Followers

Showing posts with label Klasifikasi Pembaca: 00. Show all posts
Showing posts with label Klasifikasi Pembaca: 00. Show all posts

Saturday, October 30, 2010

PENSIL

Dulu, sebelum software-software kejuruteraan seperti AUTOCAD, atau ELECTRONIC WORKBENCH, atau lain-lain software yang sewaktu dengannya, digunakan untuk “melukis” dan mendesign sesuatu lukisan kejuruteraan, para jurutera harus melukis sendiri design drawing di atas kertas, dengan menggunakan pencil, sebelum ianya menjadi “blueprint” yang kemudiannya disahkan oleh seorang Jurutera Profesional (Ir.).

Kerana itu, dek sinonimnya para Engineer dengan pensil, maka resmi para Engineer juga selayaknya mengikut resminya pensil. Seperti mana pensil melakarkan seluruh teknologi-teknologi yang terpampang di hadapan mata sekarang, sebelum ianya terrealisasi lalu bermanfaat buat kehidupan manusia, sebegitulah juga para “engineer dakwah” harus senantiasa “melakarkan” karya-karya indah yang kelak membumi di alam reality, lalu menegak dan mengagungkan kembali kalimah Allah di muka bumi. Bahkan bukan sekadar para “engineer dakwah” yang harus melakar amal di atas kertas kehidupan, bahkan semua mereka yang bergelar mukmin, harus segera melakarkan amal-amal yang soleh, yang bermanfaat buat kehidupan manusia, lalu menjadi saksi tertegaknya Islam di muka bumi, hasil ”blueprint” dan design para mukmin sejati. Bukankah ini tujuan keberadaan manusia di muka bumi?

“Dan (ingatlah) apabila Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat; “sesungguhnya Aku ingin menjadikan di muka bumi ini Khalifah (yakni manusia)..”

(Surah al-Baqarah [2]:30)

Dan nah, seperti resminya pensil juga, begitu kita melukiskan kesalahan, kita masih bisa memadamkannya menggunakan pemadam. Maka para mukmin sejati pun seharusnya begitu. Begitu mereka melakukan kesalahan dan kesilapan seperti layaknya seorang manusia (surah Ali Imran [3]:135), kesilapan dan kesalahan itu harus segera “dipadamkan” oleh mereka, hingga kanvas kehidupan tidak memaparkan melainkan sebuah lukisan nan indah dan menarik, lalu termpampang megah di Padang Mahsyar, di saat hari perhitungan kehidupan kelak.

Contohilah resmi pensil, berkarya dan bisa terpadam kesalahannya. Ikutilah ia, biarpun sekarang peranan pensil sudah pun diganti oleh computer dan softwarenya.

Thursday, October 21, 2010

BATERI

Oleh: Ustaz Abu Hanifah Mohd Kamal, B.Eng, Sijil Pengajian Syariah, Sijil Perbandingan Agama

Futuwwah Enterprise

Bateri adalah satu atau lebih komponen sel elektrokimia. Bateri atau sel berfungsi menukar tenaga kimia kepada tenaga elektrik. Tindak balas kimia di dalam bateri akan menggerakkan kation (ion positif) ke katod (elektrod positif) dan anion (ion negatif) ke anod (elektrod negatif). Untuk memastikan terjadinya tindak balas kimia, elektron perlu bergerak ke luar sel daripada anod melalui litar dan kembali ke katod. Sekiranya litar tersebut rosak (suisnya terbuka), elektron tidak dapat melengkapkan pergerakannya dan tindak balas kimia akan terhenti. Inilah antara sebabnya mengapa sesuatu bateri itu bertahan lama untuk jangka masa yang sangat panjang jika tidak digunakan.

Adakah anda faham penerangan saya tentang fungsi bateri ini? Apabila saya cuba mengkaji semula dan menerangkannya, otak saya kembali mengimbas mata pelajaran Sains semasa di sekolah menengah dahulu. Jika anda masih tidak faham, saya akan ringkaskan penerangannya. Secara asasnya, bateri akan membekalkan kuasa kepada litar elektrik atau elektronik.

Dalam kelompok bateri ini, terdapat jenis rechargeable battery di mana bateri jenis boleh dicas dan bukanlah jenis pakai buang. Rechargeable battery juga dikenali sebagai bateri sekunder (secondary cells) kerana tindak balas kimianya adalah jenis elektrik boleh balik (electrically reversible). Rechargeable battery mempunyai kos penggunaan dan kesan persekitaran yang rendah berbanding bateri biasa (pakai buang). Rechargeable battery mempunyai kos permulaan yang tinggi tetapi boleh dicas dan diguna banyak kali. Ketika dicas, elektrod positif (katod) akan teroksida dan menghasilkan elektron-elektron dan elektrod negatif akan menyerap electron. Elektron-elektron yang terhasil inilah yang menjadikan aliran arus di dalam litar. Elekrolit pula akan menjadi penampan untuk aliran ion-ion sama ada positif atau negatif di antara elektrod.

Saya mengumpamakan keadaan rechargeable battery seperti mana kehidupan seorang dai’e. Seorang pendakwah apabila hendak melakukan kerja dakwah perlu memastikan kondisi dia berada dalam keadaan terbaik; kesihatan yang baik, iman yang mantap dan ilmu seperti seorang syeikh yang menunggu waktu untuk dicurahkan kepada mad’unya. Itu sebabnya, dalam sebuah halaqah, perlunya pengisian dari sang murobbi, tugasa yang perlu dilakukan dan checklist mutabaah seperti tilawah al-Quran, solat berjemaah, tahajud, zikir, puasa sunat dan riadhah. Apa tujuan ini semua? Ini tidak lain untuk memastikan iman seorang dai’e itu dicas dengan amalan-amalan yang berkaitan dengan hubungan dengan Allah. Jika hubungan dengan Allah mantap, insya Allah tiada masalah apabila hendak berdakwah kepada manusia (hubungan dengan manusia). Tetapi jika hubungan dengan Allah teruk, itulah yang menjadi seorang dai’e itu lesu dan tidak bermaya hendak melakukan kerja dakwah.

Itu sebabnya, menjadi masalah yang cukup besar apabila seorang dai’e itu terjebak ke arah pemonteng tegar atau penidur tegar dalam suatu halaqah. Hinggakan hal yang remeh seperti balik kerja lambat menjadi alasan bodoh yang kerap diberikan apabila tidak datang halaqah. Jika diri mereka jarang dicas dengan amalan-amalan soleh, bagaimana mungkin kita nak menyampaikan bahan-bahan dakwah kepada sang mad’u. Jadilah mereka ini seperti harimau yang kehilangan taring dan kuku yang berada di dalam kurungan. Sudahlah terkurung, ngaumannya langsung tidak ditakuti. Andainya dilepaskan, tiada apa yang boleh diperbuat untuk menakutkan musuhnya.

Kesimpulannya, jadilah kita rechargeable dai’e seperti mana rechargeable battery yang sentiasa perlu dirinya dicaskan dengan amalan-amalan soleh untuk berkhidmat kepada ummat dan jauhkanlah dari menjadi dai’e pakai buang yang kelaknya akan dilupuskan akibat kekuatan yang semakin surut.

Keterangan Rajah:

Rajah 1: Bateri

Rajah 2: Rechargeable Battery (Bateri Sekunder)

Rajah 3: Diagram Pengecasan Bateri

Rajah 4: Kelesuan yang membunuh

IronMan

Oleh: Ustaz Mohd Shahman Md. Azmi, Bsc., Sijil Pengajian Syariah

Futuwwah Enterprise

Barangkali, apabila kita sebut tentang logam, ramai yang akan terbayang logam-logam mewah seperti emas, titanium (?), uranium (?) dan sebagainya. Bahkan mugkin tidak keterlaluan jika dikatakan kita amat ingin memiliki logam-logam mewah seperti ini. Masakan tidak! Memiliki barangan yang diperbuat daripada logam mewah seperti ini beerti memiliki kekayaan!. Mugkin ramai yang terlupa atau sengaja “buat-buat lupa” akan logam-logam yang lain. Logam-logam seperti kuprum, nikel, aluminium mungkin bukan menjadi “pujaan hati” kita jika disuruh untuk memilihnya antara emas. Kalau adapun yang memilih logam-logam seperti ini, mungkin hanya pengutip besi buruk, barangkali!

