Followers

Monday, January 31, 2011

[arkib]: Elektrik

ELEKTRIK

Faridul Farhan Abd Wahab “bernilaikah amalan-amalanku di sisi DIA(ALLAH)?”

 

“iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat, dan menginfakkan sebahagian daripada yang Kami rezekikan kepada mereka” (surah al-Baqarah[2]:3)

 

Di permulaan al-Quran lagi, Allah Azza Wa Jalla telah merumuskan formula kejayaan insan-insan yang mendapat petunjuk hidayah daripada Dirinya; iaitu -salah satunya- keupayaan mereka mempercayai apa yang tidak nampak pada mata kasar dan panca indera mereka. Itulah dia hal-hal yang ghaib.

 

Maka, dengan penjelasan karakteristik para muttaqin ‘orang-orang yang bertaqwa’ ini, seharusnya dunia meyakini betapa umat Islamlah generasi terbaik dalam memahami sebarang isu saintifik, mahupun aplikasi teknologi terkini. Masakan tidak? Tatkala generasi moden di zaman serba canggih ini memilih menjadi free thinker mahupun atheis, dan mendustakan Tuhan lantaran kegagalan mereka melihat Tuhan yang diimani oleh orang Islam, dan keraguan mereka terhadap keyakinan ‘tuhan-tuhan’ yang boleh nampak lantaran ‘tuhan-tuhan’ itu ada yang terpaksa makan dan ke pasar,  ada yang tidak berupaya bergerak apatah lagi mempertahankan dirinya sendiri, ada yang mempunyai sekian banyak tuhan dan khusus menguruskan satu urusan sahaja sedang urusan lain dimanage oleh ‘tuhan’ yang lainnya, umat Islam pula telah melangkaui minda terhad ini tatkala meyakini perkara yang ghaib, termasuk mengimani Tuhan yang tidak bisa dilihat fizikal dan bentuk rupanya.

 

Lalu, manusia moden berfikrahkan atheis atau free thinker ini pun cuba berhujah dan mempromosikan bahawa Tuhan itu justeru tidak ada, kerana tidak bisa dilihat. Tapi, pada masa yang sama, mereka meyakini dan mengimani kewujudan tenaga elektrik, sedang rupa fizikal elektrik sahaja tidak pernah bisa ditangkap oleh panca indera mereka. Bagaimana mungkin mereka mengimani betapa berpandukan “Hukum Tangan Kanan” (Right Hand Rule)[3], elektrik bisa terhasil (I) demikian hadirnya daya atau gerakan (F) serta medan magnet (B), sedang elektrik yang terhasil itu sahaja tidak pernah bisa kita lihat, sedemikian juga medan magnet pun tak pernah akan bisa kelihatan. Lalu, bukankah mereka munafik tatkala sanggup membayar bil elektrik, sedang mereka sendiri tidak pernah dapat membuktikan elektrik itu benar-benar ada di dalam perkakasan elektrik rumah mereka?

 

Lantaran elektrik tidak dapat dilihat inilah, yang menyebabkan hatta para engineer sendiri terkeliru dengan fakta elektron bergerak pada arah yang berlawanan dengan arah arus. Ketika saya ditanya oleh sahabat saya[1] yang terkeliru lantaran menganggap elektronlah yang dimaksudkan dengan arah arus itu, saya katakan padanya, arah arus itu yang bergerak dari terminal positif ke negative justeru adalah pergerakan lohong[2], sedang elektrok bergerak pada arah yang berlawanan dengannya, dari kawasan yang kepekatan negatifnya tinggi (terminal negative) menuju ke kawasan berkepekatan negative rendah (terminal positif). Semua kekeliruan itu terjadi, lantaran gagalnya kita memahami fenomena elektrik yang tidak bisa dilihat itu.

 

Tapi, orang beriman tidak pernah hairan dengan kewujudan fenomena ini, lantaran mereka adalah kelompok insan yang memang telah dihidayahkan oleh Allah untuk mengimani hal-hal yang ghaib. Hingga kewujudan medan magnet yang juga tidak mampu dilihat, kepada unsur-unsur sebuah atom yang ada padanya electron, proton serta neutron, adalah suatu yang tidak memelikkan kepada para muttaqin yang memang terdidik mengimani hal ghaib yang memang tidak mungkin bisa dilihat, dan sering sulit untuk dimengertikan.

 

Bagaimana pula dengan manusia moden yang mendiami pelusuk muka bumi kini? Jika memang Tuhan itu tidak wujud lantaran tidak bisa mereka lihat, maka sifir mereka itu seharusnya juga menafikan kewujudan elektrik lantaran elektrik tidak mungkin dapat dilihat. Maka usulkanlah segera dihapuskan semua fakulti kejuruteraan elektrik yang tidak sepatutnya wujud itu. Usulkanlah agar fakta medan magnet dinafikan segera, lantaran medan magent juga adalah sebuah fenomena yang tidak bisa ditangkap oleh mata kasar kita. Janganlah sesekali membeli handset, kerana sifat wireless yang diimplementasikannya menggunakan frekuensi dan gelombang untuk membolehkan wujudnya perhubungan, juga suatu yang justeru auta (pembohongan) lantaran mata kasar tidak mampu melihatnya.

 

Maka bijakkah anda yang menafikan atau meragukan wujudnya Tuhan, hanya kerana tidak mampu melihatnya?

 

Di sebuah sekolah rendah, seorang guru berkata kepada anak-anak muridnya; “Apakah kalian melihat diri saya?”

Mereka menjawab, “ya.”

“Apakah kalian melihat papan hitam?” tanyanya lebih lanjut.

“Ya.”

“Jika demikian, papan hitam itu ada,” kata sang guru.

“Apakah kalian melihatmeja itu?” tanyanya lebih lanjut.

“Ya.”

“Bererti meja itu ada,” kata sang guru.

“Apakah kalian melihat Tuhan?” tanyanya lagi.

“Todal.”

“Itu bererti Tuhan tidak ada.”

