Followers

Wednesday, February 6, 2013

Tadabbur Surah Hud

(Malam tadi, kami bertilawah dan bertadabbur ayat-ayat awal daripada surah Hud, tepatnya ayat 1 hingga 12. Namun, dalam kesempatan ini, saya hanya ingin mentadabbur satu ayat sahaja iaitu ayat ke 9 daripada surah Hud.)

 

﴿وَلَئِنْ أَذَقْنَا الإِنْسَـنَ مِنَّا رَحْمَةً ثُمَّ نَزَعْنَاهَا مِنْهُ إِنَّهُ لَيَئُوسٌ كَفُورٌ

وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ نَعْمَآءَ بَعْدَ ضَرَّآءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ ذَهَبَ السَّيِّئَاتُ عَنِّي إِنَّهُ لَفَرِحٌ فَخُورٌ

إِلاَّ الَّذِينَ صَبَرُواْ وَعَمِلُواْ الصَّـلِحَاتِ أُوْلَـئِكَ لَهُمْ مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ ﴾

"Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur. Dan demi sesungguhnya! Kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah dia menderita kesusahan, tentulah dia akan berkata: Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku. Sesungguhnya dia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai). Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar."

(Surah Hud [11]:9-11. Terjemahan diambil dariapada web www.guidedways.com)

 

Imam Ibnu Katsir membahaskan ayat ke-9 ini secara "pakej" bersama-sama dengan ayat ke-10 dan ayat ke-11. Ianya berkenaan dengan perubahan sikap insan saat beroleh kesenangan serta ditimpa kesusahan. Namun, sekali lagi, yang ingin saya tadabburkan saat ini, hanyalah ayat 9 sahaja.

 

Insan, seringkali tidak sedar betapa dirinya dikurnia oleh Allah dengan rahmah. Ini terkadang terjadi kerana manusia menyangka bahawa yang namanya rahmat, yang namanya nikmat, dan yang sama waktu dengannya, hanyalah perkara fizikal dan bersifat dunyawi seperti wang, harta, kereta dan sebagainya. Sedang Quran, yang di dalamnya terdapat satu surah khusus berbicara tentang rahmah ini; itulah surah ke 55 di dalam Al-Quran, iaitu Surah Ar-Rahman.

 

Bayangkan, sejurus Allah menyebut sifatnya "Ar-Rahman" dan bersiap menyebutkan bukti-bukti dan contoh-contoh kasih-sayangnya, yang pertama-pertama disebut oleh-Nya justeru ialah عَلَّمَ الْقُرْآنَ  "yang telah mengajarkan Al-Quran." Menunjukkan, kesempatan untuk seorang insan untuk diperkenalkan dengan Quran serta seluruh isi kandungannya, yakni Islam, justeru merupakan sebuah rahmah dan sebuah nikmah yang tiada tara besarnya. Hidayah inilah, di antara salah satu nikmah yang seringkali dilupakan oleh manusia.

 

Kerna itu, yang paling tidak diinginkan hilang oleh orang yang beriman, tentulah rahmah berbentuk hidayah, yakni kelazatan dan kenikmatan berteduh di bawah naungan iman. Bukankah itu yang disebut ulang oleh kita di dalam sembahyang?

 

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

 

Kerana itu, orang yang tidak tahu menghargai nikmat yang besar, bagaimana mungkin dikau harapkan ia mampu menghargai nikmat yang kecil? Dan orang yang sudah melupakan nikmat yang besar ini, akan membawa kepada "teori domino", di mana Allah jadikan pula ia lupa terhadap dirinya sendiri.

 

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنْسَاهُمْ أَنْفُسَهُمْ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

"Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik (derhaka)"

(Surah Al-Hasyr [59]:19)

 

Wajar, tatkala nikmat ini dicabut daripada mereka, seperti yang diindikasikan oleh surah Hud ayat ke 9 ini, mereka jadi putus asa, mereka jadi كَفُورٌ , kerana mereka sudah "lupa" bagaimana caranya mem"bangkit"kan kembali diri mereka tadi.

 

Sedang putus asa pula, tidak sinonim dengan orang yang beriman. Bahkan ianya hak milik orang-orang kafir. Maka tepatlah ketika Allah Azza Wa Jalla menyebut يَئُوسٌ كَفُور kerana di dalam Surah Nabi Yusuf pun, Nabi Ya'qub menerangkan kepada anak-anaknya betapa putus asa dan keimanan, adalah dua parameter yang tidak mungkin bisa bertemu.

 

Firman Allah:

 

إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

"…Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir"

(Surah Yusuf [12]:87)

 

Lihatlah kepada kisah Nabi Yusuf, terutama saat ia dihumbankan ke dalam perigi oleh saudara-saudaranya. Di dalam telaga tanpa kehidupan, kalau kita, apakah mungkin kita bisa memikirkan keindahan masa depan? Dan kemudian, begitu bebas daripada perigi, masuk pula  ke alam penghambaan. Dan kemudiannya menjadi banduan. Nah, apakah ada manusia yang bisa bertahan dan berbaik sangka menghadapi sebesar ujian dan pancaroba kehidupan?

 

Itulah sebabnya, Allah Azza Wa Jalla menyatakan;

 

وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِ لَتُنَبِّئَنَّهُمْ بِأَمْرِهِمْ هَٰذَا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

"…dan kami wahyukan kepadanya:" Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan terselamat, dan) akan memberi tahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi) "

(Surah Yusuf [12]:15)

 

di saat dirinya (Nabi Yusuf) terperosok di dalam perigi.

 

Namun bilakah saatnya Nabi Yusuf menceritakan kembali kisah ini kepada saudaranya? Saat sudah menjadi pimpinan Mesir! Lalu apakah kaitannya di antara perigi dan istana? Itulah jalan cerita keseluruhannya. Hanya dengan فَصَبْرٌ جَمِيلٌ  dan tidak kenal putus asa, insan itu dapat bangkit dan bangkit dan bangkit dan berjaya, kerana ia sedar ia masih punya رَحْمَةً  yang menemaninya, saat iman masih terus mengalir di dada.

 

Dan seperti biasa, tulisan ini pun sudah rasanya agak panjang, maka dipersilakan siapa-siapa yang ingin mentadabbur lagi ayat ini bersama. Silakan…

 

2 comments: