Oleh: Ustaz Mohd Shahman Md. Azmi, Bsc., Sijil Pengajian Syariah
Futuwwah Enterprise
Barangkali, apabila kita sebut tentang logam, ramai yang akan terbayang logam-logam mewah seperti emas, titanium (?), uranium (?) dan sebagainya. Bahkan mugkin tidak keterlaluan jika dikatakan kita amat ingin memiliki logam-logam mewah seperti ini. Masakan tidak! Memiliki barangan yang diperbuat daripada logam mewah seperti ini beerti memiliki kekayaan!. Mugkin ramai yang terlupa atau sengaja “buat-buat lupa” akan logam-logam yang lain. Logam-logam seperti kuprum, nikel, aluminium mungkin bukan menjadi “pujaan hati” kita jika disuruh untuk memilihnya antara emas. Kalau adapun yang memilih logam-logam seperti ini, mungkin hanya pengutip besi buruk, barangkali!
Cuba kita berfikir sejenak, ada apa pada logam? Tentu banyak bukan? Boleh dikatakan kebanyakkan barang diperbuat daripada logam (atau kalaupun tak semua, sebahagiannya!). Dari pedang Samurai ke keris Hang Tuah, dari gelang emas Mami Jarum ke rantai beruang panda, dari skru motosikal Nitro ke duit syilling, semuanya dari logam. Justeru kita tidak dapat tidak mengakui logam antara barang terpenting dalam kehidupan. Persis seperti mana yang Allah firmankan dalam Al-Quran:
“...Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa” (Al-Hadid: 25)
Mari cuba kita fikirkan pula ada berapa jenis logam? Banyak bukan? Dari yang hitam melegam, merah menyala, putih melepak, kelabu asap, kuning taik gigi hinggalah ke warna yang tak tahu kita nak sebut!. Ada yang namanya emas, perak, tembaga, zink dan segala macam lagi. Dan tiap-tiap jenis logam, ada sifat masing-masing yang menbezakan antara satu logam dengan logam yang lain. Juga setiap logam ada kegunaan yang bertepatan dengan ciri dan sifat masing-masing. Bak kata Encik Astro “macam-macam ada!”
Nah, sekarang mari kita fikirkan tentang sifat-sifat logam pula. Antaranya mudah dibentuk, kuat, tahan, dan sebagainya. Pendek kata, logam memang cukup banyak manfaat buat manusia. Justeru, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Nabi ada megumpamakan manusia itu ibarat logam:
“Manusia itu ibarat logam. Baiknya dia ketika di jahiliyyah baiknya juga dia ketika di Islam. Sekiranya dia faham.” (Bukhari & Muslim)
Jadi, mari kita bandingkan sebahagian sifat yang ada pada logam untuk diambil pengajaran. Seperti yang kita maklum logam mudah dibentuk. Makanya, sifat seorang manusia itu (apatah lagi orang mukmin!) seharusnya juga begitu. Mudah dibentuk. Jika elok acuannya maka elok jugalah produk yang dihasilkan. Jika sumbing acuannya, maka sumbing jugalah hasilnya. Sejarah telah melakarkan bagaimana generasi para sahabat “dibentuk” oleh acuan yang benar sehingga berjaya menjadi “khoiru ummah” (3:110). “Tempaan” keatas “logam” yang bernama Ummar cukup menjadi bukti bahawa kebenaran dan kemuliaan Islam. Masakan tidak, ketika di zaman jahiliyyah, beliau cukup terkenal dengan sikap “gedebe” nya mempertahankan agama nenek moyang musyrikin Mekah. Nah, lantaran di “dibentuk” oleh acuan yang betul, beliau berubah menjadi seorang yang cukup lantang dalam memperjuangkan Islam. Lihat saja bagaimana acuan Islam berjaya menghasilkan “logam-logam” emas pada masa pemerintahan Abassiyyah! Sebutkan saja Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Khawarizmi dan lain-lain. Bukankah “logam-logam” ini hasil “tempaan” Islam?
