Saya kini dibiar tertanya-tanya. Pelajar yang bagaimanakah yang sebenarnya bergelar pelajar pintar? Dulu, di zaman sekolah rendah, kami dimomokkan bahawa yang di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) -juga dikenali sebagai sekolah sains- itulah yang dikira bijak. Kemudian warga MRSM pula tidak kurang hebatnya, bahkan sebahagian beranggapan mereka itulah pelajar yang cerdik. Terbaru, saya dimaklumkan bahawa mereka yang terpilih ke Sekolah Permata itulah yang maha pandai.
Lalu, saya merenungkan kembali definisi bijak. Definisi cerdik. Definisi pandai, menurut petunjuk yang diberikan oleh Al-Quran Al-Karim.
"Orang-orang yang berakal", itulah antara gambaran manusia-manusia yang pintar menurut Al-Quran. Di dalam Bahasa Arabnya, disebut "ulu al-albab". Perkataan "albab" itu mufradnya (singular) adalah "lub". Dan "lub", ertinya "inti". "Isi". Atau terkadang dirujuk juga sebagai "hati".
Ulu Al-albab ini pula, disebut beberapa kali di dalam Quran, dengan ciri-ciri yang saling berbeza sesamanya, untuk meletakkan ciri-ciri unggul sebagai penghias peribadi insan-insan cemerlang ini. Salah satunya ialah ayat ke 190, surah Ali Imran.
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal"
Lihatlah bagaimana Al-Quran menjelaskan tentang salah satu ciri yang dimiliki oleh para bijak pandai ini. Seseorang yang mampu melihat "sesuatu", melihat "ayat" yakni "tanda", pada penciptaan langit tidak bertiang itu, juga bumi yang penuh khazanah ini. Tidak ketinggalan, disebutkan juga salah satu cirinya, iaitu mengambil ibrah daripada "َاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَار ".
· Contoh perbezaan yang menghasilkan rahmat & kelapangan (sumber gambar: jspiotto.blogspot.com)
"اخْتِلَاف " itu secara umum maksudnya perbezaan, atau perselisihan. Maka pada perbezaan dan perselisihan itu terdapat "ayat", yang mendekatkan "zikir" kepada Sang Maha Pencipta, setidak-tidaknya buat para ulu al-albab ini. Tetapi, dengan memahami bagaimana "perbezaan" di antara langit dan bumi ini, barulah insan –barangkali- dapat belajar daripadanya, berbanding sentiasa membenci dan memusuhinya. Kata Syaikh Muhammad Mutawalli Asy-Sya'rawi, "اخْتِلَاف " di antara siang dan malam di sini mempunyai dua makna;
1) Datangnya malam setelah siang bererti keduanya berbeza, namun saling menggantikan
2) Pergantian yang lain, yang tercermin pada cahaya siang dan kegelapan malam. Lalu siang waktunya untuk "bergerak", sedang malam pula menjadi waktu untuk beristirehat.
(Tafsir Sya'rawi, tetapi dengan olahan kata penulis)
Pokoknya, persamaan itu tidak semestinya senantiasa bermanfaat. Dan perbezaan itu tidak semestinya merugikan. Bahkan, terkandung "ayat" yakni tanda-tanda yang mampu menghasilkan kebijaksanaan. Sehingga Qaradhawi menyatakan, betapa "perselisihan (dalam perkara furu') itu adalah rahmat dan kelapangan." "Perselisihan itu adalah kekayaan." (Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, "Ash-Shohwah Al-Islamiyyah: baina al-ikhtilaf al-masyru' wa at-tafarruq al-mazmum") Tetapi dengan syarat, kita tahu bagaimana berakhlak dalam menanganinya.
Itulah sang bijak: menambah khazanah ilmunya dengan bijak mengambil kepelbagaian sumber dan keilmuan. Adakah anda sang bijak itu?
No comments:
Post a Comment