Dunia hari ini adalah dunia elektronik. Segala-galanya memerlukan bantuan dan pertolongan gajet-gajet dan adaptasi teknologi canggih yang terkini. Hatta untuk mencetak penyata KWSP, atau memperbaharui dan melanjutkan tempoh hayat passport, semuanya memperlihatkan bantuan mesin sebagai galang ganti kepada tenaga dan masa yang sebelumnya digalas oleh seseorang manusia. Tentunya, dengan ketergantungan manusia kepada mesin-mesin ini, bererti semakin tergantungannya manusia kepada perkakas-perkakas berasaskan elektronik. Maka, di sinilah kepentingan dan sumbangan elektronik mengambil tempatnya.
Dan di antara komponen elektronik yang memainkan peranan besar di dalam kehidupan insani, adalah komponen yang dikenali sebagai logic gate. Dan di antara logic gate asas yang ada di maya pada ini, adalah AND gate, yang menjalankan peranannya berdasarkan jadual seperti di bawah:
Penerangannya: untuk logic gate memberikan output (katakan C), kesemua inputnya harus memberikan hasil, memberikan masukan, memberikan "kerjasama", kerana AND gate berfungsi berasaskan rumus C=AxB. Ertinya jika salah inputnya tidak memberikan hasil (yakni 0), maka biarpun input yang lainnya memberikan sumbangan, tetap tiada output yang dapat dihasilkan. Malah jika inputnya 3, atau 4, atau berapa banyak sekalipun, selagi ada di kalangan input yang "lepas tangan" dan tidak menyumbang, output yang didamba-dambakan tetap tak akan dikecapi, malah kekal sekadar suatu yang diimpi. Barangkali, ia mengambil inspirasi daripada ayat Al-Quran berikut:
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ |
"Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya."
(Surah Al-Anfal [8]:25)
Biar saya fikirkan apa contoh aplikasi yang menggunakan logic gate AND ini. Ermm… haa… contoh aplikasinya adalah pada mesin jual air tin. Untuk air tin keluar seperti yang diinginkan sang pembeli, inputnya harus memberikan masukan (yakni "1"), iaitu pada input PILIHAN, sang pembeli tadi harus telah memilih air tin mana yang ia mahukan, dan pada input DUIT TELAH DIMASUKKAN pun harus telah diselesaikan. Selagi kedua-dua input itu tidak selesai (yakni "1"), tiada output yang akan dihasilkan, maka kekallah sang pembeli itu menunggu-nunggu keluarnya air tin itu daripada mesinnya, tersalah tanggap akan maksud tawakal, walhal tawakal itu seharusnya disertai dengan usaha dan iktiar (mengusahakan "1" pada kesemua inputnya).
Contoh lain adalah mesin tiket KTM. Tiket tetap tidak akan keluar (inilah outputnya) selagi PEMILIHAN DESTINASI tidak jadi "1" (yakni telah dipilih), serta WANG/ PEMBAYARAN telah dilakukan.
Biar pun saya sendiri tidak pasti benarkah mesin air tin dan mesin tiket KTM menggunakan logic gate AND atau tidak, tetapi secara teorinya, sepatutnya seperti yang telah nyatakan di atas tadi.
Saudaraku,
Ada yang bertanya kepada saya, adakah seorang non-Muslim yang melakukan kebaikan, akan beroleh pahala di atas kebaikan yang ia lakukan itu? Maka bagi menjawab persoalan itu, eloklah kita fahami teori, apakah input yang diperlukan, agar AND gate bertema "syarat diterimanya amal" itu dipenuhi.
Memang, ALLAH yang Maha Kuasa, bersifat rahmah dan belas kepada semua hamba-Nya. Di sana adanya sifat Ar-Rahman, yang meliputi kesemua makhluknya. Namun, di sana juga ada sifat Ar-Rahim, yang menurut sebahagian besar pendapat, khusus disediakan buat hamba-hambaNya yang mukmin sahaja.
Maka untuk "output" sesuatu amal itu menghasilkan "1" (yakni diterima oleh Allah), kesemua tiga inputnya –demikian menurut Ibnu Rajab di dalam Jami' Al-'Ulum wa Al-Hikamnya, juga oleh Syeikh Muhammad Amin Asy-Syanqiti di dalam Al-Islam: din kamil- harus "1" yakni dipenuhi; iaitu:-
1) Ibadah hendaklah dibina di atas akidah yang sahih, sesuai dengan apa yang difirmankan oleh Allah:
"Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun."
(Surah An-Nisa' [4]:124)
Berdasarkan nash, tidaklah menjadi syarat dalam menyembelih itu hendaklah menyebut nama Allah (demikianlah kata Hamka dalam Tafsir Al-Azharnya, sebagai hujah dibenarkan makan sembelihan ahli Kitab), tetapi sembelihan itu tidak seharusnya disembelih dengan menyebut nama selain Allah, atau demi sesuatu yang boleh membawa kepada Syirik, seperti menyembelih binatang sekian-sekian sebagai pengorbanan kepada pantai agar rebut tidak melanda dan sebagainya, seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran (dan ini adalah tambahan oleh penulis):-
"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala…"
(Surah Al-Maidah [5]:3)
"Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah..."
(Surah Al-An'am [6]:145)
2) Ikhlas kerana Allah, seperti yang kita semua maklum sesuai dengan apa yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadith Arbain Imam Nawawi yang pertama.
3) Bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Nabi SAW, kerana di dalam hadith riwayat Imam Muslim (dan turut disebut di dalam hadith Arbain Imam Nawawi), daripada Aisyah R.A, Nabi SAW bersabda;
"Sesiapa yang membuat perkara baru di dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya, maka ianya tertolak)"
Kata Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam Al-Ibadah fi Al-Islam; "hendaklah seorang Muslim dalam ibadahnya mnegikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan untuk keredhaan Allah semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan ALLAH, dengan kaifiyyat (cara) yang diredhaiNya. Janganlah ibadah seorang Muslim itu ialah apa yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan."
Kerana itu wahai saudaraku, dengan sekadar menjawat jawatan tertentu di dalam NGO Islam, atau mempunyai kelulusan sekian-sekian di dalam bidang pengajian Islam, atau melakukan sesebuah program yang gempak lagi hot, tidaklah bererti amalmu itu bernilai dan bermanfaat untuk Akhiratmu, selagi tiga output yang di atas tidak dipenuhi lagi.
Oleh yang demikian ingatlah, syarat diterimanya amal, seumpama logic gate AND, yakni iman, ikhlas dan bertepatan dengan sunnah, sebagai syarat untuk diterimanya segala amal. Wallahu'alam.
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab Jurutera Profesional dan Jurutera Elektrik Kompeten Lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Sijil Pengajian Syariah |
No comments:
Post a Comment