MIKROSKOP
Kanta –dan segala prinsip berkenaan cahaya yang hadir bersama dengannya- telah membawa kepada penemuan-penemuan yang lebih "besar" dari sekadar sebingkai cermin mata. Mungkin pada awalnya hanya sekeping kanta, tetapi kemudiannya berkembang menjadi cermin mata, kemudian teleskop, lalu hakikat objek-objek jauh yang kelihatan kerdil pada pandangan mata, kemudiannya diketahui dan disedari hakikat kebesaran dan keagungannya. Lalu, insan segera sedar betapa marhain lagi kerdilnya dirinya, bila dibandingkan dengan makhluk-makhluk Tuhan yang lainnya: bulan, bintang, planet, dan lain-lain ciptaan yang menghuni jagat raya. Lalu, kenyataan betapa manusia terlalu kerdil bila dibandingkan dengan makhluk yang lain-lainnya, pasti yang bisa meranapkan sebuah kesombongan yang mungkin mengintai untuk tumbuh dan meracuni sifat kehambaan di dalam diri. Firman Allah:
وَخُلِقَ الْإِنْسَانُ ضَعِيفًا
"dan manusia itu dijadikan berkeadaan lemah."
(Surah An-Nisa' [4]:28)
يأَيُّهَا النَّاسُ أَنتُمُ الْفُقَرَآءُ إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ هُوَ الْغَنِىُّ الْحَمِيدُ
"Wahai umat manusia, kamulah semua faqir di sisi Allah sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji."
(Surah Al-Fathir [35]:15)
Tapi, tatkala menghayati "saiz sebenar" kita di dalam alam, jangan sampai rasa kerdil, dhaif, lemah dan faqir ini, mengakibatkan tumbuh pula kesan negatif di dalam diri. Yang harus lahir dari kesedaran betapa marhainnya kita di sisi Tuhan, adalah sifat kehambaan, tawadhuk dan rendah diri. Jangan sampai inferiority complex (rasa tak berguna, lagi kerdil diri) tumbuh dan membarah, hingga mematikan potensi yang ada di dalam diri. Bukankah Tuhanmu telah mengingatkan:
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya"
(Surah At-Tin [95]:4)
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi..."
(Surah Al-Baqarah [2]:30)
Kerana itu, wahai saudaraku, alat yang bernama teleskop bukanlah satu-satunya penemuan yang menyusuli "potensi" alat yang bernama kanta. Jika teleskop menyedarkan kita akan betapa kerdilnya kita dan betapa besarnya makhluk Tuhan yang lain-lainnya, perkakas yang digelar "mikroskop" pula, mengingatkan diri kita betapa masih banyak makhluk-makhluk lain yang lebih kecil lagi kerdil, dan lebih sering dilupakan berbanding diri kita.
Setelah terlalu lama engkau mendongak "ke atas", mikroskop membawamu untuk merenung dan memerhati jauh "ke bawah". Tatkala engkau merasa sedih dan gusar, meratapi dan menangisi untung rugi nasib dirimu, jangan lupa untuk bersyukur lantaran masih ramai di luar sana, yang jauh lebih malang berbanding dengan dirimu.
Masihkah kau ingat dengan anak seorang pembantu tadika yang ditangkap gara-gara tidak hadir ke PLKN, walhal, untuk ke sekolah dan mengambil peperiksaan PMR pun tak mampu, lantaran membantu menampung kemiskinan keluarganya?
Atau, kisah keluarga miskin yang ditayangkan di kaca televisyen, dalam rancangan "Bersamamu", yang hanya mampu hidup berlaukkan siput babi lantaran miskin lagi faqirnya kehidupan mereka, itupun, mendapat cacian dan makian daripada masyarakat sekelilingnya?
Atau, kanak-kanak Palestin yang tidak pernah mengenal kediaman melainkan khemah pelarian, dek kebuasan nafsu Zionis Israel, selain sifat longlai lagi lemah yang meyelimuti umat Islam untuk membekaskan sesuatu buat memperjuangkan nasib mereka?
Atau Muslim Rohingnya? Syiria? Dan lain-lain manusia, di belahan bumi sana?
Kerana itu, tatkala baginda Nabi melayani rasa duka dan hiba, yang menyusuli selepas siri-siri gangguan dan hinaan, fitnahan dan tohmahan, Allah Azza Wa Jalla kembali mengingatkan baginda akan segala nikmat dan karunia, agar inferiority complex tidak sampai mematikan motivasi baginda.
"Tuhanmu tidaklah meninggalkan dirimu (ya Muhammad) dan tidak pula membencimu.