 

Selanjutnya, seorang murid yang cerdas berdiri dan bertanya, “apakah kalian melihat akal guru kita?”

Mereka menjawab, “tidak.”

“Dengan demikian, akal guru kita tidak ada!”[4]

 

 

RUJUKAN

 

[1]          Kekeliruan ini timbul di kalangan peserta ketika saya menghadiri kursus “Fundamentals of Electrical Systems and Building Electrical Energy Use” anjuran ASRAE dengan kerjasama IEM pada 7-8 Januari 2008 di Hotel Armada, Petaling Jaya.

 

[2]          Perkara ini boleh dirujuk dalam pelbagai rujukan tentang keelektrikan. Antaranya, Robert L. Boylestad & Louis Nashelsky, “Electronic Devices and Circuit Theory -7th Edition”, Prentice Hall International, pg. 9

 

[3]          Right Hand Rule digunakan untuk generator, sedang Left Hand Rule digunakan untuk motor. Kedua-duanya menggunakan prinsip F-B-I, Force-Magnetid Field-Induced Current

 

[4]          Diterjemahkan oleh penulis ke Bahasa Malaysia daripada terjemahan Bahasa Indonesia buku Said Hawwa, “Allah Subhanahu Wa Ta’ala,” Gema Insani Press(2002), ms. 4

 

 

Disebar-emailkan pada 15 Jan 2008.

 

Sunday, January 30, 2011

[arkib]: Transmission Line

Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab

(ketika masih baru menguruskan bahagian Transmission Works, 2004)

 

Tujuan sesuatu transmission network adalah untuk mengalirkan tenaga elektrik dari generating unit (stesyen penjana) di beberapa kawasan kepada distribution system (sistem pengagihan) yang membekalkan tenaga kepada pengguna. Voltan transmission melebihi 230kV, seperti yang (akan) dibekalkan oleh syarikat kami misalnya, biasanya dirujuk sebagai extra-high voltage (EHV).[1] Selain itu, transmission lines juga menghubungkan utiliti-utiliti berhampiran yang membolehkan bukan sahaja penghantaran kuasa yang lebih ekonomik, bahkan mengalirkan kuasa ke kawasan berlainan sewaktu berlakunya kecemasan.[2]

Dan begitulah seharusnya seorang mukmin itu. Dalam konteks perkembangan teknologi yang semakin canggih, seorang mukmin itu harus menempatkan dirinya sebagai transmission line, yang bukan sahaja membekalkan “kuasa” kepada perjuangan agamanya, sehingga “lampu-lampu” kegemilangan yang pernah dikecap oleh tamadun Islam bersinar kembali, tetapi bahkan dapat menyebarkan fikrah-fikrah Islami yang seharusnya mereka generate daripada liqo’-liqo’ dan halaqah-halaqah yang mereka tempuhi, dalam proses mereka menikmati dan menghayati keindahan tarbiyah islamiyah.

“Sebaik-baik kalian adalah mereka yang mempelajari al-Kitab (al-Quran) dan yang mengajarkan (transmission)nya.” Begitulah bunyi hadith yang dikumpulkan oleh an-Nawawi dalam Riyadhus Shalihin-nya. Kerana sebaik-baik mukmin itu, berdasarkan hadith yang lain, adalah mereka yang membawa manfaat kepada orang lain. Nah, ini bererti, setiap daripada kita, dalam perjuangannya menabur bakti kepada manusia lainnya, harus memainkan peranan sebagai transmission line agar “kuasa” yang kita citakan akan kembali ke tangan kita. Bila saja sang mukmin itu tidak berperanan sebagai transmission line, itulah yang menyebabkan pengguna atau istilah engineeringnya “load”, tidak mendapat “bekalan elektrik” yang sepatutnya.


Tetapi sesuatu transmission line tidak akan bermanfaat andainya generating unitnya tiada. Maka, oleh hal itulah program tarbiyah yang paling asas, tepatnya halaqah atau liqo’, haruslah direntasi oleh setiap individu di dalam kehidupannya, secara konsisten dan iltizam. Kegagalan dakwah di sesebuah negara, Malaysia terutamanya, biasanya berpunca di sini: kegagalan para penggeraknya untuk konsisten dalam melaksanakan halaqah atau liqo’ atau apa sahaja istilah yang cenderung dipakai. Dan biasalah, alasan yang sering diberikan ialah sibuk. Sedangkan seseorang hero mikmin sejati, tak pernah mengenal erti kesibukan. Kerana kesibukan –pada pengertian hero mukmin sejati- adalah bagaimana kita memenuhi ruang kehidupan kita dengan urusan-urusan yang mengantarkan kita menggapai redha Ilahi. Itulah sebabnya ulama’ dakwah mengatakan “berilah tugas (dakwah) itu kepada orang yang sibuk!” Seorang mukmin hanya mengenal erti kesibukan dalam berdakwah, kesibukan dalam berjihad, kerana “gaji” yang mereka harapkan, yang bakal dibayar dihujung “bulan kehidupan” ialah cek yang tertera “mati syahid!” “Jikalau raga diciptakan untuk menyongsong kematian..” kata Husain B. Ali Abi Thalib R.A, “maka kematian di hujung pedang di jalan ALLAH jauh lebih baik dan mulia berbanding mati di atas ranjang.”[3]

Makanya sang transmission line tadi tak akan pernah jemu untuk mengalirkan fikrahnya kepada masyarakat. Kerana ia mahu, lampu yang bersinar di rumah-rumah mereka hanyalah “cahaya” Islam. Kerana mereka mahu, “kegelapan” Jahiliyah diterangi oleh keunggulan, keindahan dan kehebatan Islam. Kerana mereka mahu, agar bil-bil yang dibayar kepada mereka, adalah dalam bentuk doa rahmat dan kesejahteraan pada mereka. Kerana mereka tahu, bahawa sekali mereka sebagai transmission line berhenti beroperasi, akan kelak merugikan sektor peradaban umat.

