Followers

Sunday, November 25, 2012

[JOM]: KOTAK FIUS

KOTAK FIUS

 

Jika ada di antara kita yang masih kurang jelas akan peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh para Jurutera, atau, lebih femes dengan panggilan omputihnya: Engineer, maka perhatikanlah kembali rumah kediamanmu.  Baik rumah kampung mahupun rumah bandar, baik rumah lama mahupun rumah baru, baik rumah kayu mahupun rumah batu, asal saja rumah itu dibekalkan dengan tenaga elektrik, dikau akan dapati "kotak fius" sebagai mukaddimah untuk litar elektrik rumahmu.

 

 

Tahukah kamu apakah kegunaan fius-fius itu? Fius-fius itu berperanan untuk menyelamatkan litar rumah, bersama-sama perkakas-perkakasan elektrik yang tersambung dengannya, daripada terbakar dek lebihan arus yang mengalir di dalam litar berkenaan, dikeranakan oleh sesuatu sebab. Ertinya, sang fius telah melakukan suatu "pengorbanan" yang cukup mulia, dengan mengorbankan dirinya, demi memutuskan litar dan menyelamatkan litar, perkakas dan manusia yang lainnya daripada ditimpa bencana: terkena renjatan elektrik!. Ia berperan umpama sebatang lilin, yang membakar dirinya demi kebahagiaan yang lain-lainnya. Ia berfungsi, persis yang digambarkan oleh seorang Sayyid Quttub, bahawa "orang yang hidup untuk dirinya sendiri, akan hidup sebagai orang yang kerdil dan mati pula sebagai orang yang kerdil. Tetapi orang yang hidup untuk orang lain, akan hidup sebagai orang yang besar, dan matinya juga sebagai orang yang besar." Lalu, sang fius yang telah terbakar itu tadi pun harus diganti, lalu kehidupan pun dimulakan kembali.

 

Indahnya Islam, Islam senantiasa mendorong penganutnya untuk melihat, merenung, membuka mata demi memerhatikan persekitarannya. Bukan dengan sebuah penglihatan yang boleh menumbuhkan dosa, sebaliknya dengan sebuah renungan yang bisa mengembalikan insan kepada rasa kebesaran Tuhan Yang Maha Esa. Hingga, Quran juga di dalam banyak tempat menganjurkan penganut-penganutnya untuk mengembara di muka bumi Tuhan ini. Namun, bukan untuk sebuah pengembaraan yang sekadar seronok-seronok, sebaliknya untuk merenung dan mengkaji alam, demi memastikan prestasi iman akan melonjak kembali. Firman Allah;

 

أَوَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۚ كَانُوا أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَأَثَارُوا الْأَرْضَ وَعَمَرُوهَا أَكْثَرَ مِمَّا عَمَرُوهَا

 

"Tidakkah mereka berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka..."

(Surah Rum [30]:9)

 

Maka, bagi yang sudi memerhatikan persekitaran rumahmu dengan teliti, mungkin dikau akan sedari betapa kotak fius dengan fius-fius berwarna hitam seperti di atas, sudah tidak lagi terdapat, atau memang langsung tidak pernah terdapat lagi padalitar elektrik rumah kediamanmu. Hal ini kerana, para engineer, dengan jiwa keterbukaan dan berlapang dadanya, telah sudi memuhasabah teknologi kotak fius yang diguna pakai, lalu mengupgrade teknologinya dengan menggantikan fius-fius berwarna hitam tadi dengan MCB, lantas kotak fius yang diguna-pakai suatu masa dahulu, telah digantikan dengan MCB-MCB dan kini dikenali sebagai kotak suis atau kotak agihan.

 

 

Bezanya di antara MCB (Miniature Circuit Breaker) dengan fius tadi ialah, jika sang fius mengorbankan dirinya demi menyelamatkan sang litar, MCB pula cukup melakukan fungsi dan misi yang sama, iaitu memutuskan litar di kala memerlukan, namun tanpa perlu mengorbankan dirinya sendiri. Ini menjadi added advantage kepada pengguna, kerana jika dengan fius, para pengguna harus mengeluarkan sedikit wang demi mengganti fius yang terbakar setiap kali adanya lebihan arus, namun dengan kehadiran MCB, cukup buat kita untuk meng"ON"kan kembali suis pada MCB itu, untuk memastikan aliran arus elektrik kembali pulih seperti sedia kala. Ertinya selepas MCB tadi "terputus", ia bisa "bersambung" kembali seperti sedia kala, lalu para pengguna pun mendapat manfaat yang besar, yakni dengan penjimatan kos dek perbuatan "taubat"nya sang MCB itu tadi.

 

Saudaraku,

 

Zaman sekarang, kita tidak perlu lagi bertindak seperti sang fius, yang begitu terjadinya "kemelampauan" arus, ia pun terbakar, lalu tidak ada harapan lagi untuk berfungsi, hingga perlulah ianya diganti. Cukup kita menjadi bak MCB. Setiap kali ia "melampaui" batas, ia bisa kembali seperti sedia-kala. Ertinya, MCB memberikan "harapan" kembali kepada litar elektrik untuk berfungsi, cukup dengan "menyambungkan" kembali litarnya.

