Ahad lepas merupakan malam yang sangat mengesankan buat diri saya. Ia adalah malam penuh cinta. Malam yang sungguh mengasyikkan, biarpun tanpa kelibat kaum perempuan, lantaran cinta juga bisa dijanakan sasama jantina yang sama-sama mendambakan keredhaan daripada Tuhannya. Malam sebegini sidah cukup mengasyikkan buat mereka yang telah memahami hakikat cinta ini.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam (hati) mereka rasa kasih sayang”
(Surah Maryam [19]:96)
Malam penuh cinta itu dimulakan dengan solat fardhu Maghrib di Masjid Shah Alam. Mendengar bacaan indah sang imam, bukan sekadar membasahkan hati saya, tetapi juga membasahkan kelopak mata saya. Hati menjadi sayu mendengarkan keindahan kalam Allah nan indah, hingga jiwa menanamkan azam untuk hadir solat berjemaah di sana semakin kerap, lantaran keindahan alunan tilawahnya beserta kelunakan suaranya, menjadikan diri tenggelam dalam kekhusyukan berbicara dengan Tuhannya. Bukti keindahan ini, saya telah merakamkan bacaan imam tatkala solat, lantaran cair dengan keindahan bacaannya.
Selesai Maghrib, saya berkunjung ke tempat adik saya. Sudah besar rupanya adik saya. Seakan baru semalam beliau merupakan kanak-kanak riang yang saya bawa masuk ke dalam dunia tarbiyah. Entah bila beliau membesar, meninggi dan mendewasa seperti hari ini. Sungguh saya terlepas proses pembesarannya. Namun entah kenapa, malam itu perasaan kasih terhadap sang adik saya menyamai perasaan sewaktu beliau masih kecil dahulu, tatkala suaranya masih keanak-anakan, fizikal masih kebudak-budakan, dan pemikirannya masih di awangan-awangan. Saya jadi semakin faham akan mengapa sebahagian ibubapa sukar untuk menerima hakikat anaknya telah mendewasa; lantaran cara memandang ibubapa itulah yang tidak berubah terhadap anaknya.
Ada pro dan kontra pandangan sebegini. Dari segi kontranya, pandangan yang tidak pernah berubah ini menjadikan layanan mak ayah terhadap sang anak juga tidak berubah. Biar pun sang anak sudah mendewasa dan besar panjang, mak ayah masih melayannya seperti “boboi” mereka, yang seakan Peter Pan yang tidak pernah mendewasa. Namun, dari segi yang lain, pandangan ini ada baiknya, lantaran kasih mak ayah pada sang anak tidak pernah pudar, tidak pernah padam, tidak pernah hilang. Itulah keindahan cinta kasih yang Allah kurniakan kepada hambanya, tidak sampai pun secebis kasih DIA kepada kita semua.
Dan pertemuan dengan “adik-adik” malam itu, biarpun sekadar 3 orang, sungguh menggembirakan buat diri saya. Biarpun sebahagian orang akan bahagia pada “banyaknya bilangan”, melihatkan kesungguhan dan keikhlasan 3 orang adik-adik ini, itu sudah cukup lumayan pada pandangan mata saya. Seperti berbezanya persepsi sebahagian Bani Israel tatkala berhadapan dengan pasukan Jalut, sedang persepsi orang-orang beriman sedikit pun tidak tergugat dengan banyaknya bilangan.
“Maka tatkala Thalut keluar membawa tentaranya, ia berkata: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya, bukanlah ia pengikutku. Dan barang siapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka ia adalah pengikutku." Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: "Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tentaranya." Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."
(Surah Al-Baqarah [2]:249)
Saudaraku,
Kita boleh memilih bagaimana kita melihat sesuatu isu. Inilah yang kita namakan PERSEPSI. Terkadang ada persepsi yang sarat dengan nilai-nilai kebaikan, tidak kurang juga persepsi yang penuh dengan agenda-agenda keburukan. Maka yang ingin kita perbetulkan bukanlah persepsinya, tetapi yang harus diluruskan itu adalah CARA kita mencapai persepsi itu.