Dan begitulah sucinya hati dan jiwa mereka. Demi menjadi transmission line, mereka sanggup berkorban apa sahaja. Kalian lihat transmission line berjemur di bawah terik matahari, bertenggek dalam limpahan hujan, tetapi tetap sahaja utuh memainkan fungsinya kepada masyarakat sejagat. Perhatikanlah kata-kata Hassan al-Banna; “Betapa kita mengharapkan agar hati-hati ini boleh ditunjukkan kepada seluruh umat ini supaya mereka boleh melihat bahawa apa yang ada di dalam hati-hati ini hanyalah rasa kasih sayang kepada mereka, rasa simpati dan kesediaan untuk berkorban demi kepentingan mereka.”[4] Nah, inilah rahsia ketegaran mereka!

Hero mukmin sejati sentiasa tegak di atas panji kebenaran. Tetapi untuk tegaknya transmission line itu, awasilah sang pencuri besi transmission tower, kerana hilangnya besi, boleh menyebabkan robohnya ia. Dan wartawan pun mendapat bahan berita….


“Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, mujahid sepanjang hari, mudah-mudahan syuhada’ di akhir hari..”.

RUJUKAN

1 Hadi Saadat, “Power System Analysis”, McGraw-Hill 1999, Bab 1 m/s 6
2 Ibid, Bab 4 m/s 102
3 www.irib.ir/worldservice/melayuRADIO/sejarah/karbala/index_karbala.htm
4 Hassan al-Banna, “Majmu’ah ar-Rasail”

 

 

Wednesday, January 26, 2011

"allazina baddalu nikmatallahi kufran"

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ بَدَّلُوا نِعْمَتَ اللَّهِ كُفْرًا وَأَحَلُّوا قَوْمَهُمْ دَارَ الْبَوَارِ

Saya jadi tersentuh dengan ayat ini, ketika dalam perjalanan pergi ke tempat kerja. Ayat ke-28 daripada surah Ibrahim ini, lebih kurang membawa maksud "apakah kamu tidak perhatikan terhadap orang-orang yang بَدَّلُوا "menukar" nikmat Allah dengan kekufuran… " dibaca dengan cukup indah oleh qari kegemaran saya, Syaikh Masyari Rasyidi Al-Afasi. Sungguh pun telah begitu lama saya memiliki dan "menikmati" kaset ini, tetapi begitulah Al-Quran… ianya sentiasa menyegarkan. Ianya sentiasa menikmatkan. Ianya sentiasa membasahkan. Ianya kan berterusan memberikan hal-hal baru dalam diri seorang mukmin, yang senantiasa mengharap petunjuk dan bimbingan daripada Rabbul Izzati.

Sahabatku,

Di permulaan dakwah ini, dakwah sering dimulakan dalam keadaan penuh kesukaran. Begitulah yang dialami dan dihadapi oleh pemula-pemula dan generasi awal dakwah ini: mereka harus membayar harga yang cukup mahal, untuk menyediakan tapak, serta menacakkan batu-batu asas bangunan dakwah yang kita "diami" hari ini.

Hingga, menjadi assabiqun al-awwalun (first generation of penggerak dakwah), anda akan merasa secara langsung perjuangan air mata dan darah ini. Bukan sedikit pengorbanan harta yang harus dikau korbankan. Bukan murah pengorbanan jiwa, raga dan masa yang telah dikau taburkan. Dikau merasa langsung apa yang dikatakan sunduquna juyubuna (duit kami adalah daripada poket kami sendiri), lantaran dakwah waktu itu tidak mewah, lantaran kalianlah generasi pertama yang harus me"mewahkan"nya.

Kalian merasa langsung "kam min fiatin qolilatin golabat fiatan kasiratin biiznillah" (betapa sering bilangan yang sedikit bisa menumpaskan bilangan yang banyak. Tentunya, dengan izin Allah – Surah 2:249) lantaran dakwah ini di waktu itu masih kecil, dan kalianlah yang bertanggung jawab membesar dan menyebarkannya.

Lantas, kalian pun merasa langsung kehangatan ukhuwah ketika itu: sewaktu tiada kegembiraan yang terpancar melainkan saat bertemu sesama ikhwah lalu saling bertanya khabar iman. Atau, sewaktu menerima panggilan telefon di pagi hari oleh ikhwah yang ingin al-akhnya bangun untuk bersolat tahajud. Atau merasa sayu tatkala al-akh berjumpa atau menghantar sms kepada anda dan meminta nasihat anda, kerana imannya terasa lemah ketika itu. Atau berpusing-pusing ke sana-ke mari demi mencari tempat yang sesuai untuk acara daurah atau mabit yang ingin kalian laksanakan. Atau tatkala al-akh menasihat dan mendoakan kesabaran ke atas kalian, tatkala dihalang bahkan dihalau tika mana dakwah cuba disebarkan. Semuanya diharungi dengan penuh tegar, namun mengasyikkan, kerana suasana serba kekurangan, serba kesusahan, serba kepayahan, justeru membentuk kehangatan ukhuwah yang sememangnya amat-amat diperlukan begitu bangunan dakwah mula mahu didirikan.

Dahulu kita miskin, kita kecil, kita tidak berpunya. Tetapi, kita bahagia.

Lalu Allah pun turunkan barakah-Nya buat dakwah ini, tatkala kita telah all out jiwa, raga dan harta, demi jalan yang suci mulia ini.

Kini, Allah telah بَدَّلُوا mengubah senario dakwah ini. Kita sudah berkerjaya, punya kereta, rumah, punya segalanya. Melakukan perjalanan dakwah, tidak perlu lagi menggigil kesejukan menahan sejuknya air cond bas, tetapi perjalanan dakwah bisa kita lakukan dengan kereta peribadi kita.

Menghadiri program dakwah, tidak perlu lagi tidur di kerusi pudu raya, hanya untuk dihalau tidak lama selepas terlena oleh security di sana, kerana kini hotel atau rumah sewa sudah berada dalam batas kemampuan kita.

