Followers

Monday, June 16, 2014

Coklat

Ketika di bangku sekolah, subjek karangan/ penulisan adalah antara subjek kegemaran saya. Oleh yang demikian, seperti mana adatnya manusia, hal yang kita suka, memudahkan kita untuk "score" perkara tersebut. Walau bagaimanapun, begitu melangkah ke menara gading, saya memutuskan untuk tidak lagi menulis, kerana saya merasakan betapa saya tidak layak untuk menulis, dan siapalah yang mahu membaca penulisan saya, kerana adalah lebih aula mereka membaca penulisan ulamak-ulamak dan tokoh-tokoh terbilang berbanding penulisan saya yang kerdil ini.

 

Namun, hal demikian mula berubah begitu saya masuk ke tahun akhir pengajian. Itu pun bermula, selepas saya memberikan pengisian di satu tempat, dan pengisian saya kurang difahami oleh para pendengar. Maka, pulang daripada tempat itu, di tengah-tengah malam buta, langsung saja saya menulis kembali apa yang saya sampaikan di tempat tersebut sebagai clarification buat mereka-mereka yang tak faham dan tak dapat tangkap pengisian saya. Lucunya, penulisan tersebut rupa-rupanya digunakan oleh ikhwah-ikhwah untuk modul daurus syabab dalam program-program sekolah anjuran mereka.

 

Kemudiannya, atas dasar tanggung jawab, konon menggunakan segala medium dan wasilah yang ada untuk menyampaikan risalah islam, saya pun cuba menulis secara konsisten, minim sebulan sekali. Namun, sejak kebelakangan ini, timbul kembali perasaan sepertimana perasaan tatkala saya melangkah masuk ke menara gading dahulu: siapalah saya untuk menulis? Tapi pada masa yang sama, agar perasaan itu tidak menjadi bisikan syaitan untuk melemah dan memfuturkan diri saya, saya tetap cuba untuk menyumbang artikel di dalam blog ini, minima sebulan sekali, insyaAllah.

 

Dengan mukaddimah di atas, saya ingin menyatakan saya tidak berminat untuk menulis panjang. Saya akan cuba meringkaskan sedaya mungkin penulisan kali ini, tanpa mengelirukan mereka yang sudi membacanya insyaAllah. Saya ingin menyentuh tentang isu coklat Cadbury.

 

Saya ingin menyentuh dua isu yang timbul. Pertama status coklat Cadbury: haram ataupun halal?

 

Ramai orang marah dan menyelar JAKIM selepas pihak berkuasa itu tiba-tiba mengeluarkan kenyataan yang sifatnya "U-Turn", di mana JAKIM mengesahkan status Halal coklat Cadbury, selepas sebelumnya kecoh akan keharaman coklat tersebut dek kerana terdapatnya DNA Babi di dalamnya. Maka pelbagai tuduhan dilemparkan kepada JAKIM, juga persoalan apakah status sebenar coklat tersebut.

 

Saya secara peribadi, selepas pengumuman JAKIM tersebut, saya meletakkan sikap bahawa coklat itu hukumnya HALAL/ HARUS. Saya berpandangan demikian kerana menurut kaedah fiqh, hukum asal sesuatu itu adalah harus. Untuk mengharamkannya, maka perlukan pembuktian. Al-ashlu fil asya'al ibahah. Hukum asal segala sesuatu itu (kecuali bab ibadah), adalah harus. Kecuali, adanya dalil, adanya hujah, adanya bukti bahawa ianya haram. Maka ketika ada pihak yang membuat kajian mendapati ianya haram, maka haramlah hukumnya. Tetapi tatkala ada pihak lain yang lebih berauthority seperti JAKIM pula mengesahkan ianya halal, apakah status terkini coklat tersebut? Saya berpendapat hukumnya kembali kepada asal. Dan bukan menjadi kewajipan JAKIM untuk membuktikan ianya halal, tetapi pihak yang sebelumnya mendapati ianya haramlah yang patut dispute melalui pembuktian pengesahan JAKIM itu, sebab balik kepada kaedah fiqh tadi, pengharaman itu yang memerlukan pembuktian. Saya juga menolak untuk menyatakan hukumnya kini syubhah, sebab kajian JAKIM mengesahkan ianya halal seperti kaedah asal di dalam fiqh, maka bagaimana pula ianya bolej dikatakan syubhah?

