Siri 1 - Intro
Surah Al-Kahfi, menurut
Syed Qutb di dalam tafsirnya Fi Dzilalil Quran[1] ialah surah yang
dipenuhi atau “dikuasai”( الغالبkata Syed Qutb)
oleh kisah-kisah. Bahkan, dengan 71 daripada keseluruhan 110 ayatnya adalah
kisah-kisah, menunjukkan betapa dominannya kisah-kisah di dalam surah ini.
Dan apabila berbicara
tentang kisah-kisah, kaedah penceritaan atau penceritaan pengalaman/ sejarah
atau kisah ini, sememangnya salah satu method penceritaan yang dapat menarik
minat pembaca, dan memberi lebih penghayatan kepada mereka. Al-fadhil Ustaz
Hasrizal merupakan contoh yang baik dalam bidang ini, hingga penulisannya di
dalam web saifulislam.com berjaya menarik minat ribuan pembaca, tak kira usia,
latar belakang dan sebagainya.
Namun, satu hal yang
harus diingat ialah, bila berbicara tentang pengalaman atau sejarah atau kisah
ini, tak semestinya kisah yang baik adalah bak cerita Hindustan; punya happy
ending semata-mata. Lihatlah contoh yang disebut oleh Allah di dalam
Al-Quran; itulah Surah Yusuf, surah yang ke-12 di dalam Al-Quran. Pada ayat
ke-3 surah itu, Allah SWT menyatakan betapa kisah Nabi Allah Yusuf ini adalah “the
best story to be told,” sebuah cerita box office yang sentiasa rise
above the rest.
Dan dalam kisah Nabi
Yusuf itu, ternyata tidak termuat kisah-kisah bahagia semata-mata. Ada kisah suka,
kisah duka. Gumbir tawa, coretan luka. Kisah suspens, kisah pilu. Kisah
kebangkitan, kisah kecerdikan. Semua anasir-anasir yang bisa terwujud di dalam
sebuah cerita, terakam dan termuat di dalam Surah yang satu ini. Maka,
kehidupan yang tidak dipenuhi oleh kisah-kisah yang beragam, adalah kehidupan
yang “tawar”, yang sedikit “hambar”, kerana tidak atau belum terwarna dengan
segala macam rencah dan rempah kehidupan. Kerana itulah Mukmin, diingatkan oleh
Nabi kita SAW untuk bersikap ajaban, dengan mensyukuri semua nikmat yang
didatangkan kepadanya, serta bersabar di atas segala musibah yang menimpa
dirinya. Kerana musibah itu, terkadang menjadi asbab buat kita menjadi a
better person in the future, insyaAllah.
Dan bercerita tentang
kisah-kisah ini, penghujung Surah Yusuf menyatakan, betapa kisah-kisah yang
disebutkan oleh Al-Quran, bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya buat
menjadi ibrah buat mereka yang mahu menggunakan akalnya. Firman Allah:-
لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِأُولِي الْأَلْبَابِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَىٰ وَلَٰكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ
يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
|
“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi
pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal
fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia
cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di
dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan
yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat
bagi kaum yang (mahu) beriman.”
(Surah Yusuf [12]:111)
Yang dimaksudkan dengan
“kisah-kisah mereka” di sini, boleh jadi kisah Nabi Yusuf dengan
saudara-saudaranya semata-mata, tetapi boleh jadi juga kisah Rasul-rasul yang
lain yang telah diwahyukan Tuhan di dalam Al-Quran. Inilah yang disebutkan oleh
Hamka di dalam Tafsir Al-Azharnya[2], dan juga oleh Al-Imam Ibnu Katsir
di dalam Tafsirnya.[3]
Menurut Ar-Raghib,
perkataan قصص
ertinya adalah mengikuti, diambil dari kalimat تتبع الاثر,
ertinya mengikuti jejak[.4] Menurut Syeikh Mutawalli Asy-Sya’rawi, maksudnya
adalah mengikuti orang yang berjalan hingga seorang tahu perjalanan orang yang
diikutinya dan tidak menyimpang jauh dari arah yang dilalui oleh orang yang
dicarinya,[5] seperti arahan ibunya Nabi Musa kepada kakaknya Musa agar
“mengikuti jejak” ke mana Nabi Musa A.S dihanyutkan (lihat surah 28:11).