Cuba kita berfikir sejenak, ada apa pada logam? Tentu banyak bukan? Boleh dikatakan kebanyakkan barang diperbuat daripada logam (atau kalaupun tak semua, sebahagiannya!). Dari pedang Samurai ke keris Hang Tuah, dari gelang emas Mami Jarum ke rantai beruang panda, dari skru motosikal Nitro ke duit syilling, semuanya dari logam. Justeru kita tidak dapat tidak mengakui logam antara barang terpenting dalam kehidupan. Persis seperti mana yang Allah firmankan dalam Al-Quran:

“...Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa” (Al-Hadid: 25)

Mari cuba kita fikirkan pula ada berapa jenis logam? Banyak bukan? Dari yang hitam melegam, merah menyala, putih melepak, kelabu asap, kuning taik gigi hinggalah ke warna yang tak tahu kita nak sebut!. Ada yang namanya emas, perak, tembaga, zink dan segala macam lagi. Dan tiap-tiap jenis logam, ada sifat masing-masing yang menbezakan antara satu logam dengan logam yang lain. Juga setiap logam ada kegunaan yang bertepatan dengan ciri dan sifat masing-masing. Bak kata Encik Astro “macam-macam ada!”

Nah, sekarang mari kita fikirkan tentang sifat-sifat logam pula. Antaranya mudah dibentuk, kuat, tahan, dan sebagainya. Pendek kata, logam memang cukup banyak manfaat buat manusia. Justeru, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Nabi ada megumpamakan manusia itu ibarat logam:

“Manusia itu ibarat logam. Baiknya dia ketika di jahiliyyah baiknya juga dia ketika di Islam. Sekiranya dia faham.” (Bukhari & Muslim)

Jadi, mari kita bandingkan sebahagian sifat yang ada pada logam untuk diambil pengajaran. Seperti yang kita maklum logam mudah dibentuk. Makanya, sifat seorang manusia itu (apatah lagi orang mukmin!) seharusnya juga begitu. Mudah dibentuk. Jika elok acuannya maka elok jugalah produk yang dihasilkan. Jika sumbing acuannya, maka sumbing jugalah hasilnya. Sejarah telah melakarkan bagaimana generasi para sahabat “dibentuk” oleh acuan yang benar sehingga berjaya menjadi “khoiru ummah” (3:110). “Tempaan” keatas “logam” yang bernama Ummar cukup menjadi bukti bahawa kebenaran dan kemuliaan Islam. Masakan tidak, ketika di zaman jahiliyyah, beliau cukup terkenal dengan sikap “gedebe” nya mempertahankan agama nenek moyang musyrikin Mekah. Nah, lantaran di “dibentuk” oleh acuan yang betul, beliau berubah menjadi seorang yang cukup lantang dalam memperjuangkan Islam. Lihat saja bagaimana acuan Islam berjaya menghasilkan “logam-logam” emas pada masa pemerintahan Abassiyyah! Sebutkan saja Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Khawarizmi dan lain-lain. Bukankah “logam-logam” ini hasil “tempaan” Islam?

Juga kalau dilihat, logam adalah antara bahan binaan yang terkuat dan tahan lasak. Jadi, sifat seorang manusia itu seharusnya kuat umpama logam. Tidak “lembik”, “lemah”, “pengecut” dan yang sewaktu dengannya. Jika sifat logam yang kuat dan mudah dibentuk itu menjadikan ia diguna untuk menghasilkan pelbagai jenis barangan yang “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, makanya, sudah barangkali tentu kita terlebih lagi harus mencontohi sifat sang logam itu! Seharusnya kita tidak “lemah”, “takut” “lembik” ketika mana menghadapi cubaan dan rintangan. Bukankah tercatat dalam sejarah sekian banyak pejuang-pejunag Islam yang bermati-matian mempertahan Islam.

Seperti yang sedia kita maklum, ada pelbagai jenis logam seperti yang disebutkan tadi. Mugkin kebanyakkan antara kita lebih memuja “emas” (King Midas?) berbanding logam lain. Amat sedikit (barangkali tiada) yang memuja “kuprum” apatah lagi “zink” atau logam-logam yang tidak se “glamour” emas dan logam-logam yang namanya pun kita jarang-jarang dengar, entahkan wujud atau tidak!. Nah, cuba kita lihat kembali kepada hadis Rasulullah di atas. Dalam hadis tersebut, baginda menyebut hanya “logam”. Nama yang umum untuk segala macam jenis logam yang ada di muka bumi ini. Makanya, mugkin antara ibrah yang dapat kita perhatikan, adalah tidak kira manusia itu dari jenis “logam” apa sekali pun (miskin, kaya, hitam, putih, gemuk, kurus, jurutera, doctor, cleaner, konduktor bas dsb) masing-masing ada peranan yang dapat dimainkan. Mana mungkin semua benda/barang harus diperbuat daripada logam “emas” semata. Jika begitu, barangkali, penyamun-penyamun sudah jadi kaya raya!. Iya, Kuprum mugkin bukan pilihan utama kita! namun, tanpa kuprum, sudah tentu segala barang eletrik & elektronik tidak dapat berfungsi!. Makanya, setiap orang ada posisi yang sesuai untuk diri masing-masing. Jika sang “emas” banyak harta menimbun, maka tangunngjawabnya besar untuk membantu umat Islam dari segi ekonomi. Jika sang “besi’” punya badan yang sihat dan kuat, maka posisinya mungkin di medan peperangan. Bukankah Rasullah sendiri menempatkan para sahabat sesuai dengan keadaan mereka?

Tapi, di penghujung hadis tersebut, Rasulullah ada mengatakan “sekiranya dia faham”. Nah, disini letaknya “kunci” keseluruhan hadis tersebut. Segala-galanya berkait rapat dengan “kefahaman”. Mana mungkin seseorang yang “hebat” di zaman jahiliyyahnya dan kemudian “hebat” setelah mendapat hidayah atas dasar suka-suka tanpa kefahaman. Mustahil! Ibarat seorang yang tak faham soalan periksa tapi dapat score A+. Mungkin pemeriksa tersalah tanda, atau barangkali pemeriksa yang tidak faham sebenarnya!.

Ummat sedang ternanti-nanti kehadiran sang “logam” yang bakal membina semula kegemilangan tamadun Islam. Maka, siapa yang sanggup menjadi “Ironman” seterusnya?

Monday, October 18, 2010

ATOM

Apabila segala yang mempunyai jisim dan memenuhi ruang dimengertikan sebagai jirim, maka sungguh, manusia –atas alasan yang demikian- juga merupakan “sebuah jirim”. Kerana ternyata manusia ini -seperti mana jirim-jirim yang lain-, mampu memberikan “anjakan paradigma” kepada alat penimbang, selain memenuhi “aspirasi” ruang-ruang, mahupun bekas-bekas yang sedang “kegersangan”.

Nah, bila berbicara tentang jirim, sudah tentu ia merupakan suatu fenomena yang didirikan hasil untaian-untaian dan pautan-pautan unsur utama bergelar atom. Ertinya –berdasarkan pemahaman fizik yang di atas- ialah manusia juga dibina atau merupakan suatu perkumpulan atom-atom yang kelak dengan bersatu dan bertautnya atom-atom ini, menjadikan wujudnya makhluk yang memimpini dan menerajui bumi Tuhan ini.

Berbicara tentang atom, semua orang tahu –atau setidaknya harus tahu- bahawa yang namanya atom itu adalah unsur yang dikelilingi oleh suatu unsur yang bercas negatif, yang memakai nama elektron sebagai nama panggilan mahupun nama saintifiknya. Elektron ini, yang menurut Bohr (walaupun kemudiannya disangkal oleh saintis-saintis terkemudian), adalah unsur yang sentiasa mengelilingi atom tadi, dengan membawa bersama cas negatifnya.