 

Alhamdulillah, pandangan seperti ini turut selari dengan tokoh agamawan Malaysia, misalnya Dr. Maza:

 

 

Isu yang kedua, kalaupun ianya terbukti halal, patutkah kita memboikot Cadbury?

 

Saya pada awalnya, tatkala dikatakan ianya ada DNA babi, saya mengambil sikap akan memboikot semua produk Cadbury, sungguhpun yang didapati haram hanyalah coklat yang mempunyai kekacang sahaja (Hazel Nut dan Almond sahaja). Kerana sungguh pun yang lain masih halal, tetapi sikap Cadbury yang boleh memasarkan produk yang mengandungi unsur babi di bawah label Halal, adalah sikap yang sangat tidak bermaruah. Maka, wajar mereka diboikot secara total.

 

Tapi, ketika JAKIM pula mengesahkan kehalalan produk tersebut (dan saya berharap kajian dan penyiasatan terus dilakukan bagi mengetahui kenapa kajian awalnya mendapati ianya haram. Bukan sibuk menyiasat siapa yang membocorkan maklumat awal tersebut), saya tidak lagi boleh bersetuju dengan tindakan sebahagian pihak yang menyeru untuk tetap terus memboikot jenama coklat terkenal tersebut. Mengapa?

 

Apabila kenyataan awal mendapati hanya coklat yang mempunyai kekacang yang mempunyai unsur-unsur babi, saya punya kesimpulan adalah, coklat itu sendiri tidak haram. Kacang itu yang menjadikannya haram. Saya mendengar dan membaca juga pandangan-pandangan dan kajian-kajian akan kegunaan babi di dalam industry kehidupan kita sehari-hari. Antara pandangan yang menarik adalah, pembungkus coklat itu sebenarnya yang ada unsur DNA babi. Sebab untuk mengelakkan masalah coklat melekat pada pembungkus, maka pengeluar pembungkus mereka telah menggunakan produk berasaskan babi yang dapat mengelakkan coklat melekat pada pembungkusnya. Saya tidak pasti sama ada pendapat ini benar, Cuma saya rasa, jika itulah kesnya, mengapa hanya coklat berasaskan kekacang yang tercemar dengan DNA babi?

 

Satu lagi pandangan kenapa hanya coklat berasaskan kekacang yang haram, adalah kerana kacang ini mudah berulat. Maka pengeluar kacang, untuk mengelakkan hal ini daripada berlaku, mereka pun mengawet kekacang tersebut. Dan pengawet itulah yang mengandungi DNA babi. Maka jika inilah kesnya, menurut pendapat saya, bukan Cadbury yang bersalah di dalam hal ini, sebaliknya pembekal kacang Cadbury yang bersalah.

 

Sebahagian orang mungkin akan berhujah: sapa suruh Cadbury tak check betul-betul status kehalalan kacang pembekal/ vendor mereka. Mari kita jadi lebih realistic. Contoh, katakanlah kita nak jual nasi lemak. Lalu kita pun telah identify pembekal beras, telur, ikan bilis, cili, timun dan sebagainya. Dan lebih jauh daripada itu, kita sudah pun menghantar ke makmal setial sampel pembekal-pembekal tersebut demi menjamin kualiti barang yang dibekalkan oleh vendor kita. Namun, dua tiga tahun selepas itu, nasi lemak kita didapati timunnya ada DNA babi. Mungkin menggunakan baja yang ada unsur babi, atau racun yang disembur daripada unsur babi, atau lain-lain lagi. Nah, benarkah kita yang bersalah dalam hal ini, atau kesilapan dan kalalaian vendor kita menyebabkan kita teraniaya? Apakah mungkin setiap kali kita membeli timun daripada pembekal, kita akan menghantar sampel ke makmal? Paling ekstreme pun, saya kira setahun sekali baru kita akan menghantar sampel ke lab.

 

Nah, bukankah ada kemungkinan, Cadbury, yang mass productionnya cukup besar, teraniaya dek kesilapan yang dilakukan oleh pembekal kekacang mereka? Jadi apakah wajar mereka diboikot?

 

Artikel ini asalnya ditulis pada 7 Jun dan tertangguh/ terbengkalai penulisannya. Oleh kerana saya malas nak sambung, saya kira sampai ke point di atas sudah mencukupi. Moga Allah berikan hidayah-Nya kepada kita semua.

 

       

No comments:

Post a Comment