Manakala menurut Drs. Muhammad Thalib[6], kata قص-قصة punya 6 makna iaitu menyebutkan nama (التسمية),
membaca kisah (قراء القصة), menjelaskan (البيان),
mencari jejak/ mengikuti (الطلب), memberitahukan (الاخبار
), serta menurunkan (التنزيل).
Manakala perkataan عبرة
diambil daripada kalimat عبر النهار yang bermaksud
menyeberangi sungai dengan berpindah dari satu tepi ke tepi yang lain. Begitu
juga dengan kalimat تعبر رئيا (menta’wilkan mimpi), yakni memahami yang
dimimpikan dalam dunia nyata. Maka, عبرة
“pengajaran” hanya dimengerti oleh orang yang berakal yang berusaha mendapatkan
maknanya, sedangkan yang tidak mahu memperhatikan secara lebih seksama, dia
tidak mendapatkan faedah apa pun. Demikianlah menurut Sya’rawi.[7] Ia juga
keadaan yang digunakan sebagai penghubung, iaitu menganalogikan sesuatu yang
tidak disaksikan dengan sesuatu yang disaksikan (nyata).[8]
Menurut Imam Al-Maraghi, يفتر
pula bermaksud “diringankan”, berasal
dari perkataan فترت عنه الحمى yang bermaksud demam
itu agak sedikit reda. Sedangkan Laa Yuftaruun seperti yang terdapat di
dalam Surah 21 ayat 20, bermaksud tidak lemah dan tidak pernah berhenti.[9]
Maka, dirangkumkan
semua yang di atas, bolehlah kita katakana betapa kisah-kisah yang termuat di
dalam Al-Quran, diceritakan oleh Allah agar kita dapat “mengikut jejak”
orang-orang terdahulu daripada kita, dan tidak menyimpang jauh daripada
“landasan” yang telah dibina oleh mereka. Kerana itulah Allah hanya
menceritakan hal yang penting di dalam Al-Quran, agar kita tak lari fokus
daripadanya. Misalnya, Allah tahu manusia berselisih tentang bilangan ashabul
kahfi, nama-nama mereka, nama anjingnya, lokasi mereka dan sebagainya,
namun Allah tidak menjawab pun persoalan tersebut, kerana kurang penting.
Tetapi sebaliknya pelajaran dan pengajaran berguna itulah yang perlu diikuti
dan dituruti oleh generasi hari ini.
Dan kisah-kisah itu
memang harus di”seberang sungai”kan daripada tekstual ke realiti. Lantaran
ianya bukanlah kisah yang “ringan”, yang sepele dan sambil lewa,
sebaliknya ia berguna buat “ahli-ahli inti” (ulul albab), yang sentiasa
mampu melihat inti kepada setiap persoalan, setiap hal, setiap permasalahan.
Hanya dengan ini, kisah
Ashabul Kahfi ini berguna dan bermanfaat untuk kita, insyaAllah
Bersambung…
RUJUKAN
[1] “Fi
Dzilalil Quran,” Darusy-Syuruq, Jilid 3, m/s2256
[2] “Tafsir
Al-Azhar,” Pustaka Panjimas, Juzu’ 13 dan Juzu’ 14, m/s53
[3] Ustaz
M.Dhuha Abdul Jabbar dan Ustaz KH. N.Burhanudin, “Ensiklopedia Makna
Al-Qur’an –Syarah Alfaazhul Qur’an,” Fitrah Rabbani, m/s539-540
[4] Tafsir
Ibnu Katsir di www.qtafsir.com
[5] “Tafsir Sya’rawi”, Duta Azhar,
Jilid 7, m/s11
[6] “Kamus Kosakata Al-Qur’an”, Uswah,
m/s433-434
[7] “Tafsir Sya’rawi”, Duta Azhar,
Jilid 7, m/s163
[8] Ustaz
M.Dhuha Abdul Jabbar dan Ustaz KH. N.Burhanudin, “Ensiklopedia Makna
Al-Qur’an –Syarah Alfaazhul Qur’an,” Fitrah Rabbani, m/s423
[9] Ibid,
m/s495
salam.ustaz xnak sambung ke
ReplyDeleteWassalam
ReplyDeleteBiasalah Umar. Macam ana cakap sebelum ni, tiap kali tulis tema kajian manhaj ni, akan mula rasa boring dengan diri sendiri.
InsyaAllah ana sambung nanti. Doakan...