TENAGA SOLAR
Apabila disebut tentang tenaga bolehubah atau renewable energy (RE), pasti ramai yang akan terbayang akan tenaga solar. Sungguh pun tenaga solar bukanlah satu-satunya tenaga di bawah kategori RE ini, namun ternyata dialah yang paling menonjol. Apatah lagi dengan fadhilat tenaga bolehubah ini yang memanfaatkan sumber-sumber percuma pemberian Allah, seperti solar, angin, air dan yang seumpamanya, maka makin mekarlah kajian dan seruan untuk segera membangunkan tenaga boleh ubah ini. Tambahan pula RE termasuk di bawah green technology, kerana tidak mencemarkan alam (sepatutnya), sesuai dengan ajaran dan kehendak agama ISLAM.
Sebenarnya, masih banyak salah tanggap berhubung dengan tenaga solar ini. Kebanyakan kita merasakan, bahawa tenaga solar terhasil semudah gambarajah di atas: cahaya atau haba matahari di"tangkap" oleh solar panel atau solar cell, kemudian langsung menghasil dan menhantar tenaga elektrik kepada pengguna. Semudah itu! Namun, jika kita ingin berbicara tentang tenaga solar di dalam sebuah system penghantaran elektrik, maka litar tenaga solar di atas harus di"pertingkatkan" lagi. Mengapa? Kerana kita harus ingat, cahaya atau kepanasan matahari tidak konsisten, tidak istiqamah. Ia tertakluk kepada "futur" juga dek ujian bernama awan. Sedangkan perkakasan elektrik memerlukan jumlah tenaga yang konsisten untuk memacu pengoperasiannya. Bahkan, jika tenaga yang diberikan kepadanya berubah-ubah, perkakasan elektrik itu bahkan berpotensi untuk hancur, rosak dan binasa, lantaran perkakasan elektrik seolah ingat benar pesan baginda Nabi SAW tentang istiqamah:
"Wahai Abdullah, janganlah engkau menjadi seperti si fulan, dahulu dia melakukan qiamullail. Kemudian dia meninggalkannya." (Hr Bukhari dan Muslim)
Selain itu, tidakkah kalian tertanya-tanya, bagaimana tenaga solar ingin membekalkan tenaga di malam hari, di saat tidak ada lagi sang mentari untuk menaunginya? Jangankan waktu malam, waktu mendung atau ribut pun, tidak ada lagi cahaya dan kepanasan dari mentari untuk dijadikan tenaga elektrik buat disumbangkan kepada umat ini. Maka, bagaimanakah para jurutera menyelesaikan persoalan-persoalan dan permasalahan ini?
Jawapannya: tenaga solar tidaklah sesimple di atas. Sebenarnya, tenaga solar adalah system yang melibatkan solar panel atau solar cell untuk mengumpulkan tenaga daripada matahari, yang mana tenaga itu kemudiannya digunakan untuk mengecaj bateri, lalu bateri itulah yang membekalkan tenaga elektrik kepada kita semua. Dengan adanya bateri inilah, kekonsistenan dari segi jumlah tenaga dapat dikawal, selain menjadi jawapan tatkala mentari telah berlalu pergi. Ini menjadikan tenaga solar bersifat stand alone, bersifat indipendant; tidak lagi terus bergantung kepada sang matahari.
Saudaraku,
Tarbiyah Islamiyah harus mengambil inspirasi daripada tenaga solar ini. Tarbiyah Islamiyah selain menjadi sumber yang percuma untuk umat ini mendalami Islam, ia juga harus bersifat renewable. Ia tidak sepatutnya bersifat bermusim, yang hanya didatangi ketika lapang dan ditinggalkan pabila sibuk, atau hanya digerakkan saat muda lalu dijauhi tatkala tua dan bekerjaya. Ianya menjadi proses sepanjang hayat, minal Mahdi ilal lahdi (dari buaian hingga liang lahad), hingga menjadikan para pesertanya sentiasa muda, persis kata keramatnya saydina Ali; "bukanlah pemuda orang-orang yang berkata: ayahku gini, gini (yakni bangga dengan keturunan dan sejarah silamnya). Tetapi, yang namanya pemuda itu adalah, mereka yang mengatakan : inilah aku! (yakni bangga dengan prestasi semasa dan terkininya)."
