Andre Villas-Boas. Usianya baru 34 tahun (35 Oktober ini). Hanya beberapa bulan lebih tua daripada penjaring terbanyak pasukan Chelsea sepanjang zaman, Frank Lampard. Bahkan, ia hanya tua 5 bulan sahaja daripada ayam tambatannya sendiri, Didier Drogba. Namun, pengurus yang sering digelar AVB ini jugalah yang terpilih untuk mengisi kerusi panas yang pernah dikemudi ke persada kegemilangan oleh “The Special One”, iaitu pengurus phenomenal iaitu Jose Mourinho.
Berbeza dengan pengurus-pengurus sebelumnya, AVB lebih bernasib baik apabila pemilik kelab Chelsea, sang Billionaire Roman Abramovich bisa bersabar dan masih memberikan ruang dan peluang kepada AVB untuk kembali menukilkan kejayaan.
Namun, Chelsea yang mengalami transformasi “identiti” di bawah kendalian Abramovich, yang menyaksikan mereka memenangi dan merampas kejuaraan Liga Inggeris daripada Manchester United sebanyak 3 kali dan Naib Juara Juara-Juara Eropah sebanyak sekali –semuanya dengan pelaburan berbillion-billion dolar juga- kini diambang kemerosotan. Entah bila kali terakhir mereka tidak berada di senarai top three Liga Inggeris, namun musim ini, “sengat” mereka sebagai pasukan pilihan sudah mula hilang taringnya. Hingga, akhbar tempatan minggu ini melaporkan, AVB sudah hilang sokongan apa lagi kepercayaan, bukan sekadar daripada penyokong Chelsea sendiri, malah pemain-pemain pun sudah tidak mempedulikan nasibnya. Mengapa ini semua berlaku?
Jawapannya mudah. Bila anda sudah melaburkan sekian banyak wang, anda tentu mengharapkan sekian baik keputusan. Dengan pelaburan dan barisan bintang yang Chelsea ada, untuk tidak kelihatan sebagai pencabar kejuaraan, adalah suatu keaiban yang tidak mungkin dimaafkan.
Saudaraku,
Berapa ramai di kalangan kita sudah melalui “pelaburan” yang sekian gempak. Hadir ke seminar itu dan ini. Diberi jawatan di dalam NGO yang maha tinggi. Hadir ke ceramah ulamak tersohor. Namun, segala “pelaburan” itu, sekadar melihatkan “kemandulan” sang “AVB” untuk melahirkan manusia-manusia “istimewa”, yang bukan sekadar siap-siaga memperjudikan segalanya demi Islam, malah turut sama meneruskan re-genesasi aktivis Islam.
Apalah ertinya anda gah dalam program gempak ala pasukan Chelsea, andai anda melahirkan keputusan menghampakan persis AVB?
Wajarlah Allah memperingatkan:
“Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu derajat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (surga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar,”
(Surah An-Nisa’ [4]:95)
Mamang, bukan hasil yang dihitungkan, namun usaha jua yang diperkirakan. Namun, benarkah usaha anda telah setimpal, tatkala jalur-jalur regenesasi memang langsung tidak pernah kelihatan?
“If there’s a will, there’s a way” kata orang. “Man jadda wa jadda” kata pepatah. Maka, adakah anda ingin menjadi seorang lagi AVB, yang hanya gah dengan program, tapi fail dalam perjuangan?
-Ir. Faridul Farhan Abd Wahab “Ya Allah, teguhkanlah keistiqamahanku..”-
No comments:
Post a Comment