Saya mengunjungi M&E Exhibition 2012 di KLCC Convention Centre kelmarin. Seperti biasa, terjumpa beberapa kenalan lama secara kebetulan. Sayangnya, kenalan yang memang ingin saya jumpa tatkala alang-alang sudah berada di dasar menara berkembar kebanggaan Malaysia itu, tidak dapat pula saya jumpa. Kenalan itu bernama Azral Bin Abdul Rahim.
Azral adalah rakan seperjuangan saya tatkala mula mengenali dunia tarbiyah. Sungguh pun hubungan di antara saya dan dia bertukar secara tanzimi tatkala beliau memulakan kerjayanya dengan Motorola di Penang, iaitu saya menjadi murabbi sedang beliau menjadi mutarabbi saya, namun itu tidak pernah mencalitkan penghormatan saya kepadanya biar sedikitpun, bahkan beliau kekal sebagai salah seorang insan yang banyak memberi kesan dalam kehidupan dan kematangan saya. Apatah lagi biarpun usianya hanyalah setahun lebih tua daripada saya (kini beliau 32 tahun), namun designation yang tercatat dalam namecardnya, yakni sebagai Senior Manager di Petronas Carigali, tentunya sedikit-sebanyak menggambarkan kehebatan dan kelebihan dirinya. Saya tidak pasti sama ada beliau memecahkan rekod Rafizi Ramli sebagai Senior Manager termuda di syarikat petroleum nasional itu, namun setidak-tidaknya beliau tergolong sebagai antara Senior Manager termuda Petronas, that’s for sure! Seperti diri saya juga; saya tidak pasti sama ada saya merupakan Jurutera Elektrik Kompeten termuda tanah air, tetapi sekurang-kurangnya saya berjaya menjadi antara yang termuda di Negara kita, Alhamdulillah!
Saudaraku,
Sering, tatkala kita berbicara tentang kerjaya masing-masing, “udara perbincangan” bisa menjurus kepada dua keadaan, sama ada hanyut di dalam perbualan berkisar keduniaan semata-mata, yang tidak mendatangkan apa-apa saham kepada kehidupan Akhiratmu, atau bisa juga lebih segar dan lebih sihat, hingga mendatangkan keuntungan buat agamamu dan umat. Iaitu tatkala engkau melihat, bagaimana kejayaan dalam kehidupan dunia, berjaya menghantarmu kepada kebahagiaan dalam kehidupan di Akhirat.
Ustaz Anis Matta, Setiausaha Agung parti berbasis Ikhwanul Muslimin di Indonesia, iaitu Partai Keadilan Sejahtera (PKS), tatkala membicarakan tentang topic “Makanatur Rasul” (kedudukan/ posisi Rasul) beliau membangkitkan persoalan yang wajar: sering manusia yang berjaya dalam kerjaya dan karier hidupnya, tidak bisa perform dalam usaha dakwahnya, sebaliknya mereka yang cemerlang dalam usaha dakwahnya, sekadar menjadi manusia biasa dalam urusan hidup sehari-harinya. Namun Ar-Rasul Al-Musthofa Muhammad ibni Abdullah S.A.W, cemerlang dalam kedua-duanya; baik dunia mahupun Akhirat. Beliau memang guru dakwah dan tarbiyah kita, tapi jangan lupa beliau juga seorang businessman yang maha berjaya! Bahkan gelar Al-Amin, itu beliau peroleh sebelum diangkat menjadi Rasul lagi!
Kerana itu wahai saudaraku, apalah salahnya kita benar-benar mengambil iktibar daripada kejayaan Dr. Muhammad Mursi yang berjaya diangkat menjadi Presiden dari kalangan rakyat yang pertama untuk Republik Mesir. Sebagai kader gerakan Ikhwanul Muslimin, mana mungkin ia akan dipilih sebagai tokoh ke masyarakat, andainya gerak kerja dakwah dan tarbiyahnya sumbang, sekadar “ikhwan” pada kad keahlian semata. Namun, kemapanan ia membentuk ribuan manusia lewat usrah atau halaqah, tidak menjadikannya lingkup dari segi performance pada kaca mata manusia pencinta dunia. Bukankah ia berjaya memperoleh hingga gelar PhD di dalam bidang engineering, sekaligus membuktikan kejaguhannya juga dalam bidang keilmuan dunia?
