Followers

Friday, October 15, 2010

BUAIAN POKOK

Di dalam ilmu Maqasid Syari’ah, kita akan belajar apa yang dikenali sebagai Qawaid Fiqhiyyah, yakni kaedah-kaedah fikih. Qawaid Fiqhiyyah ini adalah “tool” yang digunakan untuk mengenal pasti hukum dan penyelesaian kepada satu-satu persoalan fekah yang dikeutarakan. Ianya seperti Laplace Transform dan Fourier Transform, iaitu tool-tool matematik yang turut digunakan untuk membantu dunia kejuruteraan.

Dan bila berbicara tentang Qawaid Fiqhiyyah, salah satu kaedah fikih yang digunakan secara meluas dalam dunia fekah adalah kaedah yang dikenali sebagai “al-umuur bi maqasidiha” yang bermaksud “setiap sesuatu, tergantung kepada tujuan, matlamat dan niatnya.” Ianya bersesuaian dengan hadith pertama yang dihimpunkan oleh Imam Nawawi di dalam Matan Arbainnya, iaitu hadith betapa segala sesuatu itu bergantung kepada niatnya.

Kalau andainya kita seorang guru, mungkin benar kita akan sedaya upaya mengajar sambil mengejar untuk menghabiskan silibus yang telah ditetapkan. Misalannya kelas fardhu ain petang di sekolah, setiap pelajar seharusnya menghabiskan kitab Iqra’ 1 ketika darjah 5, sebelum dia kemudiannya beralih ke kitab Iqra’ 2 tahun hadapannya. Tetapi, tahukah anda betapa jangankan ramai anak-anak darjah 5 yang masih tidak khatam dan tidak menguasai Iqra’ 1, bahkan budak-budak sekolah menengah pun masih ramai yang bukan sekadar tidak tahu mengaji, bahkan buta huruf lagi. Mereka seakan memahami betapa kaum Quraisy di zaman Nabi adalah manusia-manusia yang ummi, buta huruf, sebagaimana juga Nabi. Malangnya, yang mereka ikuti adalah buta hurufnya, bukan sunnah dan semangat dakwah yang dipersembahkan oleh Nabi dan para sahabatnya.

Nah, kita para guru, apa pandangan kita tatkala anak murid tahun 6 masih belum menguasai Iqra’ 1? Sebahagian daripada kita, mungkin tidak peduli akan semua itu. Kerana yang penting pada kita, adalah “menghabiskan silibus.” Tetapi jika kita berada di pihak ibubapa, manakah yang lebih penting, menghabiskan silibus, atau memahamkan sang anak akan pelajaran yang ingin disampaikan?

Di sini lemahnya sistem pendidikan kita. Dek kerana terlalu terikat dengan silibus, lalu pemahaman, penghayatan dan penguasaan anak-anak tidak lagi kita perhatikan, jauh lagi dipedulikan. Buktinya apa? Kita berbangga dan lega bila anak-anak cemerlang dalam peperiksaan, tetapi pada masa yang sama biadap dan kurang ajar dalam pergaulan. Pembentukan sikap justeru adalah bukti nyata penghayatan dan penguasaan sang anak terhadap pelajarannya, bukan keputusan peperiksaan yang diperolehnya. Hal ini paling dimaklumi oleh para majikan, lantas criteria “pengalaman kerja” sering menjadi keutamaan dalam memilih pekerja, bukan sekadar “1st class honours” dalam kelulusan.

Saudaraku,

Beginilah jadinya tatkala kita lupa kaedah fekah tadi. Andai saja kita memahami betapa “al-umur bi maqasidiha” “setiap hal tergantung kepada matlamat dan tujuannya”, nescaya sang anak dihantar ke sekolah justeru untuk menjadi “manusia”, bukan menjadi “nombor 1 dalam peperiksaan.” Begitu juga dengan tarbiyah. Kalau tarbiyah tidak memerhatikan sisi-sisi kelemahan para aktivis dan kadernya, lalu tidak memberikan “dos” yang diperlukan untuk memperbaikinya, lantas ianya sekadar penyampaian fikriyah semata-mata, lantaran tujuan program tarbiyah itu sendiri sekadar “untuk menghabiskan silibus semata-mata.” Dengan pemahaman sebegini, bagaimana mungkin kita mengimpikan tarbiyah itu mempunyai orientasi ruhiyah juga, sedang doa Rabitah yang diajarkan oleh Imam Hassan Al-Banna, justeru adalah doa yang hanya bisa terjadi, tatkala ruhiyah kita terpateri sesama kita.

Tanpa tujuan, matlamat dan ahdaf halatuju yang jelas, jadilah hasil tarbiyah seperti yang digambarkan di dalam gambar di atas. Apakah ini yang diinginkan oleh Allah dan Rasul-Nya, tatkala kewajipan dakwah dan tarbiyah pertama-tama dibebankan ke bahu manusia?

Marilah kita kembali kepada akar persoalan kita: Tarbiyah yang mempunyai matlamat dan hala tuju, sesuai dengan keperluan. Bukan sesuai dengan “jadual menghabiskan silibus.” Apa yang susahnya? Nak gantung tayar kat pokok je Yob!

No comments:

Post a Comment