Juga kalau dilihat, logam adalah antara bahan binaan yang terkuat dan tahan lasak. Jadi, sifat seorang manusia itu seharusnya kuat umpama logam. Tidak “lembik”, “lemah”, “pengecut” dan yang sewaktu dengannya. Jika sifat logam yang kuat dan mudah dibentuk itu menjadikan ia diguna untuk menghasilkan pelbagai jenis barangan yang “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, makanya, sudah barangkali tentu kita terlebih lagi harus mencontohi sifat sang logam itu! Seharusnya kita tidak “lemah”, “takut” “lembik” ketika mana menghadapi cubaan dan rintangan. Bukankah tercatat dalam sejarah sekian banyak pejuang-pejunag Islam yang bermati-matian mempertahan Islam.
Seperti yang sedia kita maklum, ada pelbagai jenis logam seperti yang disebutkan tadi. Mugkin kebanyakkan antara kita lebih memuja “emas” (King Midas?) berbanding logam lain. Amat sedikit (barangkali tiada) yang memuja “kuprum” apatah lagi “zink” atau logam-logam yang tidak se “glamour” emas dan logam-logam yang namanya pun kita jarang-jarang dengar, entahkan wujud atau tidak!. Nah, cuba kita lihat kembali kepada hadis Rasulullah di atas. Dalam hadis tersebut, baginda menyebut hanya “logam”. Nama yang umum untuk segala macam jenis logam yang ada di muka bumi ini. Makanya, mugkin antara ibrah yang dapat kita perhatikan, adalah tidak kira manusia itu dari jenis “logam” apa sekali pun (miskin, kaya, hitam, putih, gemuk, kurus, jurutera, doctor, cleaner, konduktor bas dsb) masing-masing ada peranan yang dapat dimainkan. Mana mungkin semua benda/barang harus diperbuat daripada logam “emas” semata. Jika begitu, barangkali, penyamun-penyamun sudah jadi kaya raya!. Iya, Kuprum mugkin bukan pilihan utama kita! namun, tanpa kuprum, sudah tentu segala barang eletrik & elektronik tidak dapat berfungsi!. Makanya, setiap orang ada posisi yang sesuai untuk diri masing-masing. Jika sang “emas” banyak harta menimbun, maka tangunngjawabnya besar untuk membantu umat Islam dari segi ekonomi. Jika sang “besi’” punya badan yang sihat dan kuat, maka posisinya mungkin di medan peperangan. Bukankah Rasullah sendiri menempatkan para sahabat sesuai dengan keadaan mereka?
Tapi, di penghujung hadis tersebut, Rasulullah ada mengatakan “sekiranya dia faham”. Nah, disini letaknya “kunci” keseluruhan hadis tersebut. Segala-galanya berkait rapat dengan “kefahaman”. Mana mungkin seseorang yang “hebat” di zaman jahiliyyahnya dan kemudian “hebat” setelah mendapat hidayah atas dasar suka-suka tanpa kefahaman. Mustahil! Ibarat seorang yang tak faham soalan periksa tapi dapat score A+. Mungkin pemeriksa tersalah tanda, atau barangkali pemeriksa yang tidak faham sebenarnya!.
Ummat sedang ternanti-nanti kehadiran sang “logam” yang bakal membina semula kegemilangan tamadun Islam. Maka, siapa yang sanggup menjadi “Ironman” seterusnya?
salam alayk~
ReplyDeletemaaf, nak tanya pasal hadith ni :
“Manusia itu ibarat logam. Baiknya dia ketika di jahiliyyah baiknya juga dia ketika di Islam. Sekiranya dia faham.” (Bukhari & Muslim)
sy pernah diberitahu tentang hadith ni, berkenaan Umar Al Khattab. boleh bagi matannya?
Wassalam
ReplyDeleteUkhti, hadith yang anti beri tu ada beberapa matan. antaranya di dalam kitab Riyadhus Sholihin, hadith no. 69 (Rujuk Bab 6: Bab Taqwa). Ia hadith no 3353 di dalam shohih Bukhari, no. 2526 di dalam sohih Muslim. Kata Dr. Mustafa Al-Bugho di dalam kitan "Nuzhatul Muttaqin" (Syarah Riyadhus Sholihin), maksud "Faquhuu" ialah mengetahui hukum-hukum syara', yakni org yg pengetahuannya tentang hukum Islam sudah menjadi darah daging.
Wallahu a'lam