Sungguh, Allah telah بَدَّلُوا menukarkan keadaan kita, daripada serba kekurangan, serba dhaif, semua acara dakwah memerlukan duit kita yang tidak seberapa, kepada keadaan di mana nikmat Allah tercurah di mana-mana. Nah, maka wajarkah kita ِ كُفْرًا kufur nikmat terhadap semua pemberian Allah ini? Wajarkah gerak langkah kita di arena dakwah mula kendur setelah nikmat Allah mula melimpah ruah menaungi bahtera dakwah ini? Wajarkah pengorbanan kita mula surut setelah Allah memudahkan semua urusan dakwah ini? Patutkah semangat kepahlawanan mula pudar sedangkan umat di luar sana masih menagih yang sehabis baik dari diri yang serba kerdil lagi hina ini?

Maka الَّذِينَ بَدَّلُوا نِعْمَتَ اللَّهِ كُفْرًا "orang yang menukarkan nikmat Allah ini dengan kekufuran", bukan sekadar orang-orang kafir, tetapi bahkan kita juga, tatkala kita mula kufur segala nikmat Allah ini, dengan tidak lagi all out sebagaimana permulaan kita mengenal hidayah Allah ini.

Aku rindu zaman ketika halaqoh adalah kebutuhan, bukan sekedar sambilan apalagi hiburan …
Aku rindu zaman ketika mambina adalah kewajiban bukan pilihan apalagi beban dan paksaan …
Aku rindu zaman ketika dauroh menjadi kebiasaan, bukan sekedar pelangkap pengisi program yang dipaksakan …

Aku rindu zaman ketika tsiqoh menjadi kekuatan, bukan keraguan apalagi kecurigaan …
Aku rindu zaman ketika tarbiyah adalah pengorbanan, bukan tuntutan, hujatan dan obyekan….
Aku rindu zaman ketika nasihat menjadi kesenangan bukan su'udzon atau menjatuhkan …

Aku rindu zaman ketika kita semua memberikan segalanya untuk da'wah ini …

Aku Rindu zaman ketika nasyid ghuroba manjadi lagu kebangsaan…

Aku rindu zaman ketika hadir liqo adalah kerinduan dan terlambat adalah kelalaian …
Aku rindu zaman ketika malam gerimis pergi ke puncak mengisi dauroh dengan ongkos yang ngepas dan peta tak jelas …
Aku rindu zaman ketika seorang ikhwah benar-benar berjalan kaki 2 jam di malam buta sepulang tabligh da'wah di desa sebelah …
Aku rindu zaman ketika pergi liqo selalu membawa infaq, alat tulis, buku catatan dan qur'an terjemah ditambah sedikit hafalan …

Aku rindu zaman ketika binaan menangis karena tak bisa hadir di liqo …
Aku rindu zaman ketika tengah malam pintu diketuk untuk mendapat berita kumpul di subuh harinya
Aku rindu zaman ketika seorang ikhwah berangkat liqo dengan ongkos jatah belanja esok hari untuk keluarganya …

Aku rindu zaman ketika seorang murobbi sakit dan harus dirawat, para binaan patungan mengumpulkan dana apa adanya …

Aku rindu zaman itu …

Ya Rabb …

Jangan Kau buang kenikmatan berda'wah dari hati-hati kami …

Ya Rabb …

Berikanlah kami keistiqomahan di jalan da'wah ini …

(Sang Murabbi, K.H. Rahmat Abdullah)

Ya Allah, sungguh aku sangat rindukan zaman itu!

Monday, January 17, 2011

BLIND SPOT

Perhatikan gambar kereta di atas. Salah satu punca kepada terjadinya kemalangan jalan raya, justeru bukan hanya kerosakan mekanikal pada kenderaannya. Atau sikap buruk sang pemandunya. Tetapi, sifat “kelemahan manusiawi” yang semulajadi ada pada manusia, iaitu mempunyai apa yang dipanggil sebagai blind spot, yang menjadi antara sebab kepada terjadinya kemalangan jalanraya. Oleh itu, jangan hanya bersandarkan kepada side mirror semata-mata, kerana hanya cermin tepi itu semata-mata, masih tertakluk kepada kedhaifan makhluk, iaitu wujudnya titik buta ala Kassim Selamat itu.

 

“Dan telah dicipta manusia itu, berkeadaan dhaif”

(Surah An-Nisa’ [4}:28)

 

Saudaraku,

Kerana itu, andai kalian ketemu dengan ikan gergasi, yang berkehendak untuk membaham anda, maka mungkin cara terbaik untuk anda berlindung menyelamatkan diri, adalah dengan berdiri di tengah-tengah wajahnya, kerana di sanalah blind spot sang ikan itu (rujuk gambar ikan di atas). Sungguh, sang ikan tentu akan menyangka betapa lajunya anda melarikan diri, walhal anda sebetulnya berada benar-benar di hadapan dirinya. Haha…

 

Kerana itu, menyedari wujudnya blind spot ini, setiap kita perlukan bantuan. Sang side mirror, tetap memerlukan “palingan muka” oleh sang pemandu, yang sesekali harus tetap menoleh ke belakang, agar tidak terlepas pandang kenderaan yang “menghilang” dari skop pemandangan side mirror itu. Atau, setidak-tidaknya, pasangkanlah cermin cengkung bersaiz kecil pada side mirror, agar dimensi penglihatan anda akan bertambah beza.

 

Kalau sang ikan gergasi tadi, ia mungkin perlukan ikan lain untuk mengkantoikan diri kita yang cuba menyorok di balik blind spot depan mukanya. Atau, menggunakan derianya yang lain selain penglihatan, seperti deria bau, deria “aura”, dan lain sebagainya. Kalau sampai itu yang terjadi, berawaslah.. kerana anda mungkin akan menyedari betapa buruknya yang namanya selfish.

