Tadabbur Al-Engineer : Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da'ie Islam sepanjang hari..
Followers
Thursday, June 28, 2012
PROFESIONAL
Saya mengunjungi M&E Exhibition 2012 di KLCC Convention Centre kelmarin. Seperti biasa, terjumpa beberapa kenalan lama secara kebetulan. Sayangnya, kenalan yang memang ingin saya jumpa tatkala alang-alang sudah berada di dasar menara berkembar kebanggaan Malaysia itu, tidak dapat pula saya jumpa. Kenalan itu bernama Azral Bin Abdul Rahim.
Azral adalah rakan seperjuangan saya tatkala mula mengenali dunia tarbiyah. Sungguh pun hubungan di antara saya dan dia bertukar secara tanzimi tatkala beliau memulakan kerjayanya dengan Motorola di Penang, iaitu saya menjadi murabbi sedang beliau menjadi mutarabbi saya, namun itu tidak pernah mencalitkan penghormatan saya kepadanya biar sedikitpun, bahkan beliau kekal sebagai salah seorang insan yang banyak memberi kesan dalam kehidupan dan kematangan saya. Apatah lagi biarpun usianya hanyalah setahun lebih tua daripada saya (kini beliau 32 tahun), namun designation yang tercatat dalam namecardnya, yakni sebagai Senior Manager di Petronas Carigali, tentunya sedikit-sebanyak menggambarkan kehebatan dan kelebihan dirinya. Saya tidak pasti sama ada beliau memecahkan rekod Rafizi Ramli sebagai Senior Manager termuda di syarikat petroleum nasional itu, namun setidak-tidaknya beliau tergolong sebagai antara Senior Manager termuda Petronas, that’s for sure! Seperti diri saya juga; saya tidak pasti sama ada saya merupakan Jurutera Elektrik Kompeten termuda tanah air, tetapi sekurang-kurangnya saya berjaya menjadi antara yang termuda di Negara kita, Alhamdulillah!
Saudaraku,
Sering, tatkala kita berbicara tentang kerjaya masing-masing, “udara perbincangan” bisa menjurus kepada dua keadaan, sama ada hanyut di dalam perbualan berkisar keduniaan semata-mata, yang tidak mendatangkan apa-apa saham kepada kehidupan Akhiratmu, atau bisa juga lebih segar dan lebih sihat, hingga mendatangkan keuntungan buat agamamu dan umat. Iaitu tatkala engkau melihat, bagaimana kejayaan dalam kehidupan dunia, berjaya menghantarmu kepada kebahagiaan dalam kehidupan di Akhirat.
Ustaz Anis Matta, Setiausaha Agung parti berbasis Ikhwanul Muslimin di Indonesia, iaitu Partai Keadilan Sejahtera (PKS), tatkala membicarakan tentang topic “Makanatur Rasul” (kedudukan/ posisi Rasul) beliau membangkitkan persoalan yang wajar: sering manusia yang berjaya dalam kerjaya dan karier hidupnya, tidak bisa perform dalam usaha dakwahnya, sebaliknya mereka yang cemerlang dalam usaha dakwahnya, sekadar menjadi manusia biasa dalam urusan hidup sehari-harinya. Namun Ar-Rasul Al-Musthofa Muhammad ibni Abdullah S.A.W, cemerlang dalam kedua-duanya; baik dunia mahupun Akhirat. Beliau memang guru dakwah dan tarbiyah kita, tapi jangan lupa beliau juga seorang businessman yang maha berjaya! Bahkan gelar Al-Amin, itu beliau peroleh sebelum diangkat menjadi Rasul lagi!
Kerana itu wahai saudaraku, apalah salahnya kita benar-benar mengambil iktibar daripada kejayaan Dr. Muhammad Mursi yang berjaya diangkat menjadi Presiden dari kalangan rakyat yang pertama untuk Republik Mesir. Sebagai kader gerakan Ikhwanul Muslimin, mana mungkin ia akan dipilih sebagai tokoh ke masyarakat, andainya gerak kerja dakwah dan tarbiyahnya sumbang, sekadar “ikhwan” pada kad keahlian semata. Namun, kemapanan ia membentuk ribuan manusia lewat usrah atau halaqah, tidak menjadikannya lingkup dari segi performance pada kaca mata manusia pencinta dunia. Bukankah ia berjaya memperoleh hingga gelar PhD di dalam bidang engineering, sekaligus membuktikan kejaguhannya juga dalam bidang keilmuan dunia?
