Sabda Nabi S.A.W; "Al-Islam ya'lu wa la yu'la alaih" "Islam itu tinggi, dan tiada yang lebih tinggi (kedudukan) daripadanya." Namun, kedudukan dan posisi Islam yang berada di tempat yang tinggi itu, sudah pun "teralih" pada hari ini. Bukan lagi Islam yang kelihatan tinggi (di mata manusia), tetapi Barat, Jepun, dan yang lain sebagainya, itulah yang menjadi rujukan, itulah yang menjadi perhatian, itulah yang menjadi siulan oleh masyarakat moden kita pada hari ini.
Lalu, berbagai pihak, berbagai "kabilah", berbagai "suku" dan berbagai "kaum" berusaha untuk mengembalikan semula kegemilangannya. Malangnya, setiap pihak, setiap "kabilah", setiap hizb (puak) termasuk setiap NGO dan jemaah, saling bercakaran dalam proses mengembalikan keagungan islam itu.
Saudaraku,
Bagaimana kiranya jika "lau kana bainana", Ar-Rasul musthofa Muhammad Bin Abdullah S.A.W ada di tengah-tengah kalangan kita, apa Nabi nan mulia meredhai permusuhan dan pergaduhan di atas nama Islam ini? Dan kira-kiranya, apakah penyelesaian yang akan diambil junjungan kita nan mulia untuk menyelesaikan hal yang sebegitu melarat di kalangan para pejuang Islam ini?
Saya jadi teringat dengan masa kira-kira 5 tahun sebelum kenabian. Satu ketika, Makkah dilanda banjir besar, yang kemudiannya menyebabkan Ka'bah nan mulia rosak teruk dan perlu diperbaiki. Demikian selesai pemulihan Ka'bah, kabilah-kabilah Arab mula berselisih akan siapakah yang berhak mendapatkan kehormatan untuk meletakkan kembali Hajarul Aswad ke posisinya. Perselisihan berlanjut sehingga 4 atau 5 hari –demikian menurut Mubarakfury dalam Rahiqul Makhtum dan Al-Butty dalam Fiqhus Shirah- hingga hampir-hampir mengakibatkan pertumpahan darah.
Lalu, bagaimana Ar-Rasul menyelesaikannya? Dihamparkan sehelai selendang, diletakkan Hajarul Aswad di atasnya, lalu dijemput setiap ketua kabilah memegang bahagian hujungnya dan mengangkatnya bersama-sama. Akhirnya, baginda berjaya menyelesaikan permasalahan tersebut, yang asal ceritanya terjadi, kerana niat yang murni, tetapi hampir mengakibatkan tragedi.
Saudaraku,
Mengembalikan ketinggian Islam, apa itu bukan matlamat yang suci? Sesuci mengangkat dan mengembalikan Hajarul Aswad ke posisinya? Namun, apa perlu matlamat yang suci itu, mengakibatkan persengketaan dan permusuhan, yang menghancur-leburkan ketulusan dan kemuliaan perjuangan?
وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ ۚ وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
"Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah bercerai-berai dan berselisih pendapat sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar."
(Surah Ali Imran [3]:105)
Saudaraku,
Apa tidak bolehkah kita sama-sama mengembalikan kemulian Islam ini, dengan masing-masing di antara kita berperanan, dan mengangkat "selendang" perjuangan ini bersama-sama? Apa perlukah hanya kelompok kita sahaja yang mengangkat "hajar Aswad" itu, lalu menafikan dan melukakan kelompok-kelompok yang lainnya?
Apa perlu kita menuruti jejak langkah kabilah-kabilah Arab sebelum zaman kenabian, sedang kita mengaku cintakan Allah, cintakan Rasul, cintakan Islam, tapi melalaikan contoh yang telah Nabi S.A.W teladankan?
Mengapa rela kita menghalang-halangi saudara seperjuangan, hanya kerana berbeza "kabilah" dengan diri kita? Mengapa perlu kita jatuh-menjatuhkan saudara seperjuangan, hanya kerana mengutamakan "kabilah" kita? Mengapa tergamak kita menjadikan kabilah kita "agama" baru, hingga yang diluar daripada kelompok kita seakan-akan sama tarafnya dengan mereka yang di luar daripada agama kita?
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ ۖ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ عِنْدَ اللَّهِ ۚ وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai berperang dalam bulan haram; katakanlah: Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidilharam (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah dan (ingatlah), fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan.."
(Surah Al-Baqarah [2]:217)
Renungkanlah kembali pesanan UZAR; "Jika kita tidak mampu menyebar & memandu kebaikan, jangan sama sekali menjadi penghalang bagi mereka yang ingin menyebarkannya."
Moga Islam akan gah kembali di "Carta Hati." Iya, Islamlah yang berada di Carta Hati. Dengar ya Najwa Latif…
-Ir. Faridul Farhan Abd Wahab "izinkan saya turut sama memegang "selendang" itu.."-
No comments:
Post a Comment