Followers

Thursday, April 21, 2016

Tiki-taka

"Estamos tocando tiki-taka tiki-taka."
-Andres Montes-

6 daripada 6. Itulah jumlah piala yang dimenangi oleh Josep "Pep" Guardiola pada musim pertamanya sebagai jurulatih pasukan utama Barcelona. Dalam erti kata lain, Pep –sebegitulah dia biasanya dipanggil- menyapu bersih kesemua piala, kesemua kejuaraan, kesemua kejohanan yang dipertandingkan pada tahun tersebut (2009), dan itu semua ia raih, hanya dalam tahun pertamanya sebagai jurulatih utama pasukan liga! Dan, itu semua ia peroleh, dalam usia yang relatif masih muda; tepatnya 38 tahun! Dan -yang terlebih penting, ia dan anak didik bimbingannya Barcelona- beroleh semua itu dengan corak permainan yang begitu menghiburkan; begitu mengagumkan!  Penguasaan bola (biasa disebut possession) yang dominan lagi luar biasa!

Corak permainan yang sama turut didendangkan oleh pasukan bola sepak Sepanyol ketika mengharungi kejohanan Piala Dunia 2010 dan Piala Eropah 2012, sehingga mereka tampil unggul dan jaguh, lalu menjuarai kedua-dua kejohanan tersebut. Corak permainan dominan itu, kini lebih dikenali sebagai "tiki-taka." 

       

Apakah itu tiki-taka? Mari saya berikan definisi peribadi saya untuk tiki-taka. Berbanding cara anak-anak kampung bermain bola, dengan seorang pemain memegang bola terlalu lama dek kerana sibuk nak menggentel (menggelecek) 2, 3 pemain, atau cara permainan "ala Inggeris" yang sibuk bermain "long ball", hantara jauh ke depan dengan harapan penyerang tinggi lampai di atas sana akan mendapat bola, corak permainan tiki-taka lebih seperti ketika dalam sesi latihan, di mana sorang atau dua pemain, akan duduk di dalam bulatan beberapa pemain; 8, 9 atau lebih pemain, dan cuba merampas bola daripada mereka. Pemain-pemain yang membentuk bulatan pula akan menghantar bola sesama mereka, hanya dengan "1 touch". Ertinya, dalam tiki-taka ini, pemain tidak memegang bola terlalu lama, tetapi "pasukan" itu yang akan memegang bola lama; saling menghantar sesama mereka, lalu pihak lawan akan menjadi semacam "monyet" yang tak henti-henti mengejar bola untuk cuba merampasnya.

Bola sentiasa bergerak, dan satu pasukan akan tampil dominan. Inilah antara yang menghiburkan penonton. Maka selain tiki-taka menjadikan satu pasukan itu lebih unggul dan dominan, sarat dengan hantaran dan penguasaan bola (possession) yang tinggi, ia juga merupakan "santapan enak" kepada para penonton, hingga tidak ada saat waktu yang mereka habiskan untuk menonton perlawanan bola sepak, yang terasa seperti dibazirkan. 


Tapi, untuk sesebuah pasukan bermain tiki-taka, semua pemain diperlukan. Semua pemain harus terlibat. Sama ada anda star atau tidak, sama ada anda "1st eleven" atau hanya seorang Marcus Rashford si pemain simpanan yang masuk dek kerana darurat, tidak cukup player, begitu anda di atas padang, setiap seorang pemain harus memainkan peranan. Dan peranan itu terkadang hanyalah "1st touch" football. Seperti penakut yang terlalu takut untuk menyimpan bola, atau "tak cukup ilmu", "tak cukup baik", "belum bersedia lagi", "belum dapat hidayah lagi" dan sebagainya…. Tapi sungguh, dengan anda melepaskan bola seawal yang boleh, 1st touch itulah  antara ramuan kejayaan dan keberhasilan kepada formula tiki-taka ini.