Dan sungguh, yang kemudian itu lebih baik buatmu daripada yang permulaan.
Dan sungguh, kelak Tuhanmu akan menghadiahkanmu, sehingga engkau redha.
Bukankah Dia mendapatimu seorang yang yatim, lalu Dia melindungimu?
Dan bukankah Dia mendapati (dikelilingi) orang-orang yang sesat, lalu Dia menunjukimu?
Dan bukankah Dia mendapatimu seorang yang kekurangan, lalu Dia mencukupkanmu?"
(Surah Ad-Dhuha [93]:3-8)
Nah, di sebalik semua hal yang negatif itu, apakah dikau sudah lupa akan segala hal yang baik dan positif yang pernah menyinari hidupmu? Bukankah seorang Mukmin itu, adalah seorang yang melihat baik segala hal yang berlaku terhadap dirinya? Hingga ia tampil sabar menghadapi dugaan dan cubaan, dan zahir syukur tatkala menyikapi kurnia dan kelebihan?
Hingga, ia tetap mampu "berkarya" di sebalik "hitam putih" liku kehidupan yang menyelubungi dirinya. Kerana tidak semestinya yang colourful itu yang dinamakan "karya", terkadang hitam putih saja, bisa menjadi "karya agung" sebuah kehidupan.
Kerana itu, lihatlah pesan akhir Allah Azza Wa Jalla, tatkala menurunkan surah Ad-Dhuha kepada Nabi kita SAW, yang sedang de-motivated terhadap masa depan dakwah yang masih kelihatan kelam;
"wa amma bini'mati rabbika fahaddith"
"dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan"
Engkau mungkin kerdil di sisi bintang, tetapi bukankah kau kau raksasa di sisi semut, kuman, kumbang dan lain-lain makhluk kehidupan? Engkau mungkin bukan "apa-apa" pada pandangan teleskop, namun engkau adalah "segala-galanya" bila dilihat melalui mikroskop. Engkau bukan Malaikat memang, tetapi bukankah Tuhan telah menciptakanmu sebaik-baik kejadian, lalu melantikmu menjadi Khalifah yang memimpini dunia dan kehidupan?
Engkau bukan seorang pemidato mungkin, namun Musa Alaihis salam tidak menjadikan kekeluan lidahnya sebagai penghalang untuk ia mendakwahi Fir'aun.
Engkau bukan seorang yang gagah perkasa, memang, namun Syeikh Ahmad Yassin tidak menjadikan kelumpuhannya sebagai alasan untuk mencetuskan Intifadhah dan menggerunkan Israel, hingga terpaksa dihapuskan oleh Apache-apache.
Engkau tidak cukup ilmu, benar, namun Mus'ab Bin Umair tidak menjadikan nuzul (turunnya) Al-Quran yang belum lengkap untuk meyakinkan para penduduk Yathrib untuk menerima Islam dan menjadikan tanahair mereka sebagai pusat pemerintahan dan dakwah Islamiyah yang pertama-tamanya.
Saudaraku,
tahanlah kecewamu hingga batas yang luas
jangan biarkan kecewamu membinasakan
hati dan fikiranmu yang mulia
Berkacalah kepada para anbiyya
atau para sahabat-sahabatnya
bagaimana mereka terbuang awalnya
dimuliakan oleh malaikat pada akhirnya
masih ada orang yang sehati dan sefikrah denganmu
sunyi sendiri raganya tapi ramai gembira dalam amal dan do'a
kau ada banyak teman di sini di sana dan dipelbagai sudut dunia.
aku pastikan salam cinta dari kami semua
Tapi....
apalah arti cinta dan salam kami
di sisi doa dan keluhanmu pada Robbiy Izzatiy
Berjamaah bisa bersendiri asal tetap pada pelukan Ilahi Robbiy.
Ya Allah jagalah anak kami, mujahid kecil kami, da'ie mukhlish kami...
generasi baru negri jiran kami sangat menanti mereka ya Allah
Ya Allah
telah berkali-kali gerakan suci di sana
hilang taji dan amal murni,
mereka tak mampu membangun diri
menjadi contoh perubah sejati
hanya kerana .....
masalah hati..
Ya Allah, jauhilah mereka dari penyakit hati..
Akhi, bertahanlah
semakin sukar semakin dekat dengan puncak
"falak tahamal aqobah"
Bukankah sudah terlalu banyak nikmat yang dirasakan oleh dirimu? Maka mengapa tidak dikau kongsi dan nyatakan?
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab Jurutera Profesional dan Jurutera Elektrik Kompeten Lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Sijil Pengajian Syariah |