Sebetulnya, wahai saudaraku, gerakan Islam seantero dunia mempunyai ramai lagi tokoh-tokoh yang bisa menjadi role model tentang keseimbangan (dan kecemerlangan) hidup dunia dan Akhirat. Mereka-mereka inilah yang kelak akan memenuhi tuntutan ustaziyatul alam (guru peradaban dunia) lantaran kecemerlangan mereka baik dari sisi vertical (hubungan dengan Pencipta) mahupun sisi horizontal (hubungan sesama manusia). Agak-agak, apakah rahsia kecemerlangan mereka?
One thing for sure, seorang Muslim tidak seharusnya mempunyai denial syndrome. Senantiasa memberikan alasan untuk segala kegagalannya, sedang yang sebetulnya, ia sendiri yang tidak mahu mujahadah (strive) untuk mengecap perkara yang didenynya itu.
Sebagai contoh. zaman sekarang, adalah zaman media. Semua kita mengakui, betapa berkesannya media dalam melancarakan ghazwul fikr (serangan pemikiran) yang merosakkan pemikiran umat manusia. Hatta Kerajaan sendiri akhirnya mengakui peranan bloggers dalam memberikan impak pada PRU-12 yang lalu. Sayangnya, para da’ie Islam, dalam menyikapi kebanjiran tulisan-tulisan yang memesongkan pemikiran, tidak bersungguh menulis, atau sekadar menulis kerana hobi, atau minat, atau mengisi masa lapang, bukan atas inisiatif ianya sebuah tanggung jawab. Lalu bila tidak mampu istiqamah, pantas menyatakan slogan “ana ingin bina manusia, kelak merekalah yang akan menulis.” Maka apakah anda kira penulis-penulis tegar seperti Syed Qutub, atau Said Hawwa, atau Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, sekadar jaguh dalam dunia penulisan dan tidak langsung membina manusia?
Seperti itu jugalah; jika anda sudah alang-alang menjadi engineer, apakah salah anda berusaha bersungguh-sungguh menguasai dan performe dalam kerjayamu sebagai engineer, hingga mampu beroleh title Ir., dan seterusnya mengecap maqam tertinggi dunia kejuruteraan seperti Jurutera Kompeten, Jurutera Servis dan sebagainya? Jika anda seorang doktor, apalah salahnya anda berusaha bersungguh-sungguh hingga mampu menjadi Specialist misalnya? Atau seorang Arkitek, mampu menjadi contoh kepada para arkitek yang lain, dan juga mad’u-mad’unya, betapa ia mampu aktif di dalam dakwah, namun tetap mampu beroleh gelar Ar.? Barulah kehidupan kita sehari-hari umpama “engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da’ie Islam sepanjang hari”, insyaAllah….
Saudaraku,
Telah berlalulah generasi yang cemerlang pencapaian dunianya, lalu lingkuplah performance tarbiyahnya. Kita bukanlah generasi itu wahai saudaraku! Maka marilah kita tanamkan keazaman betapa kita mampu menjadi contoh yang hidup, bukan sekadar contoh yang berkata-kata, betapa Mukmin itu memang mengkagumkan, ajaban kata Nabi, sehingga dunia benar-benar menjadikan kita ustaz yakni rujukan mereka. Kita punya title-title seperti Dr. atau Ir. atau Ar. atau Sr., atau kelulusan-kelulusan seumpama Msc. atau MBA atau PhD dan sebagainya, namun tetap tegar istiqamah membina manusia, bertemu mereka dari minggu ke minggu, memberikan keteladanan betapa anda mampu berjaya dalam kedua-dua bidang (duniawi mahupun ukhrawi), bukan sekadar memegang jawatan dalam sekian-sekian organisasi mahupun gerakan.
Title dunia bukannya apa wahai kawanku. Namun ia juga bisa membawa kepada title yang bisa dikagumi oleh para penghuni langit. Mujahadahlah wahai sahabatku, kerana Malaysia juga punya ramai insan sekaliber DR. Muhammad Mursi, insyaAllah!
Saudaramu,
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab
p/s – saya sedang mempersiapkan diri untuk mengambil peperiksaan bagi menjadi Project Management Professional (PMP®), sebuah competency yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk bidang Project Management. Doakan moga dipermudahkan.
p/s – sumber gambar melalui pencarian di Google Image. Google menunjukkan saya ke blog ini http://permataperjuangan.blogspot.com. Gambar Dr. Mursi solat pula di sini news--updates.blogspot.com.
No comments:
Post a Comment