Sebetulnya, wahai saudaraku, gerakan Islam seantero dunia mempunyai ramai lagi tokoh-tokoh yang bisa menjadi role model tentang keseimbangan (dan kecemerlangan) hidup dunia dan Akhirat. Mereka-mereka inilah yang kelak akan memenuhi tuntutan ustaziyatul alam (guru peradaban dunia) lantaran kecemerlangan mereka baik dari sisi vertical (hubungan dengan Pencipta) mahupun sisi horizontal (hubungan sesama manusia). Agak-agak, apakah rahsia kecemerlangan mereka?
One thing for sure, seorang Muslim tidak seharusnya mempunyai denial syndrome. Senantiasa memberikan alasan untuk segala kegagalannya, sedang yang sebetulnya, ia sendiri yang tidak mahu mujahadah (strive) untuk mengecap perkara yang didenynya itu.
Sebagai contoh. zaman sekarang, adalah zaman media. Semua kita mengakui, betapa berkesannya media dalam melancarakan ghazwul fikr (serangan pemikiran) yang merosakkan pemikiran umat manusia. Hatta Kerajaan sendiri akhirnya mengakui peranan bloggers dalam memberikan impak pada PRU-12 yang lalu. Sayangnya, para da’ie Islam, dalam menyikapi kebanjiran tulisan-tulisan yang memesongkan pemikiran, tidak bersungguh menulis, atau sekadar menulis kerana hobi, atau minat, atau mengisi masa lapang, bukan atas inisiatif ianya sebuah tanggung jawab. Lalu bila tidak mampu istiqamah, pantas menyatakan slogan “ana ingin bina manusia, kelak merekalah yang akan menulis.” Maka apakah anda kira penulis-penulis tegar seperti Syed Qutub, atau Said Hawwa, atau Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, sekadar jaguh dalam dunia penulisan dan tidak langsung membina manusia?
Seperti itu jugalah; jika anda sudah alang-alang menjadi engineer, apakah salah anda berusaha bersungguh-sungguh menguasai dan performe dalam kerjayamu sebagai engineer, hingga mampu beroleh title Ir., dan seterusnya mengecap maqam tertinggi dunia kejuruteraan seperti Jurutera Kompeten, Jurutera Servis dan sebagainya? Jika anda seorang doktor, apalah salahnya anda berusaha bersungguh-sungguh hingga mampu menjadi Specialist misalnya? Atau seorang Arkitek, mampu menjadi contoh kepada para arkitek yang lain, dan juga mad’u-mad’unya, betapa ia mampu aktif di dalam dakwah, namun tetap mampu beroleh gelar Ar.? Barulah kehidupan kita sehari-hari umpama “engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da’ie Islam sepanjang hari”, insyaAllah….
Saudaraku,
Telah berlalulah generasi yang cemerlang pencapaian dunianya, lalu lingkuplah performance tarbiyahnya. Kita bukanlah generasi itu wahai saudaraku! Maka marilah kita tanamkan keazaman betapa kita mampu menjadi contoh yang hidup, bukan sekadar contoh yang berkata-kata, betapa Mukmin itu memang mengkagumkan, ajaban kata Nabi, sehingga dunia benar-benar menjadikan kita ustaz yakni rujukan mereka. Kita punya title-title seperti Dr. atau Ir. atau Ar. atau Sr., atau kelulusan-kelulusan seumpama Msc. atau MBA atau PhD dan sebagainya, namun tetap tegar istiqamah membina manusia, bertemu mereka dari minggu ke minggu, memberikan keteladanan betapa anda mampu berjaya dalam kedua-dua bidang (duniawi mahupun ukhrawi), bukan sekadar memegang jawatan dalam sekian-sekian organisasi mahupun gerakan.
Title dunia bukannya apa wahai kawanku. Namun ia juga bisa membawa kepada title yang bisa dikagumi oleh para penghuni langit. Mujahadahlah wahai sahabatku, kerana Malaysia juga punya ramai insan sekaliber DR. Muhammad Mursi, insyaAllah!
Saudaramu,
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab
p/s – saya sedang mempersiapkan diri untuk mengambil peperiksaan bagi menjadi Project Management Professional (PMP®), sebuah competency yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk bidang Project Management. Doakan moga dipermudahkan.
p/s – sumber gambar melalui pencarian di Google Image. Google menunjukkan saya ke blog ini http://permataperjuangan.blogspot.com. Gambar Dr. Mursi solat pula di sini news--updates.blogspot.com.