Selain itu, para pimpinan tarbiyah serta para murabbi, tidak patut berbangga dan menyombong dengan peranan mereka sebagai "mentari". Mereka melihat para peserta tarbiyah, para mad'u dan mutarabbi hanya perlu "mengalirkan" sahaja arahan dan apa yang mereka katakan. Tarbiyah, menurut mereka, umpama falsafah yang telah diterapkan oleh para ahli sufi dan tariqat: anak murid, di hadapan gurunya, umpama mayat, yang tidak boleh bergerak, tidak dapat bertindak. Hanya mengikut sahaja telunjuk dan arahan sang gurunya semata-mata.
Pandangan dan falsafah sebegini tidak akan pernah melahirkan binaan yang bersifat independent, lantaran tidak dibekalkan dengan tarbiyah dzatiyah (tarbiyah kendiri) yang sepatutnya. Bahkan, gerakan Islam harus melihat tarbiyah itu seperti system tenaga solar yang sebenarnya: sang mentari hanya bertugas mengecaj bateri sahaja. Bukan menyalakan lampu. Bukan menghidupkan plug. Bahkan, itu adalah tugasan sang bateri! Hingga, sang bateri tetap berfungsi hatta ketika sang mentari telah pun berlalu pergi. Maka usrah-usrah dan liqa'-liqa' tarbawi harus menyedari konsep ini: ia adalah medan mengecaj semata-mata. Di medan nyata, sang baterilah yang berperanan; stand-alone atau berdiri sendiri; dek kekuatan kendiri yang telah ia caj dan janai selama ini.
"Bateri" tidak akan pernah dapat kendiri andainya sang mentari berterusan mengamalkan sikap "listen! Listen! Listen!". Berterusan dengan sikap "antum kena tsiqah!" "antum kena taat!" "antum kena wala'!" dan lain-lain perkataan dan pemahaman yang tidak membina dzatiyah di dalam diri sang bateri. Bagaimana mungkin para bateri bisa independent seorang diri, andai para mentari tidak pernah berbincang dan bertanya pandangan dengan mereka? Andainya para mentari sekadar melihat para bateri sebagai "orang bawahan" mereka, tidak sebagai "rakan seperjuangan" yang harus dihormati? Lihatlah bagaimana Saydina Ibrahim 'alaihissalam, dengan segala kemulian dan kepemimpinannya, memuliakan pengikut yang bahkan merupakan anaknya sendiri Saydina Ismail 'alaihissalam, di dalam conversation berkenaan mimpinya:
"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar."
(Surah Ash-Shaffat [37]:102)
Gerakan Islam kini dilanda krisis kepercayaan (selain krisis "perasan bagus"). Saat anda menganggap bawahan anda "budak hingusan" yang tidak tahu apa-apa, bagaimana bisa anda mengharapkan mereka lahir sebagai pemimpin umat di masa hadapan? Kata Tom Peters; "leaders don't create followers. They create more leaders." Kerana itu pemimpin tak kan pernah bisa dilahirkan, tatkala kita terlalu mengikat binaan dan bawahan kita dengan diri kita, sebaliknya tarbiyah harus bersifat mengenal pasti, membangun dan mencetus potensi dan kelebihan yang ada di dalam diri kita masing-masing. Hingga wajar, Abu Bakar mengingatkan umat Islam kesemuanya akan peranan tarbiyah yang dibawa oleh Ar-Rasul, yang tidak mengikat kepada sosok diri baginda, sebaliknya kepada ajaran dari langit yang sifatnya membentuk insan yang independent.
"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur"
(Surah Ali Imran [3]:144)
Hanya bilamana tarbiyah telah benar-benar bersifat umpama renewable energy, barulah "tenaga-tenaga konvensional" siap untuk digantikan. Jika tidak, slogan "Islam adalah masa hadapan", "Islam adalah penyelesaian kepada segala permasalahan" dan yang lain seumpamnya, hanya kekal sebagai retorik dan teori indah semata-mata. Maka kita mendambakan anak-anak kemudian hari, dari sekadar berkata "ibu pun macam matahari," akan turut bergema "tarbiyah pun macam matahari."
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab
Pengamal "Rusmul Bayan"
|