 

Saudaraku,

Tidak semua makhluk, blind spotnya sama. Mamalia bermata hadapan, blind spotnya tidak sama dengan blind spot ikan bermata sisi. Maka, terkadang ikan mampu melihat apa yang tidak terlihat oleh sang manusia. Sama seperti perbezaan frekuensi sesama makhluk, mungkin ini menjelaskan lagi kenapa anjing bisa melihat dan mendengar “alam ghaib” pada pandangan manusia. Maka, manfaatkanlah “alat bantuan” seperti menoleh muka, atau cermin cembung, atau orang ketiga yang telah dicontohkan tadi, untuk “menyedarkan” kita hakikat yang justeru kita terlepas pandang.

 

Atau, para ulamak dan salafus salih, yang sering melihat dari sisi pandang yang tidak kita melihatnya. Umpama kisah Fudhail Bin Iyadh ketika didatangi seorang yang kecurian saat berada di Masjidil Haram. “Kenapa engkau menangis?” tanya Fudhail. “aku kehilangan beberapa dinar dan tahu ternyata ianya dicuri,” jawab orang itu. “Apakah engkau menangis hanya kerana dinar? “ Tanya Fudhail lagi. “Tidak,” jawab orang itu, “aku menangis kerana aku tahu bahawa kelak aku akan berada di hadapan ALLAH dengan sang pencuri itu. Aku kasihan dengan nasib yang bakal menimpa pencuri itu, itulah yang menyebabkan aku menangis..”

 

Subhanallah! Sungguh mengkagumkan tadabbur orang yang beriman. Mereka sering melihat apa yang blind spot kita “sembunyikan.” Hingga, mereka bisa menangis tatkala berhadapan dengan ayat al-Quran, atau, di kesempatan lain, merasa manis dan lazatnya pelajaran yang terkandungan di dalam ayat-ayat cinta Allah itu.

 

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu ialah orang yang demikian diingatkan tentang Allah, gementarlah hati mereka. Dan apabila dibacakan ke atas mereka ayat-ayat Allah, maka bertambahlah keimanan mereka…”

(Surah Al-Anfal [8]:2)

 

Mereka melihat, apa yang menjadi blind spot kepada kita, sedang syahwat yang menjadi gejolak jiwa orang-orang umum seperti kita, justeru berada di kawasan blind spot mata mereka. Pantas, renunglah kembali pesannya Ahmad bin Abi Al-Hawari Ad-Damsyiqi, salah seorang tokoh generasi Tabi’in ; “jika engkau merasakan kekesatan dalam hatimu, maka duduklah dengan orang-orang yang berzikir, dan orang-orang zuhud.”

 

Moga Allah mencelikkan “kebutaan” pada hati kita.

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab  “merindukan tangisan yang blind spot dari manusia”

 

 

Friday, January 14, 2011

[arkib]: Proton Persona

PERSONA: SELAMAT MENYAMBUT 50 TAHUN MERDEKA!

Oleh: Ir. Faridul Farhan Abd Wahab "Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da'ie sepanjang hari"

Tersiar di faridul.wordpress.com pada 7 Sept. 2007 

Proton telah melangkah bukan sekadar selangkah, bahkan beberapa langkah maju ke hadapan dengan pelancaran model barunya di pasaran: Proton Persona – kuasa jitu, prestasi menakjubkan, keluasan ruang boleh guna, serta banyak lagi inovasi tambahan.[1]  Sehubungan dengan itu, model baru Proton ini turut menyumbang kepada pengurangan kerugian yang dialami Proton [2] lalu menjadi bukti, betapa Proton kini semakin bersedia untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pesaing automobil dunia yang lainnya. 

Namun, di sebalik kemegahan ini, berita mutakhir berkenaan pemilihan rakan strategik Proton yang hampir selesai,[3] harus menimbulkan tanda tanya kepada kita akan halatuju dan masa hadapan satu-satunya kereta nasional sejati negara kita Malaysia. Ini kerana, apalah ertinya anda kereta nasional, dengan pengembangan prestasi dan kualiti yang semakin membanggakan, tapi akhirnya tergadai jua ke pemilikan asing. Suatu penjajahan baru tentunya, sekaligus mencacatkan serba sedikit pengertian 50 tahun kemerdekaan, setelah sebelumnya dicacatkan lewat "definasi pengisian kemerdekaan" oleh Gwen Steffani, atau Commen Law atau yang sewaktu dengannya. 

Bukankah mentaliti masih terjajah, tatkala tidak lagi yakin akan keupayaan sendiri? Bukankah pemikiran sudah dirosak penjajah, tatkala merasakan hanya merekalah yang terbaik dan mampu menyelesaikan segenap masalah? Itulah sebabnya, Ratu Saba' –walau masih di zaman kekufuran- melihat penjajahan bukan sekadar pada tubuh jasad, tapi juga pada pemikiran dan kemasyarakatan. 

"Dia berkata: "Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, niscaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina; dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat."

(Surah an-Naml [27]:34) 

Benarlah kata-kata Ratu Saba'. Sebab, apalah ertinya kemerdekaan, andai hakikatnya jiwa raga masih ditambat belenggu kehambaan? Kata Rub'i Bin Amir kepada Rustum sang panlima perang Rom;- 

إن الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله، ومن جَور الحكامإلى عدلِ الإسلام، ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة  

"Sesungguhnya Allah mengutuskan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang Dia kehendaki daripada perhambaan sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah semata, dan daripada kezaliman para pemerintah kepada keadilan Islam, dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."[4] 

Jiwa merdeka, adalah buah dan hasil yang ternikmat uuma oleh mereka yang telah ma'rifatuLLAH (mengenal ALLAH) [5], lalu dengan pengenalan itu, menjadikan mereka sedar akan kerjaya pertama dan utama mereka lewat slogan ulung mereka: Nahnu du'at qobla kulla syai (kami pendakwah sebelum segala sesuatu). 

Ertinya mereka adalah pendakwah sebelum mereka berperanan sebagai engineer, umpama kerja dakwah adalah kerjaya pertama mereka, sedang bidang engineering hanyalah part time buat mereka. Mereka hadir ke pejabat, dengan pakaian profesion seorang engineer atau doktor atau guru atau sebagainya, adalah demi urusan dakwah. Adalah demi mendatangkan manfaat buat umat. Hingga mana, bila saja bertembung saja kepentingan kerjaya duniawi mereka dengan tanggungjawab dakwah mereka, mereka tahu untuk mengatas-utamakan kepentingan dakwah terlebih dahulu, lantaran itulah kerjaya pertama dan utama mereka.  

