Andainya Haba didefinasikan sebagai tenaga yang dipindah dari objek yang panas ke objek yang sejuk, maka yang namanya tarbiyyah, atau lebih tepat lagi halaqah, adalah suatu definisi yang barangkali terungkap oleh perkaitan antara “haba” dan “tenaga” ini.
Ini kerana umat kita dewasa ini sedang mengalami bukan saja kesejukan semangat, bahkan beku dalam mencerna momentum-momentum yang bisa menggerakkan masyarakat menuju suatu kegemilangan yang pernah suatu ketika dikecap dan dinikmati. Lantas, dengan kesejukan dan kebekuan ini, haba (baca: tarbiyyah) perlu memainkan peranan dalam erti kata menyalur dan memindahkan tenaga, dalam segala bentuk dan semua rupa, guna “memanaskan” masyarakat dengan suatu “kehidupan” baru yang hanya mampu dijelmakan dengan energi yang “dipendam tentu” lewat al-Quran dan sunnah rasul-Nya SAW.
“Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan ALLAH dan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepasa suatu yang memberi “kehidupan” kepada kamu..” (Surah al-Anfal [8]:24)
Nah, bila saja umat manusia tidak merasa perlu untuk menggali rahsia-rahsia dan hikmah-hikmah yang terkandung dalam telaga agamanya, sebaliknya merasa cukup sekadar mendaki bukit pemikiran, dek kerana merasakan tingginya banjaran yang dapat dicapai oleh akal semata-mata, lantas menyebabkan “keseimbangan terma” gagal wujud di dalam pelayaran kehidupan mereka. Kerana barangkali mereka lupa, bahawa yang namanya lautan (baca: khazanah al-Quran dan sunnah), yang meliputi dua per tiga dari hamparan bumi yang kita jejaki ini, mempunyai kedalaman yang berkali ganda, sampai bahkan terkadang tak mampu dan tidak boleh dikecapi oleh manusia. Bukan sekadar kerana gelapnya persekitaran laut dalam tersebut, tetapi juga kerana hebatnya tekanan yang berlegar di sekelilingnya, juga kerana misteriusnya hidupan-hidupan yang mendiami khazanah yang bisa dianggap fenomena menakjubkan ini.
Maka ketika keajaiban akal semata-mata difungsikan, tanpa mengambil kira pedoman wahyu yang sebetulnya manjadi referensi utama akal dek kerana fakirnya ia ketimbang keluasan khazanah ilmu Tuhan, berlakulah ketidak seimbangan yang luar biasa, yang mengakibatkan tubuh masyarakat menjadi “panas”, akibat “keseimbangan terma” tidak berlaku, sedang tubuh itu sentiasa memerlukan kenyamanan guna melahirkan keselesaan baginya tika mana ia berjalan merentasi lembah kehidupan. Kerana itu ALLAH SWT mengingatkan insan, akibat yang dideritainya akibat ketidak seimbangan terma ini, sebagai suatu natijah yang hanya layak ditudingkan ke wajahnya sendiri.
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan mereka sendir, supaya ALLAH merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah ar-Rum [30]:41)
Maka dalam pada kita mendaki tingginya banjaran kehidupan, janganlah sesekali kita melupakan dalamnya khazanah ilmu Tuhan, yang dalamnya bakkan lautan, suatu peringatan yang sentiasa dipindahkan daripada objek yang ingat kepada objek yang lupa, hingga mencapai keseimbangan terma, melalui tarbiyyah. Ya, namanya tarbiyyah!
RUJUKAN
Bab 4 (Haba dan tenaga), Fizik SPM
No comments:
Post a Comment