Saya sudah terbiasa mendengar “rahsia bulan kelahiran” yang dikemukakan oleh seorang pakar motivasi terkenal tanahair. Cuma yang saya sangat terkejutnya adalah, tatkala sebuah rancangan berbentuk keagamaan, yang diacarakan oleh sepasang suami isteri yang kedua-duanya belajar bidang agama secara formal, tidak sekadar memaparkan “rahsia” ini malahan menyokong kajian mengarut sang pakar motivasi tadi.
Amat menyedihkan tatkala ada ustaz dan ustazah yang turut mempromosikan kepercayaan khurafat sebegini: konon jika orang ini lahir pada bulan sekian-sekian, maka sifatnya adalah sebegini dan sebegini. Aduh….. bagaimana orang yang mengaji hingga ke Mesir boleh percaya dengan perkara sebegini? Jika benarlah keperibadian dan sifat seseorang adalah terikat dengan bulan kelahirannya, maka bagaimana bisa seseorang manusia itu berubah sesuai dengan apa yang telah diperingatkan oleh Al-Quran? Firman Allah:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri…”(Surah Ar-Raád [13]:11)
Jika benar bulan itu yang menentukan keperibadian seseorang, maka firmanullahi ta’ala di dalam ayat berikut, yang menyatakan hanya Allah yang mengetahui kelakuan dan keperibadian seseorang sebelum kelahiran, adalah terbatal;
“Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu…”(Surah Ar-Raád [13]:8)
Kata Dr. Zakir Naik di dalam debatenya berkenaan Quran and Bible in the light of Science dengan Dr. William Campble di U.S awal abad ke-21 dulu, yang dimaksudkan oleh ayat di atas bukanlah hanya Allah mengetahui jantina sang anak sebelum kelahiran, kerana ternyata sains moden telah berjaya membantu para doctor untuk mengetahui jantina anak di dalam kandungan, tetapi yang dimaksudkan oleh ayat di atas adalah hanya Allah yang mengetahui kelakuan dan peribadi anak. Tidak ada sesiapa pun, hatta dengan bantuan sains dan teknologi yang paling canggih pun, dapat meramal bagaimana sang anak yang lahir itu akan berkelakuan, akan bertingkah laku, akan bersikap dan berakhlak. Inilah pemahaman para pakar Barat, malangnya para “pakar” tanahair pula, dengan dokongan dan sokongan para ustaz dan ustazahnya pula, mengatakan mereka tahu anak yang lahir bulan sekian-sekian perangainya begini, hanya dengan berpandukan bulan di mana sang anak itu lahir. Mengarut!
Dan lagi, jika benar yang menentukan keperibadian seseorang itu adalah bulan kelahirannya, saya ingin bertanya, bulan Masihi atau bulan Hijri?
Saudaraku,
Orang Islam murtad bukanlah kerana Bible diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Atau kalimah Allah digunakan oleh orang Kristian. Tetapi orang Islam murtad kerana lemahnya aqidah mereka, dan di antara puncanya adalah tatkala sebahagian masyarakat mempromosikan tahyul mahyul seperti rahsia bulan kelahiran ini dengan men”kosmetik”kannya dengan label keagamaan. Menurut saya, pandangan sebegini jauh lebih bahaya dan jauh lebih menyesatkan berbanding Bible yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia.
Oleh yang demikian, marilah kita kembali memperbaiki kelemahan internal umat Islam ini, berbanding hanya menyalahkan pihak external sebagai punca mundurnya dan murtadnya umat ini.
No comments:
Post a Comment