Dan posisi anda di atas padang juga penting. Posisi anda yang "nak baik sorang-sorang", "tak nak bergaul", infiradhiah (individualistic) ini, memudahkan seorang Xavi atau Iniesta atau Sergio Basquet untuk menghantar bola kepada anda, sebelum anda pun cepat-cepat menghantar bola kepada orang lain, kerana anda kononnya tidak mau terlibat dalam kerja-kerja dakwah ini. Eh…… camane leh masuk kerja dakwah ni pulak??

Tiki-taka telah membawa era baru kepada pasukan Barcelona. Kemudian Sepanyol. Sekarang Bayern. Tapi, sungguh ia memerlukan komitmen dan keterlibatan semua. Seperti Son-Goku yang tidak berjaya mengalahkan lawannya sungguhpun sudah menjadi Super Saiya. Ia akhirnya bisa mengalahkan pihak lawan dengan keterlibatan semua, dengan "bola jiwa"; perkongisan "Qi" daripada semua orang. 


Seperti Perang Badar. 313 orang memang bukan lawannya 1,000 orang Quraisy yang siap berperang. Apatah lagi 313 itu sampai ke medan Badar pun, bukan atas alasan perang.


Tapi, ketika semua mahu berperanan, ketika tidak ada yang perasan star dan mahu membolot bola sorang-sorang, "tiki-taka" ini akhirnya membuka ruang-ruang dan relung-relung kemenangan.

"Miqdad bin Al-Aswad R.A, dia berdiri dihadapan mereka yang masih merasa takut dan berkata kepada Rasulullah SAW:

"Ya Rasulullah (SAW)!, Kami tidak akan mengatakan kepadamu seperti apa yang dikatakan oleh bani Israel kepada Musa (AS), 'Pergilah kamu bersama Tuhanmu, kami duduk (menunggu) di sini'( Dalam surah Al-Maidah). Pergilah bersama dengan keberkahan Allah dan kami akan bersama dengan mu !".

Rasulullah SAW merasa sangat suka, akan tetapi Rasulullah hanya diam, beliau menunggu dan beberapa orang dari sahabat dapat mengetahui keinginan Beliau SAW. Sejauh ini hanya sahabat Muhajirin yang telah menyatakan kesungguhan mereka, akan tetapi Beliau menuggu para  sahabat Anshor yang sebagian besar tidak hadir dalam baiat 'Aqaabah untuk turut serta dalam berperang melawan kekuatan musuh bersama-sama Rasulullah SAW di luar kawasan mereka. Maka, pemimpin besar sahabat Anshor, Sa'ad bin Muadh angkat bicara:


"Ya Rasulullah (SAW) mungkin yang engkau maksudkan adalah kami". Rasulullah SAW menyetujuinya. S'ad kemudian menyampaikan pidatonya yang sangat indah yang mana dia berkata:

"Wahai utusan Allah, kami telah mempercayai bahwa engkau berkata benar, Kami telah memberikan kepadamu kesetiaan kami untuk mendengar dan thaat kepadamu... Demi ALlah, Dia yang telah mengutusmu dengan kebenaran, jika engkau memasuki laut, kami akan ikut memasukinya bersamamu dan tidaka ada seorangpun dari kami yang akan tertinggal di belakang... Mudah-mudahan Allah akan menunjukkan kepadamu yang mana tindakan kami akan menyukakan mu. Maka Majulah bersama-sama kami, letakkan kepercayaan kami di dalam keberkahan Allah".

Tiki-taka anyone?

Wednesday, February 24, 2016

Penalty

Satu dunia kecoh. Pasalnya, bukan hanya kerana kemenangan besar Barcelona bertemu Celta Vigo 6-1, tetapi juga sepakan penalty "istimewa" oleh Lionel Messi! 


Messi berpeluang mencatatkan gol La Liganya yang ke-300. Namun, pada saat getir itu, apa yang ia lakukan? Ia bahkan membuat hantaran –yang kemudiannya disudahkan oleh Luis Suarez- berbanding membuat ledakan seperti lazimnya sepakan penalty diambil.