Wednesday, June 27, 2012
Saturday, June 16, 2012
Logic Gate AND
Dunia hari ini adalah dunia elektronik. Segala-galanya memerlukan bantuan dan pertolongan gajet-gajet dan adaptasi teknologi canggih yang terkini. Hatta untuk mencetak penyata KWSP, atau memperbaharui dan melanjutkan tempoh hayat passport, semuanya memperlihatkan bantuan mesin sebagai galang ganti kepada tenaga dan masa yang sebelumnya digalas oleh seseorang manusia. Tentunya, dengan ketergantungan manusia kepada mesin-mesin ini, bererti semakin tergantungannya manusia kepada perkakas-perkakas berasaskan elektronik. Maka, di sinilah kepentingan dan sumbangan elektronik mengambil tempatnya.
Dan di antara komponen elektronik yang memainkan peranan besar di dalam kehidupan insani, adalah komponen yang dikenali sebagai logic gate. Dan di antara logic gate asas yang ada di maya pada ini, adalah AND gate, yang menjalankan peranannya berdasarkan jadual seperti di bawah:
Penerangannya: untuk logic gate memberikan output (katakan C), kesemua inputnya harus memberikan hasil, memberikan masukan, memberikan "kerjasama", kerana AND gate berfungsi berasaskan rumus C=AxB. Ertinya jika salah inputnya tidak memberikan hasil (yakni 0), maka biarpun input yang lainnya memberikan sumbangan, tetap tiada output yang dapat dihasilkan. Malah jika inputnya 3, atau 4, atau berapa banyak sekalipun, selagi ada di kalangan input yang "lepas tangan" dan tidak menyumbang, output yang didamba-dambakan tetap tak akan dikecapi, malah kekal sekadar suatu yang diimpi. Barangkali, ia mengambil inspirasi daripada ayat Al-Quran berikut:
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ |
"Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya."
(Surah Al-Anfal [8]:25)
Biar saya fikirkan apa contoh aplikasi yang menggunakan logic gate AND ini. Ermm… haa… contoh aplikasinya adalah pada mesin jual air tin. Untuk air tin keluar seperti yang diinginkan sang pembeli, inputnya harus memberikan masukan (yakni "1"), iaitu pada input PILIHAN, sang pembeli tadi harus telah memilih air tin mana yang ia mahukan, dan pada input DUIT TELAH DIMASUKKAN pun harus telah diselesaikan. Selagi kedua-dua input itu tidak selesai (yakni "1"), tiada output yang akan dihasilkan, maka kekallah sang pembeli itu menunggu-nunggu keluarnya air tin itu daripada mesinnya, tersalah tanggap akan maksud tawakal, walhal tawakal itu seharusnya disertai dengan usaha dan iktiar (mengusahakan "1" pada kesemua inputnya).
Contoh lain adalah mesin tiket KTM. Tiket tetap tidak akan keluar (inilah outputnya) selagi PEMILIHAN DESTINASI tidak jadi "1" (yakni telah dipilih), serta WANG/ PEMBAYARAN telah dilakukan.
Biar pun saya sendiri tidak pasti benarkah mesin air tin dan mesin tiket KTM menggunakan logic gate AND atau tidak, tetapi secara teorinya, sepatutnya seperti yang telah nyatakan di atas tadi.
Saudaraku,
Ada yang bertanya kepada saya, adakah seorang non-Muslim yang melakukan kebaikan, akan beroleh pahala di atas kebaikan yang ia lakukan itu? Maka bagi menjawab persoalan itu, eloklah kita fahami teori, apakah input yang diperlukan, agar AND gate bertema "syarat diterimanya amal" itu dipenuhi.
Memang, ALLAH yang Maha Kuasa, bersifat rahmah dan belas kepada semua hamba-Nya. Di sana adanya sifat Ar-Rahman, yang meliputi kesemua makhluknya. Namun, di sana juga ada sifat Ar-Rahim, yang menurut sebahagian besar pendapat, khusus disediakan buat hamba-hambaNya yang mukmin sahaja.
Maka untuk "output" sesuatu amal itu menghasilkan "1" (yakni diterima oleh Allah), kesemua tiga inputnya –demikian menurut Ibnu Rajab di dalam Jami' Al-'Ulum wa Al-Hikamnya, juga oleh Syeikh Muhammad Amin Asy-Syanqiti di dalam Al-Islam: din kamil- harus "1" yakni dipenuhi; iaitu:-
1) Ibadah hendaklah dibina di atas akidah yang sahih, sesuai dengan apa yang difirmankan oleh Allah:
"Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun."