 

Maka sebegitulah juga dengan diri kita. Islam senantiasa memberikan harapan kepada umatnya, untuk kembali menyambungkan "litarnya" dengan Allah Azza Wa Jalla, yang terputus dek sikap kita yang melampaui batas. Allah sentiasa membukakan pintu taubat-Nya, untuk insan kembali menyambung hubungan dengan-Nya, biar seberapa banyak dosa yang "memutuskan" litar keimannya. Firman Allah;

 

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

 

"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"

(Surah Az-Zumar [39]:53)

 

Sabda Nabi SAW;

 

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : قَالَ اللهُ تَعَالَى : يَا ابْنَ آدَمَ، إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَاكَانَ مِنْكَ وَلاَ أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوْبُكَ عَنَانَ السَّماَءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ، يَا ابْنَ آدَمَ، إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ اْلأَرْضِ خَطاَياَ ثُمَّ لَقِيْتَنِي لاَ تُشْرِكْ بِي شَيْئاً لأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً

Dari Anas Radhiallahuanhu dia berkata: Saya mendengar Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam bersabda: Allah Ta'ala berfirman: "Wahai anak Adam, sesungguhnya Engkau berdoa kepada-Ku dan memohon kepada-Ku, maka akan aku ampuni engkau, Aku tidak peduli (berapapun banyaknya dan besarnya dosamu). Wahai anak Adam seandainya dosa-dosamu (sebanyak) awan di langit kemudian engkau minta ampun kepada-Ku niscaya akan Aku ampuni engkau. Wahai anak Adam sesungguhnya jika engkau datang kepadaku dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemuiku dengan tidak menyekutukan Aku sedikitpun maka akan Aku temui engkau dengan sepenuh itu pula ampunan "

(Riwayat Turmuzi dan dia berkata : haditsnya hasan shahih).

 

Itulah Islam, sebuah agama "harapan". Lalu dengan "harapan" ini, insan bisa maju ke hadapan, kerana ia tidak pernah mengenal noktah dalam episod perjuangan. Di dalam kitabnya Muhammad Al-Ghazali Qabasat Minar Rasul, Muhammad Al-Ghazali bahkan meletakkan hadith berkenaan "harapan", sebagai mukaddimah kepada kumpulan hadith-hadith pilihannya. Sabda Nabi SAW;

 

"Sekiranya berlaku Kiamat sedangkan di tangan salah seorang kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum berlakunya Kiamat, maka hendaklah dia menanamnya, dengan itu dia mendapatkan pahala"

 

Kerana itu, manusia tidak seharusnya memutuskan "harapan" yang telah diberikan Islam kepada penganutnya. Islam tidak mewajibkan anda mempunyai "fius" baru untuk kau gantikan fius lamamu yang telah rosak, kerana litar yang putus itu pada sebuah MCB, terkadang mendatangkan kebaikan buat dirimu, lantaran "harapan" yang senantiasa dicurahkan oleh Allah kepadamu. Lihatlah bagaimana Nabi SAW memotivasikan orang-orang yang tergagap-gagap membaca Al-Quran di dalam sabdanya;

 

« الَّذِي يَقْرَأُ القُرْآنَ وَهُوَ مَاهِرٌ بِهِ مَعَ السَّفَرَةِ الكِرَامِ البَرَرَةِ ، وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أجْرَانِ »

متفقٌ عَلَيْهِ

"Orang yang membaca al-Qur'an dan dia mahir dengan bacaannya itu, maka dia beserta para malaikat yang mulia lagi taat. Sedangkan orang yang membaca al-Qur'an dengan tersekat-sekat dan terasa sukar baginya maka dia mendapat dua pahala."

[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim, rujuk Riyadhus-Shalihin oleh al-Nawawi (diteliti dan disemak hadisnya oleh Syu 'aib al-Arna'uth, Dar al-Ma'mun, Riyadh 1996) – hadis no: 994

 

Nah, jika inilah sikap sebenar Islam, bagaimana mungkin ada di kalangan "orang agama" yang membatalkan ibadah seseorang, hanya kerana kelemahan atau kekurangan yang sedikit di dalam membaca Al-Quran?

 

Mengapa ada pihak yang sibuk membuka aib dan mencari kelemahan dan kekurangan orang-orang yang baru sahaja berhijrah, sedangkan Nabi kita SAW  yang mulia sahaja menggambarkan, di dalam kitab Riyadhus Salihin, bab Sabar nukilan Imam Nawawi, betapa Islam adalah agama yang memberikan "harapan", hatta kepada sang pembunuh 99 nyawa sekalipun?

 

Rahmat dan hidayah Allah tidak menimpa kelompok-kelompok tertentu semata-mata. Tidak juga menjadi hak milik mutlak bangsa tertentu sahaja. Tetapi, rahmat dan hidayah Allah itu menimpa siapa sahaja individu yang Allah berkenan untuk memberikannya kepada dirinya, biarpun manusia-manusia lain yang berkenan, atau berusaha menyesatkannya. Oleh itu, berilah "harapan" kepada manusia, untuk ia kembali menautkan dirinya dengan Tuhannya. Berilah "harapan" kepada manusia, untuk ia kembali merasakan "arus kuasa" yang dicurahkan oleh Tuhan, kepada hamba-hamba-Nya.

 

 

Daripada "Jirim" turun kepada "Atom" turun lagi kepada "Elektron", lalu mengalirlah elektron-elektron itu menjadi arus elektrik, tetapi memasuki "Kotak Fius" terlebih dahulu. Nah, selepas ini, apa pula?

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Jurutera Profesional  dan Jurutera Elektrik Kompeten

Lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Sijil Pengajian Syariah

 

 

No comments:

Post a Comment