Assalamualaikum warahmatuLLAH….
Mudah-mudahan ALLAH kekalkan kita pada detik waktu dan saat ketika ini sebagai insan yang melafazkan hembusan nafasnya dengan ungkapan kata-kata kesyukuran sebagai tanda seorang bernama mukmin. Mudah-mudahan juga baginda rasul-Nya Muhammad B Abdullah S.A.W dicurahi selawat serta salamnya termasuk dari diri kita-kita ini, sebagai suatu bentuk curahan hati sebagai bukti kecintaan yang selayaknya membenarkan lautan berapi direnang, gunung nan tinggi didaki. Mudah-mudahan juga seluruh sahabah wa sahabiyah baginda, beserta orang-orang yang berkenan menjadikan keperibadian sebegini sebagai idola, sentiasa dinaungi oleh lembayung rahmah, inayah, hidayah dan barakah daripada Sang Pencipta Alam Semesta.
Muslimin muslimat, ikhwan wa akhawat hafizuLLAH…
Newton telah mengeluarkan suatu teori sebagai menzahirkan pemahamannya terhadap persoalan inersia dengan mengemukakan apa yang kita kenali pada hari ini sabagai “Hukum Gerakan Newton” yang pertama. Di dalam prinsip pertama daripada sekalian banyak prinsip milik Newton ini (tapi benarkah Newton ni ada prinsip??? Jangan-jangan Munafik kot dia ni….mana tau…) si Newton menyatakan bahawa “Sesuatu objek akan kekal dalam keadaan asalnya, sama ada bergerak dan terus bergerak, atau pegun hidup segan mati tak mahu, selagi tiada daya luar bertindak ke atasnya”. Ertinya Newton menegaskan dengan penegasan yang setegas-tegasnya (itu sebab namanya “hukum gerakan Newton 1”, sebab bila hukum, ertinya ada penegasan. Kalau tak buat, boleh kena denda) bahawa perubahan hanya akan terjadi seandainya suatu momentum dikenakan kepada objek, guna menyedarkan objek itu dari lamunan, guna ‘mematangkan’ objek itu dengan bermacam jenis keadaan, guna memvariasikan rasa kepada objek itu, agar mudah-mudahan pengalaman-pengalaman dan perubahan-perubahan yang dirasakannya, mampu menjadikan objek itu memperoleh ‘angin baru’ supaya ia tidak lagi ‘bosan’ berada dalam satu keadaan sahaja semata-mata.
Menarik di sini andainya kita mengaitkan Hukum Gerakan Newton nombor wahid (satu) ini dengan kehidupan harian yang kita lalui, yang kita selusuri, dan yang kita nikmati. Di mana andainya daya luar tidak dikenakan, nasib umat Islam akan terus saja pegun, tak berubah, terus menerus ditindas, diinjak dan diperlekehkan, sesuai dengan ‘kepegunan’ yang telah dijanjikan hukum alam. Begitu juga dengan maksiat yang menjalar di dalam tubuh masyarakat; ia akan terus menular dan bergerak, selagi mana tiada ‘daya luar’ bertindak menghentikannya, sama ada dengan menyalakan lampu merah, ataupun membuat road-block, mahupun melanyak maksiat itu dengan penangan K.O karangan Mike Tyson. Dan hal ini sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh ALLAH S.W.T di dalam al-Quran:
“..Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah nasib sesuatu kaum (pegun terus pegun, bergerak terus bergerak) selagi mana kaum itu tidak mengubah nasib mereka sendiri (mengenakan daya luar)…” (Surah 13:11)
Sungguh, Dzat Yang Maha Kuasa ALLAH S.W.T tidak pernah membebankan hambanya dengan bebanan yang tak mampu dipikul olehnya. Tetapi dek kerana hambanya itu sendiri yang tak pernah mempunyai keinginan mahupun keghairahan untuk berubah, maka masakan tidak nasibnya kekal di takuk lama? Daya luar hanya mampu dikenakan andainya objek-objek ini sendiri mempunyai niat untuk merasakan kelainan sebagai respon terhadap kebosanan yang ia alami sepanjang menuruti Hukum Gerakan Newton -1 ini.
“Sesungguhnya setiap sesuatu bermula dengan niat..”
(Hadith Mutafaqa’alaih)
Nah, perhatikan. Wajarkah Tuhan dipersalahkan setiap kali kelazatan kehidupan tidak dirasakan, walhal lidah itu hanya mampu merasa manis,masam dan pahit, bukannya sedap, tak sedap dan boleh tahan? Nah, saksikan, wajarkah Islam itu dipersoalkan, setiap kali merasa adanya kongkongan dan keterbatasan, walhal Islam tak pernah menolak kemasukan sebarang tindakan daya luar, asal saja perubahan yang diinginkan masih saja selaras dengan hukum alam, pergerakan atau kepegunan (kerana hukum Islam ada yang bergerak-mutaghayyirat, dan ada pula yang pegun –tsawabit). Nah, fikirkan, wajarkah alam yang dikenakan hukuman, walhal alam sendiri sentiasa merintihkan daya luar dikenakan, kerana alam sendiri rindukan suasana penuh keislaman dan penuh ketaqwaan?
Maka kenapa tidak diri sendiri yang dibicarakan, kerana keengganan kita mewujudkan suatu momentum yang memungkinkan kita merasakan kegemilangan dan kecemerlangan yang pernah dicontohkan oleh generasi mukminin terdahulu, sedang mereka meledakkan letupan-letupan yang tak mungkin dikekang oleh penyeru-penyeru kemaksiatan.
“Dan bahawasanya seorang manusia itu tidak memperoleh selain apa yang telah diusahakannya. Dan bahawasanya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya).” (Surah 53:39-40)
Bangkitlah wahai sahabatku, kita rubah nasib masyarakat. Perjuangkan iman kalian dengan menulusuri tarbiyyah dan jihad, sehingga ALLAH memberikan kita salah satu daripada dua kemenangan: sama ada hidup mulia, dengan Islam itu Izzah di muka bumi, atau pun kita tinggalkan bumi ini dengan kenikmatan sebagai Syuhada’ sebagai “seni mati” yang paling berprestij sekali. Jika tidak, maka Islam akan tetap terus di posisinya sekarang, sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh al-Quran. Dan Newton pun tersenyum riang, kerana ternyata ia lebih memahami ayat-ayat ar-Rahman berbanding kita semua…
No comments:
Post a Comment