Followers

Thursday, June 28, 2012

         Dr.Fathi Yakan dilahirkan pada 9 Februari tahun 1933 di Tripoli, Lubnan. Beliau berjaya memperolehi PhD dalam bidang pengajian Islam dan bahasa Arab, walaupun pada peringkat BA dan MA beliau belajar bidang kejuruteraan. Beliau berkahwin dengan Dr.Muna Haddad Yakan dan dikurniakan lima cahaya mata (empat perempuan dan seorang lelaki). Beliau antara tokoh gerakan Islam di Lubnan dan dunia Islam bahkan antara pelopor yang mengasaskan gerakan Islam di Lubnan bersama-sama dengan kira-kira 50 orang saudaranya yang lain sejurus selepas mereka menziarahi Dr.Mustafa as-Siba'ie di Syria.

Beliau menyumbang tenaga di dalam mempelopori fikrah gerakan Islam di dunia Arab dan telah menyebarkan risalah-risalah dan tulisan-tulisan yang berbentuk ideologi ke dunia Arab dan Islam sebagai panduan generasi kebangkitan Islam dan kebanyakan daripada tulisan-tulisan beliau telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa. Antara tulisannya yang terkenal adalah, "Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam" - Maza Yakni Intima'ie Islam, dan "Masalah Berkaitan Dengan Dakwah dan Pendakwah" - Iadah ad Da'ieah.

Beliau juga pernah memenangi kerusi pada pilihan raya Lubnan pada tahun 1992 dan menyertai Perhimpunan Islam Antarabangsa (International Islamic Conference). Walaupun suatu ketika beliau pernah mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju menyertai pilihan raya, kerana ia merupakan perkara baharu yang tidak pernah berlaku pada zaman Baginda Rasulullah S.A.W, tetapi setelah sering gagal untuk menyatakan Islam kepada para pemerintah, beliau akhirnya akur bahawa pilihan raya adalah satu-satunya wadah penting yang dapat menguasai negara dengan Islam jika menang tanpa sebarang pertumpahan darah berlaku.

Ini kerana apa yang menjadi masalah di Lubnan adalah kerana menurut perjanjian Taif ialah pembahagian kuasa secara adil antara golongan-golongan terlibat, Presiden Lubnan mesti merupakan seorang beragama Kristian Maronite, Perdana Menteri adalah daripada kalangan seorang pengikut Sunnah, dan Speaker Parlimen adalah daripada pengikut Syiah. Kepelbagaian pegangan agama dan mazhab yang adakalanya menatijahkan pertikaian sesama bangsa menyukarkan perkembangan Islam di Lubnan kerana orang Islam sentiasa dicengkam dan dipandang serong oleh mereka yang beragama Kristian, khususnya pemerintah. Dan ia turut ditambah dengan sikap ketidak-sepakatan antara pengikut Sunni dan Syiah dalam beberapa perkara.
Oleh kerana itu, Lubnan menjadi negara yang unik dan menagih strategi yang mantap dari gerakan Islam di sana untuk menyebarkan seruan dakwah yang benar kepada seluruh warganegara mereka. Maka Lubnan tidaklah seperti negara-negara Arab lain yang berjiran dengannya. Ini kerana pegangan agama pihak berkuasa menjadi jurang yang membezakan antara mereka dengan rakyat yang menganut pelbagai pegangan aliran pemikiran lain seperti kumpulan Druze yang boleh dianggap sebagai penghalang. Kesungguhan Dr.Fathi Yakan dalam mengaplikasikan Islam sebagai agama yang mesti didaulat, beliau telah menulis buku di atas "Apakah Ertinya Saya Menganut Islam" - dengan kupasan yang cukup mudah difahami bertujuan untuk menyedarkan khususnya rakyat Lubnan beragama Islam tidak kira apapun aliran mereka agar kembali berpegang kepada Islam yang sahih.

Pengalaman beliau bersama Almarhum Dr Mustafa as-Siba'ie yang merupakan pengasas Gerakan Ikhwan Muslimun Syria telah mematangkan beliau untuk menerapkan pendekatan Ikhwan di Lubnan. Tulisan dan penglibatan beliau bersama gerakan Islam dianggap mengancam kedudukan pihak berkuasa sehingga beliau pernah dipenjara malah diseksa dengan disterika seluruh badannya hingga remuk. Ada yang berpendapat bahawa umurnya lebih muda daripada tubuh badannya akibat seksaan yang menimpanya.

Beliau turut terkenal sebagai aktivis yang giat menyampaikan ceramah, pembentangan kertas kerja, forum mengenai Islam selagi dijemput untuk bertindak demikian. Beliau turut terkenal sebagai aktivis yang seangkatan dengan tokoh-tokoh pejuang dari Ikhwanul Muslimin seperti Imam Hassan al Banna dan al Marhum Amin Husaini, Mufti Palestin dalam usaha menjayakan gagasan "Taqrib Bayna Mazahib" di mana beliau pernah mengimami solat di Iran yang diikuti oleh seluruh masyarakat yang bermazhab Syiah. Beliau juga pernah diundang oleh PAS untuk menghadiri muktamar tahunannya, kerana hubungan akrabnya dengan Presiden PAS sekarang iaitu Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau boleh disifatkan sebagai tenaga dakwah yang berjaya kerana pandangan-pandangannya yang jelas mengenai manhaj, prinsip, konsep serta pendekatan dakwah pada era globalisasi ini. apatah lagi bukan daripada graduan Pengajian Islam asalnya, namun kecenderungan yang meluap-luap terhadap Islam menyebabkan beliau menukar bidang dakwah menjadi tesis PhD-nya.

Kesempatan masa terluang yang ada, beliau menggunakan semaksimum dengan menulis buku-buku ilmiah berhubung dengan dakwah, justeru beliau menukar bidang pengajian daripada kejuruteraan kepada pengajian Islam memandangkan keperluan dan kepen-tingannya untuk mengajak rakyat negaranya untuk berpegang kepada Islam. Antara golongan yang menjadi sasaran dalam buku-buku dakwahnya adalah para remaja di kalangan pemuda dan pemudi Islam. Beliau menyifatkan mereka adalah asset yang amat bernilai bagi menyambung tugas yang pernah disandang oleh para Sahabat Rasulullah S.A.W yang majoritinya terdiri daripada golongan remaja. Ini disebabkan tenaga, kesungguhan yang mereka miliki mengatasi golongan yang telah tua.

Begitupun apabila dia menekankan supaya para pemuda melaksanakan matlamatnya yang menginginkan perubahan, ia bererti bukanlah diserahkan tugas itu kepada mana-mana generasi sahaja yang tidak mempunyai ciri-ciri tertentu, tetapi terlebih dahulu dimestikan atau dituntut supaya generasi itu mempunyai sifat-sifat Islam dan berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam iaitu berkehendakkan generasi Islam yang tulen. Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk memba-ngunkan dan memakmurkan alam tetapi orang lain mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia.

"Sesungguhnya masyarakat manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda-pemuda tetapi pemuda-pemuda ini hanyalah yang kosong, hanyut dan terbiar. Pemuda yang tiada peribadi terdiri dari pemuda yang mudah dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh parti-parti kufur dan syaitan, pemuda pondan yang tiada kebaikan pada mereka; tetapi keberkatan datang bersama pemuda yang tinggi cita-citanya, demikian antara pandangan tokoh tersohor ini.


Sumber: http://tarbawi.my/index.php/en/inspirasi/mimbar-ulama/278-tribulasi-matangkan-perjuangan-drfathi-yakan



No comments:

Post a Comment