"Ngko tahu budak yang meninggal dalam kereta baru-baru ni? Ala..anak cikgu tu, yang mak dia tinggalkan dia dalam kereta untuk pergi meeting tu? Anak kawan aku tu…" begitu lebih kurang kata seorang rakan sekerja saya kepada saya baru-baru ini.
Perbualan menjadi semakin menarik apabila kawan itu menambah lagi; "aku baca dalam web forum orang dok kutuk dia macam-macam. Depa tak kena lagi, boleh la cakap banyak…" sambung beliau penuh emosi. Saya pun menyetujui kata-katanya.
Ini bukanlah kejadian pertama perkara ini berlaku. Malangnya dan sayangnya masyarakat kita -di sebalik gelombang kebangkitan dan kesedaran Islam yang tampak hebat- rupa-rupanya masih mempunyai mentality bercakap macam-macam. Malahan ada sebuah NGO Islam malahan bercakap tentang akta sekian-sekian, peruntukan undang-undang sekian-sekian, tatkala mengulas ibubapa yang kematian anak, di bawah pertuduhan "cuai."
Saya berpandangan begini. Yang pertama, kalau andainya ada seseorang yang kita kenali tidak baik atau berakhlaq buruk meninggal dunia, itu pun tatkala menziari keluarga jenazah, kita dituntut untuk bercakap yang baik-baik, apa lagi keluarga yang kematian anak? Ini selaras dengan hadith Nabi SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh A'isyah R.A;
لَا تَسُبُّوا الْأَمْوَاتَ فَإِنَّهُمْ قَدْ أَفْضَوْا إِلَى مَا قَدَّمُوا
"Janganlah kalian mencela orang-orang yang telah meninggal karena mereka telah mendapatkan apa yang telah mereka kerjakan". (HR. Al-Bukhari no. 6516)
Yang keduanya, manusia ini memang bersifat pelupa. Malahan perkataan "Insan", kebanyakan pendapat mengatakan ia memang berasal daripada perkataan lupa yakni "nisyan", maka dalam keadaan kelam-kabut sebegitu, sepatutnya dapat difahami andainya sang ibu atau sang ayah terlupa akan anaknya yang berada di dalam kereta. Saya tidak memandangnya sebagai tanda kurang cinta pada anak, atau kelalaian/ kealpaan dan lain sebagainya, kerana dalam kisah Nabi Musa dan pembantunya serta kisah Nabi Yusuf dan pekerja istana di penjara pun, dipaparkan sifat kemanusiaan ini yakni "lupa", apatah lagi diri kita?
Firman Allah;
قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا أَنْسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ ۚ وَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا
"Temannya berkata: Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku terlupa hal ikan itu dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan dan ikan itu telah menggelungsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan."
(Surah Al-Kahfi [18]:63)
وَقَالَ لِلَّذِي ظَنَّ أَنَّهُ نَاجٍ مِنْهُمَا اذْكُرْنِي عِنْدَ رَبِّكَ فَأَنْسَاهُ الشَّيْطَانُ ذِكْرَ رَبِّهِ فَلَبِثَ فِي السِّجْنِ بِضْعَ سِنِينَ
"Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang ia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: "Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu". (Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) maka ia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggallah Yusuf dalam penjara beberapa tahun"
(Surah Yusuf [12]:42)
Yang ketiga, dan ini memang saya nak sentuh sangat hal ini, adalah bagaimana boleh terjadinya hal ini atau what is the root cause leading to it? Apakah benar salah ibubapa yang lalai, atau salah sekolah yang terlalu membebankan, atau, bagaimana sebenarnya?
