Tahukah kamu bagaimana tenaga elektrik terhasil? Jawapannya, ada dua: satu melalui bateri, yang satu lagi melalui generator. Terkadang, kita memanggilnya sebagai dynamo, tapi bagi mereka yang mendalami dunia kejuruteraan, panggilan generator adalah yang terbaik dan yang lebih tepat. Hakikatnya, tenaga tidak boleh dihasilkan. Masih ingat dengan Energy Conversion Principle (Prinsip Keabadian Tenaga)? Oleh yang demikian, tenaga elektrik itu sebenarnya tidak terhasil, melainkan melalui sebuah proses "pengubahan" daripada satu bentuk tenaga, kepada bentuk tenaga yang lain. Maha suci Allah yang telah menganugerahkan kita dengan semua ini, dan betapa dhaifnya mahkluk bernama insan, hingga tak akan pernah mampu hidup di luar daripada rahmat dan kasih sayang Tuhan, biarpun untuk sekadar thorfata 'ain (sekelip mata), seperti yang sering disebut-sebut di dalam doa Ma'thurat yang kita ungkapkan setiap pagi mahupun petang.
Oleh kerana tenaga elektrik tidak tercipta dengan sendirinya, sumber tenaga elektrik seperti bateri tentunya limited: ia tidak akan mampu menghasilkan jumlah tenaga yang besar untuk membekalkan tenaga elektrik kepada sesebuah Bandar, apa lagi mahu "menghidupkan" sesebuah negara. Jadi, tenaga elektrik yang digunakan oleh kita para pengguna sehari-hari, adalah dihasilkan oleh generator-generator bersaiz mega, yang semuanya ditempatkan di suatu tempat yang dinamakan sebagai Power Plant.
Di Power Plant, bukan hanya generator yang merupakan satu-satunya mesin atau perkakasan yang ada. Ini kerana yang namanya Generator itu tidak akan dapat menghasilkan elektrik, andainya tidak ada tenaga kinetic yang memutar-mutarkan rotornya, dengan sebuah putaran yang lebih laju dan lebih bertenaga daripada putaran para peserta rancangan gameshow "Roda Impian." Sebenarnya generator justeru hanya merupakan sang penukar tenaga -daripada tenaga kinetic menjadi tenaga elektrik- tetapi sang turbine-lah yang hakikatnya "menolong" memutarkan rotor di dalam sang generator itu. Dan turbine pula, diputarkan oleh stim bertekanan dan bersuhu tinggi (bagi thermal power plant), atau oleh air terjun (bagi hydro power plant). Dan bagi menghasilkan stim yang ber"selera" tinggi pula, memerlukan kita "menjerang air" secara besar-besaran, lalu perlukan "cerek" yang besar dan api yang maha panas. Perkakas yang mampu melakukan tugas "menjerang" air tadi inilah yang dikenali sebagai boiler, dan bahan bakar untuk memanaskan air di dalamnya, adalah daripada gas, atau arang batu, atau nuclear, dan yang lain sebagainya.
Sedar atau tidak, power plant yang kononnya bersifat "elektrik", sebenarnya menyaksikan watak-watak lain di "sebalik tabir", seperti turbine, boiler dan sebagainya, yang lebih melibatkan mereka yang berpengetahuan dan berpengalaman di dalam bidang mechanical engineering. Atau, boleh juga chemical engineering. Maka, para jurutera elektrik, rupa-rupanya tidak bisa berdiri sendiri, tanpa sumbangan, tanpa pertolongan dan tanpa kerjasama daripada jurutera-jurutera bidang yang lain-lainnya. Dan kebiasaannya, pengeluar atau manufacturer perkakas-perkakasan besar ini –seperti generator, turbine, boiler dan yang lain sebagainya- adalah berbeza di antara satu dengan yang lainnya. Yang lebih menarik, terkadang mereka nukan sahaja merupakan syarikat pengeluar yang berlainan, malahan berasal pula daripada negara yang berlainan. Yang satu adalah syarikat daripada Jepun misalnya, sedang yang satu lagi mungkin daripada Eropah. Yang satu daripada Amerika misalnya, sedang "pasangannya" pula adalah pengeluar berakar-umbi di Korea. Kepelbagaian; itulah yang bisa kita rumuskan terhadap sesebuah power plant, baik kepelbagaian dari segi tenaga kerjanya, mahupun kepelbagaian dari segi perkakas dan mesinnya. Namun, semuanya bisa bersatu dan bisa synchronize di sebalik perbezaan dan kepelbagaiannya, demi menjana elektrik buat kebaikan umat.