(Surah An-Nisa' [4]:124)
Berdasarkan nash, tidaklah menjadi syarat dalam menyembelih itu hendaklah menyebut nama Allah (demikianlah kata Hamka dalam Tafsir Al-Azharnya, sebagai hujah dibenarkan makan sembelihan ahli Kitab), tetapi sembelihan itu tidak seharusnya disembelih dengan menyebut nama selain Allah, atau demi sesuatu yang boleh membawa kepada Syirik, seperti menyembelih binatang sekian-sekian sebagai pengorbanan kepada pantai agar rebut tidak melanda dan sebagainya, seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran (dan ini adalah tambahan oleh penulis):-
"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala…"
(Surah Al-Maidah [5]:3)
"Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah..."
(Surah Al-An'am [6]:145)
2) Ikhlas kerana Allah, seperti yang kita semua maklum sesuai dengan apa yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadith Arbain Imam Nawawi yang pertama.
3) Bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Nabi SAW, kerana di dalam hadith riwayat Imam Muslim (dan turut disebut di dalam hadith Arbain Imam Nawawi), daripada Aisyah R.A, Nabi SAW bersabda;
"Sesiapa yang membuat perkara baru di dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya, maka ianya tertolak)"
Kata Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam Al-Ibadah fi Al-Islam; "hendaklah seorang Muslim dalam ibadahnya mnegikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan untuk keredhaan Allah semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan ALLAH, dengan kaifiyyat (cara) yang diredhaiNya. Janganlah ibadah seorang Muslim itu ialah apa yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan."
Kerana itu wahai saudaraku, dengan sekadar menjawat jawatan tertentu di dalam NGO Islam, atau mempunyai kelulusan sekian-sekian di dalam bidang pengajian Islam, atau melakukan sesebuah program yang gempak lagi hot, tidaklah bererti amalmu itu bernilai dan bermanfaat untuk Akhiratmu, selagi tiga output yang di atas tidak dipenuhi lagi.
Oleh yang demikian ingatlah, syarat diterimanya amal, seumpama logic gate AND, yakni iman, ikhlas dan bertepatan dengan sunnah, sebagai syarat untuk diterimanya segala amal. Wallahu'alam.
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab Jurutera Profesional dan Jurutera Elektrik Kompeten Lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Sijil Pengajian Syariah |
Monday, June 11, 2012
[JOM]: PRINSIP KEABADIAN TENAGA (CONSERVATION OF ENERGY PRINCIPLE)
Prinsip Keabadian Tenaga –juga dikenali sebagai Hukum Termodinamik Yang Pertama- adalah satu hukum, satu prinsip, satu ketentuan atau satu ketetapan yang menyatakan betapa tenaga itu –baik tenaga kimia, baik tenaga mekanik, baik tenaga elektrik, dan lain sebagainya- tidak boleh dicipta, mahupun dimusnahkan. Ia hanya melalui suatu proses “pertukaran” daripada satu bentuk tenaga, kepada bentuk tenaga yang lainnya.
Sebagai contoh, tenaga matahari yang ada di sekeliling kita tidaklah hilang sebegitu sahaja, sebaliknya ia ditransformkan ke suatu bentuk tenaga yang lainnya: kepada tenaga kimia oleh tumbuh-tumbuhan. Kepada tenaga elektrik oleh sel suria (disebut tenaga solar). Kepada tenaga batin oleh Tongkat Ali.... err... ye ke? Pokoknya tenaga itu tidak terhapus, tetapi hanya di”terjemahkan” ke dalam beberapa “bahasa” tenaga yang lainnya, yang sedikit berbeza dengan bentuk tenaga asalnya. Cerita Crayon Sinchan misalnya, sungguh pun diterjemahkan ke pelbagai bahasa, baik ke Bahasa Malaysia di televisyen, mahupun ke Bahasa Indonesia di dalam CD dan Youtube, namun, “tenaga kelawakkannya” tetap sahaja terpelihara, barangkali kerana lawaknya itu memenusi prinsip keabadian (barangkali!)