Nah, begitulah juga dengan manusia. Dek kerana manusia, menurut pengertian ilmu fizik ini -bahkan dibenarkan juga oleh ulama’-ulama’ lampau yang menyatakan manusia sebagai jauhari (yang memberikan pengertian jirim) –merupakan suatu gugusan atom, maka sudah tentu berlegarnya cas-cas atau potensi-potensi negatif di sekitarnya merupakan suatu hal yang wajar bahkan bisa dimengertikan. Kerana dalam pengertian Islam juga, jiwa manusia juga sentiasa berpotensi untuk turut terjerumus ke lembah yang dimurkai Tuhan, siapa pun dia, apa pun jawatannya, apa pun penampilannya.

“Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya jiwa itu selalu menyuruh kepada kejahatan…”

(Surah Yusuf [12]:53)

Maka usahlah hairan tatkala Fathi Yakan antara lain menulis sebuah buku tentang fonemena “ion negatif” ini, kerana bahkan di zaman Rasulullah S.A.W pun hal ini pernah terjadi. Bagaimana sosok peribadi sehebat sahabat pun, ada yang kemudiannya bertukar menjadi “ion negatif”… suatu hal yang tak perlu dihairani bila mana kita mengerti tentang teori manusia sebagai jirim ini.

Bila kita membahaskan tentang manusia, yang kemudiannya dilanjuti dengan perbahasan mengenai atom, dan diperincikan lagi dengan perbahasan tentang elektron, yang mana unsur yang satu ini sentiasa berkecenderungan untuk menjadikan seluruh atom tersebut bercas negatif, sama ada kerana pengaruh luarnya , yang mana sedikitnya elektron di petala terakhir atom berhampirannya, yang lantas menyebabkan kesedikitan elektron atom berhampiran itu berpindah ke petala atom tersebut, mahupun faktor dalaman manusia itu sendiri, yang elektron-elektron di petala terakhirnya sentiasa berkecenderungan untuk menarik elektron-elektron persekitaran ke dalam dirinya. Yang dalam pengertian sang mukmin, faktor dalaman dan faktor luaran ini keduanya berperanan, maka usahlah pantas kita menyalahkan sosok peribadi seseorang individu itu semata-mata tatkala ia mula futur atau melemah di jalan dakwah, melainkan kita turut memahasabah diri kita sebagai faktor luaran, yang mana barangkali diri kita yang gagal mempersiapkan persekitaran yang Islami guna mengekalkan sang individu tadi di jalan yang diredhai Ilahi Rabbi.

Kelemahan dan kegersangan jiwa manusia dek kerana tidak melalui proses tarbiyah yang sejati, menyebabkan ia sendiri yang mendorongkan dirinya ke arah kemusnahan, bahkan ia sendiri yang menumbuh kembangkan “potensi” kejahatan dalam dirinya. Sedang faktor luaran yang kita nyatakan disini membawa pengertian pengaruh persekitaran yang rosak bisa menyebabkan kerosakan dan ke”negetif”an manusia tersebut.

Namun pada masa yang sama, sang atom itu juga mempunyai suatu unsur neutral sebagai menjamin “keseimbangan” eksistensinya, sesuai dengan kedudukannya sebagai “ummatan wasathan” barangkali. Dan al-Quran menggelarkan unsur neutron ini sebagai nafsul lawwamah, kecendurangan jiwa untuk “bersikap” neutral, dek kerana seimbangnya kekuatan aqal dan hawa terhadap qalbu (hati).

“Dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri)”

(Surah al-Qiyamah [75]:2)

Sedang unsur pelengkap sesuatu atom itu ialah proton, sang unsur positif, yang sentiasa membawa kebaikan kepada kehidupan manusia, selain menghapuskan kerosakan dan kesilapan yang dicetuskan jiwa “elektron” tadi, hingga selayaknya mendapat ganjaran Syurga.

“Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”

(Surah al-Fajr [89]:27-30)

Oleh yang demikian, usahlah terkesema bila mana melihat pantasnya perubahan seseorang manusia itu, hatta menampilkan perubahan hingga 180 darjah. Kerana jiwa itu, sebagai memenuhi sifatnya sebagai atom, sentiasa berpotensi untuk menjadi baik, juga pada masa yang sama sentiasa berpotensi menjadi jahat. Yang penting, kita sebagai unsur-unsur sekeliling, yang dengan wujudnya kita, atom-atom tadi menjadi molekul bahkan lebih lanjut lagi membentuk jirim, memainkan peranan untuk memastikan akhir kalimat seorang muslim, ialah kalimat yang dicaskan oleh unsur proton, agar mudah-mudahan akhir kalimat yang baik ini, seperti dalam hadith arbain yang keempat kumpulan Imam Nawawi, akan menjadi faktor penentu yang lantas menghapuskna segala kebobrokkan yang pernah ia lalui di masa lampau.

Kan kita semua belajar fizik? Maka apa yang dihairankan??

Wednesday, October 13, 2010

Senyumlah....

Anak-anakku tidak sihat. Nashrul, si abang, sudah masuk 2 minggu masih belum pulih. Fathul pula, yang terlebih dahulu demam berbanding abangnya, sebelum demam itu seakan berpindah kembali kepada abangnya, pun kini batuk-batuk teruk hingga muntah-muntah dan sukar tidur malam.

Tapi, itu tidak menghalang kedua budak kembar ini daripada menghadiahkan sekuntum senyuman di dalam gambar terbaru ini. Ertinya, demam pun, tidak menghalang mereka daripada menghadiahkan kita dengan senyuman. Maka kalian yang “perasan” soleh, yang perasan baik, yang perasan aktivis, yang perasan orang tarbiyah, yang perasan budak dakwah dan sebagainya, apa yang sulit sangat untuk senyum di hadapan orang?

“Janganlah kamu meremehkan kebaikan sekecil apapun, meski hanya sekadar wajah cerah yang kamu berikan ketika bertemu saudaramu” ( HR Muslim)

Semoga anak-anakku dikurniakan kesihatan dan keselamatan oleh DIA....

Keterangan gambar, dari kiri: Nashrul Farhan (Abang) dan Fathul Farhan (Adik)

Sunday, October 10, 2010

KESEIMBANGAN TERMA (hubung kait suhu dan haba)

Andainya Haba didefinasikan sebagai tenaga yang dipindah dari objek yang panas ke objek yang sejuk, maka yang namanya tarbiyyah, atau lebih tepat lagi halaqah, adalah suatu definisi yang barangkali terungkap oleh perkaitan antara “haba” dan “tenaga” ini.

Ini kerana umat kita dewasa ini sedang mengalami bukan saja kesejukan semangat, bahkan beku dalam mencerna momentum-momentum yang bisa menggerakkan masyarakat menuju suatu kegemilangan yang pernah suatu ketika dikecap dan dinikmati. Lantas, dengan kesejukan dan kebekuan ini, haba (baca: tarbiyyah) perlu memainkan peranan dalam erti kata menyalur dan memindahkan tenaga, dalam segala bentuk dan semua rupa, guna “memanaskan” masyarakat dengan suatu “kehidupan” baru yang hanya mampu dijelmakan dengan energi yang “dipendam tentu” lewat al-Quran dan sunnah rasul-Nya SAW.

“Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan ALLAH dan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepasa suatu yang memberi “kehidupan” kepada kamu..” (Surah al-Anfal [8]:24)

Nah, bila saja umat manusia tidak merasa perlu untuk menggali rahsia-rahsia dan hikmah-hikmah yang terkandung dalam telaga agamanya, sebaliknya merasa cukup sekadar mendaki bukit pemikiran, dek kerana merasakan tingginya banjaran yang dapat dicapai oleh akal semata-mata, lantas menyebabkan “keseimbangan terma” gagal wujud di dalam pelayaran kehidupan mereka. Kerana barangkali mereka lupa, bahawa yang namanya lautan (baca: khazanah al-Quran dan sunnah), yang meliputi dua per tiga dari hamparan bumi yang kita jejaki ini, mempunyai kedalaman yang berkali ganda, sampai bahkan terkadang tak mampu dan tidak boleh dikecapi oleh manusia. Bukan sekadar kerana gelapnya persekitaran laut dalam tersebut, tetapi juga kerana hebatnya tekanan yang berlegar di sekelilingnya, juga kerana misteriusnya hidupan-hidupan yang mendiami khazanah yang bisa dianggap fenomena menakjubkan ini.

