Followers

Tuesday, October 12, 2010

TIANG GOL

Anda tentu sudah terbiasa mendengar perumpamaan ini: perumpamaan tentang permainan bola sepak, dan kepentingan tiang gol di dalamnya. Kalau pun tiada tiang gol, setidak-tidaknya gol tanpa palang, yang dibina sekadar menggunakan selipar, itu pun sudah memadai untuk meneruskan permainan bola sepak tadi.

Jika anda saksikan, dalam sebuah permainan bola sepak, justeru yang terpenting ialah gol, hatta gol menggunakan skittle atau selipar sekalipun. Bagi orang kampung atau yang sekadar main bola “petang-petang”, bilangan pemain tidak menjadi isunya. Boleh saja 9-sebelah, bola jadi 11-sebelah, bahkan juga 15 ke 20-sebelah, hatta tak seimbang sebelah pun, tak menjadi isu. Begitu juga dengan masa; mainlah sepuas-puasnya. Sampai engkau penat. Sampai engkau letih. Atau, sampai azan Maghrib sudah berkumandang menandakan waktunya untuk engkau pulang, permainan bola sepak tidak pernah mengenal sempadan had pemain mahupun masa. Tetapi tanpa tiang gol; permainan bola akan hilang serinya. Kerana dengan adanya gol, sekali lagi baik tiang, kayu mahupun selipar, barulah main bola ada serinya. Kerana gol menjadikan barisan anak muda di atas padang sana, mempunyai hala tuju dan tujuan yang jelas. Dan manusia akan huru-hara dan haru-biru, andai kata ia tak punya halatuju dan tujuan dalam hidupnya.

Itulah sebabnya, di dalam melaksanakan tarbiyah, halatuju dan tujuan, atau bahasa arabnya bisa disebut hadaf, justeru suatu yang sangat penting. Setiap agenda dan wasilah yang ada di dalam tarbiyah, baik yang namanya halaqah atau usrah, baik yang namanya daurah, mukhayyam, mabit dan yang sewaktu dengannya, haruslah terlaksana sesuai dengan hadaf tujuannya. Biarlah pengisian-pengisian yang dikau berikan, sesuai dengan keperluan semasa peserta program tarbiyah itu. Jika disiplinnya ketika itu didapati lemah, maka biarlah pengisian dalam program tarbiyah itu lebih tertumpu kepada pembentukan kedisiplinan di kalngan peserta tarbiyah. Jika ruhiyahnya yang sedang lemah, mungkin mabit atau lain-lain wasilah yang pengisiannya dapat menyedarkan kembali para aktivis akan peri-pentingnya sillah billah (hubungan dengan Allah) seterusnya meningkat kesedaran ruhiyahnya, yang menjadi agenda program tarbiyahmu. Kalau semangat dakwahnya yang masih kurang, biarlah pengisian di dalam program tarbiyah itu menjurus kepada menggerakkan para peserta untuk bergiat aktif dan bergelumang terus dengan aktiviti-aktiviti yang haraki sifatnya.

Tetapi program yang “tangkap muat”, asal silibus habis, dan sebagainya, ialah seperti anda menetapkan had pemain di atas padang dan had masa permainan dijalankan, tetapi golnya tidak dipasang. Mungkin permainan bisa diteruskan, tetapi hilang serinya. Hilang keseronokannya. Hilang thrill nya. Bermain bola tanpa gol, merupakan aktiviti “warm-up” semata-mata. Bukan main bola lagi namanya. Kerana untuk bermain bola, gol itu perlu ada jelas di depan mata, agar jelas bagi para pemain hala tuju dan matlamat mereka.

Nah, sudahkah anda memacak tiang gol di hujung sana?

1 comment:

  1. Salaam,

    dah, dah pasang tadi.

    tunggu team lain sahut cabaran je..

    ReplyDelete