Followers

Thursday, April 23, 2015

"(Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya"

(Surah Al-Baqarah [2]:273)

 

Dulu saya memilih tema "empathy" untuk ayat Quran ini. Tetapi kini, saya memilih ayat ini sebagai dalil kepada sebuah tema yang lebih diperlukan oleh umat Islam dewasa ini, iaitu "sensitivity."

 

Terdapat khilaf fiqhi terhadap hukum solat qobliah sebelum Solat Jumaat. Apakah ada qobliah Jumaat, ataupun tidak. Namun, hal ini berbeza dengan solat ba'diah Jumaat. Kalau ada pun khilaf, sekadar apakah ba'diah Jumaat itu 2 rakaat, atau 4 rakaat. Namun, walaupun ba'diah Jumaat adalah sunnah yang sangat-sangat dituntut, itu tidak bererti anda harus hilang rasa "sensitivity", lalu bangun untuk solat ba'diah Jumaat betul-betul di hadapan pintu! Nah, jika sudah solatnya di hadapan pintu, bukankah pintu itu laluan orang, maka sudah barang tentu orang akan lalu di hadapan anda!

 

Dan lagi ibrah daripada Solat Jumaat; sungguh pun sunnah wudhu' itu diulang 3 kali setiap rukun, namun di sana ada juga yang Nabi SAW lakukan 2 kali, atau sekali. Yang penting wudhu' itu adalah meratakan air ke seluruh anggota yang rukun. Nah kalau iya pun sunnah wudhu' itu 3 kali, tapi pada kesesakan orang ramai mahu berwudhu' pada hari Jumaat, dengan pili airnya yang semakin mengecil seakan air akan habis bila-bila masa sahaja lagi, apakah wajar anda memperbanyakkan penggunaan air untuk wudhu', sedang masih ramai yang memerlukannya? Bukankah hadith turut memperingatkan untuk mengelakkan pembaziran dalam berwudhu', sungguh pun di dalam sungai yang mengalir? Sekali lagi, isunya di sini adalah: sensitivity!

 

Dan lagi, bila awak terlambat menghadiri Jumaat, terpaksalah anda park kereta secara tidak beretika. Maka sewajarnya jugalah begitu selesai sahaja Solat, anda segera keluar untuk mengalihkan kenderaan anda yang menghalang ratusan Jemaah lain yang punya keperluan, berbanding mahu berzikir, solat sunat dan seumpamanya. Bukankah surah Al-Jumuah sendiri menyatakan begitu selesai Solat (dan definisi selesai Solat itu adalah selesai salam. Bukan selesai sapu muka. Bukan selesai zikir. Bukan selesai doa) maka bertebaranlah di muka bumi. Untuk apa? Untuk dakwah? Untuk jihad? Untuk Ya Hanana? Bukan! Untuk mencari karunia Allah! Tapi mengapa yang sebaliknya yang berlaku? Aduh….isu sensitivity lagi…

 

Maka tatkala umat Islam tidak mampu mempunyai kepekaan sensitivity dalam hal-hal asas sebegini, apalah harapan untuk mereka punya sensitivity terhadap umat-umat beragama dan berbangsa lain? Hingga Islam terlihat begitu hodoh di hadapan mata masyarakat belum Islam, sedang Islam seharusnya tampil indah lagi rahmah kepada sekian alam.

 

Hmm…sensitivity, sensitivity….

1 comment:

  1. Setuju. Umat kini yang kian hilang......sensitiviti....

    ReplyDelete