Tiada yang mereka takutkan, tiada yang mereka risaukan. Lantaran bila jiwa mereka sudah merdeka, tiada apa dan tiada siapa dapat menghambat langkah perjuangan mereka. Biar itu namanya kesibukan kerjaya, biar itu namanya ancaman penguasa, biar itu namanya hambatan belanja, semuanya tidak mempunyai makna, lantaran mereka bukanlah hamba dunia. 

Maka inilah jawapan saya, wahai akhi yang bertanya! Kesibukan itu, bukan bergantung kepada mana tempat anda bekerja, tapi sejauh mana jiwa anda merdeka! 

RUJUKAN

[1]        terjemahan daripada bahsa Inggeris oleh penulis daripada website http://www.proton.com/persona/ 

[2]        Berita Harian terbitan hari Rabu 28 Ogos 2007. Rujuk url http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Ekonomi/20070828232834/Article/ 

[3]        Utusan Malaysia terbitan hari Selasa 4 September 2007. Rujuk url http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_02.htm  

[4]        Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buthy, "Sirah Nabawiyah: Analisis Ilmiah Manhajiah Terhadap Sejarah Pergerakan Islam di Masa Rasulullah SAW (Fiqhus Sirah)", Darul Fajr Niaga (2000), ms. 69-70 

[5]        Dr. Irwan Prayitno, "Kepribadian Muslim", Pustaka Tarbiatuna (2002), ms. 156-160 

Wednesday, January 12, 2011

[arkib]: Industrial Engineer

Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab

(sempena kehadiran Mr. Ramesh, industrial engineer ke Hoeken pada 2004)

 

Adalah Industrial Engineer itu -dari pengamatan di kilang lama dahulu- merupakan suatu karier yang mencabar lagi menyeronokkan. Ini kerana salah satu daripada tugas mereka –sila betulkan andainya tersilap- dalam konteks karier di kilang, adalah untuk menganalisia dan memperbaiki mutu sesuatu proses penghasilan produk. Ini bererti, tanggungjawab untuk memastikan prosedur yang berlaku di line (meja yang mengandungi operator pengeluaran untuk penghasilan sesuatu produk) mampu menghasilkan produk yang optimum pada kos yang minimum, terletak di tangan mereka.

Nah, ini bererti merekalah “pemimpin-pemimpin” dan “perwira-perwira” yang bertanggungjawab memastikan sesuatu proses yang berlaku di line tadi menjimatkan masa, dan wujudnya pembahagian tugas yang seimbang. Dan untuk menggubal proses sedia ada kepada prosedur baru yang lebih efisyen lagi menguntungkan, sudah tentu memerlukan penelitian, kajian dan kebijaksanaan sang Industrial Engineer tadi.

Maka beginilah -menurut sdr Ramesh, Industrial Engineer di sebuah kilang alat ganti kereta- caranya menghasilkan “keajaiban” tersebut. Dalam masa 3 hari sahaja, sang engineer tersebut mampu untuk mengefektifkan lagi proses yang berlaku di line tersebut. Satu hari digunakan untuk inspection, sehari untuk implementation, sehari lagi untuk test result.

Di hari pertama sang engineer, beliau harus memerhatikan (inspection) proses yang berlaku di line. Kerana hanya setelah mengenal “lapangan”, barulah ia mampu memahami dan seterusnya merencanakan langkah-langkah terbaik untuk menyeimbangkan pembahagaian tugas sesama operator, dan seterusnya mengurangkan masa proses, sehingga lebih banyak produk dapat dikeluarkan.

Ini diikuti oleh implementation, iaitu medan di mana amal nyata hasil perencanaan-perencanaan sebelumnya dilakukan. Kemudian daripada itu, harus adanya suatu sesi muhasabah (test result) demi memastikan hasil kerja tangannya, hasil buah ilhamnya adalah suatu tindakan yang bermanfaat untuk semua.

Begitulah juga dengan dakwah. Dakwah, andainya tidak dimulakan dengan inspection (makrifatul maidan/ kenal lapangan) akan bisa memungkinkan gagalnya usaha dakwah tersebut. Ini kerana, seorang “harakah Engineer” yang tidak mengenali siapa mad’u (objek dakwahnya), siapa musuh-musuh yang mengintai, apa halangannya, apa isunya, akan membahayakan bahkan membinasakan dakwah yang hendak ia bina. Syeikhul Islam Ibnu Taymiyah misalnya, menegur para duat tentang hal ini dalam bukunya “Amar Ma’ruf Nahi Munkar”, Seorang da’i, menurut Ibnu Taymiyah, harus memahami bila ia harus melakukan amar maaruf sahaja, atau nahi munkar sahaja, ataupun kedua-duanya sekali. Cukuplah kisah kemasukan tentera Monggol ke Daulah Islam sebagai teladan kita. Demi melihat tentera Monggol menjadi mabuk di jalanan, lantas para pengikut Ibnu Taymiyah mahu menyerang mereka, sebelum dihalang oleh Ibnu Taymiyah sendiri. Kenapa? Kerana Ibnu Taymiyah faham benar kaedah fiqih “ad-dharar la yu zal biddarar” (kemudaratan tak boleh ditolak dengan kemudaratan). Ini kerana, menurut beliau, bilasaja tentara Monggol dikacau sedang mereka dalam keadaan mabuk, pasti akan berlaku pertumpahan darah, yang merupakan suatu kemudharatan yang lebih besar berbanding andainya mereka dibiarkan lena dalam kemabukan mereka sahaja.