Maka ketika keajaiban akal semata-mata difungsikan, tanpa mengambil kira pedoman wahyu yang sebetulnya manjadi referensi utama akal dek kerana fakirnya ia ketimbang keluasan khazanah ilmu Tuhan, berlakulah ketidak seimbangan yang luar biasa, yang mengakibatkan tubuh masyarakat menjadi “panas”, akibat “keseimbangan terma” tidak berlaku, sedang tubuh itu sentiasa memerlukan kenyamanan guna melahirkan keselesaan baginya tika mana ia berjalan merentasi lembah kehidupan. Kerana itu ALLAH SWT mengingatkan insan, akibat yang dideritainya akibat ketidak seimbangan terma ini, sebagai suatu natijah yang hanya layak ditudingkan ke wajahnya sendiri.

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan mereka sendir, supaya ALLAH merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah ar-Rum [30]:41)

Maka dalam pada kita mendaki tingginya banjaran kehidupan, janganlah sesekali kita melupakan dalamnya khazanah ilmu Tuhan, yang dalamnya bakkan lautan, suatu peringatan yang sentiasa dipindahkan daripada objek yang ingat kepada objek yang lupa, hingga mencapai keseimbangan terma, melalui tarbiyyah. Ya, namanya tarbiyyah!

RUJUKAN

Bab 4 (Haba dan tenaga), Fizik SPM

Friday, October 8, 2010

HUKUM HOOKE

Keberadaan sesuatu umat sangat tergantung kepada kondisi keimanan mereka. Tambahan pula di era yang serba mencabar ini; bukan yang kita maksudkan dengan “mencabar” di sini sebagai perkembangan teknologi yang melahap-lahap, tetapi yang kita citrakan ialah betapa keimanan manusia saban hari, saban waktu terus menerus “dicabar” oleh kebiadapan teknologi maklumat, yang lantas mengikis kekuatan tunjang yang berlegar di jiwa para muslimin yang wujud di tengah-tengah persekongkolan masyarakat syirik pada hari ini, apa lagi jiwa bukan iman. Justeru, tanpa kekuatan iman dan aqidah ini yang seakan dilanda virus kebobrokkan yang melampau, manakan mungkin pertolongan ALLAH yang kita harap-harapkan, kita impi-impikan, kita cita-citakan, akan datang sebagai suatu khabar gembira seperti yang dijanjikan-Nya kepada kita. Ini lantaran celiknya mata para musuh-musuh Islam yang sedar akan sumber tunjang kekuatan umat Islam, lantas mereka menyogokkan kita dengan segala macam hiburan, segala macam kejahiliyahan, yang justeru menambah kerosakan insaniyah, yang justeru mengalirkan budaya jijik dalam pernafasan masyarakat, yang justeru menonjolkan gejala pemurtadan di tengah-tengah umat.

Seakan mereka (musuh-musuh Islam) lebih sedar dari kita, bahawa untuk memusnahkan kehebatan umat Islam, untuk melakukan pembantaian gilang-gemilang terhadap insan-insan yang menyatakan cinta pada ALLAH dan rasul-Nya, yang lantas dengan itu membuktikan kecintaannya dengan dakwah dan jihad, maka perlu dimusnahkan dahulu sumber energi umat ini, iaitu kekuatan iman dan aqidah yang mendasari kejayaan Islam sebelum-sebelum ini ketika mana kita menapakkan kaki di hamparan permaidani sejarah. Seakan mereka melihat akan adanya dakapan erat antara iman dan kekuatan dan kejayaan, yang lalu mereka mengaitkannya dengan Hukum Hooke yang mereka pelajari dalam bidang teknologi.

Hukum Hooke menyatakan bahawa pemanjangan suatu bahan kenyal berubah secara tak langsung dengan daya regangan yang bertindak terhadapnya, selagi daya itu tidak melebihi had kenyal bahan itu. Nah, bukankah graf garis lurus menaik ini menggambarkan hubung kait antara iman dan kekuatan?? Di mana bila saja iman kita bertambah, selarilah dibukti lewat amal ibadah, menghadirkan keredhaan ALLAH, meningkatkan kekuatan lewat pertolongan dari-NYA?

“Dan ALLAH tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu) melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi ALLAH…”

(Surah al-Anfal [8]:10)

Lantas, apa yang perlu dilakukan oleh kita dewasa ini, ialah tidak lain tidak bukan mematuhi Hukum Hooke tersebut, dengan cara mempertingkatkan iman kita, melipat gandakan amal ibadah kita. Dan kuasa iman dan amal ini hanya dapat di’boost’kan melalui tarbiyyah!! Kerana ALLAH Azza wa Jalla telah menetapkan bahawa tarbiyyah merupakan jalan terbaik agar graf ‘pemanjangan’ iman ini akan selari dengan ‘daya’ bantuan ALLAH SWT. Dan inilah yang dibuktikan pada kebangkitan-kebangkitan Islam di seluruh dunia, sama ada di Palestin lewat intifadhahnya, di Indonesia lewat demonstrasinya, ataupun lain-lain negara yang mempotretkan kebangkitan Islam seperti Nigeria, Sudan, Iraq, lain sebaginya; kecuali Malaysia. Kenapa yang demikian? Kerana Malaysia menyalahi Hukum Hooke ini dengan mengkesampingkan tarbiyyah yang justeru merupakan sumber kekuatan jiwa, hinggakan para kader dakwah di sini -itupun kalau layak dipanggil kader dakwah- sekadar melaung-laungkan kebangkitan Islam sedang prestasi tahajud, prestasi bacaan al-Quran harian, prestasi solat berjemaah terlebih fardhu Subuh dengan berjemaah, melihatkan prestasi yang amat menduka-citakan. Kerana di sinilah pentingnya tarbiyyah, agar para kader dakwah mengerti bahawa “daya” bantuan ALLAH itu hanya akan hadir jiwa iman dipertingkat, yang sudah barang tentu akan memperlihatkan amal ibadah turut meningkat.

Dan justeru tarbiyyah juga penting kerana dengan mengabaikannya, akan muncul golongan ekstrem yang terlampau over dalam beribadah, walhal Hukum Hooke turut menyatakan bahawa amal ibadah itu usah ia “melebihi had kenyal”. Kerana itulah Nabi SAW menegur tiga orang sahabatnya yang hendak melangkau “had kenyal” ini dengan tidak mahu tidur, tidak mahu nikah, dan berpuasa tanpa berbuka, sedangkan jika hal ini berlaku, berdasarkan Hukum Hooke, peningkatan bantuan daripada ALLAH tidak lagi selari dengan graf garis lurus meningkat tadi, bahkan terputus meracau entah ke mana. Makanya Saydina Ali RA menasihatkan, bahawa jiwa itu terkadang menerima, terkadang menolak. Bila saja ia menerima, perintahkanlah ia melaksanakan yang nawafil (ama-amal tambahan), tetapi bila saja ia menolak, cukup sekadar dengan melaksanakan yang fardhu sahaja.

“Maka bertaqwalah kamu kepada ALLAH menurut kesanggupanmu..”

(Surah at-Taghabun [64]:16)

“Jauhilah semua apa yang aku larang, dan laksanakan apa yang aku perintahkan semampu kalian…

(HR Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah RA)

Adakah kita akan terus diam membiarkan penindasan di Iraq, Palestin, Thailand, Khasmir, Chehnya, Ambon dan sebagainya berterusan, atau kita berhasil meningkatkan “daya” kekuatan umat Islam, tanpa melampaui “had kenyal”? Semuanya di tangan kita. Mungkin Hukum Hooke tak akan sempurna tanpa adanya ‘Peter Pan’, barangkali. Maka jadilah hero yang dimaksudkan itu, agar kegemilangan Islam berputik kembali…

Wednesday, October 6, 2010

HUKUM GERAKAN NEWTON PERTAMA

Assalamualaikum warahmatuLLAH….