Sumber: myinterestingfacts.com
Saudaraku,
Sehebat-hebat manusia, kita terpaksa akur akan hakikat ini: tenaga tidak boleh dicipta, tidak dapat dimusnahkan. Oleh itu, menyedari akan dhaifnya diri manusia ini, setiap daripada kita harus sedar betapa we are nobody tanpa Allah S.W.T. Sehingga wajar, Nabi S.A.W sentiasa mengajarkan kita lantunan doa, betapa kita senantiasa memerlukan pemeliharaan dan kasih sayang Allah S.W.T. Sabda Nabi;
“Wahai Allah Yang Maha Hidup dan Maha Kekal, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perbaikilah keadaanku seluruhnya dan janganlah Engkau biarkan nasibku ditentukan oleh diriku sendiri walaupun sekadar sekelip mata.”
(Hadith riwayat An-Nasa’i, daripada Anas bin Malik)
“Ya Allah, aku mengharapkan rahmat-Mu. Wahai Tuhanku, perbaikilah seluruh keadaan diriku, dan janganlah Engkau serahkanku kepada diriku sendiri walaupun sekadar sekelip mata.Tiada Tuhan melainkan Engkau”
(Hadith riwayat Abu Daud)
Sumber: noforbiddenquestions.com
Kerana kita tak akan pernah bisa menciptakan tenaga (melainkan mengubahnya sahaja), maka wajar kita memenuhi “Prinsip Keabadian Nikmat,” di mana what we get, we give back. Apa saja nikmat yang kita peroleh, yang kita rasai, yang kita nikmati, wajar sahaja kita “beri” kembali. Beri kembali dalam bentuk syukur. Beri kembali dalam bentuk banyak beribadat. Beri kembali dalam bentuk berjuang menegakkan kalimah Allah. Kerana Prinsip Keabadian Nikmat ini menyebutkan: segala nikmat yang Allah kurniakan, akan kita tukarkan kepada bentuk syukur, kepada bentuk taat, ibadah, serta berjuang berdakwah menyebarkan nikmat kalimah Allah SWT ini. Firman Allah:
“Sekiranya kamu bersyukur kepada Ku, nescaya aku tambahkan (nikmat-Ku) untuk kamu. Tetapi sekiranya kamu kufur, nescaya azab-Ku amat pedih”
(Surah Ibrahim [14]:7)
Dari-Nya kita datang, kepada-Nya jugalah kita bakal kembali. Sebagaimana Allah telah memenuhi keperluan-keperluan kita, maka marilah kita pula memenuhi “seruan-seruan”nya kembali. Seperti mana tenaga akan kekal “hidup” tatkala ianya ditukarkan ke bentuk tenaga yang lain, nikmat dan rahmat Allah akan terus “hidup” tatkala insan sudi menyahut seruan perjuangan yang dilontar oleh Allah S.W.T. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah (seruan) Allah dan Rasul-Nya tatkala (Allah dan Rasul) menyeru kalian kepada sesuatu yang dapat “menghidupkan” kalian..”
(Surah Al-Anfal [8]:24)
Sumber: carian di Google image
Ya Allah, janganlah kau tarik “tenaga” yang Dikau kurniakan kepada kami, hingga kami terpaksa mencipta “tenaga” kami sendiri... Kami tidak mampu Ya Allah (hidup tanpa tenaga dan nikmat-Mu), biarpun sekadar sekelip mata cuma...
(Artikel ini adalah adaptasi artikel asalnya yang disebar-emailkan pada tahun 2004)
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab adalah seorang insan, dari sekelian banyak insan, yang dianugerahkan kesempatan oleh Allah menjadi Jurutera Profesional dan Jurutera Kompeten, dan berharap dapat membalas anugerah itu dengan menjadi Mujahid di Jalan Allah...
Sunday, June 10, 2012
Respon pemenang Nobel Keamanan terhadap Hijab
TAWAKKULl Karman ialah seorang wanita yang memenangi Anugerah Nobel (Noble Laureate) Keamanan berasal dari Yaman. Beliau juga lebih dikenali sebagai Ibu Revolusi Yaman.
Apabila wartawan bertanya kepada beliau mengenai pakaiannya yang menutup aurat, Hijab (tudung kepala) yang disifatkan sebagai tidak sesuai untuk tahap intelektual dan pendidikan beliau, Tawakkul Karman telah menerangkan dengan cukup jelas untuk kita semua renungi dan ambil iktibar.
Apa jawapan Tawakkul Karman?
"Manusia di zaman awal peradaban hampir telanjang, seiring dengan pencapaian ilmu dan tamaddun manusia, mereka mula mengenakan pakaian. Makin lama makin banyak untuk menutupi tubuh badan mereka.