Seorang abang akan terus memandang adiknya dengan penuh kasih sayang, tatkala CARA ia membina persepsi itu atas dasar kasih sayang seorang abang terhadap adiknya. Juga CARA ia menemui persepsi itu pada zahiriyah mata memandang, seperti fizikal adiknya yang telah membesar, maka perasaan kasih itu juga mungkin berubah, semakin pudar, semakin dingin, hingga terkadang melunturkan keakraban.
Seorang hamba akan terus bersyukur seraya bersabar terhadap ujian kehidupan yang melanda hidupnya, tatkala CARA ia melihat kehidupan itu dari jendela kasih sayang Tuhannya. Sebaliknya, jika persepsi itu dibina bukan pada tempatnya, jadilah ia orang yang berterusan menyalahkan takdir, menyalahkan Tuhan, bosan dengan kehidupan, hingga menjadi orang yang tidak akan pernah mencapai kebahagiaan. Lantaran ia membina persepsinya terhadap kehidupan, dari kaca mata penuh keduniaan, bukan dari jendela seorang hamba yang sentiasa merasakan kasih sayang Tuhannya.
Ia menyangka kebahagiaan itu pada banyaknya rezeki, tingginya pangkat, atau mulianya keturunan, ia alpa betapa kebahagiaan dan kekayaan itu justeru pada barakah dalam pendapatan. CARA persepsi terhadap kebahagiaan ini menjadikannya menjauhi tugas dan tanggung jawabnya sebagai khalifah, sedang Tuhan memerintahkan persepsi itu dibina dari kaca mata mereka yang menyedari tugas dan hakikat kehidupannya.
Blogger-blogger boleh menyangka betapa seorang artis itu sudah semakin cenderung, bahkan berani berterang-terangan menunjukkan sokongannya pada pihak pembangkang, lantaran persepsi mereka itu dilihat dari jendela kepartian, sedangkan hakikatnya sang artis itu tidak lebih menunaikan tanggung jawab social yang sudah sangat sering ia lakukan.
Orang politik melihat demonstrasi pada sebarang tujuan sebagai perkara sihat, serta konon-kononnya tokoh-tokoh “non-partisan” turut menyokong demonstrasi ini, walhal kalaulah persepsinya dibina pada skala keneutralan, di atas paksi keadilan, nescaya ia akan lebih berhati-hati dalam memberikan sokongan, dan menyedari betapa para tokoh itu bukanlah membenarkan, sebaliknya memberikan panduan.
Kerana itu Qaradhawi menulis kitab Fiqh Keutamaan, lantaran kegagalan umat meletakkan hal priority pada tempatnya, justeru disebabkan CARA ia membina persepsi terhadap perkara yang ia lakukan. Umat berlaku zalim pada mereka yang di luar kelompoknya, sebaliknya mengiyakan sahaja kesalahan yang dilakukan oleh kelompoknya, lantaran persepsinya pada keadilan dibina pada asabiyahnya terhadap kumpulannya.
Manusia tin di dalam kisah “Dorothy and The Wizard of Oz” akan sedar bahawa untuk menjadi manusia berhati mulia, bukanlah dengan meminta-minta kepada Sang Penyihir terkemuka, tatkala ia tahu BAGAIMANA seharusnya ia melihat kemuliaan itu. Begitu juga Sang Singa Penakut, atau Sang Orang-Orang (Scarecrow) yang bodoh dan sebagainya, mereka bisa meluruskan kesalahan mereka, dan memperbaiki segala kekuragan dan kelemahan diri mereka, dengan membina persepsi yang betul terhadap impian mereka itu.
Cara kita melihat sesuatu itu, akan menentukan hasil persepsi yang kita impikan. Maka betulkanlah CARA membina persepsi itu, bukan sibuk membeli air Pepsi ya. Persepsi, bukan Pepsi!!