Followers

Sunday, June 1, 2014

[JOM]: HYDRO

HYDRO

 

Jangan percayakan Monster Inc!

 

Mana ada Power Plant yang tenaganya dijanakan oleh tenaga atau "aura" jeritan manusia! Ini semua poyo! Yang betul adalah, Power Plant yang utama terdiri daripada 2 jenis: Thermal Plant, yang bersumberkan bahan bakar seperti arang batu, gas, diesel dan sebagainya, serta hydro, di mana tenaga kinetic dan tenaga keupayaan daripada empangan ditukarkan kepada tenaga elektrik oleh turbin-generator.

 

Sungguh pun tenaga yang terhasil daripada Hydro Plant ini kelihatannya lebih murah berbanding penghasilan tenaga di dalam Thermal Plant, tetapi yang sebenarnya, menghasilkan elektrik daripada tenaga hydro mempunyai beberapa kekurangan dan kelemahannya yang tersendiri.

 

Bayangkan jika penghasilan elektrik bergantung sepenuhnya kepada Hyro Plant. Bagi menjana elektrik secara berterusan, untuk membekalkan elektrik kepada kilang-kilang, bandar-bandar serta lain-lain industri, akan sampai satu tahap di mana reservoir atau takungan air di dalam empangan akan kehabisan, lantas tatkala ini berlaku, bagaimana bisa kita menjana tenaga elektrik? Itulah sebabnya, Thermal Plant lebih digunakan oleh kebanyakan negara-negara, dengan hydro sekadar memainkan peranan pembantu semata-mata. Hydo; sungguhpun percuma dan mampu menjadi sumber penjanaan tenaga elektrik, namun dek kelemahan-kelemahan yang disebutkan tadi, kita harus akur bahawa hydro mempunyai limitationnya di dalam penghasilan tenaga yang kita semua perlukan.

 

Saudaraku,

Manusia, terkadang sifatnya seperti Hydro Plant. Terkadang ia "berkuasa" ke atas kehidupan, namun akan sampai masanya, akan tiba saatnya, ia kembali sedar betapa ia tidak akan pernah bertakhta, tak akan selamanya berbuat sewenang-wenangnya, lantaran Allahlah yang telah menganugerahkan semuanya kepada dirinya.

 

Inilah yang akhirnya disedari oleh Firaun. Firaun, dek kerana merasakan betapa dia punya "power", kerana perasan ia mampu "menjana tenaganya sendiri", ia lantas lupa diri, sehingga tergamak mengakui bahawa dialah Rabb, dialah Malik, dialah Ilah, kepada manusia dan alam ini. Firman Allah;

 

"(Firaun) berkata: "Akulah Rabb (tuhan) mu yang paling tinggi"

(Surah An-Naziat [79]:24)

 

"Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: "Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihat (nya)?"

(Surah Az-Zukhruf [43:51)

 

"Dan berkata Firaun: "Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui Ilah bagimu selain aku"

(Surah Al-Qasas [28]:38)

 

Namun, seperti Hydro yang tidak lagi mampu menjana tenaga tatkala reservoir air empangan kehabisan, sebegitulah juga Firaun, saat tiba hari yang telah ditentukan. Dengan penuh ghairah ia mengejar Musa dan para pengikutnya, namun, tak semena-mena Allah menunjukkan limitation dirinya, hingga ia akhirnya –dengan penuh ketakutan- mengakui keagungan dan kebesaran Allah Sang Maha Berkuasa:

 

"Dan Kami memungkinkan Bani Israel melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tentaranya, karena hendak menganiaya dan menindas (mereka); hingga bila Firaun itu telah hampir tenggelam berkatalah dia: "Saya percaya bahwa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)"

(Surah Yunus [10]:90)

 

Hakikatnya, manusia adalah makhluk yang penuh dengan limitation. Sebagai makhluk, manusia ini hakikatnya tidak punya apa-apa. Itulah sebabnya, Allah Azza Wa Jalla senantiasa mengingatkan manusia untuk bergantung harap sepenuhnya kepada diri-Nya. Dan tatkala manusia sedar ia tidak memiliki apa-apa, ia akan berusaha sepenuhnya untuk "memiliki" satu-satunya hal yang mampu ia miliki: Syurga yang indah di Akhirat sana! Dunia bukan tempat memiliki. Tetapi justeru ia perjalanan, perniagaan untuk akhirnya mempunyai pemilikan yang abadi di Syurga sana.

 

"Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dia-lah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji"

(Surah Al-Fatir [35]:15)

 

Dan lagi, manusia hakikatnya lemah. Daif. Lalu tatkala ia sedar ia lemah, ia daif, apakah mungkin engkau melihat ia jalan dengan penuh keangkuhan di muka bumi?

 

"Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat daif (lemah)"

(Surah An-Nisa' [4]:28)

 

Maka oleh yang demikian, tidak ada ruginya tatkala kita mempersiapkan diri kita untuk berkorban dan menyerah diri sepenuhnya kepada Allah yang bisa menganugerahkan kita segalanya. Dengan keghairahan sebegini, akan hilanglah segala ketakutan, lalu terpancarlah semangat perjuangan, dan akhirnya terhasillah sebuah kemenangan.

 

Semaklah kembali kata-kata akhir seorang Abdullah Ibnu Ruwaihah tatkala cuba menghibur dan memotivasikan dirinya di medan perjuangan:

 

Hai jiwa!
Kau harus turun berlaga
Atau, kupaksa kau turun
Telah lama kau hidup tenang
Mengapa kau tampak enggan untuk menggapai Syurga
Ingatlah, kau hanya setetes air mani yang hina
 

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Ijazah Kejuruteraan Elektrik, Sijil Pengajian Syariah

Jurutera Profesional berdaftar & Jurutera Elektrik Kompeten bertauliah

 

 

No comments:

Post a Comment