Satu dunia gempar! Trending di mana-mana bukan lagi soal bola sepak, tetapi sepakan penalty Messi yang istimewa. Seakan-akan sepakan penalty itulah bola sepak!

Namun, sepakan penalty sebegitu bukanlah kali yang pertama. Thiery Henry dan Robert Pires pernah mencuba penalty yang semacam itu pada tahun 2005. Sebelum itu pun sudah ada yang mencuba. Namun, sepakan penalty ala passing yang paling terkenal, adalah yang dilakukan oleh lagenda Belanda, Johan Cruyff dan temannya Jesper Olsen pada tahun 1982.

Johan Cruyff tidak sekadar Berjaya sebagai pemain, malah menyerlah sebagai jurulatih. Di bawah kendalian dialah, pasukan bola sepak Barcelona merevolusi dan memasuki era baru permainan bola sepak. Dia dikatakan me­reinvented permainan bola sepak itu. Salute untuk Cruyff! 


Cerita seorang Johan Cruyff mungkin kelihatannya tidak "Islamik". Namun, kerana ia berjaya merobah sesuatu, atau dalam bahasa lain menTAJDID dunia bola sepak, tidak salah untuk belajar sesuatu daripadanya. Bukankah Quran sendiri menghidangkan cerita belajar daripada Malakatus Saba' yang masih kafir, serta burung yang menanam temannya yang mati kepada kita?

Ayuh kita belajar….

Monday, January 18, 2016

Wayar Neutral

Secara umum, pendawaian di rumah kediaman kita adalah daripada jenis 1 fasa. Ada kabel berkaler merah untuk LIVE, dan ada kabel berwarna hitam untuk NEUTRAL. Kabel LIVE ini adalah si dia yang bertanggung jawab menyalurkan tenaga elektrik ke perkakasan dan peralatan elektrik di rumah kita. Sungguh pun yang demikian, lampu, kipas, tv dan lain-lain peralatan elektrik rumah tetap tidak dapat hidup, tanpa kehadiran kabel NEUTRAL untuk menyempurnakan litar pendawaian rumah kita itu.

 

Nah, orang akan sering terbayang kabel LIVE tiap kali memikirkan tentang tenaga elektrik, walhal kabel NEUTRAL yang –sungguh pun sekadar untuk melengkapkan litar- tetapi mempunyai peranan dan fungsi yang tidak kurang dahsyat dan powerful setanding kabel ber"jersi"kan LIVE. Cuma, ia mungkin lebih low profile, lalu tidak disedari orang, seperti banyak da'i di luar sana yang tidak dikenali tidak dipeduli, berbanding da'i yang "live" masuk tv seperti da'i pendakwah milenia di kaca tv.

 

Kabel NEUTRAL mengingatkan kita, akan peri-pentingnya konsep "kembali" dalam kehidupan kita. Arus elektrik, sungguh pun diperlukan oleh perkakasan elektrik –yang kemudiannya menukarkan tenaga elektrik itu kepada cahaya oleh lampu, atau tenaga mekanikal oleh kipas yang berputar-putar, atau kepada haba oleh sang water heater- tetap memerlukan "jalan" untuk arus itu "kembali", dan itulah yang di"tawarkan" oleh kabel NEUTRAL dalam litar pendawaian. Seperti itu jugalah kita umat manusia, begitu gagahnya dan sadonya ia dalam melakoni pementasan kehidupan ini, ia tetap memerlukan path NEUTRAL untuk ia kembali mengadu, dan menyerahkan dirinya kepada Ilahi Rabbi.

 

Antara masalah besar yang dihadapi oleh umat hari ini, adalah mereka melupakan perkara sepenting ini: litar kehidupan memerlukan jalan untuk mereka "kembali". Dan dek kerana mereka tidak menyambungkan kabel NEUTRAL dalam litar kehidupan mereka, maka kerana itulah kehidupan mereka menghadapi "litar pintas", yang membakar dan menghanguskan impian kebahagian dan ketenangan yang  dicari-cari dan cubai digapai kehidupan manusia hari ini.