Bila saja langkah-langkah hasil inspection telah direncanakan, haruslah ada suatu implementation langkah tersebut, kerana kita dinilai dari amalan kita, bukan dari teori mahupun konseptual kita. Inilah kelemahan kita kini. Gerakan Islam di Malaysia lebih gah dengan mesyuarat-mesyuaratnya, perjumpaan-perjumpaannya, resolusi-resolusinya, berbanding menghasilkan suatu gerak kerja nyata demi menyelematkan umat dari jurang kehancuran. “Katakanlah: beramallah kalian, nescaya ALLAH, Rasul dan orang beriman akan menilai pekerjaan kalian…” (QS at-Taubah[9] :105)

Dan sang mujahid sejati, sebaik mengarang “karya-karya” berbau syurganya, pasti akan memahasabah diri, bukan sekadar sebagai suatu rechecking, bahkan lebih kepada suatu penyucian jiwa. “Hai orang yang beriman, bertaqwalah pada ALLAh, dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah ia usahakan untuk hari esok..” (QS alHasyr[59] :18). Bukankah Rasulullah SAW mendefinisikan orang yang bijak sebagai insan-insan yang sentiasa melihat “side mirror” dirinya, guna merefleksi sejarah silam, agar dapat diperbaiki di masa hadapan?

Begitulah antara tugas sang Industrial Engineer. Sedang tugas sang Electrical Engineer ini, harus disambung kembali kerana waktu rehat sudah tamat. Jumpa lagi!

 

 

“Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da’i sepanjang hari”


Faridul Farhan Abd Wahab
Syuhada’ Engineering (construction of ending as a syahid)

 

 

Tuesday, January 4, 2011

[respon]: Melihat dari kaca mata dakwah

Artikel Ustaz Hasrizal bertajuk “Kad Krismas Saya Untuk ‘Anda’” (http://saifulislam.com/?p=9046) hadir ketika umat benar-benar memerlukannya. Ianya hadir tatkala umat Islam Negara ini tidak kunjung sudah berbahas, bertanya malah berbalah saban tahun tentang hukum mengucapkan “Merry Chrismas” kepada non-Muslim, suatu isu fiqh yang entah bila akan tamat perdebatan mengenainya. Tetapi, ustaz Hasrizal yang memang terkenal sebagai seorang ustaz yang berjiwa daie otak faqih, berjaya menukarkan fokus para pengunjung setia web “saifulislam.com”nya daripada tidak kunjung sudah membahaskan isu ini dari sudut fiqhnya, kepada melihat isu itu dari kaca mata dakwah pula.

 

Masalah sikap.

 

Masalah akhlaq.

 

Itu, kata ustaz Hasrizal di dalam artikel yang ditulis pada 23 Jun 2006 itu (http://saifulislam.com/?p=1820). Lebih lanjut, beliau mengatakan “da’i harus lebih tinggi upaya memahami.” Masakan tidak, begitu sedar betapa antara soalan mad’u yang paling famous, adalah soalan sekitar permasalahan fiqh, da’i harus tahu bagaimana menyikapi soalan tersebut, dengan membina sebuah fikrah, bukan sekadar memberikan hukum-hakam semata.

 

Daripada sekadar menyebut hukumnya halal, haram, harus atau makruh, kepada memahamkan mereka betapa fiqh itu luas, dan sering menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan umatnya.

 

Daripada sekadar memahamkan mereka betapa terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ terhadap soalan fiqh yang dipertanyakannya, kepada menanamkan kepada mereka sikap berlapang dada.

 

Daripada sekadar berlapang dada, kepada keupayaan menganalisa fiqh prioritas, lalu tidak tersibukkan dengan isu-isu yang hanya mengundang perbalahan dan perpecahan di tengah-tengah tubuh umat.

 

 Daripada keupayaan menganalisa fiqh prioritas ini, kepada kesedaran tentang dakwah, dan “seni dakwah” yang diperlukan untuk memenangi hati umat.

 

Dakwah, seharusnya senantiasa berkisar kepada mind-frame sebegini. Lihatlah tatkala seorang Badwi kencing ala bid’ah. Kencing di tempat terbuka, di tengah orang ramai, bahkan di tengah-tengah masjid nabawi yang mulia! Tetapi ar-Rasul junjungan tidak pula sibuk membahaskan babak itu dari segi fiqhnya, malah menangani adengan itu dengan dakwah bil hikmahnya!

 

Atau, ketika Hasan Al-Banna menukar fokus jemaah masjid tentang soalan tentang bilangan rakaat solat tarawikh, kepada sebuah  mind-set tentang mendahulukan mana yang priority, dan ternyata penyatuan, kesedaran untuk beramal dan kesedaran untuk berdakwah, terlebih priority berbanding menyibukkan ummah dengan bilangan sebenar solat tarawikh.

 

Maka……

 

Isu kanak-kanak memutuskan saf solat, seperti yang disiarkan oleh website Futuwwah Ent. (http://www.futuwwah.com/index.php?option=com_content&view=article&id=130:saf-kanak-kanak-di-sini-jangan-lebih&catid=3:blog&Itemid=3 ) , pada saya, adalah pendekatan yang sangat baik dalam menangani masalah generasi-Y yang tidak lagi mesra masjid. Ianya memberikan penyelesaikan kepada “kesepian” yang dihadapi oleh masjid-masjid dan surau-surau. Ianya menjadi pendekatan yang sebaiknya diambil oleh para aktivis dakwah sekalian.

 

Bagaimana bisa hal sebegitu kelihatan tidak penting, berbanding isu fiqh yang hanya menjauhkan anak-anak dari rumah Allah? Maka, sebagaimana Ustaz Hasrizal memilih untuk melihat sambutan Krismas dari kaca mata dakwah, saya juga memlih untuk melihat isu saf kanak-kanak di belakang ini daripada posisi dan jendela dakwah. Silakan ke al-ahkam.net, atau al-fikrah.net, atau syariahonline.com untuk perbahsan fiqhnya, tetapi jangan pula lupa mencari penyelesaian terhadap “jarak” antara masjid dan generasi muda, sebagaimana yang ditawarkan oleh artikel terbabit.

 

Kepada akhi Ibnu Mustafa, teruskan menulis. Dan syabas, kerana melihat sesuatu isu, dari kaca mata dakwah.