Mudah-mudahan ALLAH kekalkan kita pada detik waktu dan saat ketika ini sebagai insan yang melafazkan hembusan nafasnya dengan ungkapan kata-kata kesyukuran sebagai tanda seorang bernama mukmin. Mudah-mudahan juga baginda rasul-Nya Muhammad B Abdullah S.A.W dicurahi selawat serta salamnya termasuk dari diri kita-kita ini, sebagai suatu bentuk curahan hati sebagai bukti kecintaan yang selayaknya membenarkan lautan berapi direnang, gunung nan tinggi didaki. Mudah-mudahan juga seluruh sahabah wa sahabiyah baginda, beserta orang-orang yang berkenan menjadikan keperibadian sebegini sebagai idola, sentiasa dinaungi oleh lembayung rahmah, inayah, hidayah dan barakah daripada Sang Pencipta Alam Semesta.

Muslimin muslimat, ikhwan wa akhawat hafizuLLAH…

Newton telah mengeluarkan suatu teori sebagai menzahirkan pemahamannya terhadap persoalan inersia dengan mengemukakan apa yang kita kenali pada hari ini sabagai “Hukum Gerakan Newton” yang pertama. Di dalam prinsip pertama daripada sekalian banyak prinsip milik Newton ini (tapi benarkah Newton ni ada prinsip??? Jangan-jangan Munafik kot dia ni….mana tau…) si Newton menyatakan bahawa “Sesuatu objek akan kekal dalam keadaan asalnya, sama ada bergerak dan terus bergerak, atau pegun hidup segan mati tak mahu, selagi tiada daya luar bertindak ke atasnya”. Ertinya Newton menegaskan dengan penegasan yang setegas-tegasnya (itu sebab namanya “hukum gerakan Newton 1”, sebab bila hukum, ertinya ada penegasan. Kalau tak buat, boleh kena denda) bahawa perubahan hanya akan terjadi seandainya suatu momentum dikenakan kepada objek, guna menyedarkan objek itu dari lamunan, guna ‘mematangkan’ objek itu dengan bermacam jenis keadaan, guna memvariasikan rasa kepada objek itu, agar mudah-mudahan pengalaman-pengalaman dan perubahan-perubahan yang dirasakannya, mampu menjadikan objek itu memperoleh ‘angin baru’ supaya ia tidak lagi ‘bosan’ berada dalam satu keadaan sahaja semata-mata.

Menarik di sini andainya kita mengaitkan Hukum Gerakan Newton nombor wahid (satu) ini dengan kehidupan harian yang kita lalui, yang kita selusuri, dan yang kita nikmati. Di mana andainya daya luar tidak dikenakan, nasib umat Islam akan terus saja pegun, tak berubah, terus menerus ditindas, diinjak dan diperlekehkan, sesuai dengan ‘kepegunan’ yang telah dijanjikan hukum alam. Begitu juga dengan maksiat yang menjalar di dalam tubuh masyarakat; ia akan terus menular dan bergerak, selagi mana tiada ‘daya luar’ bertindak menghentikannya, sama ada dengan menyalakan lampu merah, ataupun membuat road-block, mahupun melanyak maksiat itu dengan penangan K.O karangan Mike Tyson. Dan hal ini sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh ALLAH S.W.T di dalam al-Quran:

“..Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah nasib sesuatu kaum (pegun terus pegun, bergerak terus bergerak) selagi mana kaum itu tidak mengubah nasib mereka sendiri (mengenakan daya luar)…” (Surah 13:11)

Sungguh, Dzat Yang Maha Kuasa ALLAH S.W.T tidak pernah membebankan hambanya dengan bebanan yang tak mampu dipikul olehnya. Tetapi dek kerana hambanya itu sendiri yang tak pernah mempunyai keinginan mahupun keghairahan untuk berubah, maka masakan tidak nasibnya kekal di takuk lama? Daya luar hanya mampu dikenakan andainya objek-objek ini sendiri mempunyai niat untuk merasakan kelainan sebagai respon terhadap kebosanan yang ia alami sepanjang menuruti Hukum Gerakan Newton -1 ini.

“Sesungguhnya setiap sesuatu bermula dengan niat..”

(Hadith Mutafaqa’alaih)

Nah, perhatikan. Wajarkah Tuhan dipersalahkan setiap kali kelazatan kehidupan tidak dirasakan, walhal lidah itu hanya mampu merasa manis,masam dan pahit, bukannya sedap, tak sedap dan boleh tahan? Nah, saksikan, wajarkah Islam itu dipersoalkan, setiap kali merasa adanya kongkongan dan keterbatasan, walhal Islam tak pernah menolak kemasukan sebarang tindakan daya luar, asal saja perubahan yang diinginkan masih saja selaras dengan hukum alam, pergerakan atau kepegunan (kerana hukum Islam ada yang bergerak-mutaghayyirat, dan ada pula yang pegun –tsawabit). Nah, fikirkan, wajarkah alam yang dikenakan hukuman, walhal alam sendiri sentiasa merintihkan daya luar dikenakan, kerana alam sendiri rindukan suasana penuh keislaman dan penuh ketaqwaan?

Maka kenapa tidak diri sendiri yang dibicarakan, kerana keengganan kita mewujudkan suatu momentum yang memungkinkan kita merasakan kegemilangan dan kecemerlangan yang pernah dicontohkan oleh generasi mukminin terdahulu, sedang mereka meledakkan letupan-letupan yang tak mungkin dikekang oleh penyeru-penyeru kemaksiatan.

Dan bahawasanya seorang manusia itu tidak memperoleh selain apa yang telah diusahakannya. Dan bahawasanya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya).” (Surah 53:39-40)

Bangkitlah wahai sahabatku, kita rubah nasib masyarakat. Perjuangkan iman kalian dengan menulusuri tarbiyyah dan jihad, sehingga ALLAH memberikan kita salah satu daripada dua kemenangan: sama ada hidup mulia, dengan Islam itu Izzah di muka bumi, atau pun kita tinggalkan bumi ini dengan kenikmatan sebagai Syuhada’ sebagai “seni mati” yang paling berprestij sekali. Jika tidak, maka Islam akan tetap terus di posisinya sekarang, sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh al-Quran. Dan Newton pun tersenyum riang, kerana ternyata ia lebih memahami ayat-ayat ar-Rahman berbanding kita semua…

Monday, October 4, 2010

Andainya Power Station itu Black-out...

Assalamualaikum warahmatullah…

Dalam pada ALLAH menguji diri kerdil ini dengan ‘pembekuan’ nikmat kesihatan, masih saja terserlah kemurahan-Nya dengan diberinya segenggam ilham, guna ditabur di pepasir kehidupan…

Ikhwah wa akhawat fiLLAH, mudah-mudahan disinari hidayah oleh ALLAH,
Bila saja ditimpa sedikit kesakitan, mulalah manusia menaruh kembali pengharapannya pada Tuhan. Kalau orang-orang tua kita menasihati anak kesayangannya di perantauan, tentu saja mereka akan menyuruh kita menjaga kesihatan, guna agar kita tak ditimpa kesulitan dalam meng’operate’ tubuh kehidupan. Kerana orang tua kita pastinya khuatir, anak muda di perantauan, bila saja ditimpa sedikit kesakitan, maka siapa lagi yang mahu menjaganya? Siapa lagi yang mahu menguruskan makan minumnya? “Tapawe/tupperware” muntahnya siapa yang nak hulurkan? Pakaian kotornya, siapa yang mahu mencucikan?