 

Cubalah anda kaji. Jika anda ingin menukar lampu misalnya. Walaupun anda telahpun menutup suis lampu dan MCBnya demi keselamatan. Anda mungkin akan selamat tatkala memegang kabel LIVE, tetapi suis utama rumah anda pasti akan trip seandainya anda menyentuh kabel NEUTRAL yang kononnya tidak berkuasa itu. Nah, bukankah itu bukti betapa hebat dan dahsyatnya "kuasa" NEUTRAL ini?

 

Saudaraku,

Umat yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, diajarkan oleh Nabi kita SAW untuk bersikap "neutral", tidak memihak. Maksud neutral dan tidak memihak ini ertinya tidak taksub dan asabiyah mengkhinzir buta. Jangan hanya kerana dia Melayu misalnya, maka pergaduhan ala Low Yat tentu silapnya pada sang peniaga cina. Jangan kerana dia parti kita misalnya, maka kenaikan harga tol adalah salah parti lawan yang memerintah negeri berdirinya tol itu, walhal bidang kuasa tol itu sebenarnya dibawah naungan parti kesayangan kita. Sikap memihak sebeginilah yang menyebabkan keadilan tidak terlaksana di muka bumi ini. Dan keindahan Islam, tidak terzahir dan terpancar seperti yang sering kita sebut-laungkan.

 

Saudaraku,

Quran, di dalam suatu ayat, tatkala menegaskan peri pentingnya menegakkan keadilan, memasukkannya sekali diskusi keadilan dengan cerita kekuatan dan kedahsyatan besi. Firman Allah:

 

Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama) Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

(Surah Al-Hadid [57]:25)

 

Nah, seperti mana hebatnya kabel NEUTRAL yang dapat mentripkan suis masuk utama pendawaian rumah kita, maka sebegitu jugalah hebat dan dahsyatnya aura dan penangan untuk berlaku dan bersikap adil itu sebenarnya. Cuma, kita sering susah, kita sering sukar, kita sering sulit berlaku adil bila berhadapan dengan 2 golongan. Yang pertamanya adalah golongan yang kita anti, yang kita geram, yang kita mengisytihar permusuhan dengannya. Dan dek kerana inilah, segala yang dia buat salah, segala pandangan yang dilontarkannya silap, segala kebaikan yang ia lakukan tidak ikhlas, lantaran kita sudah mengecopnya macam-macam, hanya kerana tidak sebulu dan tidak se"jamaah" dengan kita. Firman Allah:

 

Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

(Al-Maidah [5]:8)

 

Walhal, manusia zaman moden ini sahaja mengakui, kepentingan wujudnya blok "pembangkang" dalam demokrasi berparlimen hari ini. Nah, mengapa Barat yang tidak islam, lebih baik pandangan dan layanannya terhadap mereka yang tidak bersama dengan pasukannya? Agree to disagree adalah manifestasi mereka berlapang dada terhadap pasukan lawan, yang malangnya sangat sulit dipraktikkan oleh malahan mereka yang mengaku gerakan Islam!

 

Dan kita sering tidak berlaku adil, bila berhadapan dengan kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh "orang kita". Firman Allah:

 

Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi karena Allah biar pun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya atau pun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu karena ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjaan.

(Surah An-Nisa' [4]:135)

 

Maka kita akan segera mencari seribu satu alasan demi menghalalkan, demi membenarkan, demi mengeluarkan "orang kita" daripada "kandang kesalahan." Apa sudah jadi dengan masyarakat kita?

 

Kita harus neutral, dan kita harus kembali. Kembali mengabdikan diri, dan menghambakan diri kepada facts, kepada dalil yang datang daripada Ilahi Rabbi.

 

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

(Surah Al-Hujurat [49]:1)

 

Hanya dengan keseimbangan kembali, kehidupan kita akan kembali mulia, dan rahmah dan barakah Tuhan kembali menaungi kita. Amin Ya Allah, amin ya Rabbal 'Alamin...

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Kuching, Sarawak