Followers

Thursday, October 21, 2010

BATERI

Oleh: Ustaz Abu Hanifah Mohd Kamal, B.Eng, Sijil Pengajian Syariah, Sijil Perbandingan Agama

Futuwwah Enterprise

Bateri adalah satu atau lebih komponen sel elektrokimia. Bateri atau sel berfungsi menukar tenaga kimia kepada tenaga elektrik. Tindak balas kimia di dalam bateri akan menggerakkan kation (ion positif) ke katod (elektrod positif) dan anion (ion negatif) ke anod (elektrod negatif). Untuk memastikan terjadinya tindak balas kimia, elektron perlu bergerak ke luar sel daripada anod melalui litar dan kembali ke katod. Sekiranya litar tersebut rosak (suisnya terbuka), elektron tidak dapat melengkapkan pergerakannya dan tindak balas kimia akan terhenti. Inilah antara sebabnya mengapa sesuatu bateri itu bertahan lama untuk jangka masa yang sangat panjang jika tidak digunakan.

Adakah anda faham penerangan saya tentang fungsi bateri ini? Apabila saya cuba mengkaji semula dan menerangkannya, otak saya kembali mengimbas mata pelajaran Sains semasa di sekolah menengah dahulu. Jika anda masih tidak faham, saya akan ringkaskan penerangannya. Secara asasnya, bateri akan membekalkan kuasa kepada litar elektrik atau elektronik.

Dalam kelompok bateri ini, terdapat jenis rechargeable battery di mana bateri jenis boleh dicas dan bukanlah jenis pakai buang. Rechargeable battery juga dikenali sebagai bateri sekunder (secondary cells) kerana tindak balas kimianya adalah jenis elektrik boleh balik (electrically reversible). Rechargeable battery mempunyai kos penggunaan dan kesan persekitaran yang rendah berbanding bateri biasa (pakai buang). Rechargeable battery mempunyai kos permulaan yang tinggi tetapi boleh dicas dan diguna banyak kali. Ketika dicas, elektrod positif (katod) akan teroksida dan menghasilkan elektron-elektron dan elektrod negatif akan menyerap electron. Elektron-elektron yang terhasil inilah yang menjadikan aliran arus di dalam litar. Elekrolit pula akan menjadi penampan untuk aliran ion-ion sama ada positif atau negatif di antara elektrod.

Saya mengumpamakan keadaan rechargeable battery seperti mana kehidupan seorang dai’e. Seorang pendakwah apabila hendak melakukan kerja dakwah perlu memastikan kondisi dia berada dalam keadaan terbaik; kesihatan yang baik, iman yang mantap dan ilmu seperti seorang syeikh yang menunggu waktu untuk dicurahkan kepada mad’unya. Itu sebabnya, dalam sebuah halaqah, perlunya pengisian dari sang murobbi, tugasa yang perlu dilakukan dan checklist mutabaah seperti tilawah al-Quran, solat berjemaah, tahajud, zikir, puasa sunat dan riadhah. Apa tujuan ini semua? Ini tidak lain untuk memastikan iman seorang dai’e itu dicas dengan amalan-amalan yang berkaitan dengan hubungan dengan Allah. Jika hubungan dengan Allah mantap, insya Allah tiada masalah apabila hendak berdakwah kepada manusia (hubungan dengan manusia). Tetapi jika hubungan dengan Allah teruk, itulah yang menjadi seorang dai’e itu lesu dan tidak bermaya hendak melakukan kerja dakwah.

Itu sebabnya, menjadi masalah yang cukup besar apabila seorang dai’e itu terjebak ke arah pemonteng tegar atau penidur tegar dalam suatu halaqah. Hinggakan hal yang remeh seperti balik kerja lambat menjadi alasan bodoh yang kerap diberikan apabila tidak datang halaqah. Jika diri mereka jarang dicas dengan amalan-amalan soleh, bagaimana mungkin kita nak menyampaikan bahan-bahan dakwah kepada sang mad’u. Jadilah mereka ini seperti harimau yang kehilangan taring dan kuku yang berada di dalam kurungan. Sudahlah terkurung, ngaumannya langsung tidak ditakuti. Andainya dilepaskan, tiada apa yang boleh diperbuat untuk menakutkan musuhnya.

Kesimpulannya, jadilah kita rechargeable dai’e seperti mana rechargeable battery yang sentiasa perlu dirinya dicaskan dengan amalan-amalan soleh untuk berkhidmat kepada ummat dan jauhkanlah dari menjadi dai’e pakai buang yang kelaknya akan dilupuskan akibat kekuatan yang semakin surut.

Keterangan Rajah:

Rajah 1: Bateri

Rajah 2: Rechargeable Battery (Bateri Sekunder)

Rajah 3: Diagram Pengecasan Bateri

Rajah 4: Kelesuan yang membunuh

No comments:

Post a Comment