Apa yang saya pakai hari ini melambangkan pencapaian tertinggi peradaban manusia dan ianya bukan satu langkah kebelakang. Malah, manusia yang mula meninggalkan pakaianlah orang yang ingin mundur dan kembali ke zaman purba."
source: http://milosuam.blogspot.com/2012/06/sebar-respon-pemenang-nobel-keamanan.html#ixzz1xNs7s6an
Thursday, June 7, 2012
Dosa
”Kamu semua memuji ketakwaan dan ibadatku, sedang jika dosa-dosa itu mengeluarkan bau, sudah tentu kamu semua tidak akan mendekatiku (dek kerana busuknya bau dosa itu)”
-Muhammad bin Wasi’ Al-Azdi
Wednesday, June 6, 2012
Pesanan buat adik-adikku
Adikku,
Jangan pernah kau rasa menyesal setelah Allah menyambut dan menyahut istikharahmu. Kerana begitu Allah membantumu membuat khar, yakni pilihan, yakinlah bahawa Allah takkan pernah mensia-siakanmu, bahawa Allah takkan pernah melupakanmu, betapa Allah tak kan pernah berhenti menyayangimu.
Lantas, kerana Allahlah yang telah membantumu untuk membuat pilihan untuk pergi ke sana, senantiasalah melihat segala sesuatu sebagai kebaikan. Kata Allah; boleh jadi hal yang kamu benci, tetapi hal itulah yang baik untukmu. Dan boleh jadi perkara yang kamu sukai, walhal perkara itulah yang tidak elok untuk kamu. Allah mengetahui, sedang kamu ni tak tahu apa-apa (Surah Al-Baqarah [2]:216)
Tatkala insan telah melihat segala takdir yang telah Allah tentukan untuknya sebagai kebaikan, baik kebaikan secara langsung mahupun kebaikan yang hanya akan ia raih dan rasakan tatkala ia bisa belajar daripada kejadian takdir tersebut, pantas ia menjadi manusia yang “ajaib”, apatah lagi hanya Mukmin sejati yang bisa mampu meraih keajaiban dalam kehidupan.
Sabda Nabi SAW; “Ajaib sungguh urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya, baginya semuanya baik. Dan hal itu tidaklah demikian akan terjadi kepada seseorang, melainkan dia seorang Mukmin.
Ketika ia ditimpa dengan suatu kesenangan, ia bersyukur, dan syukur itu justeru baik untuk dirinya. Dan ketika ia ditimpa dengan suatu kesusahan, ia bersabar, maka (sabar) itu baik untuknya.”
(Hadith riwayat Muslim, hadith #27 di dalam Riyadhus Salihin. Terjemahan oleh penulis)
Adikku,
Kerana itu, seusai engkau beristikharah, maka faiza azamta fatawakkal ‘alallah (apabila engkau telah menetapkan keazaman, maka bertawakkallah kepada Allah) (Surah Ali Imran [3]:159), kerana kalau pun pilihan (istikharah) yang Allah tunjukkan kepada engkau seakan-akan tidak punya kebaikan, setidak-tidaknya Allah menjanjikan kecintaannya kepada orang yang telah bertawakkal “innallaha yubihhu al-Mutawakkilin” “Sesungguhnya Allah SWT cinta kepada orang-orang yang bertawakal” (penutup ayat Surah Ali Imran [3]:159 tadi) lalu dengan cara engkau bisa meraih kecintaan Allah itulah, engkau beroleh kebaikan.
Maka tatkala engkau telah meredhai takdir yang telah Allah tetapkan buatmu, engkau akan pantas mensyukuri, dan mengoptimumkan kebaikan yang tersedia, lalu dikau bangkit dan kongsikan kebaikan itu bersama manusia yang lainnya. Kata Ustaz M. Anis Matta, Sekjen Partai Keadilan Sejahtera Indonesia, “Itulah yang terjadi ketika krisis dikelola oleh tangan-tangan dingin para pahlawan; mereka mengubah tantangan menjadi peluang, kelemahan menjadi kekuatan, kecemasan menjadi harapan, ketakutan menjadi keberanian, dan krisis menjadi berkah.”
Adikku,
Sabarlah, dan tabahlah, kerana bersama segala kesulitan itu, akan menyusul manis kemudahan. Akan muncul pelangi kebahagiaan. Akan terserlah pancaran kebahagiaan. Jadilah “pahlawan”, kerana udara segar tarbiyah yang kau seduti, memang melahirkan manusia berdarah “pahlawan”.
Abangmu,
Faridul Farhan Abd Wahab.