Bila cerita pasal takde orang nak jaga ni (tu sebab kan ke elok kalau kita kawin muda. At least ada la orang nak jaga…), ana teringat akan power station (sebab kebetulan ana ambik bidang Electric Power). Berbeza sungguh nasib kita. Kalau namanya power station atau bahasa pasarnya “stesen janakuasa elektrik”, ia pasti ada orang menjaganya. Kalau tak tiap hari pun, minimum seminggu sekali, akan ada engineer yang datang menjenguknya, guna memastikan tiada berlakunya ‘leakage’, guna menentukan tiada berlakunya ‘short-circuit’ lain sebagainya. Sedangkan diri kita pula, tambah pulak yang bujang-bujang, tambah pulak yang dok di perantauan, tiada siapa yang nak menjaga kita. Walaupun hakikatnya ALLAH sentiasa memelihara kita….



Hai…beruntung sungguh dirimu hai sang power station. Kerana makhluk bernama manusia tahu, andainya engkau tidak dijaga, tidak di’belai’, tidak di’tatang’, maka kelak ‘demam’ yang engkau hadapi, akan menjadi semacam satu ‘virus’ pada kehidupan dema, suatu penyakit yang ternyata jauh lebih bahaya berbanding denggi, jauh lebih menggerunkan berbanding nipah, jauh lebih kompleks berbanding AIDS. Kerana demi sesungguhnya yang namanya power station itu merupakan sumber bekalan tenaga kepada sesebuah bandar. Maka kalau ia buat hal, boleh hancus ekonomi bandar tu. Macam yang terjadi beberapa purnama lepas, ketika sebahagian negara mengalami black-out, dek kerana sang pembekal tenaga ni diserang “selsema” agaknya…

Maka dengan yang demikian, sudah semestinya yang namanya power station ini dibelai dan dijaga dengan sebaiknya, tatkala menyedari akan begitu pentingnya ia pada ekonomi, sosial, politik dan segala macam urusan yang melibatkan pementasan kehidupan. Sedangkan untuk diri kita, di mana power stationnya?? Itulah yang namanya hati, tempat bermulanya segala niat. Bukankah Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa setiap sesuatu bermula dengan niat, hinggakan para ulama’ menyatakan semacam kata sepakat akan peri pentingnya masalah niat ini dalam amalan-amalan kehidupan (rujuk Hadith Arbain Imam Nawawi, pada perbahasan hadith yang pertama). Dan bukankah Rasulullah S.A.W mengisyaratkan akan perlunya kita ‘menghantar engineer’, guna memastikan power station kita ini berada dalam kondisi yang baik setiap masa, agar mudah-mudahan tenaga elektrik yang disalurkan tak akan putus tanpa dijangka ?

“..Ketahuilah dalam tubuh badan manusia ada seketul daging, bila mana soleh daging ini, akan solehlah tubuh badan itu seluruhnya, dan bilamana rosak daging ini, akan rosaklah tubuh badan seluruhnya. Ketahuilah, daging itu adalah HATI.”

(juga rujuk Hadith Arbain Imam Nawawi, kali ini pada perbahasan hadith no enam).

Maka begitulah pentingnya hati dalam kehidupan, hinggakan orang bercinta saja, menggunaka lambang hati sebagai simbol kasih sayang. Walaupun hakikatnya tak sama langsung bentuknya dengan bentuk love yang dema dok lukis atas kad, dok pahat kat pokok, dok tenun di baju, lain sebagainya.

Mungkin barangkali TNB boleh buat iklan tentang masalah ni, biar iklan ‘jamban tradisional’ kelolaan Indah Water mendapat saingan….

Assalamualaikum warahmatuLLAH…

Doakan sempat sembuh untuk menghadapi viva dan coming paper…

-Farhan Al-Banna
(2004, menghabiskan sisa ilmu engineer yang ada…

sebelum kemudiannya diterima bekerja di Power Plant)

IMAN ITU SINUSOIDAL

Assalamualaikum warahmatuLLAH…

Ditengah-tengah ketension kita, kegusaran kita, kegundahan kita, dan ada sesetengah orang, dalam detik-detik exam ini merasa semacam keseronokan (Penggawa Lembaran contohnya, rujuk “Wasszup Lembaran” terbitan MPDL pada ruangan “Ape kate penggawa?”), izinkan ana menghiburkan kalian, dengan suatu catitan yang sangat berkaitan, sangat bertepatan, sangat relevan dengan kondisi iman yang sedang kita rasakan (atau tak rasa langsung?) pada masa-masa sebegini.

Sahabat-sahabat yang dirahmati ALLAH,
Daripada beberapa hadith Rasulullah S.A.W, dan daripada beberapa perbahasan para ulama’, dapat kita simpulkan bahawa sesungguhnya iman yang menyelaputi diri manusia bukanlah dalam bentuk DC current, sebaliknya mengambil bentuk AC current. Ertinya iman kita adalah sinusoidal, maka wajarlah andainya terkadang kita merasakan betapa rindunya kita akan majlis ilmu, betapa dahaganya kita akan nasihat yang baik, dan betapa kotornya kita hingga malu melafazkan kecintaan pada Pencinta Agung kita ALLAH Rabbul Izati, sedang pada masa yang lain kita merasa betapa seronoknya kemaksiatan, betapa lazatnya hiburan, betapa manjanya kemalasan. Maka hal yang demikian wajar, kerana bentuk iman kita sememangnya sedemikian.

Mungkin ada yang berhujah, terutamanya golongan yang rosak aqidahnya, terpesong fikrahnya, tertutup mata hatinya, bahawa ALLAH itu zalim, kerana dengan segala kekuatan dan kekuasaan yang ada pada-Nya, Ia sengaja menciptakan iman kita sinusoidal walhal boleh saja Ia menjadikan iman kita suatu garis lurus yang tak berubah-ubah, tak naik turun, tak pasang surut (seperti mana iman para malaikat!). Memang benar ALLAH boleh saja menjadikan iman kita dalam bentuk DC current, semua kita sama, takde perubahan, takde pergeseran… bahkan wajah kita, peribadi kita, kalau seandainya semua sama, tentu barulah adil namanya. Cuma ana amat tertarik dengan jawapan “Atuk” dalam kisah “Aku Budak Minang”: kalau seandainya semua kita sama, maka tak meriahlah dunia ni!! (sila rujuk buku “Aku Budak Minang” karya Ujang terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd, atau cerita bersirinya dalam majalah GILA-GILA).

Bahkan benar apa yang dikatakan oleh Atuk tadi, kerana al-Quran al-Karim juga menukilkan yang sedemikian.

“Dan kalau ALLAH menghendaki, nescaya ALLAH jadikan mereka umat yang satu, tetapi Dia memasukkan orang-orang yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmat-Nya. Dan orang-orang yang zalim tidak ada bagi mereka seorang pelindung pun dan tidak pula seorang penolong” (Surah 42:8)

Pak HAMKA dalam tafsir al-Azharnya berkomentar, bahawa di sinilah terpampang kebijaksanaan ALLAH Ta’ala. Kata Pak Hamka, “Dia bisa menjadikan ummat manusia umat yang satu. Tetapi kalau ini terjadi, kendurlah perjuangan manusia untuk memperjuangkan kebenaran. Kalau semua sudah benar saja, tidak ada yang salah, tidaklah dapat lagi manusia mencari perbandingan…”

Bahkan pada ayat yang lain, yang turut sama menceritakan soal ini, tepatnya ayat pada surah Hud[11]:118-119, Pak Hamka mengulas, kalau ada manusia yang ingin disama ratakan di dunia ini (dan memang ada, itu yang wujud puak ‘free-thinker’ tu. Kalau ana, lebih baik jadi ‘thinker berbayar’, dapat duit hasil royalti berfikir. Tak gitu? Hai…dunia hari ni mana ada free oii…), semuanya pintar pergi ke bulan, semuanya pintar menyelami lautan, semuanya sama pintar mencipta mobil dan televisi, atau semuanya nak jadi engineer lain sebagainya, maka siapa pula yang nak jadi kuli bataknya?? Siapa pulak yang nak jadi tukang gunting rambutnya?? Siapa pula yang nak jadi tukang tenun (tukang buat baju…bukan tukang “tenung” ) yang menjahit baju-baju kita?? Maka benarlah kata Atuk tadi; “Tak meriahlah dunia!!” Maka lantaran iman turun naik itulah, kita berupaya dan berpotensi menjadi sebaik-baik makhluk, kerana dalam ketidak-tentuan iman itu, tetap saja kita dapat bangun gah membelahi rimba kehidupan. Bahkan bagi yang mempersoalkan hal tadi, kita jawab gini: Hampir semua perkakas elektrik kita di rumah guna AC current. Maka bila iman kita AC, “perkakas” elektrik di sekeliling kita dapat mengambil manfaat yang besar!!!

Ikhwah dan akhawat yang dikasihi kerana ALLAH,
Walaupun iman kita “Yazid wa yankus” (turun dan naik), tapi seharusnya hakikat turun naiknya iman kita bukan sekadar berbentuk sinusoidal, tetapi juga dalam bentuk “eksponen menaik” (atau exponential ascend bahasa engineeringnya). Ertinya bahawa walaupun turun naik, tetapi pada hakikatnya iman kita saban hari saban waktu meniti suatu puncak yang tak terjangkau dengan kata-kata, tak tergambar dengan kamera, tak terakam oleh recorder, nak menunjukkan betapa mabuknya kita dengan kemanisan iman, kehangatan ibadah, kelazatan aqidah, sehinggakan kita berada pada “maqam” yang tak mungkin terjangkau oleh orang yang bibirnya tak pernah minum air dari telaga keimanan dan rohnya tak pernah mandi dalam lautan tarbiyyah…..

Tapi bila iman kita berbentuk eksponen menaik, timbul satu masalah baru buat kita. Kerana bila saja graf sinusoidal berumuskan formula eksponen, graf itu bukan saja akan eksponen menaik pada separuh kitar positifnya, tetapi juga akan eksponen menurun pada kitar negatifnya (bagi yang tak belajar ilmu jentera ni, kena tanya bebudak engineeringlah…. Suruh dema lukis graf. Kalau idak tak paham nanti). Maka takkan kita nak biar iman kita jadi begitu? Naik berpada-pada, turun pun berpadi-padi?? (Nota: penggunaan perkataan ‘berpadi-padi’ tidak dibenarkan dalam penggunaan formal. Tetapi untuk artikel ini, dimaafkan –Dewan Bahasa dan Bahasi). Itu bukan lagi “Yazid wa yankus”, tapi dah bertukar jadi “Yazid wa yan kuch kuch hota hei”. Maka apa yang perlu kita buat?? Di sinilah gunanya “rectifier”, atau tepatnya “full wave rectifier”, di mana rectifier ini akan mem’positifkan’ gelombang negatif tadi, menyebabkan iman pada kitar negatif itu terhapus menjadi positif, dan titik minimumnya berada pada sifar. Maka menyentuh mengenai iman kita, harus juga kita mencari semacam rectifier, guna memastikan hubungan kita dengan Ilahi Rabbi tetap terpelihara, terus terjalin dan masih terungkap dalam suatu telenovela yang indah.

Itulah peranannya yang namanya mutabaah! Bacaan al-Quran harian kita. Tahajud kita. Solat berjemaah kita. Istighfar kita. Zikir-zikir kita. Semua ibadah-ibadah ini merupakan suatu suntikan imunisasi yang dapat menjadikan diri kita ‘kebal’ terhadap segala macam ganggu-gugat, provokasi mahupun iklan-iklan yang dipampangkan oleh penaja rasmi bernama Syaitan. Benarlah firman ALLAH Ta’ala di dalam al-Quran;

“Bacalah apa yang telah diwahyukan kepada.mu, iaitu al-kitab dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegar dari (perbuatan) keji dan munkar..” (Surah 29:45)

Tetapi kemudian ada pula yang berhujah, tetap saja bila kita down, iman kita turun ke tahap kosong volt. Itu mudah saja. Pada osiloskop iman kita, kenapa tidak kita naikkan titik reference nya kepada 5 volt misalnya, ertinya walaupun iman kita down, tetapi tetap saja minimum al-Quran yang kita baca 5 Juz misalnya berbanding 7-8 Juz pada waktu-waktu biasa, tahajud kita memadai 2 rakaat pada masa-masa duka, berbanding 6-8 rakaat di masa suka, istighfar kita 70x sehari di masa, di waktu tension, berbanding 100x dan lebih diwaktu dihadapan ALLAH kita mahu memberikan ‘first-impression’, kerana inilah sebenarnya yang kita mahukan daripada hidup kita, inilah sebetulnya yang kita mimpikan dalam cita-cita kita, inilah seharusnya yang kita karangkan dalam amalan hidup kita, sebuah catatan kehidupan yang dinukilkan menggunakan tinta keikhlasan, di atas hamparan kertas kesolehan, guna dipublish di warta ketaqwaan.

Begitulah barangkali graf iman kita….. mudah-mudahan tidak berlaku ‘short-circuit’ ketika memintal litarnya.

SENSOR: Man Againts Machine

Reprogrammable. Multi-functional manipulator. Variety of tasks. Tiga terma inilah yang memberikan kita definisi tentang apa yang dinamakan sebagai ROBOT. Maka atas dasar itulah, yang namanya mesin basuh contohnya, tidak layak, tidak wajar dan tidak patut dipanggil robot, kerana ia tidak mampu melakukan “variety of tasks” yang dituntut oleh terma-terma yang mendefinasikan robot yang telah kita sebutkan tadi [rujuk kuliah EEE 355 Dr Rizal Arshad, “Robot & Pengautomatan” di awal semester]. Kerana ternyata yang namanya mesin basuh, ia masih kurang intelligent untuk melayakkannya berada pada “maqam” yang sama dengan robot-robot yang telah sedia ada pada hari ini.

Ana tertarik ketika mana ana melangkah kaki ke dalam lif Pusat Pengajian Mekanik tempoh hari. Dengan tak semena-mena,pintu lif tertutup. Wahhh…. Mistik ni. Tutup dengan sendiri. Barangkali boleh dijadikan bahan cerita Misteri Nusantara mahupun Ripley’s Belive It or Not. Namun, setelah diadakan investigation yang teliti, ternyata tiada hantu polong mahupun jin tanah yang berperanan di sebalik keajaiban itu, tetapi pada pintu lif itu terdapat ‘sensor’ (bukan sensored) ataupun dalam bahasa ibundanya ‘penderia’ yang dapat men’detect’ kemasukan ana, sehinggakan yang demikian tindak lanjut daripada itu pintu lif tertutup (tanpa perlu menyebut jampi dalam Ali Baba Bujang Lapok).

Ikhwan wa akhawat rahimakumuLLAH,
Cuba perhatikan kisah ini. Sungguh pun lif, yang seperti mana nasibnya dengan mesin basuh, tidak layak untuk kita kategorikan sebagai robot dek kerana kurang intelligent, tetapi dalam kekurangan dan ke”tak intelligent”annya itu, sensornya tetap saja peka dan mampu mendetect pergerakan-pergerakan dan perubahan-perubahan di persekitarannya, maka timbul pertanyaan, kenapa manusia, yang telah ALLAH nyatakan sebagai “la qad khalaqnal insana fi ahsani taqwim” [rujuk surah 95:4], mengapa “sensor” yang ada pada diri kita gagal untuk berfungsi dengan baik? Walhal kita jauh lebih mulia daripada robot, dan sudah barang tentu jauh lebih mulia berbanding lif itu tadi.

Inilah punca kelemahan umat Islam. Bila saja sensor yang ada pada diri kita gagal memainkan peranannya hingga kita tidak lagi peka akan penindasan demi penindasan, tohmahan demi tohmahan, hinaan demi hinaan dan injakan demi injakan yang ditamparkan ke wajah agama kita, menyebabkan kita tetap saja berdiam diri membiarkan lumpur dicalit di muka. Ya benar, ramai di kalangan umat Islam yang kaya. Bahkan dalam ranking 10 negara terkaya, ternyata didominasi oleh negara Islam. Tetapi bila saja sensor yang ada pada kita rosak, menyebabkan kita masih gagal mengumpulkan dana seperti mana yang dilakukan oleh para misionaris yang dapat menubuhkan satu dana khas, guna memberi elaun pada golongan yang murtad, guna menghantar pendakyah-pendakyah mereka ke pedalaman Sabah dan Sarawak, orang asli dan sebagainya. Ya benar, ramai di kalangan kita yang cerdik. Tetap ternyata dengan kecerdikan itu, masih saja wujud jurang yang cukup besar antara pelajar yang cerdik ini dengan pelajar yang kureng, menunjukkan lemahnya ukhwah antara kita, sedangkan sensor yang ada pada pelajar non muslim, bangsa Cina misalnya, menyebabkan perasaan mereka mendetect suatu ukhwah dan kasih sayang hinggakan wujudnya suatu kerjasama dan tampung menampung sehingga akhirnya ekonomi dikuasai oleh mereka. Ya benar, berapa ramai di antara kita mampu merintis teknologi yang tak terjangkau oleh golongan kuffar, tetapi dek kerana tertutupnya power system yang mensupply tenaga kepada sensor kita menyebabkan kita memilih untuk makan gaji di bawah kilang-kilang yang dikuasai oleh non-muslim, sehinggakan tetap saja kita merujuk kepada yang namanya Jepun, yang namanya Amerika, yang namanya Rusia, tiap kali kita membicarakan tentang negara maju.

Walhal ALLAH SWT menyatakan, bahawa yang namanya orang berakal, orang cerdik, orang bijak; bukanlah diukur daripada CGPAnya, tidak!! Bukanlah diukur pada ketebalan speknya, justeru tidak!! Tapi yang namanya orang yang berakal, ialah dema-dema atau depa-depa yang mana seluruh jirim yang memenuhi skop penglihatan mereka, dan silih bergantinya malam dan siang membawa peristiwa-peristiwa yang pelbagai, ada yang namanya Clinton Sang kaki pompuan, ada yang namanya Bush sang durjana, ada yang namanya Sharon yang celaka, ada yang namanya ‘maleng’ curi ayam di waktu malam, menjadi tanda-tanda kekuasan Tuhan, menjadi bahan-bahan renungan, menjadi topik-topik kajian, semacam suatu ilham padanya, untuk ia mempersembahkan sebuah karya agung yang melayakkannya dinobatkan Sasterawan Negara di Syurga kelak.

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang, menjadi ayat-ayat/ tanda-tanda/ signs buat orang-orang yang berakal” (Surah 3:190)

Benar, setiap kita ada kelemahan. Tetap bila mana kita sedar saudara-saudara kita ada kelemahan, sensor kita seharusnya menhantar maklumat pada program agar dengan demikian tindak lanjut kita ialah kita menampung kelemahan saudara kita, bukan kita menyebarkan kelemahannya itu. Bukan kita menghentam saudara kita itu. Bukan kita menjatuhkan sahabat kita itu.

Walhal inilah yang berlaku dalam masyarakat kita dewasa ini. Bila saja sensor kita tak befungsi, ertinya bukan saja nilai diri kita menjadi lebih rendah daripada robot, bahkan lebih hina nilainya daripada mesin basuh. Fikirkan dan renungkanlah.

(tapi di mana sensor kita ya????)

(dipetik daripada tazkirah Maghrib yang disampaikan di Surau SH3 pada 16 Febuari 2004 yang lalu, selepas berlalunya paper Robotic.Perghh…. susah giler…)

Sunday, October 3, 2010

Prinsip Keabadian Tenaga

Assalamualaikum warahmatuLLAH...

Ikhwah yang dikasihi sekalian,

Di tengah kesibukan dan ketekunan kita menghadapi saat-saat 'getir' menghadapi peperiksaan, izinkan ana menukilkan sesuatu, guna menterjemahkan segala bentuk wacana ke'engineer'an yang ada dalam benak pemikiran ini, mudah-mudahan akan teraplikasilah segala pengetahuan, pengalaman, dan 'keperitan' selama 4 tahun bergelumang dalam dunia mesin dan teknologi ini.

Ikhwah fiLLAH yang dirahmati ALLAH,

Semua kita sedia maklum, sama ada yang ambil sains fizik mahupun yang ambik sains biologi, akan suatu ketentuan, suatu ketetapan, suatu prinsip yang kita kenali sebagai "Prinsip Keabadian Tenaga", di mana tenaga tidak boleh dicipta mahupun dimusnahkan. Ia hanya melalui suatu proses "pertukaran" daripada satu bentuk ke bentuk yang lain (barangkali ini yang dimaksudkan oleh Darwin ketika mengemukakan teori evolusinya...barangkali...). Sebagai contoh, cahaya matahari yang ada di sekeliling kita tidak hilang sebegitu saja, bahkan ia di"transform" ke suatu bentuk tenaga yang lain; kepada tenaga kimia oleh tumbuhan, kepada tenaga elektrik oleh inverter (macam projek tahun akhir ana...yang gagal...tapi tetap saja boleh score andainya boleh bagi sebab kenapa gagal mendapat hasil yang diinginkan), kepada tenaga batin oleh tongkat ali..... pokoknya ia tak terhapus, walakin hanya di"terjemahkan" ke dalam beberapa "bahasa" tenaga yang lain, yang sedikit berbeza dengan tenaga asalnya. Cerita "Crayon Sinchan" misalnya, sungguhpun diterjemahkan ke pelbagai bahasa; ke Bahasa kita di televisyen, ke bahasa Indonesia lewat CD, tetapi "tenaga kelawakannya" tetap saja terpelihara, kerana lawaknya memenuhi konsep keabadian (barangkali).

'ala kulli hal, sedar tak sedar, konsep ini seakan-alan sama dengan "Prinsip Keabadian Nikmat" yang berlegar dalam setiap saat denyutan nadi kita, setiap tarikan nafas dari udara, dan setiap bit memori sel otak yang terjelma ketika mana kita melayari bahtera kehidupan ini. Cuba renungkan sejenak, mana pernah Dzat Yang Maha Kuasa ALLAH SWT melupakan pemberian nikmat buat kita, yang mana berdasarkan "prinsip keabadian nikmat" ini, sudah seharusnya dan sewajarnya kita tukarkan nikmat-nikmat ini kepada suatu bentuk penghambaan dan ketaqwaan guna mensyukuri nikmat ALLAH SWT ini. Ya benar, bagi yang belajar ilmu jentera ini, kita ada yang namanya "losses", tetapi kerana itu setiap cabang ilmu jurutera menitik beratkan yang namanya efficiency (kecekapan), rumus yang dipakai demi mengurangkan losses, dan memaksimumkan perubahan tenaga ini. Maka begitu juga dengan hidup kita. Sungguh pun tak mungkin 100% nikmat Rabbul alamin ini dapat kita jelmakan dalam suatu bentuk penghambaan diri yang total, setidak-tidaknya kenapa tidak kita berusaha meningkatkan sedaya mungkin efficiency nikmat ini? Bagaimana caranya? Maka penuhilah seruan ALLAH dan Rasul-Nya ketika mereka memanggil kita kepada suatu "kehidupan" (seperti yang tertera dalam surah 8:24), penuhilah panggilan "batman" ketika mana ALLAH dan Rasul menyeru kita supaya menjadi penolong agamanya (seperti yang terpahat dalam surah 61:14), penuhilah tawaran ALLAH SWT ketika mana Dia mengofferkan "Prinsip Keabadian Nimat" ini, kerana ternyata benar seperti mana tenaga tak akan terhapus, nikmat ALLAH yang kita jelmakan dalam bentuk ketaqwaan, ternyata di"tukarkan" kembali kepada suatu bentuk nikmat yang lebih memuaskan hati (bukak surah 14:7).

Atau Prinsip seperti ini tidak sesuai terapply dalam kehidupan?? Terpulang... sekadar coretan buat renungan, dari seorang insan yang tidak mahu segala ilmu-ilmu jenteranya tak mampu diterjemahkan kepada suatu lukisan kehidupan... maka inilah cubaan-cubaannya untuk memantulkan refleksi teknologi ke dalam suatu gambaran keimanan....

Mudah-mudahan terhibur...

Assalamualaikum warahmatuLLAH....
Farhan al-Banna, disebar-emailkan in 2004