MONSTERS INC.
Kita tidak bersendirian di alam ini. Namun, di alam mana pun, Allah tetap merupakan Rabb, Malik malah Ilah untuk kesemua alam-alam ini.
(Surah Al-Fatihah [1]:2)
Kerana itu, menganggap Allah sebagai Rabb yang eksklusif untuk umat Islam semata-mata, merupakan suatu pandangan yang pelik lagi janggal, apatah lagi di saat mahkluk-makhluk yang tidak berakal pun menyampaikan tasbih dan tahmid mereka kepada Allah Rabb sekalian alam. Tambahan pula, Al-Quranul Karim sendiri yang merakamkan kesaksian betapa penganut agama lain pun mengenali Allah sebagai Tuhan mereka, cuma pengenalan mereka adalah bukan dengan pengenalan yang haq, adalah bukan dengan pengenalan yang sebenar-benarnya.
"Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun"
(Surah Al-Isra'[17]:44)
"Dan orang-orang Yahudi berkata: "Uzair ialah anak Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih ialah anak Allah". Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?"
(Surah At-Taubah [9]:30)
"Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak."
(Surah Maryam [19]:88)
Hatta Jin -yang menyedari hakikat ini- lantas menyeru kepada kaumnya agar segera beriman kepada Allah Tuhan sekalian alam.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!
Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami
(Surah Al-Jin [72]:1-2)
Oleh yang demikian, di antara cara memahami kehidupan alam lain daripada perspektif agama, adalah dengan melihat melalui jendela Quran dan Sunnah Nabi-Nya. Lalu yang datang daripada sumber yang selain keduanya, biarpun mengguna pakai nama Allah, atau pengamalnya memakai songkok, duduk bersila di atas tikar berbanding kerusi, sambil memegang buah kelapa muda, maka tentu itu bukan datangnya daripada agama yang suci lagi murni ini. Sabda Nabi SAW:
" Saya wasiatkan kalian untuk bertakwa kepada Allah ta'ala, tunduk dan patuh kepada pemimpin kalian meskipun yang memimpin kalian adalah seorang budak. Karena di antara kalian yang hidup (setelah ini) akan menyaksikan banyaknya perselisihan. Hendaklah kalian berpegang teguh terhadap ajaranku dan ajaran Khulafaurrasyidin yang mendapatkan petunjuk, gigitlah (genggamlah dengan kuat) dengan geraham. Hendaklah kalian menghindari perkara yang diada-adakan, karena semua perkara bid'ah adalah sesat "
(Riwayat Abu Daud dan Turmuzi, dia berkata : hasan shahih)
Selain itu, satu hal yang dikau harus tahu berkenaan dengan alam Monsters ini, adalah mereka menjana tenaga elektrik, daripada jeritan takut para kanak-kanak!
Sayangnya, dengan beredarnya masa dan bergantinya generasi, keperibadian dan budaya mereka turut mengalamai perubahan. Maka mereka yang tidak bersedia untuk adapt dengan perubahan zaman ini, akan mula kehilangan "cengkaman", lalu sering menyaksikan mereka berubah menjadi kuku besi, atau memaksakan kehendak mereka kepada manusia dan ketamadunan.
Hal di atas bukanlah perkara baru. Dan ia turut ditampilkan di dalam Monsters Inc. Melihatkan pengurangan jeritan kanak-kanak untuk menjanakan tenaga elektrik alam Monsters, penguasa Monsters Inc., Mr. Waternoose menggunakan cara haram dengan menculik kanak-kanak lalu menyedut jeritan mereka. Mujur, kebenaran akan sentiasa bangkit menentang kebatilan. Konspirasi jahat Mr. Waternoose berjaya dihalang! Namun, kini mereka berdepan masalah baru: jika tidak boleh lagi menakutkan kanak-kanak, bagaimana bisa mereka mengumpul tenaga buat menjana tenaga elektrik alam Monsters?
Mike dan Sulley ada jawapannya: gelak tawa pengganti jerit takut mereka! Ternyata, setiap daripada kita harus kreatif dan tidak terikat dengan satu cara, tidak boleh berputus asa dan harus berani mengubah cara fikir yang konservatif.
Mari kita kembali muhasabah cara kita. Dulu, kita ingin mendekatkan manusia kepada agama dengan cara "menakut-nakutkan" mereka, persis yang dibuat di alam Monsters. Namun, dengan berlalunya masa, ternyata cara sedemikian sudah tidak sesuai lagi. Hingga, jadilah kita seperti Mr. Waternoose: menggunakan cara yang salah demi menggapai tujuan kita. Lalu muncullah cerita-cerita rekaan seperti mayat bertukar menjadi babi, atau anak derhaka berubah menjadi semacam anjing. Ada pula yang bertukar menjadi ikan yu, yang di kemudian harinya ternyata semuanya palsu belaka! Mungkin kita tidak sedar, cerita-cerita sebegini, untuk zaman serba moden dan canggih ini, sudah tidak relevan lagi.
Bayangkan, apakah non-Muslim akan semakin tertarik mendekati Islam tatkala mendengar perkhabaran-perkhabaran sebegini, atau justeru semakin jauh daripada Islam lantaran "non-Muslim yang jahat, bila mati, mayat tak pernah berubah jadi apa-apa. Tapi Muslim, bila mati aje, jadi macam-macam. Benarkah Islam berada di atas jalan kebenaran?"
Kerana itu, bak kata Syeikh Jum'ah Amin di dalam bukunya Da'wah: Ushul wa Qawa'id, kita harus "menggembirakan, sebelum memberikan ancaman." Bukankah da'wah Nabi dimulakan dengan basyiran (membawa khabar gembira) berbanding naziran (khabar duka/ ancaman)? Bukankah di dalam Islam ada targhib wa tarhib (motivasi/ khabar gembira dan ancaman/ warning)? Bukahkah ada banyak hadith-hadith Nabi SAW, yang menampilkan Islam sebagai agama yang memberikan "harapan" berbanding menghukum orang dan menjuruskan manusia kepada lembah kebinasaan?
"Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)"
(Surah Al-Insyirah [94]:7)
Perkataan fa-ra-gha sebenarnya bermaksud "kosong". Ini bermakna, terkadang Allah Azza Wa Jalla –seperti di dalam ayat ini- menggunakan kaedah "rayuan" berbanding ancaman, dalam memanggil hambanya untuk mendekatkan diri kepada-Nya. "Dan apabila kamu ada masa kosong, masa lapang, "free time", maka kerjakanlah amal-amal yang lain."
Agama Nasrani misalnya, selepas hilangnya kuasa Gereja dek munculnya Secularism di zaman kebangkitan Eropah, terpaksa menggunakan kaedah ini: memujuk-rayu berbanding menggunakan hukum dan kekerasan. Dan ternyata, pendekatan sebegini berjaya! Maka kita, dalam menangani generasi muda yang serba mencabar ini, adakah masih mahu menggunakan cara dan kaedah lama dengan "memaksakan agama" ini kepada mereka, atau cuba memujuk rayu hati mereka untuk kembali kepada fitrah beragama yang sebenarnya telah tertempa di saat kelahiran mereka?
Monsters Inc. Ternyata lebih banyak tenaga dapat dijana daripada "menggembirakan" manusia, berbanding menakut-nakutkan mereka.
"Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Karena itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."
(Surah Al-Baqarah [2]:185)
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab Ijazah Kejuruteraan Elektrik, Sijil Pengajian Syariah Jurutera Profesional berdaftar & Jurutera Elektrik Kompeten bertauliah |
No comments:
Post a Comment