Secara peribadi, saya melihat positif transformasi pendidikan Negara di mana penilaian berasaskan peperiksaan semata-mata cuba dihapuskan. Namun, pada masa yang sama, saya turut mendengar rintihan ramai warga pendidik yang mengatakan mereka yang sudah sedia terbeban dengan workload yang bertimbun-timbun, kemudiannya dibebankan lagi. Apatah lagi dengan ibubapa bekerjaya hari ini yang meletakkan 100% tanggung jawab mendidik anak di bahu guru, kemudiannya mengaharpkan sebuah kesempurnaan, tetapi tidak memberikan "kebebasan" kepada para pendidik, lalu warga guru pun berhadapan delima mengahadapi kerenah generasi Y yang serba kurang ajar ini tanpa mampu berbuat apa-apa lantaran diancam dengan saman dan pelbagai macam lagi tindakan. Walhal, mana mungkin tanggung jawab mendidik 100% di bahu guru, kerana Al-Quran menyatakan:
وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidikku semasa kecil"
(Surah Al-Isra' [17]:24)
Bermakna, kewajipan nombor satu ibubapa, justeru adalah mentarbiyah, mendidik anak-anaknya!
Sekali lagi, walaupun saya melihat baik transformasi pendidikan, tetapi rintihan para guru harus didengari juga. Tak kan pernah mungkin transfromasi ini akan berjaya, tatkala suara dan pandangan mereka yang mahu melaksanakannya (baca: guru) tidak diambil peduli, tidak didengari, malahan diabaikan oleh pihak pembuat dasar.
Mungkin pada anda, tiada kena-mengena dengan apa yang saya sebut ini dengan kes ibu yang tergesa-gesa menghadiri mensyuarat sekolah lalu terlupa sang anak di dalam kereta. Saya jawab: malahan, sangat berkaitan, kerana di sana bukti jelas guru tidak ada "say" di dalam apa-apa perkara! Tatkala syarikat-sayarikat besar seperti Google dan sebagainya memberikan kebebasan kepada staff mereka untuk "berkarya", guru yang ada pelbagai urusan, kelam-kabut dan sebagainya, apakah tidak boleh diberi pertimbangan sewajarnya, setidak-tidaknya atas dasar kemanusiaan, untuk tidak hadir ke mesyuarat tersebut?
Maka, dalam point ini saya ingin tegaskan, kita ada masalah "tak pedulisme". Kita "tak peduli" beban orang lain. Itu kita harus akui. Tatkala Barat pun boleh mewujudkan sekolah khas untuk kanak-kanak Autisme dan Hyperactive misalnya, masyarakat kita tetap menganggap kanak-kanak istimewa ini sebagai "nakal", sebabnya mudah, tidak mahu memahami orang lain. "Aku tak pedulisme." Atau, tatkala Barat berusaha sedaya upaya menyediakan makanan halal buat banduan penjara yang Muslim, saya ulang kembali: banduan penjara yang Muslim, masyarakat kita pula tidak peduli akan hak dan keperluan bangsa lain. Kerana itulah terus ibubapa yang dipersalahkan.
Macam contoh kes Nurin Jazlin suatu masa dahulu. Saya masih ingat, ada seorang menteri mangkuk hayun yang cakap dalam berita, ibubapa Nurin Jazlin boleh dikenakan tindakan atas akta berhubung kait dengan kelalaian (akta yang sama dengan yang disebut oleh NGO Islam tadi). Dalam keadaan orang yang sedang berduka, apakah kita sudah tawar dengan belas kasihan hingga menyebut hal itu di saat dan waktu sebegitu? Kenapa tidak pula melihatnya sebagai masalah keselamatan yang serius? Apakah anak-anak sudah tidak bebas bermain atau keluar hatta di kawasan kejiranannya sendiri? Jika benar ia dilihat sebagai masalah keselamatan yang serius, mana mungkin beberapa tahun kemudian pihak berwajib dengan penuh bangganya menyebut di media betapa Malaysia di antara Negara yang paling selamat di dunia!
Ada banyak perkara lain yang perlu diperbetulkan, berbanding sekadar meletakkan kesalahan 100%, di bahu ibubapa mangsa. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment