan mengatakan: kilat akan menyambar struktur tertinggi sesebuah kawasan, dan keduanya, kilat turut mensasarkan struktur yang tajam seperti antenna, puncak menara dan lain sebagainya.

Saudaraku,

Mari kita berlindung kepada Allah daripada ancaman dan bahayanya kilat. Dengan Voltannya yang maha tinggi dan kelajuannya yang teramat pantas, ia bisa membinasakan apa sahaja yang sanggup disambar olehnya. Apalah daya insan kerdil seperti kita, andainya kitalah "struktur tertinggi" atau "struktur paling tajam" di dataran atau lapangan padang yang luas. Itulah sebabnya, kedaan persekitaran yang gelap, kilat sabung-menyabung, guruh berdentum seakan melepaskan amarah, adalah persekitaran yang seharusnya menimbulkan keinsafan dan kekerdilan di dalam diri mahkluk bergelar insan.

Saudaraku,

Berapa banyak ayat-ayat Al-Quran, yang menganjurkan kita untuk mengadakan perjalanan di muka bumi, guna memerhatikan akibat yang telah menimpa kaum-kaum yang mendustakan Allah sebelum kita. Mereka "tajam" dalam berinteraksi dengan Allah, lalu sepantas kilat jugalah Allah kemudiannya membinasakan mereka. Syukur, kita umat Nabi Muhammad SAW, dijauhkan daripada pembinasaan dan penghancuran sebegitu rupa, seperti yang pernah menimpa umat-umat sebelum daripada kita, misalnya kaum Nabi Nuh, atau kaum Nabi Lut, atau kaum Nabi Shalih, Firaun di zaman Nabi Musa, dan lain-lain lagi yang "tajam" dalam hubungan pengabdian dirinya kepada Allah Yang Maha Kuasa. Mereka (yakni kaum yang mendustakan Allah) menyangka "ketajaman" mereka bisa menghancurkan agama ini, sebaliknya ke"tajaman" mereka itu bahkan menghancur, menikam, merobek dan membinasakan diri mereka sendiri. "Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, tetapi Allah menyempurnakan cahaya-Nya, biarpun orang-orang Kafir tidak menyukai akan hal itu."

Maka, janganlah kita bersikap "tajam" dengan Allah, seperti yang pernah dilakukan oleh seorang Namrud, raja di zaman Nabi Ibrahim Alaihissalam, yang mahu mengisytiharkan perang dengan Allah, namun akhirnya, ke"tajaman"nya itu cukup untuk ditumbangkan oleh tentera Allah yang kecil dan kerdil, di kalangan nyamuk sahaja. Janganlah kita seperti tentera samsengnya Abrahah, yang konon dengan tentera bergajah yang gagah, akan tampil pasukan yang tak terkalahkan. Lalu Allah membolak-baliknya perancangannya, lalu tampillah Special Force burung Ababil, seraya mengirimkan "batu cinta dari Neraka" buat dia dan tenteranya. 


Nah, sikap "tajam" terhadap Allah mungkin tidak kita yang Muslim melakukannya, tetapi sering di kalangan kita, memilih sikap "tinggi" dalam berinteraksi dengan manusia lainnya. Kita rasa kitalah "bangunan yang paling tinggi" di kalangan hamba-hamba-Nya, lantas memandang rendah hingga memperlekeh manusia-manusia yang lainnya. Kita rasa kitalah yang paling baik misalnya, kerana kita merupakan da'ie dan murabbi agung yang petah dalam berbicara. Atau, kitalah yang harus memimpin ummah ini lantaran degree dan kelulusan kita dalam bidang agama menjadikan kita calon terbaik untuk memimpin manusia sesuai slogan kepimpinan ulamak yang kita laung-laungkan. Atau, kitalah yang paling banyak amal ibadahnya di kalangan manusia, hingga melayakkan kita duduk di maqam para wali Allah yang begitu dekat dengan-Nya.

Ewah…. Mungkin kita lupa bahawa bangunan atau struktur yang tinggi itulah, yang "menarik perhatian" sang kilat untuk disambar seterusnya dibinasakan. Mungkin kita sudah lupa betapa kisah pengingkaran dan penderhakaan yang pertama terhadap Tuhan, dilakukan oleh mahkluk yang asalnya lebih "tinggi" berbanding kita: seorang ahli Syurga, Iblis namanya. Lihatlah, kerana ketinggiannya itulah yang kemudian membinasakannya.

Yang menjadikan insan itu tinggi, adalah tatkala Allah Azza Wa Jalla yang meninggikan darjatnya. Dan yang membuatkan insan itu justeru terhina hakikatnya, tatkala ia perasan ia tinggi, atau cuba mengangkat martabat dirinya. Maka di sana, hadith Qudi mengingatkan;

"Kebesaran adalah kain sarung-Ku dan kesombongan adalah kain selendang-Ku. Barangsiapa melawan Aku pada keduanya, nescaya Aku menghancurkannya."

Kata Said Hawa di dalam karyanya Tazkiyatun Nafs, hal-hal yang menjadikan manusia itu perasan tinggi tidaklah terhad kepada nasab keturunan, kecantikan, harta kekayaan, keperkasaan dan kekuatan dan lain-lain hal yang sering memuliakan manusia secara indrawi, tetapi bahkan hal-hal yang sepatutnya mendekatkan manusia kepada agama, iaitu ilmu pengetahuan, dan amal ibadah. Bahkan, Said Hawa menyebut kedua hal ini terlebih dahulu sebelum berbicara hal-hal yang lainnya!

Bercerminlah kepada salafus salih yang sentiasa merendah dan melihat diri mereka rendah, sebelum kemudiannya Allahlah yang meninggikan darjat dan nama mereka. Imam Nawawi rahimahullah misalannya. Tidak sedikitpun tergiur dengan gelaran Muhyiddin (yang menghidupkan agama) yang diberikan kepadanya. Bahkan, sahih daripada dirinya bahawa dia bahkan mengatakan; "aku tidak menghalalkan siapa pun yang menggelariku sebagai "orang yang menghidupkan agama"." Namun, Allah tetap memunculkan gelaran ini untuknya, harum mengabadi namanya. Benarlah sabda Ar-Rasul SAW nabi junjungan,

"Tidaklah seseorang bertawadhu' merendah kerana Allah, melainkan Allah (pasti) meninggikan (darjatnya)."
(Riwayat Muslim, Tirmidzi, Ahmad dan Ad-Darini)

Maka berlindunglah kepada Allah daripada sikap "tajam" dalam adab-sopan beragama, dan "tinggi" dalam pergaulan sesama manusia, agar kita tidak mengulangi kesilapan Iblis sang mantan ahli Syurga, yang 2 sifat itu kemudian menyesatkannya.

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Pengamal "Rusmul Bayan"



No comments:

Post a Comment