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

P.Eng, MIEM, Sijil Pengajian Syari’ah

Pengarah Urusan Futuwwah Enterprise

 

Monday, January 3, 2011

[Berita]: Harian Metro - Misbun hilang sabar

 [Harian Metro, 3 Jan. 2011] – Ketika rakyat menyambut baik “kecemerlangan” sukan yang dicapai sepanjang tahun 2010 yang lalu –mutakhir, kejayaan skuad bola sepak memenangi Piala AFF Suzuki- tirai 2011 dibuka dengan berita yang kurang menyenangkan buat kita semua; peletakan jawatan Dato’ Misbun Sidek.

 

Apa pun alasannya, di balik itu semua, penulis tertarik dengan kata-kata pemain badminton no. 1 negara, Dato’ Lee Chong Wei. Kata beliau; Saya terhutang budi pada Misbun. Sejak di bawahnya, saya berada di ranking pertama dunia hingga kini. Saya akan teruskan rekod di puncak dunia sebagaimana yang Misbun mahukan.”

 

Utusan Malaysia pula melaporkan, Chong Wei merakamkan perkataan berikut: "Saya sedih dengan keadaan ini, Misbun adalah jurulatih saya. Dia telah naikkan nama saya, daripada tiada apa-apa sehinggalah saya berada di tahap sekarang. Tak mungkin saya tinggalkan dia bersendirian”

 

Di zaman di mana murid sudah tidak lagi menghormati gurunya, pemain bintang sudah hilang rendah dirinya, dan anak-anak muda sudah tidak lagi mengenal erti budi dan jasa, kata-kata dan semangat setiakawan yang dipamerkan oleh jaguh yang kini menduduki ranking no. 1 dunia, wajar menjadi kebanggaan kita semua.

 

Tahniah kepada Chong Wei di atas semangat setiakawan, ketawadhukan dan rendah dirinya. Tahniah juga kepada Misbun Sidek kerana bukan sekadar melahirkan seorang jaguh badminton, tetapi turut melahirkan seorang pemain yang penuh dengan sifat “kemanusiaan”.

 

Thank You and Best Regards.

 

_________________________________________________________________________________________________________________________________

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab |  Pengarah Urusan, FUTUWWAH ENTERPRISE

 

Sunday, January 2, 2011

Ijlis bina, numinu sa'atan!

[Serial Permotoran]: Pelekat Cermin Kenderaan

 

Dulu, terjadi perbahasan fiqh yang menarik tentang hukum pelekat cermin kereta yang tertera ayat-ayat suci al-Quran. Perbahasan halal au haram ini terjadi kerana, nama “Allah” yang dikau lekatkan pada cermin kereta itu, bisa dicemari najis burung, yang membuangkan sisa-sisanya dengan sesuka hati, tanpa menghiraukan orang lain –terutama sang pemilik kereta- persis undang-undang ISA yang menangkap orang tanpa pernah mempedulikan perasaan dan keluarga orang lain. Nah, bukankah najis yang terkena ayat-ayat suci Allah itu, satu pencemaran sekaligus penghinaan terhadap agama suci kita al-Islam?

 

Tapi, perbahasan di sini timbul kerana, najis burung itu tidaklah menyentuh ayat-ayat suci al-Quran yang dilekatkan itu pada hakikatnya. Ini kerana, cermin kereta itu menjadi penghalang atau pemisah di antara najis burung, dengan pelekat ayat-ayat suci al-Quran itu. Lalu, andainya sang burung telah pun melepaskan najisnya sesuka hatinya (Ikut Suka Aku (ISA), kata burung), maka yang perlu kita lakukan adalah menyiram najis burung itu, lalu hilanglah segala kontroversi tentang pencemaran dan penghinaan yang telah dikau timbulkan.

 

Apa pun, point dan hujah sebahagian pihak tentang kemungkinan nama dan kalam Allah tercemar tatkala ianya dijadikan pelekat cermin pada kereta, tetap perlu diambil perhatian oleh kita semua. Ini kerana mereka yang berkeras mahu mengharamkannya, tentunya mereka yang cukup cinta dan sayang pada Allah dan agama-Nya, serta mempunyai sensitivity yang cukup halus, hingga wajar kita –kalau pun tidak bersetuju dengan mereka- mengagumi dan memuji kecintaan mereka terhadap islam itu, sekaligus berlapang dada dengan mereka; yakni orang yang sama-sama cinta dan sayang pada Allah dan agama-Nya yang mulia.

 

Namun, dari satu sudut yang lain pula, pencemaran terhadap nama Allah dan kalam suci-Nya memang sering kali berlaku. Lihatlah, bukankah “nama Allah” dan “kalam suci-Nya”, yang sepatut dan seharusnya ter”lekat” pada hati kita, terlebih sering kita cemari dengan “najis-najis” dosa, dengan karat-karat jahiliyah, dengan kegelapan maksiat dan cinta terhadap dunia? Tapi, kenapa tidak pula orang mensensasikan hal itu? Kalimah Allah yang dilindungi cermin, dianggap tercemar dan terhina tatkala najis burung menghingapi cermin itu, tetapi kalimah Allah di dalam hati, betapa sering dicemari “ilah-ilah” lain selain Allah, sedang kita sudah mengikrarkan betapa tidak akan pernah ada ila yang lain yang kita ambil, melainkan diri Allah!

 

Berdoalah, moga hati ini senantiasa suci, senantiasa bersih, dan senantiasa bebas daripada segala “najis” dosa, noda, dan sisa-sisa Jahiliyah, yang bisa “mencemari” kalimah Allah yang telah tersemat di dada kita. Jangan sampai DOE (Department of Environment), mahupun malaikat pencatat dosa, “menyaman” dirimu di atas pencemaran hati, dan “pembunuhan” jiwa. Awas!

 

 

Thank You and Best Regards.

 

_________________________________________________________________________________________________________________________________

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab |  Allahumma ainni ‘ala zikrika wa syukrika wa husni ibadatik!