Saudaraku,
Sedar atau tidak, kita sering bisa bekerjasama dengan siapa sahaja dalam hal-ehwal urusan pekerjaan dan keduniaan kita. Hatta, bekerjasama dengan mereka yang mempunyai latar-belakang, budaya dan bahasa yang totally berbeza dengan kita. Namun, bagi yang mempunyai kecenderungan kepada Islam ataupun mempunyai perkaitan dengan gerakan Islam, kita sering bersikap ashobiah dan hizbiyah, yakni tidak bisa bekerjasama dengan kumpulan atau Jemaah yang berbeza daripada kita. Mengapa hal ini bisa terjadi? Sedangkan jika dalam hal dunia sahaja kita bisa melupakan perbezaan kita demi mewujudkan sebuah kerjasama, mengapa dalam hal bersifat ke-Akhiratan, kita mewujudkan sebuah jurang yang begitu besar sesama kita, biarpun berkongsi aqidah yang sama (Islam), biarpun berkongsi matlamat yang sama (keredhaan Tuhan)?
Itulah sebabnya, ulamak tersohor dunia Dr. Yusuf Al-Qaradhawi bersetuju dengan slogan yang dimainkan oleh Hassan Al-Banna –yang sebetulnya berasal daripada ungkapan Syeikh Rasyid Ridha- iaitu "kita kerjasama dalam hal yang kita sepakati, dan saling berlapang dada dalam hal yang kita perselisihkan." Masalah terbesar umat ini, terutamanya bagi puak yang memperjuangkan Islam, adalah keengganan mereka untuk saling berlapang dada sesama mereka. Kerjasama menurut mereka, adalah tatkala pihak yang satu lagi tunduk dan mendengar kata mereka semata-mata. Seakan para ulamak salaf yang mulia tidak pernah berbeza. Seakan para sahabat yang agung tidak bisa "duduk semeja", biarpun punya idea dan ijtihad yang berbeza.
Mereka mengungkapkan slogan penyatuan, namun bagaimana mungkin kita dapat bersatu tatkala tidak mahu berlapang dada sesama kita? Sedangkan pergaduhan dan perbalahan ini, merupakan antara asbab seseorang itu menjadi penghuni Neraka!
وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ ۚ وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ |
"Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah) dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar."
(Surah Ali Imran [3]:105)
Itulah sebabnya, peranan yang dimainkan oleh Syeikh Abdullah Azzam ketika jihad Afghanistan melawan Soviet Union sangat mengagumkan. Beliau berjaya menyatukan Mujahidin-Mujahidin Islam yang bertelagah, untuk melupakan persengketaan dan melawan dalam satu shaf. Untuk melupakan "luka-luka kecil" untuk berhadapan sang musuh kuffar yang utama. Untuk mengingati persaudaraan sesama mereka, demi bertembung dengan sang penjajah yang durjana. Hasilnya, negara Afghan yang miskin berjaya menggemparkan dunia dengan menewaskan raksaksa Soviet Union yang perkasa! Seumpama pasukan divisyen 3 Jepun berjaya mengalahkan pasukan kebangsaan sebuah negara bernama Malaysia. Errr…. Sorry, sorry….. berjaya mengalahkan pasukan Sepanyol misalnya…. Heh heh.
Tapi, begitu Syeikh Abdullah Azzam berjaya dihapuskan, dan kesatuan sesama Mujahidin berjaya dilunturkan, kedatangan musuh untuk kali yang kedua dalam bentuk yang bernama Amerika pula, menyaksikan Afghanistan akhirnya tumbang tidak bermaya. Kenapa? Kerana tidak ada "power". Kerana seperti sebuah power plant, anda malah memerlukan "kepelbagaian" itu untuk menjadi sebuah tempat kerja yang sempurna.
Umat ini memerlukan kepelbagaian di dalam power plant ini wahai saudara. Maka marilah kita berlapang dada dan segera melupakan perbezaan sesama kita. Seperti mana yang kita mampu perbuat, tatkala berhadapan dengan urusan-urusan berbentuk dunia.
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab Ijazah Kejuruteraan Elektrik, Sijil Pengajian Syariah, Jurutera Profesional berdaftar & Jurutera Elektrik Kompeten bertauliah |
No comments:
Post a Comment